Wednesday, September 30, 2015

Penjara Syurga Neraka

Ramai manusia di dunia ini, untuk berbuat sesuatu akan kembali merujuk pada kitab suci sama ada ianya Quran, Injil, kitab-kitab Hindu, hadis-hadis dan segala seangkatannya. Mereka banyak merujuk pada perkara-perkara yang melibatkan amaran dan larangan, sebagai contohnya, tidak boleh mencuri kerana hukuman selepas mati adalah ke neraka.

Jadinya, segala pengamalan agama atau sesuatu kepercayaan rohani itu, tidak lebih dari sekadar menjadi sebuah program yang mengatur kehidupan mereka, sehinggakan sesuatu kepercayaan pada kitab-kitab suci ini secara tidak sedar menjadi penjara buat hati nurani dan rasa manusiawi mereka sendiri. Mereka seolah-olahnya menjadi robot, tidak perlu berfikir – hanya menurut arahan.

Mereka akan kebimbangan apabila ada kitab suci ini yang menyatakan perihal bahaya akan sesuatu perkara, sebagai contoh dalam sebuah hadis, secara mafhumnya, mengeluarkan amaran pada sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin, bahawa sebelah kaki mereka di neraka dan sebelah yang lainnya itu sudah di neraka. Rasa percaya pada hadis ini menyebabkan rasa bimbang datang tanpa di undang.

Jadinya, timbul satu persoalan, tentang mengapa kita gemar memenjarakan rasa manusiawi yang telah dianugerahkan Tuhan sehinggakan untuk berbuat atau bersikap pada sesuatu, pun sangat-sangat memerlukan suatu bentuk kebenaran atau peduli pada persoalan syurga neraka sementelah kita sudah pun pasti bahawa apa yang kita berbuat itu pengakhirannya adalah kebaikan jua?

Tidakkah dengan tujuan akhir untuk mencapai kebaikan pada setiap tindak dan tanduk kita itu, sudah mencukupi untuk kita berbuat sesuatu dan bersikap pada hal tertentu dengan betul dan penuh amanah, tanpa perlunya peduli barang sedikit pada mana-mana amaran dan gertakan soal syurga neraka. Mengapa kita memilih untuk mematikan hati nurani yang sedia wujud dalam diri setiap kita ini?

Dan, akhirnya kita melihat gertakan-gertakan seputar syurga neraka ini tidak ubah seumpama sebuah penjara pada hati nurani manusia, dan telah menukarkan seseorang itu tidak lebih dari menjadi hamba pada ajaran kitab suci tanpa perlunya lagi fungsi akal dan hati nurani, serta kasih manusiawi untuk berbuat sesuatu yang baik, atau untuk tidak berbuat sesuatu yang jahat.

Jadi, apa maknanya lagi kita menjadi manusia, kalau terus kita terpenjara begini?

Tuesday, September 29, 2015

Perempuan Gila

Pada tahun 1977, Robyn Davidson telah berkelana berjalan kaki bersama-sama 4 ekor unta dan seekor anjing sejauh 1700 batu merentasi padang pasir Australia bermula dari Alice Springs menuju ke bahagian barat Australia, berakhir di pergigian pantai Lautan India. Berseorangan, cuma bertemankan unta dan anjing, pengembaraan itu memakan masa 9 bulan lamanya.

18 tahun kemudiannya itu, pada tahun 1995, Cheryl Strayed pula berjalan kaki mengembara sejauh 1100 batu merentasi Pacific Crest Trail, bermula dari Gurun Mojave, California dan berakhir 94 hari kemudiannya di Bridge of the Gods, Washington. Sebegitu Robyn, Cheryl juga berseorangan, bezanya Cheryl cuma bertemankan beg sandangnya sahaja. Seorang diri!

Robyn dan Cheryl, hanya satu frasa yang tepat untuk memaksudkan mereka: perempuan gila. Kedua-dua wanita ini gila, dalam erti kata yang positif. Gila bukan pada konotasi kesihatan mental, tapi pada keberanian dan badass mereka yang melampaui segalanya. Seorang diri, ribuan batu jauhnya, merentasi hutan belantara dan padang pasir yang serba panas, apa lagi definisi wajar untuk mereka?

