Sunday, October 25, 2015

Politik Payung Memayungi

Dalam bahasa Queen Elizabeth, ianya dipanggil politics of patronage. Rasanya tidaklah lari sangat makna asal jika dimajukan terjemahannya kepada politik payung memayungi. Budaya politik ini telah pun wujud ratusan tahun dulunya. Di negara Uncle Sams, budaya politik begini wujud semenjak abad ke-19 lagi.

Konsepnya mudah, mari kita buat analogi kes untuk berikan gambaran kasar. Katakan, Najib Razak (contoh kes) memenangi kerusi Presiden di sebuah negara republik dalam pilihan raya yang ala-ala demokratik. Beliau akan melantik sekalian barisan pentadbir di bawahnya dalam kalangan penyokong kuatnya.

Dan, lantikan itu berlaku tidaklah kerana merit pun, tetapi hanya bersandarkan pada tahap know-who antara Najib Razak dan para pegawai yang dilantik untuk beberapa jawatan yang tertentu. Mungkin beberapa kerusi Menteri dan Duta Besar akan diisi oleh orang-orang Najib Razak. Begitulah, lebih kurang konsepnya.

Dalam parti politik, hafl yang sama turut berlaku. Dalam mana-mana organisasi pun, termasuklah NGO turut mengalami perkara yang sama. Adakah budaya politik begini salah atau tidak beretika? Kita boleh buat kesimpulan awal, bahawa budaya politik begini banyak mengundang bala berbanding untung pada negara.

Pertamanya, budaya politik beginilah yang akhirnya melahirkan wabak kronisme dan nepotisme. Ianya bermula dengan semangat yang sama: kau tolong aku, aku tolong kau. You help me, I help you. Ianya seolah-olah wujud mutual understanding antara kedua-dua pihak – keadaan menang-menang.

Istilah bahawa tiada free lunch, boleh diguna pakai dalam situasi ini. Semua perkara yang berlaku, ada udang di sebalik batu. Politik payung memayungi ini boleh berkembang menjadi barah apabila ianya menular menjadi budaya sehingga ke akar umbi. Keadaan ini akan menjadi penyebab kepada akibat yang kedua.

Keduanya, politics of patronage akan menyebabkan berlakunya kepupusan bakat. Apabila semua perkara yang diambil kira berputar pada faktor know-who, maka celakalah masa depan sesebuah parti atau kepimpinan negara tersebut. Lagi teruk, kalau pun ada bakat di bawah payung masing-masing, bakat itu akan terpendam mati.

Kita akan bincang perkara ini satu persatu. Kita ambil contoh kes: PAS. Parti ini kehilangan begitu ramai bakat kepimpinannya akibat budaya politik begini telah menular menjadi barah dalam kalangan kepimpinan utamanya sehinggalah ke pemudanya. Apabila Presiden parti mula menjadi payung, maka lihatlah kesannya sekarang.

Tidak akan ada lagi peluang untuk pemikiran dan corak kepimpinan yang berbeza dalam parti tersebut bercambah. Nampak sahaja yang berbeza sedikit, maka akan dicantas awal-awal. Akan berlakunya projek pembunuhan karakter yang dahsyat. Semua ini berlaku, untuk menghalalkan misi payung-memayungi tadi.

Jika tiada lagi sebarang spektrum pemikiran dan kepimpinan yang berbeza bercambah biak dalam sesebuah organisasi, maka berlakulah kepupusan bakat yang merugikan. Bakat kepimpinan yang kritikal tidak akan lahir dari rahim sebegini. Apa yang lahir, adalah ribuan pencacai, pembodek dan yes men.

Boleh jadi juga, di bawah payung yang besar itu, akan lahir bakat-bakat tersendiri, namun akibat dari budaya begini, bakat-bakat tersebut akan mengalami nasib yang sama dengan situasi yang pertama tadi. Dalam budaya Melayu, satu kebiasaan yang memudahkan kita faham situasi ini ialah: berkepit di bawah ketiak emak.

Kita ambil contoh kes: Azmin Ali. Beliau antara contoh yang sungguh sayu dalam kes ini. Azmin Ali punya bakat politikus yang cukup hebat, tetapi segala bakat beliau dipayungi (dibayangi) oleh figura Anwar Ibrahim. Beliau tidak boleh terus maju, menaiki anak tangga dengan bakatnya tersendiri, akibat dari payungan tersebut.

Jika Azmin Ali dilihat lebih laju langkahnya dari si tuan payung, akan kedengaranlah segala kata nista di belakang. Atau, akan ada sahaja perkara yang dibuat semata-mata untuk memperlahankan langkahnya. Boleh jadi juga, Azmin Ali sendiri akan merasa bersalah jika dia terlebih sudu dari kuah.

Jadinya, keadaan begini akan mematikan sebuah bakat yang cukup besar, hanya akibat dari payung figura yang lebih senior. Kita mengagumi Justin Trudeau yang baru berusia 43 tahun, sudah pun memenangi kerusi Perdana Menteri di Canada. Saya fikir, beliau bernasib baik kerana mungkin tiada payung yang menghalang perjalanan politiknya.

Berbalik pada Azmin Ali tadi, cuba bayangkan kalau beliau mencabar Wan Azizah dalam pemilihan parti untuk kerusi Presiden tahun hadapan. Kita boleh bayang situasinya akan jadi bagaimana. Padahal dengan umur dan pengalamannya itu, beliau boleh mendaki anak tangga tanpa perlu lagi berpayung di bawah bayangan Anwar Ibrahim.

Tetapi, mampu atau tidak politik Malaysia menceraikan budaya ini? Saya rasa sukar, dalam jangka masa terdekat. Kita begitu terbiasa dengan budaya payung memayungi begini, sehinggakan ke peringkat organisasi makro pun, budaya ini telah menular pantas. Kecelakaan terbesar adalah, pupusnya pemikiran kritikal dan budaya intelektual.

