Skip to main content

Politik Jiwa Besar

Perkembangan politik mutakhir kelihatan makin menarik, terutamanya politik blok pembangkang. Umum sudah maklum tentang Pakatan Harapan, ganti kepada wafatnya Pakatan Rakyat. Walaupun begitu hijau usianya untuk diletakkan bermacam-macam harapan, tetapi tiada salah untuk kita bincangkannya.

Pakatan Harapan tidak segan untuk menyampaikan cita-cita politiknya dalam pilihan raya akan datang. Komponen parti kelihatan optimis, biarpun kita boleh mengagak bahawa selalunya indah khabar dari rupa. Maksudnya, apa yang terlihat di luar itu kadang kala tidak lebih dari propaganda politik semata.

Tapi tidak mengapalah, masing-masing punya cara tersendiri untuk berekspresi (berpolitik). Sebenarnya ada tiga perkara yang menarik perhatian saya dalam situasi mutakhir ini.

Pertama, DAP bercita-cita untuk meletakkan lebih ramai calon berbangsa Melayu dalam pemilihan akan datang.

Kedua, AMANAH kelihatan gelisah apabila mengeluarkan desakan agar DAP tidak meletakkan calon Melayu dalam pemilihan kelak.

Ketiga, Pakatan Harapan menjadikan isu-isu seputar orang Melayu dan Bumiputra sebagai pemusatan fokus tawaran-tawaran mereka untuk pengundi seluruhnya.

Untuk memahami perbincangan ini, kita wajar mengambil kira realiti dan konteks terlebih dahulu. Izinkan saya memberikan sedikit gambaran konteks dari sudut populasi dan demografi penduduk Malaysia dan perangkaannya dalam tempoh mendatang, secara ringkas.

Pada tahun 2015, populasi Bumiputra adalah 62% dari keseluruhan penduduk Malaysia, dengan Cina mengambil jumlah kira-kira 21.4%, dan India sekitar 6.4% dari keseluruhan jumlah penduduk. Selebihnya, adalah lain-lain bangsa.

Unjuran bagi tahun 2025, populasi Melayu dan Bumiputra dijangka meningkat sehingga 64%, manakala populasi Cina pula menyaksikan penurunan sehingga mencecah 20.3%.

Menjelang 2040, corak penurunan dalam unjuran populasi semakin cerlang. Melayu dan Bumiputra dijangka akan mengalami kadar peningkatan ketara iaitu sekitar 67.5%, manakala populasi Cina dijangka menurun sehingga 18.4% dan India pula menurun sekitar 5.9%.

Inilah realitinya yang politik Malaysia perlu berdepan. Mungkin kita masih boleh bermain persepsi dengan mengatakan unjuran angka-angka itu masih kabur disebabkan tiada dinyatakan mengikut perincian umur, makanya susah untuk meletakkan sebarang jangkaan pada jumlah pendaftar pemilih.

Tidak mengapa, kerana secara umumnya, unjuran ini akan memberikan dampak yang ketara kepada mana-mana polisi, dasar dan pendekatan politik pada masa hadapan. Sudah semestinya, dengan adanya unjuran sebegini, parti-parti politik sewajarnya melawat kembali penceritaan politik mereka supaya tidak ketinggalan kelak.

Dalam perbincangan kita, subjeknya adalah DAP dan parti-parti komponen lain dalam Pakatan Harapan. Saya tidak menolak bahawa seruan tegas oleh Liew Chin Tong dalam usulnya supaya DAP berubah secara drastik dalam modus operandinya untuk menjadi parti yang lebih inklusif ada kait mengait dengan realiti di atas.

Benar, mahu tiada mahu, DAP wajib berubah kalau mereka benar-benar mahukan kerusi di Putrajaya. Kalau mereka terus malar begini, seumpama sekarang (kalaupun ada usaha penambahbaikan), lebih baik mereka lupakan sahaja hasrat itu.

Mengekalkan imej kecinaan, DAP tidak akan ke mana-mana dalam politik Malaysia.

Tetapi, saya optimis dengan DAP. Sebagaimana dulu saya pernah menulis sempena ulang tahun ke-48 parti itu, bahawa DAP akan menjadi entiti politik pilihan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, dengan syarat mereka mampu memekarkan wacana sosial demokrasi dalam kalangan rakyat terbanyak.

Hujah saya, tanpa menolak bahawa pada masa hadapan, politik berasaskan ideologi semakin tidak terpakai, namun begitu saya tidak menolak sepenuhnya peranan ideologi politik itu sebagai pemangkin kepada sesebuah kesedaran berlaku. Ideologi sosial demokrasi, jika mekar wacananya, ia bakal menjadi pemangkin tersebut.