Jika mahu mencari yang lebih badass dari mereka berdua ini, mungkin nama Ella Maillart paling sesuai. Tapi, ini bukan pertandingan siapa paling gila. Ianya perihal keberanian, keazaman, rasa kehilangan yang bertukar menjadi pemangkin kepada segalanya. Mereka ini menjadi contoh bahawa hanya dengan menjadi gila, barulah arang yang digenggam boleh bertukar menjadi abu.

Kisah Robyn dan Cheryl menyebabkan aku kemaluan pada diri sendiri. Malu, kerana menjadi penakut. Malu, kerana tidak kuat mendepani impian. Malu, kerana begitu kerap berputus asa. Malu, bila memikirkan aku ini lelaki, tetapi untuk bermimpi melakukan hal yang serupa seperti mana mereka berbuat pun aku sudah ketakutan. Belum lagi benar-benar melakukan hal yang serupa.

Perempuan gila begini seumpama manikam dalam timbunan kaca. Untuk menjumpai mereka, kau terlebih dulu perlu menjadi sang jauhari. Manakan tidak, dalam ribuan perempuan yang kau jumpa sepanjang hayat engkau sehingga ke hari ini, berapa kerat sangatlah yang benar gila seperti mereka berdua. Justeru, aku fikir, perempuan beginilah yang patut dicari sebagai calon bini.

Kepada perempuan bernama Ulfa Nusaybah yang telah datang ke dunia fana ini tanggal 20 September lalu, aku mendoakan kamu membesar menjadi perempuan yang gila begini. Kamu cukup berharga, tidak mudah ketemu di tepian jalanan. Hadirnya kamu, tidak seperti yang lain-lain itu. Kamu berbeza, dan kamu tiada lain tiada bukan, adalah manikam dalam timbunan kaca.

Moga hidup kamu, wahai Ulfa Nusaybah, ke hadapan itu, kekal senantiasa dalam segala restu alam dan rahmat Tuhan yang Esa.

Sunday, September 20, 2015

Politik Kelompok Yang Terpinggir

Semalam, berkesempatan berbual panjang dengan beberapa orang penggerak utama Pemuda AMANAH. Antara soalan yang saya bertanya (atas rasa ingin tahu), adalah perihal manakah kelompok masyarakat yang menjadi tumpuan utama kepada AMANAH musim ini, sementelah memikirkan betapa hijaunya usia parti itu dalam landskap politik negara.

Jawab mereka, sasaran terhadap kelompok non-partisan pada waktu ini. Makna katanya, kelompok yang meragui kemampuan dan kejujuran PAS, dan pada masa yang sama tidak sesekali mengundi UMNO dan Barisan Nasional. Makanya, kelompok ini digelar sebagas non-partisan dan itulah kelompok masyarakat sasaran AMANAH yang terutama musim ini.

Apakah pilihan kelompok sasaran itu salah? Tidak, secara teknikalnya. Kerana, saya melihat itu sebagai strategi politik AMANAH. Parti bongsu ini perlu menginsafi perihal kelemahan mereka dari sudut kekuatan sokongan akar umbi. Biarpun pada pelancarannya nampak kehadiran di luar jangka, dan sambutan keahlian yang juga luar biasa, tapi itu bukan realiti sebenarnya.

Ya, memang keahliannya meningkat secara pantas. Juga, ya, AMANAH punya sokongan secara tidak langsung dari dua parti Pakatan Rakyat, terutamanya dalam kalangan penyokong-penyokong mereka. Mungkin dibantu oleh sentimen untuk menumbangkan UMNO dan desakan keperluan pada mewujudkan koalisi politik yang baru.

Tapi, untuk bergerak secara mapan, AMANAH memerlukan pekerja di akar umbi. Makanya, kekuatan sokongan akar umbi adalah bersifat kritikal buat mereka sekarang. Jadinya, menetapkan sasaran pada kelompok masyarakat tertentu untuk mereka boleh memberi rasa percaya pada AMANAH, adalah strategi yang bijaksana dalam berpolitik.

Sejujurnya, kalau kita perhatikan politik dalam mana-mana negara, jarang sekali parti-parti politik akan memberi tumpuan pada segenap kelompok masyarakat yang wujud. Dalam kerangka tradisionalis, parti politik banyak bergantung pada kelompok yang mewakili niche kaum, agama, atau ideologi. Dalam kerangka kontemporari, niche kelompok sudah banyak berubah.