Apabila bercakap soal politik payung memayungi ini, saya suka mengajukan contoh kes yang berlaku di Australia, apabila Malcolm Turnbull mencabar kepimpinan Tony Abbott dalam partinya, dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Australia apabila undian pemilihan parti memihak kepadanya dengan beza sepuluh undi.



Mungkin contoh ini agak idealistik atau boleh kita katakan, utopia untuk warga Malaysia. Tetapi, tontonlah video ini untuk kita faham, apa yang dimaksudkan politics of patronage menghalang kelahiran bakat kepimpinan baru dan percambahan pemikiran kritikal serta budaya intelektual dalam kalangan masyarakat.

Untuk Malaysia benar-benar maju dan progresif, pemikiran dan budaya politik payung memayungi harus disepak terajang jauh-jauh. Dan lagi penting, kita harus akui, bahawa kini adalah zaman anak muda. Politikus-politikus tua sudah boleh balik kampung tanam jagung. Ubahlah budaya ini sebelum terlambat.

Tetapi, itulah... realitinya untuk ubah budaya politik begini kerjanya adalah teramat sukar dan rencam. Mungkin, dengan memperbanyakkan lagi forum-forum awam, syarahan umum yang tidak punya afiliasi dengan mana-mana parti politik dan membudayakan pembacaan kritikal dalam masyarakat – boleh menjadi remedi kepada barah ini.

Saturday, October 24, 2015

Mana RM2.6 Bilion?

Semalam, di Parlimen Malaysia, terdapat dua hal yang hilang, yang sepatunya ditanya dengan pemula “mana”.

Pertama, sepanjangan pembentangan Belanjawan 2016, Najib Razak dengan lagak tidak bersalahnya, masih dalam delusi, apabila begitu ego untuk mengakui barang sedikit bahawa negara ini ekonominya dalam keadaan tenat.

Tenat, apabila hutang negara yang meningkat sehingga 7.7% mengatasi kenaikan KDNK sendiri yang cuma sekitar 5%.

Lagi tenat, apabila Najib Razak berpura-pura bahawa segala kekecohan disebabkan skandal 1MDB tidak memberi kesan yang signifikan terhadap ekonomi negara, pada nilai mata wang negara, pada tahap inflasi, kos sara hidup.

Boleh sahaja, Perdana Menteri terus berpura-pura, berada dalam denial, demi menyelamat his own fat-ass. Tetapi, dia secara jahatnya, telah membawa negara ini jatuh terjelepok bersekali dengannya.

Kalaulah benar tidak bersalah, mengapa takut untuk berdepan dengan pengadilan?

Jadilah anak jantan. Jangan cuma pandai bermain air liur.

Najib Razak bermegah dengan darah Bugis – berdarah pendekar katanya, walaupun hakikatnya dia tidak lain, sang pengecut.

Mengulang apa yang dinukilkan oleh rakan Facebook saya, Nik Lee, betapa di dunia ini banyak jenis pendekar. Ada yang pandai dan ada yang pandir. Jenis pandir, adalah pendekar jenis yang menyorok di belakang Pandikar.

Kedua, para ahli parlimen yang menghilangkan diri semalam, ketika pembentangan belanjawan.

Mereka ini, ingat Parlimen itu tempat makan gaji buta?

Apakah mereka ingat tidak haram gaji mereka dengan perangai ponteng kerja begitu?

Apakah mereka ingat, dengan panggilan ulama pada pundak mereka, boleh halalkan perbuatan itu?

Hina punya manusia. Kalau sudah tidak mampu untuk menanggung tanggungjawab itu, usahlah ego. Biarkan orang lain menggalasnya. Usahlah terus menerus memperalatkan Quran dan Hadis untuk menghalalkan perbuatan ponteng persidangan Parlimen.

Kamu kira, bila sudah dipanggil ulama, tak akan disentuh dosa pahala lagikah?

Dua kehilangan ini, wajib ditanya. Dan wajib kita tendang keluar spesies tidak berguna begini daripada terus menduduki kerusi-kerusi di Parlimen Malaysia. Buang masa, buang duit sahaja.

Thursday, October 22, 2015

Ironi Pejuang Bahasa Melayu

Look, these develop countries like Japan, Korea, Germany and some other more, they don’t even bother to use English as their language. They used their own language, and look where are they right now. We always rush for English, like Bahasa Melayu didn’t have what it take,” ujar seorang profesor dalam sebuah syarahan umum.

Profesor itu telah pun bersyarah dalam Bahasa Inggeris, selama lebih kurang satu jam setengah lamanya di hadapan 99% audiens yang boleh berbahasa Melayu.

Di penghujung syarahannya, profesor tersebut dengan penuh ironi dan cuai mengungkapkan kritikan di atas – perihal Malaysia yang betah berbahasa Melayu.

Kritik beliau, orang Malaysia telah mengabaikan bahasa ibundanya. Dan, beliau turut mengkritik bahawa, betapa ramai tidak sedar Bahasa Melayu adalah bahasa intelektual.

Dan, lagi utama, seolah-olah sesuatu terhijab dari pandangannya, sehinggakan dia tidak sedar betapa ironinya kenyataan dan kritikannya itu.

Pertama, sketsa di atas, adalah benar-benar terjadi, bukan rekaan semata-mata.

Kedua, betapa inilah sebenarnya batu penghalang dan faktor utama mengapa sehingga ke hari ini, persoalan mengapa Bahasa Melayu tidak berkembang dan kadar penggunaannya semakin merudum tidak pernah kunjung habis senantiasa berulang dan berulang.

Orang-orang cerdik pandai, rata-rata di Malaysia, mereka sendiri malu dan tidak selesa untuk berbahasa Melayu.

Buktinya, lihatlah bagaimana para cendekiawan ini yang kononnya memperjuangkan Bahasa Melayu, berkomunikasi saban hari baik di luar atau dalam media sosial, tentu sekali bahasa terutama mereka adalah Bahasa Inggeris.

