Monday, January 4, 2016

Bagaimana Memulakan Tahun 2016?

Untuk hari keempat tahun 2016, saya masih belum mencoretkan barang sedikit dalam blog kecil ini. Belum bermula. Tahun yang lepas, saya mencabar diri sendiri untuk disiplin menulis paling kurang 10 tulisan pendek setiap bulan, dan alhamdulillah, nampaknya cabaran itu hampir berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Jujurnya, menulis 10 tulisan pendek setiap bulan tidak sepatutnya berada dalam senarai cabaran untuk diri sendiri. Nampak tidak mencabar, kan? Tapi biarlah, setidaknya, pada saya, kemampuan untuk menunaikan janji yang sedikit secara konsisten adalah latihan yang bagus untuk cabaran yang lebih besar (dan sukar).

Seorang kawan menegur, katanya, saya banyak menulis tentang masalah, masalah, masalah dan masalah. Dan, tragisnya kata dia, saya tidak menawarkan pilihan jalan penyelesaian. Terdiam juga saya sebenarnya (ketawa pada diri sendiri). Saya menelah, mungkin kerana saya manusia – makhluk yang hanya tahu mengeluh.

Baiklah, kawan. Kita memang sedang berdepan dengan pelbagai masalah. Dari peringkat antarabangsa, sehinggalah masalah dalam kelambu sendiri. Manusia mana yang tidak ada masalah dalam hidupnya, selain dari orang gila? Paling tidak pun, kita mengiktiraf akan wujudnya permasalahan itu.

Dan, kita tidak berada dalam denial state. Pada saya, itu salah satu aspek penting untuk dipertimbangkan dalam perbincangan ini. Ya, kita tidak boleh senantiasa berada dalam keadaan begitu. Perlu ada peningkatan. Dalam kes ini, hulurkan barang satu dua cadangan penyelesaian untuk permasalahan yang dibangkitkan.

Barulah, kita dikatakan semakin matang. Benar, dan nampaknya kematangan itu memerlukan satu perkara – penambahan ilmu. Justeru, untuk 2016, seperti tulisan sebelum ini, saya meletakkan dua cabaran peribadi iaitu pemberdayaan INSAN dan peningkatan kuantiti dan kualiti pembacaan buku.

Pemberdayaan INSAN hanya akan tercapai dengan lengkapnya disiplin pada cabaran kedua, iaitu pembacaan buku. Bagaimana untuk membaca sebuah buku secara berkualiti? Lupa pula nak ceritakan, di penghujung 2015, saya mula membaca How To Read a Book, sebuah karya popular Mortimer J. Adler.

Rasanya, semua tahu akan kewujudan buku ini, kalaupun tidak membacanya lagi. Entah di mana silapnya, sehingga ke hari ini, saya masih belum berjaya menamatkan pembacaan buku ini. Tidaklah tebal mana pun, cuma ada beberapa keadaan yang menyekat proses pembacaan benar-benar telah menyesakkan dada.

Lupakan tentang hal itu. Apa yang saya nak ceritakan, setelah membacanya sehingga ke Bahagian 2, barulah saya menyedari betapa saya telah melakukan banyak kesilapan dalam pengembaraan saya dengan buku selama ini. Benar kata orang bijak pandai, semua perkara, perlu berguru.

Membaca buku ini, adalah cara berguru dalam hal ehwal pembacaan. Makna katanya, untuk membaca pun, terutamanya membaca buku-buku genre bukan fiksyen, memerlukan suatu set kemahiran tertentu yang perlu diajar dan dilatih secara sistematik dan tersusun. Barulah, hasil pembacaan itu benar-benar berkualiti.

Apa pun, ini salah satu pengajaran berguna untuk diri sendiri. Oleh itu (untuk mereka yang mahukan saya menawarkan pilihan jalan penyelesaian untuk sesuatu masalah berbangkit), saya sangat-sangat mencadangkan anda semua bermula dengan buku Mortimer Adler ini, jika benar berazam untuk membaca secara berkualiti.

Kalau tiada aral, minggu hadapan saya berazam untuk menamatkan bacaan buku ini dan boleh berkira-kira untuk memasukkan dalam slot mingguan aktiviti bedah buku Tidak Selain Buku. Oh, ideanya nampak indah sekali. Tuhan, moga ada kekuatan untuk lakukan ini semua demi cabaran tahun ini.

Ini permulaan untuk 2016. Tunggulah, blog ini akan lebih kerap berceloteh sepanjang tahun ini, saya janji.