Kita perhatikan di Amerika Syarikat, Obama dalam usahanya merebut kerusi Presiden pada tahun 2008, telah menganjurkan isu-isu yang mendominasi perbincangan setiap kelompok sasaran secara terperinci. Sebagai contoh, dalam menyasarkan kelompok LGBT, Obama tidak teragak-agak memperjuangkan usul marriage equality, dan ternyata strategi ini amat berbaloi.

Demikian jua halnya, pada lain-lain kelompok sasaran, Obama menetapkan setiap satunya isu bersifat usul yang diperjuangkan sebagai agenda utama Democrats. Jadi tidak hairan, apabila Obama mendapat sokongan yang bersifat terangkum (inclusive), yang bukan sekadar majoriti, bahkan berjaya melarikan tumpuan pengundi dari sentimen ideologi, ras atau keagamaan.

Saya fikir, AMANAH perlu meletakkan ini sebagai strategi politik mereka. Meletakkan tumpuan pada non-partisan secara umum begitu, tidak mencerminkan bahawa AMANAH telah benar-benar membuat “homework” tentang politik Malaysia. Tapi, perkara ini memakan masa, bukan kerja sehari dua. Ianya perlu bermula dengan kata kunci ‘meraikan’ niche kelompok yang terpinggir.

Jadinya, niche kelompok mana yang dikatakan terpinggir dan perlu diberi perhatian dalam strategi politik AMANAH? Untuk bahagian ini, saya kira bukan di sini tempat perbincangannya. Ianya dalam bilik mesyuarat – itu pun kalau AMANAH tergerak hati untuk mengambil maklum tulisan kecil ini. Apa pun, saya optimis Pemuda AMANAH kali ini adalah berbeza dari Pemuda yang dulunya itu.

Saturday, September 19, 2015

Pelayaran Kehidupan

Hidup tidak ubah seumpama sebuah pelayaran. Sasakalanya ianya memakan tempoh yang panjang, dan ada kalanya, ianya singkat dan pendek. Boleh jadi, pelayaran itu menyeronokkan, dan boleh jadi juga ianya amat melelahkan dan menakutkan. Kapal tidak belayar di sungai, tapi di lautan samudera. Lautan itu, terbina dari cantuman jutaan anak sungai yang mengalir ke dalamnya.

Kita mungkin berasal dari sungai yang berbeda, baik dari segi geografinya, bentuknya, kadar kemasinan airnya, malah kebersihannya. Tapi, kita semua menuju ke lautan yang sama – yang dikongsi oleh semua persisiran pantai dan muara sungai yang wujud. Dan sesungguhnya, yang dinamakan kehidupan itu adalah apabila kita mula belayar di lautan ini.

Ianya bukan kehidupan, kalau kita selesa dian kaku di rumah-rumah kita. Kehidupan hanya terperi maknanya saat kita melangkah untuk memulakan pelayaran. Dalam erti kata yang lain, kehidupan itu bermula saat kita membuat pilihan, dan membuat keputusan dengan pilihan yang ada. Jadinya, dari pilihan-pilihan itu, ada kalanya ianya salah dan ada kalanya ianya betul.

Dan demikian jualah pelayaran, apabila kita mula merasa lelah, tentunya kita mahu berhenti seketika. Kita mula mencari pelaburan atau persisiran pantai untuk disinggahi. Kita tidak tahu, bahawa banyak kali persinggahan sementara itu akhirnya bertukar menjadi kekal selamanya. Ada kalanya juga, pilihan untuk berhenti seketika itu mengundang permasalahan dan kesilapan.

Dan itulah kehidupan. Pilihan yang kita buat, tidak semestinya akan menjanjikan bulan bintang pada setiap penghujungnya. Jika kita betah dengan persinggahan itu, kita mula mengibarkan layar dan menyambung semula pelayaran. Ramai orang yang tahu destinasinya yang terakhir, tapi tidak semuanya begitu. Ramai yang mencari dan terus mencari dalam samudera lautan.