Lihatlah status-status Facebook mereka, semuanya berbahasa Inggeris pekat. Pergilah mana-mana program syarahan umum mereka, bersembur-sembur lidah mereka berbahasa Inggeris, hatta audiens keseluruhannya itu tidak ada seorang pun asal usulnya berlidah British.

Tapi, mereka merasa bangga dengan keadaan itu. Mereka dalam delusi.

Pada masa yang sama, mereka tanpa henti dan tanpa rasa malu, mengungkap rasa sedih mengapa kita tidak menjadi seperti Jepun, atau German yang berbahasa ibunda tetapi tetap maju dan moden.

Mereka tiada alah untuk mengulang dan mengulang ironi basi ini, tanpa merasakan betapa merekalah perintis kepada penyakit itu sendiri.

Menyentuh isu ini, susah untuk tidak bersetuju dengan sindiran Zul Fikri Zamir terhadap program Citarasa Malaysia di Frankfurter Buchmesse yang dikendalikan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris, sedangkan Indonesia selamba berbahasa Indonesia pekat dalam programnya di tempat yang sama pada hari yang sama.

BACA: Wabak Penginggerisan (Englishization) Bahasa Melayu Yang Menyakitkan

Adakah salah berbahasa Inggeris?

Tidak sama sekali, bahkan itulah yang digalakkan. Bukan sekadar Bahasa Inggeris, malah mana-mana bahasa pun kita digalakkan untuk mempelajarinya.

Cuma yang salahnya, apabila kita bermain ironi seperti di atas. Kita sendiri tidak pernah cuba menunjukkan contoh terbaik mengapa perlunya berbahasa Melayu.

Ya lah, apa class berbahasa Melayu dalam status-status Facebook, atau ketika bersyarah soal kefalsafahan dan keintelektualan. Lagipun, aku profesor.

Kerana, bila berbahasa Inggeris, orang akan cakap aku ada standard, bukannya taraf profesor kekampungan. Ini semua tiada lain tiada bukan, supaya orang cakap, “Wow, power betul Prof speaking!

Monday, October 19, 2015

Tentang Melayu Holier-Than-Thou

Antara sumbangan terbesar dunia media sosial adalah terserlahnya ribuan wajah Melayu spesies holier-than-thou.

Mereka ini muncul sahaja di mana-mana tanpa di undang, membuat komentar-komentar bersifat kontang dan jelik, bodoh dan singkat akal, cetek dan tidak berperikemanusiaan.

Kesimpulan yang sempurna: sampah.

Melayu jenis begini hanyalah sampah.

Dari tulisan-tulisan komentar mereka di Facebook, kita tahu langsung bahawa mereka ini spesies tidak membaca, malah mungkin tidak pernah menyelak satu halaman buku-buku ilmiah pun sepanjangan hidup mereka.

Mereka cuma tahu, saban hari, menonton program Maharaja Lawak dan seangkatannya.

Ataupun, mereka ini, hari-hari akan dipenuhi dengan pembacaan gosip dunia hiburan.

Mereka di Facebook, amat gemar berkongsi status-status bodoh dari halaman-halaman Facebook yang juga bodoh, sesuai dengan taraf akal mereka yang singkat. Kalau pun ada status berbau agama, mereka berkongsi keratan hadis atau al-Quran secara rambang.

Golongan Melayu begini amat gemar kisah-kisah khabar angin yang berputar dalam media sosial dan menyebarkannya tanpa usul periksa, apatah lagi untuk berfikir panjang tentang benar atau tidak sesuatu itu sebelum disebarkan.

Perkara seperti halal haram roti Gardenia, gambar-gambar mangsa kemalangan adalah antara kegemaran spesies ini.

Kalaupun mereka membaca, segala bacaan mereka itu semuanya dari blog-blog sampah, atau bersumberkan dari halaman Facebook yang bertaraf seperti akal mereka juga.

Komen-komen mereka dalam media sosial, sentiasa berbaur lucah. Kita dapat mengagak, spesies begini adalah pelanggan tetap pornografi secara senyap-senyap.

Apabila ada berita kejayaan tentang Melayu dan kena pula, subjek berita tersebut tidak bertudung, maka puak Melayu holier-than-thou ini akan berkembang biak, berpusu-pusu keluar dari gua, dan masing-masing dengan segala kealiman dan ketinggian "ilmu" mereka, cuba berceramah dan bersyarah soal moral, soal agama.

Jelik!

Melayu jenis ini, haprak. Melayu jenis ini, tiada harga langsung. Cubalah cadangkan pada mereka untuk membaca sekian-sekian buku yang berguna, tentu saja spesies Melayu begini akan menggelengkan kepala, memberi seribu macam alasan. Beratlah, berfalsafah sangatlah, tak ada masa-lah.

Gampang betul Melayu begini!

Melayu begini tidak sedar bahawa mereka dalam delusi.

Mereka tidak sedar betapa jeliknya perangai mereka pada pandangan ramai. Hakikatnya, spesies Melayu holier-than-thou ini pun boleh tahan juga ramai. Mereka merasa yang mereka ini sudah cukup – baik ilmunya, pembacaannya, cara memandang dunianya. Sebab itu mereka dalam delusi.

Paling jelik, dan paling gampang, spesies begini sentiasa merasa moral dan taraf keimanan mereka jauh lebih tinggi dari yang lain-lainnya, sehinggakan dengan cuai dan mudahnya, mereka menghukum sesiapa sahaja yang tidak fit dalam pandangan sempit mereka.

Alangkah kasihannya spesies Melayu begini!

Tulisan ini emosional?

Ya, memang emosional kerana meluat dan menyampah dengan gelagat spesies holier-than-thou tidak bertempat yang tak kunjung sudah. Tulisan ini main pukul rata? Ya, memang pukul rata supaya mana-mana spesies yang ada ciri-ciri disebutkan di atas, mohon terasa dan bertaubat.

