Tuesday, January 12, 2016

Fikrah Yang Tulen

Tulen. Banyak kali kita mendengar kosa kata ini. Sebagai contoh, emas yang tulen. Tulen, dalam bahasa Queen Elizabeth, boleh dibawa pada terjemahan genuine atau authentic. Menurut Kamus Dewan, membawa makna tidak bercampur dengan yang lain, bukan tiruan, sejati atau asli. Seperti contoh emas sebentar tadi.

Pada hari ini, tidak kurang juga manusia mengguna pakai kosa kata tersebut pada konteks yang kurang tepat. Manusia memang begitu, gemar korupsi hatta pada sebuah kosa kata. Lihat sahajalah kosa kata tulen, banyak kali ianya digunakan secara salah dan membabi buta untuk menjustifikasikan sesuatu.

Contohnya, yang dicanang-canangkan sebagai fikrah yang tulen. Penggabungan tulen sebagai kata sifat untuk kata nama fikrah, bunyinya jelik dan tidak kena. Seolah-olah kontang falsafah. Penggabungan itu tidak cocok langsung. Fikrah pada suatu dimensi yang lain, cuba diasimilasikan sifatnya dengan tulen.

Akibatnya, apabila fikrah mula disifatkan begitu, ia bertukar menjadi suatu simbol – keadaan di mana wujudnya bentuk tertentu sama ada secara imaginatif atau bercetak pada risalah-risalah – yang gunanya untuk dianuti, dipatuhi, atas sebab fikrah tadi bersifat dengan sifat yang tulen, lantas mewajarkan asimilasi itu.

Sebenarnya, tanpa sedar, mereka yang berbuat begini sedang bermain dengan falasi. Bunyinya enak, seolah-olah ianya suatu perkhabaran yang benar. Sedangkan, apabila kita perhatikan secara menyeluruh, akan terlihat pada pandangan kita betapa kekontangan dan kelompangannya yang tidak terubat.

Manusia memang begitu – mereka gemar memberi sifat pada setiap perkara atau objek. Mereka memberi sifat pada tasbih sebagai alat untuk beribadah, lantas akhirnya demikian ramai umat Islam memandang tasbih sebagai suatu simbol kepada Islam secara tidak langsung akibat dari sifat awal yang diberikan tadi.

Manusia memberi sifat pada masjid-masjid dengan sifat suci atau mulia. Lantas, masjid dihormati lantaran sifatnya yang suci dan mulia, dan bertukar menjadi simbol kepada Islam. Biarpun masjid itu kosong tidak penuh saf saban waktu solat, atau kemarau majlis-majlis ilmu – masjid kekal suci dan mulia.

Pemahaman yang lahir dari asas begini, akan menimbulkan kekacauan pada faham falsafah dasar mengapa sesuatu wujud dan mengapa sesuatu kewujudan itu perlu. Mengapa tasbih itu wujud, dan mengapa kewujudan tasbih itu perlu. Mengapa masjid itu wujud, dan mengapa kewujudannya perlu.

Tasbih dicipta untuk memudahkan kiraan zikir. Masjid dibina untuk memudahkan orang bersolat. Itu sahaja fungsi asasnya. Kalaupun tiada tasbih, zikir wajib juga diteruskan. Kalaupun tiada masjid, solat masih wajib hukumnya. Apakah keperluan kewujudan kedua-dua objek itu sangat mendesak dan kritikal?

Tidak. Untuk berhubung dengan tuhan, manusia tidak memerlukan kedua-dua objek itu. Persoalannya, kalau demikianlah faham kita pada objek-objek tersebut, mengapa manusia menyeringai marah apabila seseorang menghina objek-objek tersebut, lantas diasosiasikan penghinaan itu pada sentimen agama?

Justeru, premis awal yang menjadikan kedua-dua objek itu sebagai simbol kepada Islam sudah nampak cacatnya di sini. Mencampakkan suatu sifat pada satu-satu perkara atau objek, tidak melayakkan ianya disembah dipuja sebagai simbol kepada agama secara langsung, apatah lagi diberi pengiktirafan rasmi untuknya.

Demikian jua akan hal yang disebut-sebut sebagai fikrah atau ideologi. Agama suatu yang sempurna. Justifikasinya, agama datang dengan sumber-sumber primer dari wahyu Tuhan yang disampaikan kepada pesuruh-Nya yang terpilih. Sebut sahaja sumber primer, maka ianya punya piawai tersendiri yang malar.

Fikrah pula berlainan sama sekali. Manusia sering menyebut fikrah Islam, sedangkan tukang penyebut tadi adalah seorang kaki rasuah. Kerana, fikrah adalah suatu acuan pemikiran yang terbina dari segala macam sumber hubungan. Kalau tiada istilah “segala macam” ini, maka yang terbina itu bukanlah sebuah fikrah.

Jadinya, apabila seseorang mengisytiharkan bahawa fikrah yang dianutinya adalah fikrah Islam dan fikrah itu tulen – pada sebab asosiasinya dengan nama Islam sambil disulami dengan beberapa kerat ayat Quran, maka dia sudah melakukan suatu kesilapan yang cukup nyata.