Ramai juga antara mereka, akhirnya ketemu apa yang mereka mahu carikan. Tapi, mungkin tidak sedikit bilangan yang terus terumbang-ambing atau terus dengan pelayaran mereka tiada bertepi. Apakah mereka ini salah, tentu sekali tidak kerana hidup tidak semestinya hanya pada satu spektrum atau jalan. Mungkin pada ramai pelayar, mereka merasa perlu berhenti dan menetap.

Tapi, tidak semestinya semua akan merasa begitu. Ada yang memilih untuk terus belayar. Justeru, untuk kita menyalahkan keputusan begitu, atau pilihan yang diambil, siapalah kita untuk membuat keputusan kepada mereka. Kesilapan kerana mengunjungi pelabuhan yang salah adalah metafora kepada pilihan yang salah, yang kita berbuat.

Demikian jua, pada pilihan tepat yang kita berbuat. Tiada siapa berhak untuk menafikan atau mempersoalkan mengapa sang pelayar itu memilih begitu dan begini untuk diri dan pelayaran mereka sendiri. Persoalannya, mengapa kita tidak betah untuk membiarkan saja setiap dari kita melayari kapal kehidupan masing-masing tanpa perlu mengikut sauh dan layar yang lain?

Thursday, September 17, 2015

AMANAH

Pertamanya, tahniah atas kewujudan pada akhirnya. Saya skeptikal pada Harapan Baru, dan rasa skeptikal itu tidak terus terbuang sepenuhnya walaupun AMANAH akhirnya lahir jua. Apa pun, tahniah buat AMANAH dan tentulah selaku warga pengundi di Malaysia, saya menyimpan harapan yang besar buat parti baru ini untuk mewarnai politik negara dengan lebih gemilang.

Kedua, antara harapan terbesar saya buat AMANAH adalah agar parti itu tidak terperangkap atau terus bermain-main dalam politik cliché. Sebagai contoh, terperangkap dalam mainan siapa lebih beriman, siapa bakal penghuni syurga, siapa lebih demokrat, siapa lebih progresif, siapa yang lebih Melayu, parti mana yang lebih diredai dan lain-lain seangkatannya.

Ketiga, AMANAH fokuslah pada anak muda. Berilah ruang dan pentas yang semewahnya kepada barisan anak muda untuk bersuara. Galakkan mereka mengkritik pimpinan yang ada, gesa mereka untuk menjadi suara utama di Parlimen dan segala yang menganjur pada permasalahan rakyat. Biarkan mereka mengetuai, bukan diketuai. Jangan sesekali bazirkan bakat yang ada pada mereka.

Keempat, gesaan kepada AMANAH untuk fokus pada gerakan intelektual. Tiada perjuangan tanpa ilmu. Perbanyakan diskusi ilmiah, wacana-wacana pada isu-su yang kritikal dan sensitif, amalkan keterbukaan dan kebebasan intelek dalam kalangan ahli dan pimpinan, dan paling penting, gesa ahli dan pimpinan untuk khatam buku-buku berautoriti dalam bidang kepolitikan, ekonomi dan sosial.

Kelima, jangan sesekali pergunakan atau memperalatkan isu-isu keagamaan dan perkauman sebagai modal berpolitik. Jangan sesekali mengulangi kesilapan PAS atau lain-lain parti politik sebelum ini. Mereka yang tidak berbumbung dan kelaparan di lorong-lorong kota Kuala Lumpur jauh lebih memerlukan suara AMANAH untuk membela mereka. Itulah modal politik yang sebenar.

Keenam, manfaatkan kepenggunaan media sosial secara bijak dan bertanggungjawab. AMANAH tidak berdepan lagi dengan Generasi X atau baby boomers. AMANAH berdepan dengan Generasi Y dan manusia digital. AMANAH berdepan dengan dunia manusia yang omnipresence, politik digital yang punya jutaan spektrum, fleksibel, dan generasi pengundi yang tiada fizik.

Ketujuh, AMANAH berusahalah untuk keluar dari kerangka pengorganisasian tradisional. Untuk permulaan ini tidak mengapalah, tetapi untuk masa depan, usahakan perubahan itu. Umpamanya, sampai bila kaum wanita akan terus berada dalam kumpulan yang tersendiri dan tidak mempunyai peluang langsung dalam pergerakan Pemuda atau mencabar kedudukan Presiden parti?