Monday, October 12, 2015

Mahathir dan SOSMA

Heboh satu Malaya apabila politikus-politikus veteran mengambil tempat dalam sidang media (mengejut) hari ini di Putrajaya. Gamat di sana sini apabila politikus yang kebanyakannya sudah berusia dalam lingkungan “rumah kata pergi, kubur kata mari” bersemangat menggembleng tenaga untuk selamatkan Malaysia.

Kononnya, untuk selamatkan Malaysia. Dengan Najib Razak yang semakin tersepit dan terdesak, Tun Mahathir melancarkan serangan terbarunya. Kita boleh saja mempersoalkan segala macam berkenaan hal-hal yang dulu, yang mereka di barisan sidang media itu berbuat semasa mereka berkuasa suatu masa dulu.

Boleh saja untuk berbuat begitu. sehari semalam pun tak akan selesai. Tetapi, dalam keadaan sekarang, persoalan-persoalan itu kita biarkan dahulu, buat sementara waktu. Bukan soal kita mempersetankan prinsip, tetapi soal sekarang, kita sudah tiada pilihan lain. Kita terpaksa memilih antara dua syaitan, mana yang kurang keiblisannya.

Punyalah teruja untuk tahu apa sebenarnya yang mereka akan bincangkan, rupa-rupanya selembar kenyataan media yang dikeluarkan hanya menyentuh soal kritikan mereka terhadap penyalahgunaan SOSMA kerana menahan individu yang ada sangkut paut kepentingan dengan agenda politik mereka. Nah, mengharap lagi!

Benda yang disebut-sebut SOSMA itu, bukan hari ini baru orang bercakap mengenainya. Dah bertahun lamanya perkara itu diulang-ulang oleh para politikus pembangkang, terutamanya pada sisi kebimbangan mereka jikalau akta tersebut disalahgunakan. Dan, ternyata benar pun, apa yang dibimbangkan itu telah terjadi sekarang.

Malang sekali, ianya terjadi pada individu yang punya sangkut paut dengan Tun Mahathir dan agendanya. Katakanlah, yang ditangkap di bawah SOSMA itu Tony Pua, tentu sama sekali haram tidak akan ada sekelumit patah perkataan pun yang keluar dari lidahnya, untuk mengutuk ketidakadilan akta zalim itu.

Dan, kita terkinja-kinja merasa teruja dengan kritikan Tun Mahathir dan rakan-rakannya terhadap akta tersebut, seumpamanya baru pertama kali wujud manusia yang berani mengkritik akta itu selama ini. Di mata rakyat terbanyak, hari ini, Tun Mahathir dan rakan-rakannya diangkat seolah-olah wira negara. Wow!

Tak mengapalah, kerana kita faham itulah politik. Dalam dunia politik, tidak perlu lagi kita berkhutbah soal etika dan moral. Apa yang perlu, adalah pengakhirannya yang bagaimana. Mengambil semangat itu, jadi tidaklah perlu kita panjangkan segala cerita ironi Tun Mahathir dan rakan-rakannya itu – untuk sementara waktu.

Dan, apabila kita perhatikan bagaimana Tun Mahathir menyusun strateginya, kita boleh mengagak bahawa kehebohan hari ini hanyalah isyarat awal kepada Najib sahaja. Seolah-olahnya mahu memberitahu pada Najib: something big is coming on the way. Tidak logik, hanya untuk mengkritik SOSMA, Ku Li pun nak diseret sama.

Dan, kalau sekadar nak bercakap tentang SOSMA, tidak berbaloi dengan deretan Tan Sri dan Tun diheret sama. Sudah tentulah apa yang berlaku hari ini cuma gertakan sahaja. Tun Mahathir nak lihat bagaimana Najib Razak memberi respons, dan dari situ kita yakin, Tun Mahathir akan mengatur jurus utamanya.

Tak percaya? Tunggulah wahai rakyat Malaysia. Apa yang penting sekarang, tiada lain tiada bukan, Najib Razab wajib digulingkan. Kalau tidak, Malaysia akan terus merana dan menjadi bahan gelak ketawa seantero dunia. Lagi teruk, jika berlarutan, kemelaratan ekonomi dan sosial negara kita akan tiba di point of no return.

Nauzubillah.

Saturday, October 10, 2015

Homo naledi Mencari Manusia Trans

Akhirnya, rangka mumia Homo naledi ditemui, jauh terperosok dalam Gua Raising Star di tanah Afrika. Hampir sempurna. Dari situ, saintis melukis gambaran wajahnya. Dan, kita semua akhirnya tahu, bagaimana rupanya wajah nenek moyang kita dahulunya. Dalam perkiraan masa, mereka tinggal di bumi kira-kira 3 juta tahun yang dulunya lagi.

Manusia moden sekarang, dari kelompok Homo sapiens. Sebelum itu, bermula dari Homo habilis, ke Homo naledi, seterusnya ke Homo erectus dan akhirnya, Homo neanderthalensis sebelum ianya berevolusi ke Homo sapiens. Apa yang menariknya adalah, kesemua rantaian evolusi ini tidak berlaku secara berturutan, tetapi bercampur baur.

Setidak-tidaknya, itulah apa yang dipersetujui oleh beberapa orang profesor dalam sebuah artikel terbitan Hopes and Fears. Kata mereka, Homo sapiens hidup sezaman dengan lain-lain spesies hominid, apabila mereka mendapati wujudnya sekurang-kurangnya 2.5% - 3% DNA Neanderthal dalam badan manusia moden sekarang.

Jadi, antara kelompok homonid ini, mereka berhubungan dan saling membiak (melakukan seks) dan berkembang. Jadi, di mana absahnya premis rasa bangga pada keturunan, warna kulit dan etnik masing-masing, kalaulah semua nenek moyang kita dulunya adalah saling berhubungan, dan berevolusi dari titik yang sama jua?