DAP berpeluang besar untuk menawan hati rakyat Malaysia langkau agama, bangsa dan bahasa. Cuma tinggal sekarang, kebijaksanaan pimpinan DAP untuk manfaatkan peluang yang semakin terbuka luas pintunya itu.

Ditambah dengan komitmen parti itu pada nilai integriti, kejujuran dan kecekapan, percayalah, mereka tidak berdepan dengan banyak masalah.

Baiklah, katakan situasi yang saya tuliskan di atas benar menjadi kenyataan dalam tempoh masa akan datang ini, Pakatan Harapan akan berdepan dengan masalah kedua, iaitu pada persoalan sejauh manakah parti-parti komponen lain dalam Pakatan Harapan berani mendepani realiti tersebut.

Dalam artikel yang sama juga, saya telah pun menulis perkara ini. Ketika itu (Pakatan Rakyat baru mula berdepan dengan krisis apabila berlakunya Langkah Kajang), saya membangkitkan persoalan mengenai keterbukaan rakan politik DAP iaitu PKR dan PAS mengenai situasi tersebut.

Dulu, saya mencoret begini, “Seperkara lagi untuk disoroti bersama sejajar dengan kematangan DAP yang semakin meningkat adalah sejauh mana kesediaan rakan politik DAP terutamanya PAS dan PKR menyambut parti ini seadanya dengan sifatnya pada masa mendatang.”

Persoalan ini terkait langsung pada situasi kedua dan ketiga yang telah saya gariskan di atas. Dulu, PAS dan PKR. Sekarang, persoalan itu terhempap pada bahu PKR dan AMANAH. Saya memikirkan hanya satu kata kunci yang wajar sekali diberi perhatian, iaitu politik jiwa besar.

Mampukah PKR dan AMANAH berjiwa besar untuk berdepan dengan kematangan DAP dalam pergelutan politik pada masa-masa akan datang?

Ini persoalan yang berat. Kalau tidak ditangani sekarang oleh AMANAH terutamanya, dari sudut strategi untuk melebarkan pengaruhnya dalam kalangan rakyat, melebihi apa yang mampu ditawarkan oleh DAP, mereka bakal menjadi parti serpihan dan pinggiran sahaja sampai bila-bila.

Jatuh naik Pakatan Harapan adalah bergantung pada faktor sejauh mana parti-parti komponen sesama mereka mampu berjiwa besar menangani dan menanggapi kekuatan dan kelemahan masing-masing. Jika ada yang memilih cara pengecut, nasib mereka akan berakhir seperti mana PAS dalam Pakatan Rakyat dulu.

Politik jiwa besar akan menjadikan perbezaan bukan sebagai ruang kelemahan, tetapi pelampung kepada kesepakatan dan keutuhan konsensus politik baru yang mahu dibina. Jika Pakatan Harapan mampu membuktikan hal ini, itulah kenyataan terang lagi jelas bahawa cita-cita Putrajaya mereka bukan angan-angan kosong.

Comments

Popular posts from this blog

Laila dan Majnun

Telah sampai cherita bahwa pada suatu hari Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan pesuruh2nya supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanyai peri kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila dihadapannya Baginda bertanya: "Wahai Laila, kau yang kechantikanmu mashhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi!—aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau chintai dengan teguh dan jujur itu."

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun bahwa kekasihnya telah hilang tiada yang tahu kemana.

Mendengar ini Baginda menitahkan kepada pesuruh untuk menchari Majnun hingga dapat supaya dibawa dihadapannya. Pesuruh menchari dikota, dikampung, didusun hingga akhirnya diperpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir. Disitu beliau mendapat khabar bahwa ada seorang yang berdiam sebatang-kara dipadang pasir merayau merana senantiasa menzikirkan nama Laila bagai orang sudah gila.

Orang itu dibawa kehadapan Baginda Sultan yang, sambil terk…

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka…

Homosexuals and The Idea of Abnormality

Once ago, my friend and me have a little chat about stuff—if not mistaken, we gossiping a hot Math teacher from Italy, and from where it began, we start talking about gay and LGBT.

The pinnacle of it was when my friend proudly declares the gay people is abnormal.

I just sit still, silent and stunned.

I should start somewhere. Here it is, for myself, to be abnormal is to be true to oneself. And it is a kind of freedom that I longingly seek and understand, that is to be true to yourself, to who you are.

It is a freedom to be able to against the flow. It is a freedom when we do not favor the external to validate ourselves. To do this, first, we have to be abnormal, in the eye of the many.

Anyway, I don’t mean to philosophize anything here. It is just a version of abnormality that I always think and perceived before, and luckily (no pun intended), that day comes when my friend bluntly declare homosexuality is abnormal.

And, I have to revisit my thought on abnormality.

I am OK with her…