Kelapan, usah bergaduh dengan PAS. Itu kerja sia-sia dan membuang masa. Jika PAS mahu terus berlabun dengan labu-labu si Luncainya, biarkan mereka. Tapi ingat, politik masa depan bukan lagi seperti dulunya. Ambillah pengajaran dari Facebook. Berjayanya mereka kerana mereka menyambung, tidak memutuskan. Ini politik masa depan.

Kesembilan, tugas terbesar AMANAH adalah membina dan memupuk politik yang serba baru. Dari segi persekitarannya, budayanya, sifat-sifatnya, perbincangan-perbincangan dasarnya, polisi-polisi yang akan dianyam kelak. Mudahnya, politik yang mendasari ilmu, bukan sentimen. Usahakan perubahan ke aras itu, In shāa Allāh parti ini akan mendahului pesaing-pesaingnya yang lain.

Kesepuluh, yang terakhir dan ini permintaan rasmi – sila re-design laman sesawang AMANAH. Reka bentuk sekarang sangat tua, lembam dan tidak membangkitkan berahi untuk menyelongkar lanjut parti ini menerusi laman tersebut. Lantiklah mereka yang punya cita rasa futuristik pada bagaimana untuk mereka bentuk laman sesawang yang menarik dan berkesan pada pengunjung.

Wednesday, September 16, 2015

Bersekutu Bertambah Mutu

Sepagian di Hari Malaysia, saya dan beberapa rakan memanjat lereng-lereng Broga di Semenyih sehingga ke puncak. Sepagian ini juga, saya kira sudah pun berjaya melengkapi senarai-perkara-wajb-buat bagi setiap mahasiswa UKM, yang konon-kononnya jika ditakdirkan bergraduan kelak tetapi gagal sama sekali untuk sampai ke puncak Broga, pengijazahan itu tidak sah.

Dua rakan saya yang memanjat sekali, adalah pelukis warna air profesional. Masing-masing di bahu mereka tersandangnya beg dan segala peralatan melukis, bermula dari kaki bukit sehingga ke puncak – ternyata tidak sia-sia sama sekali jerih begitu sepagian kerana di akhir pendakian, dua lembar lukisan warna air berlatarbelakangkan Bukit Broga berjaya dihasilkan.

Sepagian juga, sementara menunggu rakan-rakan pelukis menyiapkan karya mereka, saya merayau sehingga ke puncak tertinggi Broga – dicatatkan pada papan tanda tajaan RHB puncak itu setinggi 1312 kaki dari paras laut. Ramainya manusia, bukan kepalang. Bersesak. Berlaga bahu untuk sampai ke puncak. Maklumlah, hari cuti.

Dari satu bongkah batu ke bongkah yang lain, saya memanjat dan berdian seketika, cuba sedaya mungkin untuk menikmati sejuk deru angin gunung dan desir lalang-lalang yang meliang-liuk mengikut tiupan angin. Nikmatnya suatu yang tidak mampu terungkap dengan kata-kata. Begitu pun keadaannya, saya tidak dapat mencari makna pendakian hari ini – sepenuhnya.

Jika pendakian ini metafora kepada semangat pembebasan, atau kemerdekaan, atau merasai keberadaan diri sendiri, ternyata pendakian tadi tidak begitu berjaya pada saya. Sebelum ke puncak terakhir, di mana terdapatnya dua laluan – mudah dan mencabar, saya berhenti lama di laluannya merenung pada puncak itu, sambil bertanya, “Jika aku berjaya sekalipun ke puncak itu, selepas itu apa?”

Soalnya, kalau merasai pengalaman di Broga adalah tujuan paling akhir, mengapa tidak hanya dengan sekadar duduk berdian di suatu puncak, merenung dan berfikir, menikmati pengalaman itu sedaya mungkin tanpa perlu bersusah payah hanya semata-mata untuk menjejak kaki pada puncak terakhir, yang sekitarannya tidak jauh bezanya dengan puncak-puncak yang lain.

Apakah “makna sebenar” yang kedapatan dari berbuat semua hal itu, selain dari merasa cukup atau puas dengan menjejaknya kaki pada setiap ceruk puncak yang wujud. Dari bawah sehingga ke puncak, inilah yang bermain dalam benak fikiran saya sehinggakan banyak kali saya merasa terganggu, dan mahu berpatah balik. Pada akhirnya, semua ini untuk apa?