Penemuan ini, mencetuskan tanda tanya yang banyak terutamanya pada golongan Creationist, iaitu mereka dari kelompok agamawan sama ada ianya Katolik mahupun Islam, yang beriman bahawa manusia itu asal mulanya dari Adam dan Hawa. Dan juga, penemuan ini seolah-olahnya membenarkan tesis Charles Darwin mengenai Teori Evolusi.

Saya secara peribadi, tidak menolak teori ini. Saya yakin bahawa, manusia moden pada hari ini berevolusi dari suatu titik tertentu sebelum turunnya Adam dan Hawa lagi. Cumanya, beza makhluk yang digelar manusia dalam Quran adalah mereka yang punya akal dan bahasa komunikasi, berbanding hominid lainnya yang tidak punya ini semua.

Kemudiannya, keturunan Adam dan Hawa berkembang dan mula berintegrasi dengan hominid lain yang wujud. Proses integrasi inilah yang menjadikan manusia selepas Adam berupaya membina tamadun dan teknologi, berbanding sebelum Adam, tiada catatan mengenai ketamadunan yang terbina, atau teknologi canggih yang tercipta.

Malah, sebenarnya bukan Darwin pun yang mencadangkan bahawa manusia berasal dari kera. Beliau hanya mencadangkan bahawa, manusia berkembang hasil evolusi, bukan tiba-tiba wujud ada. Hujahnya secara saintifik terbukti benar. Sarjana Islam antaranya Ibnu Khaldun sendiri percaya bahawa manusia berevolusi dari kera.

Tetapi, persoalan yang lagi menarik, apa lagi selepas ini? Adakah manusia akan terus berevolusi? Kita tidak dapat mengelak dari bersetuju untuk merasa begitu. Manusia akan terus berevolusi, dan akan lahirnya generasi baru yang lebih lasak untuk mendepani dan mengadaptasi keadaan sekitaran dan segala perubahan alam.

Kini, dengan kemajuan teknologi dan kebangkitan era artificial intelligence, kemungkinan itu tidak menjadi mustahil lagi. Bahkan, jika mengikut logik sistem, maka ianya akan berlaku jua. Cuma lambat atau cepat, semuanya bergantung pada tahap kemajuan dan keupayaan manusia untuk mengadaptasi perubahan dan kehendak sekitaran.

Kita sedar bahawa kini, makin rancak gerakan yang mempopularkan istilah manusia trans (transhuman). Mereka adalah golongan yang begitu optimis bahawa, untuk makhluk manusia terus bertahan dan tidak pupus, makanya perubahan ke arah itu adalah tidak dapat dielakkan lagi. Jika Homo naledi mendengar perkhabaran ini, tentu dia tidak percaya.

Walaupun ramai tokoh-tokoh utama dalam dunia teknologi seumpamanya Bill Gates dan Elon Musk, yang begitu tidak bersetuju dengan artificial intelligence atas alasan teknologi itu akan membawa kepada kehancuran masa depan manusia, tetapi Mark Zuckerberg dalam soal-jawab Townhall yang terbaru, begitu optimis dengan teknologi ini.

Semua ini, dapat disimpulkan dalam satu terma iaitu singularity. Asal mulanya, idea singularity oleh Raymond Kurzweil mendapat sambutan ramai, tetapi tidak semuanya mampu menerima ramalan-ramalan bahawa apabila bermulanya era itu, manusia kemungkinan sudah tidak lagi wujud. Cuma yang tinggal, adalah hominid pasca-manusia.

Mungkinlah pada satu sudut, kebimbangan ini ada asasnya namun saya tidak dapat tidak, merasa kagum pada sikap optimis Zuck apabila beliau yakin bahawa manusia tidak pupus, tetapi manusia akan mengalami proses adaptasi dengan berjaya, sebagaimana hominid sebelum-sebelum ini juga berjaya melakukan proses adaptasi tersebut.

Jadi, kita akan ke mana? Untuk terus mandiri, manusia wajib menerima hakikat bahawa kita perlu terus berevolusi dan adaptasi dengan keadaan alam yang semakin rencam. Alam sekitar semakin tercemar, lapisan ozon semakin tipis, pelbagai penyakit-penyakit baru timbul, yang 50 tahun dulunya tidak pernah kedengaran tentangnya.

Dan lagi membimbangkan, adalah populasi manusia semakin meningkat dengan pantas. Hari ini penduduk bumi sudah mencecah seramai 7 bilion. Populasi manusia sifatnya eksponen, tidak aritmetik. Peningkatannya berganda saban tahun dengan pantas. Persoalannya, mampu atau tidak bumi dengan sumbernya yang terhad menghadapi angka populasi ini?

Thomas Robert Malthus nampaknya tidak bersetuju dengan orang yang optimis dalam keadaan sekarang. Beliau mencadangkan Teori Populasi Malthusian bagi membuktikan bahawa akan tiba saat kemusnahan dunia, jikalau angka populasi tidak dikawal, dan pada masa yang sama, sumber penghasilan makanan sudah tidak lagi mampu menampung angka tersebut.

Saat itu, literalnya, kita boleh gelarkan ia sebagai Hari Kiamat. Jadi, jika mengikut sistem, dengan kita terus membenarkan proses evolusi ini berterusan, dengan membawa maksud membenarkan era manusia trans berlaku, makanya kemungkinan apa yang diramalkan oleh Mathus tidak akan berlaku (dan Kiamat juga tidak berlaku).

Semasa Homo naledi berhubungan secara seksual dengan Homo Neanderthal, besar kemungkinan dia tidak pernah terfikir bahawa akan tiba suatu masa nanti, keturunannya terpaksa membuat keputusan sama ada untuk terus berevolusi, atau menerima sahaja nasib dan ketentuan alam, bahawa masa mereka di bumi akan berakhir jua.

Kita boleh, dengan secara mudah dan simplistic, menjawab persoalan-persoalan di atas dengan jawapan begini, “Semua ini sudah ditakdirkan Allāh. Siapa kita nak melawan janji-janji Allāh?” atau kita boleh memilih untuk menjadikan persoalan-persoalan itu sebagai sebab untuk terus mencari makna-makna kehidupan yang hakiki.

