Sunday, January 24, 2016

Tikus Makmal

Tikus makmal adalah asosiasi sosial yang paling cocok untuk sekumpulan manusia atau masyarakat yang menjadi bahan uji kaji kepada sesuatu dasar atau polisi yang baru diperkenalkan oleh kerajaan.

Paling ketara, adalah yang melibatkan hal ehwal polisi dan dasar pendidikan. Di Malaysia, biasa sangat kita mendengar rintihan sebegini. Bermula era pengenalan PPSMI, kepada pemansuhan UPSR dan PMR, pengenalan sistem kurikulum yang baru, dan mutakhir, pelancaran dasar Program Dwi-bahasa atau DLP.

Maka, gelar tikus makmal itu padan elok pada anak-anak pelakar sekolah rendah dan menengah yang sedang mengharungi sistem tersebut. Merekalah kumpulan masyarakat yang paling terkesan secara langsung kepada pengenalan segala polisi dan dasar yang baru oleh kerajaan dalam hal ehwal pendidikan.

Tidak dilupakan juga generasi mahasiswa dan para pensyarah di universiti tempatan – yang menjadi tikus makmal kepada pelaksanaan sistem yang terburu-buru dan bersifat mentah.

Setiap dasar yang dilaksanakan dalam hal ehwal pengajian tinggi, terutama melibatkan dana penyelidikan, kebebasan akademik, penerbitan, kandungan silibus pengajaran, kaedah pembelajaran dan infrastruktur – semua itu juga mencoretkan kesan dan natijah tersendiri terhadap golongan terbabit.

Tidak kurang juga sekalian manusia menjadikan gelaran tikus makmal ini sebagai pemangkin kepada sentimen bahawa polisi yang sedang dilaksanakan kerajaan itu tidak baik dan merosakkan masa depan mereka. Semua itu, terpulang pada interpretasi dan perspektif masing-masing dalam menilai isu ini.

Begitu juga dalam hal kepolitikan, terutamanya dasar ekonomi dan sosial secara umum, termasuklah pengenalan sistem percukaian baharu seumpama GST, atau dalam skala yang lebih besar, persetujuan Malaysia untuk menganggotai sesuatu perjanjian antarabangsa yang akan melahirkan dampak lebih besar terhadap rakyat keseluruhannya.

Mengambil contoh isu TPPA. Dampak keanggotaan Malaysia dalam perjanjian perdagangan ini, akan terlihat pada sekalian rakyat, bermula pada sebesar-besar faktor makroekonomi sehinggalah ke paras mikroekonomi.

Juga dalam hal pelaksanaan sistem percukaian GST. Dasar percukaian baharu ini, dijangka (dan sekarang sudah jelas terpampang) memberi dampak negatif yang begitu menakutkan terhadap rakyat terbawah, terutamanya yang berada di paras miskin dan miskin tegar.

Maka, di sini kumpulan yang terpakai akan mereka gelar tikus makmal adalah sekalian rakyat tersebut.

Dalam dunia penyelidikan terutamanya yang melibatkan perubatan dan psikologi, saban tahun jutaan tikus makmal menjadi korban semata-mata untuk menghasilkan sesuatu vaksin dan metode perubatan tertentu.

Mendengar angka sebegitu, sudah tentulah perkara pertama yang akan terhenyak dalam benak kepala kita adalah persoalan mengenai etika dan moral. Apakah beretika memperalatkan tikus selaku haiwan bernyawa sebagai bahan uji kaji makmal untuk kesenangan manusia?

Logik yang sama juga kita bawakan kepada kajian kes di atas, mengenai kelompok masyarakat menjadi tikus makmal kepada pelaksanaan dasar dan polisi baru kerajaan.

Apakah beretika menjadikan sebahagian besar pelajar sebagai bahan uji kaji untuk mengetahui sama ada sesuatu polisi pendidikan itu berkesan atau tidak, terutama dalam hal untuk meningkatkan rangking, peratusan lulus, kecemerlangan sesuatu bidang atau kemahiran berbahasa?

Dan, apakah beretika bagi pihak kerajaan melaksanakan sesuatu dasar ekonomi terutamanya dasar afirmatif yang terlihat kesannya hanya pada sesuatu kelompok masyarakat, atau hanya memberi kebaikan pada sebilangan kecil dan tidak pada keseluruhannya?

Persoalan-persoalan bersifat begini adalah wajib disoal kepada mereka yang bertanggungjawab di paras eksekutif dan legislatif.

Hanya dengan mempertimbangkan soal etika dan moral, maka sesuatu dasar yang dilaksanakan itu tidak akan melahirkan sekumpulan tikus makmal yang tidak berguna selain dari data-data akhiran.

Antara praktis utama yang boleh mengelakkan dari kesan tikus makmal tadi adalah dengan cara kerajaan melakukan kajian menyeluruh dari segenap aspek dan keperluan secara holistik, tidak terburu-buru dan didasari dengan justifikasi yang jelas dan mampan.

Melalui konsultasi awam, kerajaan akan berupaya memperoleh data mengenai kebaikan dan keburukan, kesan jangka panjang dan pendek, kajian sebab-akibat terhadap sekalian pihak berkepentingan terutamanya rakyat bawahan dalam satu-satu polisi dan dasar yang akan dijalankan.

Ya, benar pada akhirnya kita perlu mengakui bahawa kesan sebenar hanya terlihat sesudah proses implementasi. Tetapi, biarlah kenyataan itu datang setelah sekalian kajian yang menyeluruh dan diakui kejituan dan kesahihannya oleh cendekiawan dan pakar pada dasar tertentu yang mahu dilaksanakan.

Resmi rumus ini, adalah mutlak. Kegagalan kerajaan memenuhi pra-syarat ini dalam pelaksanaan polisi dan dasar mereka, menjadi faktor utama kepada krisis defisit kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan keseluruhannya. Natijah tersebut, sifatnya inevitable.