Saya membuat koreksi ini pada Hari Malaysia, kerana di sebalik itu apa yang tergambar di benak adalah tentang Malaysia. Tentang negara yang bernama Malaysia, yang sudah pun berusia 52 tahun. Separuh abad sudah tanah air ini menyaksikan lahirnya generasi demi generasi yang akan mewarisi pusaka nusa, dan sepanjangan itulah pelbagai ragam sejarah sudah tercatat.

Kita sanggup bermati-matian atas nama negara. Kita bermusuh-musuhan demi sebuah konsep persempadanan yang memisahkan antara negara dengan negara yang lain, yang dulunya pun hal itu tidak pernah wujud dari azali. Kita tersekat dan dikawal oleh sebuah perundangan yang wujud akibat adanya konsep-konsep kenegaraan itu tadi, sedangkan semua itu “direka” bukan “dicipta”.

Lagi sekali, pada akhirnya, semua ini untuk apa? Tidaklah persoalan ini mahu meracun bahawa konsep kenegaraan yang wujud pada masa kini tidak absah, dan tiada kewajipan dan kebertanggungjawaban pada sekalian manusia untuk mengimaninya. Cumanya, di Hari Malaysia, bertanyakan soalan begini; Malaysia ini pada akhirnya untuk apa dan bagaimana? – adalah perkara yang wajib dibuat setiap orang.

Berbalik pada naratif pendakian Broga tadi, dan metafora semangat kebebasan dan merasai pengalaman keberadaan diri sendiri, saya fikir alangkah indahnya kalaulah semangat yang sama boleh diasimilasikan pada memahami negara ini, Malaysia menerusi cogan motonya yang cukup mendalam falsafahnya iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Moto itu tidak membawa makna seringkas perumpamaan bersatu padu, bercerai roboh. Juga ianya tidaklah bulat-bulat boleh diterjemahkan sebagai kesepaduan dalam kepelbagaian. Boleh jadi, kesepaduan itu tidak membawa kepada apa-apa mutu dan makna pun, dan boleh jadi juga kesepaduan itu tidak mampu membawa negara ke arah yang lebih baik pun.

Boleh jadi, Korea Utara kelihatan sangat utuh kesepaduannya pada mata zahir, tetapi kita boleh bertanya lagi, adakah itu makna akhir yang mahu dicari pada konsep kenegaraan yang diperjuangkan begitu, sedang kesepaduan yang terpamer tidak menterjemahkan semangat kebebasan yang sebenar. Soalan utamanya, bagaimana bersekutu itu boleh terjalin rapi dengan semangat kebebasan.

Malaysia, sehingga kini kita tidak mampu berbohong pada diri sendiri bahawasanya kita tidak pernah sesaat pun merasai inti kepada cogan moto kita sendiri. Kita mungkin berpadu, tapi begitu kosmetik. Kita nampak utuh, tapi dasarnya bukan pada semangat kebebasan manusiawi, tetapi kebelengguan dan keterikatan pemikiran, maruah dan harga diri.

Jadinya, Hari Malaysia ini pada akhirnya, kita bertanya maknanya apa dan untuk siapa. Jika pendakian Broga tadi dalam kesakitan dan kepayahan, kita jelas di titik akhirnya akan ketemu jua puncak yang memberi jawapan kepada segala kelam hutan sebelumnya. Semua itu terjadi pabila kita mula bebas dari pembelengguan fizikal dan mental yang menghalang kaki dari terus mendaki.

Demikian jua halnya Malaysia, untuk mencapai makna hakiki cogan moto yang tersemat pada jata negara itu, tiada jalan lain, selain kita mula berusaha membebaskan diri dari pembelengguan-pembelengguan yang tidak fizik sifatnya, tetapi pada semangat, kepercayaan, pemikiran, maruah dan harga diri kita semua.

Selamat menyambut Hari Malaysia ke-52!