Wednesday, October 7, 2015

Belajar Bersikap

Banyak cakap-cakap dalam media sosial yang menyindir kewujudan ribuan “profesor segera” pasca persetujuan kerjasama Trans-Pacific Partnership (TPP) di Atlanta, dan kebanyakan cakap-cakap sindiran begitu datangnya dari mereka yang so-called experts dalam bidang-bidang tertentu. Kita boleh belajar banyak perkara dari isu ini, sesungguhnya.

Pertama, mereka yang cuba-cuba memberi komen atau menyampaikan pandangan sendiri dalam isu TPPA adalah, pada saya mereka cuba bersikap dalam isu ini. Fundamentalnya, tidak salah sama sekali. Bersikap pada satu-satu isu, atau krisis, adalah hal yang diperlukan terutamanya pada kita yang berada dalam sebuah masyarakat demokratik.

Berdiri atas pagar, atau cuba bersikap neutral, berdiam diri dan tidak proaktif adalah lebih memalukan. Dante menulis dalam karyanya The Divine Comedy, “Sesungguhnya pantat neraka yang paling dalam disediakan khas buat mereka yang kekal dengan sikap neutral mereka ketika berada pada zaman krisis moral.”

Bersikap, adalah untuk mengelak kita menjadi batu bata yang sejuk sepi. Menyatakan sikap dan berpihak adalah absah dan sangat wajar, malah dituntut pun! Cuma, saya yakin juga sindiran mereka perihal “profesor segera” itu tidaklah salah sepenuhnya, bahkan kita boleh mengambil satu dua pengajaran dari sudut itu.

Untuk mengatakan sikap, atau bersikap dalam satu-satu perkara, hal yang pertama-tamanya kita perlu pastikan adalah kefahaman tentang hal tersebut. Kita menyatakan sikap terhadap perhimpunan Bersih 4 dengan bersetuju dengannya, bukan kerana sentimen atau emosi semata-mata. Kita bersetuju, kerana kita faham mengapa kita bersetuju.

Malang sekali, wujud pula penyakit bandwagon dalam masyarakat kita terutamanya dalam zaman media sosial yang menjadi punca utama penyebaran maklumat. Bandwagon bermaksud, pandangan atau sentimen seseorang dibentuk oleh sentimen masyarakat terbanyak, atau sesuatu kelompok yang paling popular. Ini suatu penyakit yang sangat berbahaya.

Bandwagon menyebabkan masyarakat tidak lagi berfikir. Fungsi akal tidak lagi menjadi keutamaan dalam pertimbangan rasional. Apabila ramai menyebut tentang bahayanya isu pemanasan global, maka kita pun tanpa berfikir panjang, dan tidak melakukan sedikit pun pembacaan mengenainya, terus kita bersetuju dengan sentimen yang sama.

Begitu jua dalam isu TPPA, apabila sekalian ramai manusia bercakap mengenai bahaya akan perjanjian itu, betapa kedaulatan Malaysia akan tergadai, bahawa hak-hak Bumiputra akan terancam, bahawa alam sekitar akan hancur, bahawa akan berlakunya neokolonialisme, bahawa akan berlaku bahaya itu dan ini lagi, tanpa banyak soal, kita pun terus bersetuju sama.

Padahal, satu artikel perihal TPPA pun kita tak pernah baca, satu tulisan akademik tentang TPPA pun kita tak pernah hadam, satu wacana perihal TPPA pun tidak pernah kita hadir, apatah lagi untuk kita buat cross-checked dengan mana-mana sumber yang positif terhadap TPPA, lagi-lagi tentunya kita tidak buat sama sekali.

Ini masalah kita sebenarnya. Menyatakan sikap tidak salah, malah itulah yang dituntut. Tetapi, bersikap membuta tuli juga tidak cerdik, malah akan mengundang lagi banyak kecelakaan dari kebaikan. Jadinya, sindiran tentang “profesor segera” itu tidaklah salah sepenuhnya, cuma kadang-kala ianya menjadi sebab ramai yang takut untuk menyatakan pandangan mereka.

Justeru, bagaimana kita nak seimbangkan perkara ini? Saya yakin, jawapan paling sesuai adalah, bersikap perlu hadir bersekali dengan rasa tanggungjawab. Bersikap bukan cara untuk meluahkan emosi, tetapi untuk menyatakan pandangan. Untuk melakukan ini, perkara pertama yang perlu kita berbuat, adalah mendapat kefahaman tentang sesuatu isu.

Bagaimana? Mudah, baca dan baca dan terus membuat pembacaan. Cari sumber-sumber yang kritikal tentang isu tertentu, baca dari sumber yang berautoriti, baca dari sumber-sumber yang berlawanan dengan pandangan arus perdana, buat semakan silang fakta dan pandangan-pandangan yang wujud, dan binalah perspektif sendiri dari semua itu.

Moga dengan berbuat begitu, kita terselamat dari dihumban ke pantat neraka paling dalam kerana tidak bersikap dalam hal-hal yang wajib kita mengatakan sikap, dan kita tidak juga terjerumus dalam penyakit “profesor segera” atau lagi teruk, kita menjadi golongan pseudo dalam semua perkara yang tidak sepatutnya.

Tuesday, October 6, 2015

Menjunjung Keluhuran Perlembagaan

Dalam Bahagian 1 Artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, telah tertulis begini secara jelas, “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.”

Inilah yang menjadi petanda untuk kita memahami tentang apa yang dimaksudkan bahawa perlembagaan ini adalah suatu klausa yang luhur dan supreme mengatasi segala lingkup dan cakup undang-undang lainnya yang pernah wujud atau akan diwujudkan di mana-mana sahaja dalam wilayah Persekutuan Malaysia.

