Tuesday, January 26, 2016

Kita Dipaksa Untuk Memilih dan Berpihak

Apakah ini takdir selaku seorang manusia, untuk hidup, wajib atas dirinya memilih atau berpihak? Atau lagi menyedihkan, kita memilih dan berpihak atas kehendak dan harapan masyarakat sekitaran?

Begini, seringkali kita terbaca satu untaian kata yang bertebaran dalam media sosial, bahawa 5 minit selepas kita dilahirkan di dunia ini, mereka telah menentukan untuk kita segala-galanya – nama, bangsa, agama, identiti.

Masa itu juga mereka tetapkan jantina, seksualiti, cara berpakaian, dan segala yang bersangkut paut dengannya. Bahkan, mereka menentukan juga cara kita berfikir yang bagaimana sepatutnya. Mudahnya, segala-galanya kita telah dipersiapkan.

Maka, dengan segala ketentuan itu, setiap manusia membesar dengan identiti dan personaliti yang diberikan oleh ibu bapanya, masyarakatnya dan negaranya. Tentunya di sana kehendak-kehendak dan harapan-harapan sudah dipersiapkan pada kita, untuk dituruti – seumpama sebuah manual bagaimana untuk hidup.

Membesarnya seseorang itu, kita diajar untuk memilih. Wajib memilih. Wajib berpihak.

Kumpulan mana yang perlu dianggotai, parti politik mana yang menjadi afiliasi, cara berpakaian mana yang wajib diakuri, sukan apa yang perlu diminati, ideologi mana yang harus dianuti, agama mana yang wajib diikuti, tuhan mana yang wajib disembah!

Sehingga ke lanjut usia kita, barangkali sudah jutaan banyaknya pesanan dan amaran disampaikan ke cuping telinga supaya kita memilih. How often to this very day, we’re told to choose?

Dengan memilih, maka wujudlah kumpulan-kumpulan, sektarian, mazhab-mazhab, aliran dan jenis-jenis. Ini dampak yang kita, barangkalinya, bersangka baik seolah-olah ianya semula jadi atau positif, atau sunnatullah – kata sesetengah dari mereka. Sebenarnya, tidak sama sekali.

Di sana, akan wujud gelar manusia baik dan buruk, beriman dan ingkar, bujang dan berkahwin, straight dan gay – yang hakikatnya semua gelar-gelar ini dicipta, diinovasi. Maka asosiasi begini sudah menjadi resmi dalam masyarakat, seolah-olah itulah norma yang seharusnya.

Jika mahu keluar dari spektrum ini, bagaimana?

Mana-mana manusia yang cuba keluar dari spektrum norma-norma yang ditetapkan oleh masyarakat, maka manusia itu sedang melakukan percanggahan yang sangat jelas. Akan terlihat pada sekalian pandangan manusia, bahawa manusia itu sedang melakukan proses kontradiksi dengan kumpulan yang ramai.

Menyedihkan, apabila saat kita mula menyedari hak untuk memilih, kita tidak lagi berhak ke atas hak tersebut. Kita dinafikan, bahkan dipaksa untuk menuruti norma dan kehendak masyarakat untuk memilih perkara yang mereka semua ciptakan.

Persoalannya, kenapa kita bebal menurut, seolah-olah lembu dicucuk hidung, bebas disandung tuannya ke mana sahaja, pada semua spektrum yang wujud dalam kehidupan kita, sehinggakan kita sanggup mencagarkan kebebasan kendiri, memadamkan kehendak dan rasa hati, membina tembok-tembok ilusi?

Mengapa kita membina limit dan sekatan, atau mengapa kita bebal menurut arus? Mengapa tidak berani untuk menongkahnya?

Dunia (kehidupan) ini maha luas – cukup luas sehinggakan tiada jawapan yang tuntas ditemui selain dari yang bersumberkan kitab-kitab suci, tentang mengapa kita hidup, kenapa kita mati, kenapa manusia, di mana pengakhiran, dari mana mula segalanya ini.

Persoalan-persoalan ini tidak pernah ada titik noktah.

Belum lagi kita bercakap soal pengalaman, soal naratif nafsu dan perasaan, soal sejarah, ketakutan, rasa kecewa, yang bercampur baur.

Rangkuman itu, memungkinkan kita sampai pada satu ketika, untuk berbuat sesuatu yang berbeza, dan kemudiannya saat itu juga, kita menyedari bahawa kita tiada pilihan, selain dari menuruti apa yang telah ditetapkan.

Sudah pasti persoalan-persoalan ini bukannya untuk Tuhan, ianya untuk kita. Bahkan, tidak mustahil Tuhan sedang ketawakan manusia yang sengaja mencipta tembok ilusi, yang mencipta sekatan-sekatan, pilihan-pilihan tertentu di muka bumi-Nya yang nan luas.

Dunia ini, is one crazy-ass place. Anything is possible and that’s fucking wonderful. Why go through life and limit what you can experience and what you can feel?

Tiada had. Tiada batasan.

Tetapi, terlintas sahaja frasa ini, maka ketakutan mula menyelubungi kita, bunyinya taboo, bercanggah sama sekali dengan kehendak manusia yang ramai. Mungkin juga rasa takut itu berpunca dari rasa keseorangan, apabila kita meloloskan diri dari gelar-gelar yang manusia cipta pada diri kita.

Ketakutan itu adalah realiti, menyebabkan kita mula bertanyakan siapa diri kita sebenarnya tanpa gelar-gelar, tanpa harapan dan kehendak tersebut. Tetapi, mengapa kita masih mahu kekal tertawan dalam tembok ilusi, sedangkan kita punya asa untuk mengubahnya?