Monday, September 14, 2015

Parti Ahli Neraka (PAN)

Arakian tersebutlah nan hujung benua di Wilayah Timurjaya perihal orang kebanyakan yang mula gundah gulana, tidak senang duduk. Minum air bercangkung – terkencing. Makan bersimpuh – terberak. Apa saja yang dibuat, serba tidak kena. Makanya, bertanyalah sang penghulu wilayah Timurjaya, akan mengapa terjadinya sedemikian rupa pada hamba rakyat semua.

Maka, bangkitlah seorang tua yang terlilit serban tebal di kepalanya sambil matanya terkenyit-kenyit, semacam ada lalat sedang menghurung mukanya. Orang tua itu bangkit berdiri, sambil menyedut nafas dalam-dalam kemudiannya berkata, “ Tidakkah tuan penghulu mendengar khabar perihal orang serba terbuka di Wilayah Baratjaya mahu menubuhkan Parti Ahli Neraka (PAN)?”

“Apa? Khabar buruk apa yang kamu cuba sampaikan ini wahai si tua berserban?” bentak sang penghulu tadi yang kekagetan mendengar perkhabaran itu, sambil menyambung, “mereka di Baratjaya itu bermimpikah mahu bersaing dengan Parti Ahli Syurga (PAS)!” Nafas sang penghulu tadi tidak menentu jadinya. Terhuyung-hayang orang tua itu.

“Mereka tidak tahukah yang parti kita ini mendapat mandat terus dari Syurga? Apa mereka itu semua bermimpi di siang bolong?” bentak lagi sang penghulu tadi. Marahnya tiada bertepi. “Hamba rakyat semua wajib tahu, yang mereka itu tidak ubah seumpama anjing menyalak pada babi di atas bukit!” Bukan kepalang lagi marahnya dia.

Hamba rakyat terbawah terpinga terkelu, melihatkan sang penghulu mereka begitu memberongsang meradang. Kelu mereka bertukar menjadi gila. Mereka turut sama naik seh. Mengia akan benarnya kata-kata sang penghulu tadi. Memang benar, pada mereka semua orang serba terbuka di Wilayah Baratjaya telah pun sesat, tidak sedar diri.

“Ah, biarkan mereka semua mahu masuk neraka. Mungkin merekalah calon-calon penghuni di sana kelak...,” mereka beramai-ramai menggumam, sambil mencucuh api di hujung puntung rokok daun yang digulung sambil-sambil enak mengunyah bebelan anjing dan babi sang penghulu mereka, di gerai goreng pisang yang sudah mampir robohnya.

Saturday, September 5, 2015

Ironi Agama Berserban

Kita terlalu mudah menghakimi sesuatu mengikut pandangan fizik semata-mata. Kita begitu gemar menghukum berdasarkan pemakaian dan penampilan luaran semata-mata. Ya, benar bahawa kita tidak boleh menghukum sesuatu di dalam hati namun begitu, kalaulah menjadikan itu sebagai premis kepada semua persoalan dunia, akan berlaku kekeliruan yang nyata.

Kita mengagung-agungkan negara-negara Arab, semacam mereka ini mulia, ada taraf tertentu di sisi tuhan. Kita begitu gemar menjadikan cerita-cerita dari Timur Tengah ini sebagai penanda aras kepada banyak perkara dalam negara kita, antara yang paling nyata adalah soal perlaksanaan hukuman syariah hudud. Kita sering berbangga-bangga dengan cerita-cerita begitu.

Pada masa yang sama, bilamana Aylan Kurdi dan abangnya, Ghalib terdampar kaku di persisiran pantai Turki akibat bot mereka yang menuju ke Kanada tenggelam (ya, mereka adalah pelarian perang Syria), masing-masing menuding jari pada Eropah kerana enggan menerima pelarian perang ini dan memberi perlindungan kepada mereka.

Ajaibnya, mereka sesekali tidak menuding jari menuntut sekalian aparat penguasa-penguasa negara Arab yang serbannya tebal melilit di kepala, tentang mengapa sehingga kini hanya Turki sahaja yang sanggup menampung pelarian perang Syria di negara mereka, sedangkan negara-negara Arab lain yang berkongsi bahasa yang sama dengan Syria memejamkan rapat mata.