Demi keluhuran perlembagaanlah, Prof Azmi Sharom akan mendepani barisan juri yang akan menghakimi beliau di bawah tuduhan Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan ini, “You don’t want a repeat of that, where a secret meeting took place... I think what happened in Perak was legally wrong. The best thing to do is do it as legally and transparently as possible.

Pada Azmi Sharom, sebelum Perlembagaan Persekutuan mampu menjaga hak rakyat, beliau terlebih dahulu perlu berjuang melindungi keluhuran Perlembagaan itu sendiri. Beliau mengambil keputusan untuk melawan semula, demi membuktikan bahawa Akta Hasutan1948 itu benar bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah sama sekali.

Moga kebenaran berpihak kepada Prof Azmi Sharom, kerana kemenangan beliau tidak menjadi kemenangan peribadinya sahaja, bahkan menjadi kemenangan buat seluruh pencinta keadilan di bumi bertuah ini. Kemenangan ini juga, akan menggugurkan kesemua tuduhan yang telah dibuat di bawah Akta Hasutan sebelum-sebelum ini.

Semenjak sekolah rendah lagi, kita dipaksa mengingati dan mengulang Rukun Negara, termasuklah yang terakhir perihal Keluhuran Perlembagaan. Untuk memaksudkan apa yang diucapkan saban minggu itu, hari ini Azmi Sharom akan berdiri di kandang pesalah mencabar keabsahan Akta Hasutan 1948.

KEMASKINI: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948 adalah sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.(Malaysiakini, 6 Oktober 2015)

Sunday, October 4, 2015

Wayang Geopolitik

Gara-gara tragedi MH370, bersambung pula dengan MH17 dan kemudiannya hangat dengan skandal 1MDB, istilah geopolitik makin mendapat tempat dalam kasus perbincangan awam sehinggakan ianya mula disebut-sebut dalam banyak wacana, tulisan-tulisan media malah dalam sembang-sembang kedai kopi pun menyebut tentang geopolitik!

Secara mudahnya, kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa perbincangan mengenai topik geopolitik tidak lagi asing sepenuhya dalam kalangan masyarakat Malaysia, bahkan jika kita melihat unjuran dari isu Israel-Palestine sendiri, kita sudah dapat mengagak bahawa rakyat negara ini tidaklah terlalu naif dalam bab hubungan bilateral dan antarabangsa.

Dalam seminggu dua ini, dunia seolah-olah tertumpu terhadap 70th United Nations General Assembly yang sedang bersidang di New York. Siri kali ini juga saya pertama kalinya mengikuti perkembangannya hampir setiap hari memandangkan betapa persidangan kali ini amat penting untuk kita membina beberapa antisipasi pada masa depan hubungan antarabangsa.

Memang terasa begitu naif dan kecil sekali, apabila saya cuba membuat beberapa renungan mengenai konteks hubungan antarabangsa yang rata-rata semenjak dulunya lagi dibentuk oleh faktor geografi dan akhirnya ini menjadi punca mengapa geopolitik menjadi faktor terpenting dalam menentukan duduk letak sesebuah keamanan dan kestabilan politik sesebuah kerajaan.

Dalam siri kali ini, dunia dilatari perang dingin antara Amerika dan Russia dalam isu menangani konflik di Syria. Obama dan Putin berbalas komentar. Media mencipta spekulasi. Dunia lainnya mula bergoyangan untuk berkira-kira ke mana mereka mahu berpihak. Beberapa hari selepas ucapan Putin di New York, Kremlin memulakan operasi ketenteraanya di Syria.

Tanggal 14 September 2015, 136 dari 193 buah negara keahlian PBB telah pun membuang undi pengintirafan sebagai sebuah negara terhadap Palestine. Mungkin tarikh 30 September akan dikenang ramai rakyatnya kerana pada hari tersebut bendera Palestine telah dikibarkan di bangunan PBB. Tetapi, cukupkah hanya dengan sekadar pengiktirafan begitu?

Netanyahu kelihatan cukup marah terhadap Amerika kerana sanggup mengadakan perjanjian nuklear bersama Iran, sambil membuat gimik “ucapan bisu” selama 44 saat di pentas PBB. Dalam temubualnya dengan FOX News, Netanyahu tidak segan untuk bertanya, “How can you move forward to peace if you don’t fight terror, if you don’t renounce terror?

Begitu juga dengan Korea Utara, China dan lain-lain negara yang menjadi ahli dalam persidangan itu, ternyata masing-masing punya gelagat dalam menyadurkan rasa tidak puas hati, kebimbangan, ajakan kepada sokongan dan paling penting, betapa masing-masing mahu menjadikan pentas PBB sebagai pentas tunjuk kuasa dan pengaruh.

Melihat ini semua, saya kuat merasakan bahawa banyak hal dalam dewan persidangan itu hanyalah wayang sahaja, dan drama-drama begini berterusan saban tahun dalam skrip yang hampir serupa. Saban tahun juga, jujutan resolusi akan dikeluarkan oleh PBB. Saban tahun juga, makin ramai manusia hilang nyawa dan tanah air.

Masing-masing dalam dewan itu ada kepentingan politik tersendiri, dan mereka datang bersama-sama agenda mereka masing-masing. Begitu jua dalam kes TPPA, itu adalah kerja Amerika dalam memperkukuhkan pengaruh geopolitiknya dan pada masa yang sama, menyekat kebangkitan China dari menguasai sektor utama ekonomi dunia.

Cumanya, dari semua drama di dewan New York itu, saya kelu dan tidak tahu bagaimana nak membaca dan membina antisipasi mengenai konteks hubungan antarabangsa dalam sama-masa mendatang. Tidak mustahil, semua yang berlaku dalam persidangan kali ini akan menjadi pemangkin kepada meletusnya Perang Dunia Ke-3, siapa boleh sangka?