Mana mungkin suatu yang terbit dari pelbagai sumber itu boleh menjadi tulen dan mewakili agama – suatu yang sempurna?

Tentu sama sekali tidak.

Namun, yang menjadi permasalahan di sini adalah, berbalik kepada kes tasbih dan masjid tadi, apabila fikrah itu diberi sifat tulen atas sebab diasosiasikan dengan Islam, maka ianya menjadi simbol dan wajib dianuti. Dampaknya gilang – sesiapa yang bercanggah dengan fikrah ini, mereka di pihak yang salah.

PAS mengalami kekeliruan ini. PAS mempromosikan jargon fikrah tulen. Kerana berimankan fikrah tulen ini, maka mereka melakukan projek pembersihan PAS dari sebarang anasir yang bercanggah dengan bentuk fikrah mereka. Persoalannya, apakah tindakan mereka salah dari sudut prinsip politik?

Tidak salah, malah secara politiknya, mereka benar. Justifikasinya, kerana apa yang mereka canang-canangkan sebagai fikrah tulen itu sebenarnya tiada lain tiada bukan adalah akidah politik yang mereka imami. Jadi, mempertahankan akidah politik yang mereka percaya adalah benar tidak salah sama sekali.

Cuma yang salahnya, cubaan untuk asosiasikan fikrah yang mereka dukung pada nama Islam. Pada PAS, fikrah mereka adalah fikrah Islam. Ini adalah falasi. Islam adalah agama yang sempurna dari sebarang cacat cela, apatah lagi dibentuk dari segala yang bersumberkan kitaran sejarah, sosiologi masyarakat dan sentimen politik.

Jauh panggang dari api, untuk PAS mendabik dakwaan sebegitu. Atas sebab PAS merasakan bahawa fikrah mereka adalah yang paling suci, maka segala yang bertentangan dengannya akan dianggap sebagai lawan. Apa sahaja yang dibawa, apabila nampak sedikit berbeza, akan dilabelkan dengan segala macam gelar.

Kesan paling utama dari cubaan asosiasi gampang begini, adalah rata-rata ahli PAS percaya bahawa PAS adalah Islam, dan Islam adalah PAS. Seolah-olahnya, PAS adalah wajah Islam. Paling mengesalkan, apabila cubaan mengkritik PAS akan dibalas dengan tohmahan para pengkritik itu telah menghina Islam.

Inilah dampak yang menyakitkan, terhasil akibat falasi ini. Oleh sebab PAS sudah diangkat sebagai simbol Islam, seperti mana tasbih dan masjid tadi, maka mengkritiknya adalah suatu dosa besar, setara mengkritik agama Islam itu sendiri, yang mewajarkan segala label dan tohmahan kepada si pengkritik.

Pokoknya, apa yang mahu ditekankan, keadaan ini adalah salah sama sekali. Keadaan ini wajib diperbetulkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa terkelirunya pemahaman ahli PAS akan beza fikrah politik parti itu dan agama Islam. Mencanangkan bahawa dasar PAS adalah Islam, tidak sesekali mengabsahkan asosiasi begini.

Justeru, dakwaan PAS bahawa fikrah yang mereka anuti adalah tulen dengan maksud melengkapi segala piawai Islam, adalah tidak bertanggungjawab, tidak benar dan mengelirukan. PAS perlu bertanggungjawab pada krisis ini, memperbetulkan semula tanggapan ahli-ahlinya terhadap parti politik itu sendiri.

Bukan itu sahaja, atas nama fikrah yang tulen, mereka telah memulakan projek pembersihan di kampus-kampus. Dulunya, kampus menjadi pusat pengkaderan ahlinya yang paling utama. Figura-figura PAS yang utama sekarang adalah pimpinan sewaktu di zaman kampus. Itu antara kesan positif pengkaderan di kampus.

Kini, para figura ini kembali ke kampus dengan tujuan pembersihan fikrah ahli dari anasir asing. Dengan alasan pembersihan fikrah, mereka telah menyekat ahli-ahlinya dari mengkritik pimpinan PAS, terlibat dengan mana-mana program anjuran luar dari kerangka PAS, berbeza pendapat dan berdiri atas kaki sendiri.

Mudahnya, mereka menjalankan sebuah projek pembodohan yang selama ini, peranan itu tegar dipegang oleh UMNO. Mereka menggantikan tempat UMNO untuk melahirkan suatu generasi ahli parti yang tidak lagi boleh berfikir, mengeluarkan pandangan dan kritikal terhadap pimpinan parti.

Mereka melahirkan generasi pak angguk.

Dampak daripada jihad doktrinisasi begini, akan terlihat pada pimpinan PAS akan datang – generasi yang akan mewarisi PAS kelak dari barisan pimpinan yang sedia ada sekarang. Baik atau buruk keadaan mereka, masa akan memberitahu kita semua. Namun, adab kebiasaan, acuan yang ronyok tidak akan melahirkan kuih yang mulus.

Kesimpulannya, kempen fikrah yang tulen oleh PAS, akan disaksikan oleh kita semua kesannya tidak lama lagi. Moga usia ini dipelihara Tuhan untuk menyaksikan saat itu.