Jika katanya kemanusiaan telah mati di Eropah, di negara-negara Arab itu kemanusiaan sebenarnya langsung tidak pernah wujud. Biarpun mereka berserban tebal, berjubah meleret, cair air liur kerana banyaknya membaca Quran, pada akhirnya mereka tidak pernah memahami agama yang mereka anuti itu. Mereka lebih bodoh dari haiwan berkaki empat.

Tapi, kita masih lagi menyembah rasa kagum pada negara-negara yang bodoh begitu. Pada kita, kerana mereka Islam, dan automatiknya merekalah yang menjadi contoh teladan. Kita melihat pada serban dan jubah untuk menilai baik dan buruknya seseorang. Kalau di Malaysia, penyakit begini juga menjadi-jadi. Kita gemar gantungkan harapan pada penampilan luaran semata-mata.

Kita lebih rela memilih politikus yang berserban dan berjubah meleret, pada alasan mereka yang “begitu” adalah lebih Islam dan itulah sebenarnya kehendak agama dalam pemilihan kepimpinan. Benar? Kita boleh ketawakan kenyataan begitu tanpa berselindung. Kita gemar memisahkan keupayaan memimpin dan integriti dari wibawa yang dibina bersekali dengan semangat Islam.

Jadi, kita memilih pemimpin pada siapa yang nampak lebih alim, lebih tebal janggutnya, atau lebih tinggi serbannya. Kita sering terpukau pada pemimpin yang lidah mereka terkumat-kamit membacakan ayat-ayat Quran, sedang mereka tertipu pada zahir, dan tidak sedar betapa ramai pemimpin begini tidak ubah seumpama musang berbulu ayam.

Oh ya, lupa untuk tuliskan di sini, bahawa mereka yang meluluskan konsesi pembalakan di Kelantan secara zalim itu semuanya berjubah dan berserban meleret...

Tuesday, September 1, 2015

Taubat Seorang Negarawan

“Mahathir turun Bersih 4!” laung beberapa orang demonstran dengan penuh teruja. Baik, itu realitinya. Dan itu juga adalah realpolitik. Mungkin kali ini perlu diingatkan sekali lagi pada sekalian mereka yang memuja Mahathir – yang dulunya mereka begitu bencikan orang tua itu – sementelah munculnya sosok itu di tengah-tengah kekabutan Bersih 4.

Bahawa itulah politik. Kata arwah Karpal Singh, dalam politik tiada kawan yang kekal kawan dan musuh yang kekal musuh. Benar, itulah politik – suatu seni yang memungkinkan segalanya. Kalaulah kita tiada cuba untuk fahami ini, kita terlalu naif untuk bermain dalam padang politik. Sepak terajangnya hanya membuatkan kita makin bebal, bukan cerdik.

Cuma yang kekal, adalah kepentingan politik. Dan kalaupun yang bersisa, adalah prinsip. Itu pun belum tentu dalam pada gelojoh mengejar kepentingan, prinsip banyak kali akan terbarai bersepah di tepian. Mahathir turun ke Bersih 4 tidak akan sesekali mengubah penceritaan sejarah pada apa yang telah beliau berbuat selama dua dekad yang lepas.

Semalam kata hitam, hari ini boleh menjadi terbalik putihnya. Segalanya ini, mengajar kita suatu perkara, bahawasanya dalam pada gerombolan politikus siang dan malamnya bersengkang mata mengejar kuasa untuk penuhkan tembolok masing-masing, kita semua yang bertaraf pengundi saban hari dijual beli maruah dan harga diri dengan harga yang cukup murah.

Cukup-cukuplah memperhambakan prinsip pada politikus gampang. Tidak akan ke mana pun semua itu, melainkan mereka cuma pada akhirnya mahu kenyangkan perut rodong mereka sendiri. Apa kamu kira mereka semua itu “give a single fuck” pada apa yang kita bilang saban waktu perihal politik dan prinsip, kejujuran, kebenaran, keadilan dan kebebasan?

Tidak, kawan. Tidak sama sekali. Mereka tuli dan buta pada semua yang kamu dambakan itu. Janganlah bermimpi di siang bolong untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kehendak dan kepentingan politikus begini. Mereka hanya tahu memperkuda emosi dan perasaan kita. Mereka begitu licik dan bijak untuk berbuat itu semua.

Mahathir sudah bertaubat pada dosa-dosanya sebelum ini? Bermimpilah kawan!