Sebenarnya, apa yang membuatkan saya ligat berfikir tentang perkara ini, adalah mengenai kita – Malaysia. Kita dimana sebenarnya? Bagaimana posisi Malaysia dalam percaturan politik dunia? Saya terbayangkan Najib Razak yang kepalanya berserabut dengan segala macam skandal, pada masa yang sama terpaksa duduk menyaksikan segala permainan ini.

Sudah pastilah ini bukan suatu kerja mudah buat Najib. Bagaimana kita bersikap dalam banyak konflik di luar negara? Bagaimana sikap negara ini dalam isu keselamatan dan keamanan terutamanya perihal ISIS dan juga kerjasama nuklear Iran-Amerika? Bagaimana sikap malaysia terhadap kewartaan negara Palestine?

Dan, kita sangat maklum bahawa Malaysia di mata Amerika adalah negara yang cukup penting. Kerjasama TPP tanpa Malaysia, seumpama padi tanpa beras – yang tinggal cuma sekam yang tidak berguna. Malaysia ada hubungan kerjasama nuklear bersama Russia (dalam proses), dan pada masa yang sama, bilateral kita dengan China kelihatan agak kukuh.

Menariknya, ketiga-tiga negara ini – Amerika, Russia, China – berseteru. Jadi, kita sebenarnya dimana? Saya menonton wayang geopolitik ini sambil membayangkan saya berada di kerusi yang diduduki oleh Najib Razak sekarang dalam Dewan Persidangan PBB di Manhattan, New York. Ralatnya, saya tidak mempunyai barang sedikit pun popcorn sekarang untuk dikunyah.

Friday, October 2, 2015

Pengalaman Dipatuk Ular

Ianya suatu pengalaman baru yang tidak manis. Taubat kawan, biarlah sekali sahaja kena seumur hidup. Nasib baik semalam ular yang mematuk itu cumalah ular yang biasa-biasa sahaja. Begitu pun, sakitnya bukan kepalang. Tak boleh tidur sehinggakan terpaksa meminta doktor untuk menambah dos ubat tahan sakit sebanyak dua kali.

Ketika itu keadaan gelap sekitar jam 10 malam – jalan pintas antara Fakulti Kejuruteraan dan kolej kediaman di UKM. Mungkin faktor hujan menyebabkan makhluk berbisa itu happens to be there waktu tersebut. Tersentak, saya berlari terus ke kawasan terang dengan harapan, ada orang yang boleh diminta tolong.

Masa itu apa yang saya fikir, kalaulah hendaknya ditakdirkan saya pengsan, biarlah pengsan di tempat orang ramai. Buatnya terguling kaku di tengah-tengah laluan bertangga gelap itu, entah apa yang akan jadi kelak. Tibanya di kolej, kesan bisa makin menjadi-jadi. Kaki mula kebas sehingga ke lutut. Beberapa rakan saya mula hubungi untuk minta tolong.

Mulanya, ke Poliklinik UKM Kesihatan di Seksyen 15, Bangi. Mereka tidak menerima pesakit dan mencadangkan saya terus rujuk Hospital Pakar An-Nur di Seksyen 9 ataupun Hospital Serdang. Memikirkan pilihan pertama itu lebih dekat, maka saya terus berkejar ke sana. Malangnya, sepertinya Poliklinik UKM, mereka juga tidak menerima kes patukan ular.

Terus berkejar ke Hospital Serdang, dan alhamdulillah saya dimasukkan ke Bahagian Kecemasan untuk rawatan lanjut. Hasilnya, doktor membuat keputusan untuk menahan saya di wad bagi proses pemerhatian rapi kerana pilihan untuk menyuntik antivenom adalah pilihan terakhir dalam prosedur rawatan kes sebegini.

Pertamanya, menurut doktor, mereka tidak dapat mengenal pasti jenis ular yang mematuk. Dos antivenom yang disuntik adalah mengikut jenis ular dan keadaan pesakit, sementelah memandangkan saya tidak mampu mengenalpasti jenis ular tersebut, makanya pilihan untuk tidak menyuntik antivenom terpaksa diambil.

Antara lain disebabkan suntikan antivenom yang tidak tepat akan menyebabkan berlakunya beberapa kesan sampingan seperti alahan. Untuk mengelakkan keadaan tersebut, doktor membuat keputusan untuk menahan saya di wad bagi proses pemerhatian rapi dari semasa ke semasa. Akibatnya, saya terlantar di wad kecemasan selama 12 jam.

Selama 12 jam, enam kali darah saya diambil setiap 2 jam untuk ujian darah. Tiga kali ujian air kencing dijalankan. Dua botol air telah dimasukkan ke dalam badan. Dan dari semasa ke semasa, tekanan darah dan kadar degupan jantung diambil oleh pegawai perubatan. Semunya dibuat sebagai langkah pemerhatian secara rapi.

Alhamdulillah, lebih kurang jam 11 pagi hari ini, setelah tiadanya tanda-tanda konsisten seperti gusi berdarah, kekejangan otot dan muntah-muntah berlaku, saya disahkan doktor bahawa bisa ular tidak merebak dan dibenarkan keluar dari wad. Semuanya dipermudahkan Tuhan. Bila terkenangkan cemasnya saat awal kejadian itu, saya hanya mampu menarik nafas lega.

Pulang ke makmal, pegawai sains, Encik Azman datang menemui saya. Beliau antara orang yang menghubungi saya ketika di wad apabila berita ini sampai kepada mereka. Beliau pantas bertindak membuat laporan berkenaan lampu jalan di laluan bertangga belakang Kolej Pendeta Za’ba tidak berfungsi, yang menjadi antara punca kecelakaan begini berlaku.

Mujurlah umur ini masih dipelihara Tuhan. Mujurlah masih ada peluang untuk terus bernafas sehingga ke saat ini. Benarlah, tiada apa daya yang tinggal pada kita, melainkan semuanya itu mengikut kehendak dan aturan Tuhan jua. Saya optimis, kecelakaan semalam, adalah suatu kebaikan yang masih belum saya temui lagi, In shāʾ Allāh.