Monday, January 18, 2016

Ekosistem

Zahid Hamidi bercakap tentang kemahuannya untuk melihat anugerah Nobel sastera dimenangi oleh rakyat Malaysia dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang. Ramai yang gelakkan mimpi siang hari Zahid Hamidi. Dia bercakap seperti manusia kurang siuman.

Dia tidak fahami satu perkara – ekosistem.

Najib Razak berkali-kali bercakap tentang cita-cita Malaysia menjadi hub penyelidikan ternama. Malaysia mengetuai kajian di angkasa, Malaysia melahirkan ahli sains ternama dunia, Malaysia itu dan ini dalam hal sains teknologi. Masyarakat akademia ketawakan dia.

Dia tidak fahami satu perkara – ekosistem.

PAS bercakap soal sistem nilai dan pentadbiran. Mereka mencanangkan perubahan dalam negara, berlandaskan pada dogma-dogma yang mereka imami. Tidak cukup dengan itu, mereka memaksa masyarakat menerima dogma yang mereka anuti. Masyarakat mengerling kepelikan pada PAS.

PAS tidak fahami satu perkara – ekosistem.

Institusi pengajian tinggi di Malaysia bercakap soal ranking, soal kebolehpasaran hasil kajian, soal pengiktirafan jurnal di peringkat antarabangsa. IPTA merungut tentang kemandulan graduan yang dilahirkan saban tahun. Masyarakat luar tersenyum sinis.

IPTA tidak memahami satu perkara – ekosistem.

Banyak contoh kita boleh senaraikan, mungkin sehingga ribuan angkanya untuk menerangkan suatu keadaan di mana manusia atau sesebuah institusi boleh bercakap seumpama tidak siuman akibat mereka tidak menjejakkan kaki pada realiti sebenar.

Mereka bercakap tentang idea-idea utopia, tetapi tindak-tanduk mereka semuanya seperti mahu mewujudkan keadaan distopia.

Mungkin, dari satu sudut, kita gelarkan ini sebagai tingkah laku separa sedar.

Kita boleh menghasilkan sekumpulan ayam daging yang sihat dan menepati piawaian pasaran dengan memastikan selama 40 hari prosesnya itu, segala keperluan ekosistem setiap ekor ayam benar-benar diadaptasikan secara tuntas, tanpa kompromi, tidak kira dari sudut makanannya, minumannya, vaksinnya, atau apa sahaja yang seekor ayam perlukan.

Jika seorang penternak ayam daging bercakap tentang ayamnya yang berkualiti, dan cita-cita kuantiti pengeluarannya sekian angka setiap hari serta kira-kira untungnya yang bakal dia dapat, dan pada masa yang sama dia tidak menyediakan jumlah makanan seperti mana kehendak piawaian, penternak itu sedang bermimpi di siang bolong.

Keadaan Zahid Hamidi yang bercita-cita untuk melihat rakyat Malaysia memenangi anugerah Nobel sastera dalam keadaan ekosistem dunia sastera, penulisan dan penerbitan di Malaysia pada hari ini seperti apa yang ada pada hari ini, Zahid Hamidi sedang bermimpi di siang bolong.

Keadaan Najib Razak yang mencita-citakan itu dan ini perihal yang bersangkutan kajian maha tinggi dalam dunia sains dan teknologi – dalam pada ekosistem pengkajian saintifik di Malaysia yang serba nazak seperti hari ini, Najib Razak juga sedang bermimpi di siang bolong.

PAS yang bercita-cita mahu membawa perubahan kepada Malaysia dan memasang angan-angan untuk menakluki kerusi empuk di Putrajaya, dalam ekosistem politiknya yang sebagaimana kita semua saksikan pada hari ini, maka cita-cita PAS itu akan kekal menjadi angan-angan Mat Jenin.

IPTA pun begitu, saban hari mencanangkan tentang rangking dan kualiti graduan, dan pada masa yang sama mereka tidak berupaya menyediakan ekosistem yang sepatutnya untuk segala proses-proses itu berlaku, maka IPTA di Malaysia juga sedang bermimpi di siang bolong.

Mudah nak fahami rumus sebab-akibat mengapa keadaan sesuatu perkara kekal begitu, atau sesebuah permasalahan tidak pernah menemui jalan penyelesaiannya. Pada akhirnya, ianya berbalik pada kegagalan kita untuk memahami sekitaran ekosistem yang meliputi sesebuah permasalahan itu.

Kita berikan lagi contoh lain, supaya kelak mudah kita menanggapi akan kepentingan memahami ekosistem sesuatu perkara (dan lagi penting, supaya tidak menjadikan kita mendapat label manusia kurang siuman).

Dalam kes PPSMI, atau kini, The Dual-Language Programme (DLP), kita mudah terhibur pada hujah dangkal segolongan manusia yang berjuang mahu mengabsahkan program dwibahasa ini dengan mendakwa bahawa kemahiran berbahasa Inggeris akan meningkat dengan kita menginggeriskan subjek Sains dan Matematik.

Dan, pada masa yang sama, kita tidak pernah memperlihatkan kesungguhan untuk mempertingkatkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris dari sudut kualiti guru, bahan mengajar dan hal yang bersangkutan dengannya.

Kita bercita-cita rakyat makin meningkat kemahiran berbahasa Inggeris, tetapi kita mencampakkan segala teks Shakespeare ke dalam tong sampah daripada silibus Bahasa Inggeris di negara ini, kecuali dua tiga baris Sonnet 18!

Apakah mereka sedang berbuat lawak sekarang ini?

Tidak menghairankan, apabila Prof Teo Kok Seong menyangkal terus hujah-hujah dangkal lagi kontang falsafah para pejuang DLP dalam tulisannya yang bertajuk Sains, Matematik bukan cara tingkat kemahiran berbahasa, yang disiarkan oleh Berita Harian pada 3 Disember yang lepas.

Bercakap soal kemahiran berbahasa, tetapi tidak menyediakan ekosistem untuk kemahiran bahasa tersebut meranum dan sibuk pula menukar belitkan hal-hal yang tidak berkaitan, kerja buat ini semua adalah kerja buat orang tidak siuman – walaupun pada depan nama mereka berjudul Tan Sri Datuk Datin.

Ini contoh jelas dan lagi mudah untuk sekalian pembaca, perihal peri pentingnya kita memahami tentang ekosistem. Mengapa ia penting dan mengapa begitu kritikal sekali faktor ekosistem dalam menentukan duduk jayanya sesuatu perancangan dan juga mengapa sesuatu masalah itu timbul.

Ekosistem, tuan puan semua! Ekosistem!