Friday, July 31, 2015

Angkuh

Najib Razak adalah contoh terbaik untuk kategori politikus angkuh. Angkuhnya bertingkat-tingkat. Dalam pada dirinya begitu terhimpit kiri kanan atas bawah, dia masih lagi merasa bahawa dunia ini dia yang punya. Sebab itu tiadalah pelik dengan segala macam kenyataannya yang begitu angkuh kedengaran selepas peristiwa kudeta beberapa hari lepas.

Kamu boleh lagi mendendangkan rasa bangga dengan barisan kabinet baru itu, yang kata kamu akan lebih diyakini rakyat jelata. Siapa rakyat jelata yang begitu bengap, yang masih lagi boleh meletak barang setitik pun rasa yakin pada kepimpinan kamu lagi, wahai Najib Razak? Kamu bermimpi basah di siang bolong kah? Atau kamu sedang mabuk todi?

Najib Razak masih boleh menyanyikan status-status berbaur harapan dan janji-janji manis. Mahu dituju kepada siapa semua itu, atau sebenarnya mahu memberi mesej bahawa kamu tidak terkesan sedikit pun dengan segala amarah rakyat selama ini. Mungkin kamu lupa agaknya, tentang bagaimana hinanya apabila kamu jatuh terjelepok kelak.

Tiada seorang pun yang akan sudi menghulurkan tangan untuk kamu berpaut dan bangkit semula. Tidakkah kamu sedar bahawa tibanya saat itu kelak, nama kamu akan dikenang sebagai orang paling bobrok dan terhina dalam sejarah negara raya ini, tidak kira dari peringkat usia mana generasi itu lahir. Masih mahu terus angkuh begitu?

Mungkin kamu sudah lali kerana saban hari menerima bergunung cercaan masyarakat atas perilaku keji-mu itu. Mungkin juga kamu merasa yang kamu akan boleh terus bertahan dalam keadaan serba tidak kena itu, dengan menjadikan habuan duit untuk menutup segelintir mulut-mulut penyangak yang serupa perangainya macam kamu sendiri.

Tapi, kamu Najib Razak, janganlah sesekali lupa pada baki 27 juta lagi rakyat yang lainnya, yang hanya menanti masa sahaja untuk meletus ledakan yang bakal mengheret kamu dan seisi mereka yang berkomplot menjahanamkan negara ini ke muka pengadilan. Saat itu, segala rasa angkuh kamu tidak akan bernilai walau satu sen sekalipun!

Najib Razak, kenapa begitu angkuh? Bukankah senang kalau kamu memilih untuk turun secara terhormat, mengaku segala salah laku kamu dan menerima hukumannya yang setimpal dengan segala perkara keji yang telah kamu berbuat itu. Kamu mahu bertahan begini sampai bila? Sampai ranap punah ranah tanah air ini dan segala yang dibina bertahun lamanya itu?

Kamu mahu begitu? Kalaulah kamu maksudkan bertahan itu sehinggakan “menang jadi arang, kalah jadi abu” ternyata benarlah kamu wahai Najib Razak, politikus terangkuh pernah anak watan tanah air ini saksikan!

Tuesday, July 28, 2015

Mengapa Peduli Politik?

Sering kali kita mendengar luahan rasa kecewa, benci dan menyampah pada politik dan segala permainan sekitarnya, terutamanya oleh golongan belia sekarang. Politik Malaysia yang serba caca merba, siapa yang tidak rasa menyampah. Rasa begini adalah normal. Kalaulah saban hari media tidak putus menayangkan segala kebodohan orang politik, siapa tidak sakit jiwa.

Barisan Nasional memang pun sudah lama gila, kini Pakatan Rakyat pula menjadi gila meroyan. Rasa menyampah dan benci itu bertitik tolak apabila kita merasa mual pada setiap kali kata janji dan kepercayaan yang dipertaruhkan telah dikhianati di siang bolong. Malang sekali, rasa menyampah itu hanya terhenti setakat di status-status Facebook.

Tidak lebih dari itu. Hari ini dengan segala wayang politik – rombakan Kabinet Jemaan Menteri, pemecatan Timbalan Perdana Menteri, peletakan jawatan Peguam Negara (AG) secara mengejut, pelantikan 4 orang anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai Timbalan Menteri dan pemilihan Ketua Special Branch baharu – adakah rasa menyampah itu akan terus kekal begitu?

Boleh untuk terus rasa menyampah. Dipersilakan. Cuma untuk terus kekal dengan rasa menyampah pada politik, sehinggakan langsung tiada cuba untuk mengambil tahu perihal tentangnya, keadaan begitu tidak lain hanya akan mengundang bala kepada diri dan masyarakat sendiri. Teringat pada ungkapan Zahra, dalam video viral #sayaZAHRA di hadapan Muhyiddin Yassin,

“... kami anak-anak muda Melayu sudah tidak hiraukan isu-isu politik dan perkauman lagi, kerana apa yang lebih penting bagi kami adalah isu survival...”

Benar, bukan Zahra seorang yang merasa begitu. Begitu ramai yang berpendirian sama. Sehinggakan rasa menyampah itu membawa kepada satu tragedi yang lain iaitu duduk berpeluk tubuh tidak berbuat apa-apa dan tersenyum menangis merengek berkeseorangan sambil menonton dengan segenap kehampaan segala drama politik yang tidak berkesudahan.

Cumanya, kekal berpeluk tubuh begitu, ianya langsung tidak akan mengubah apa-apa landskap politik sekarang pun. Makin berpeluk tubuh, makanya segala yang terjadi hari ini, adalah hasil kepada rasa tersangat selesa dengan berkecuali dan ketidakpedulian selama ini (menjadi Zahra yang tidak lagi peduli politik, asalkan saban hari cukup duit untuk membeli makanan).

Jelas bahawa tidak peduli pada politik bukan jawapan kepada perubahan politik dan sosioekonomi Malaysia. Untuk menterjemah perubahan itu, tersangatlah perlu kepada partisipasi terhadapnya. Mengabaikannya dari persoalan harian, akan mengundang bala apabila politik itu sendiri menjadi pemangsa untuk membaham kita hidup-hidup kelak.

Apa yang berlaku hari ini, bermula beberapa bulan lepas semenjak Tun Mahathir mula melancarkan serangan terhadap Najib Razak berikutan skandal 1MDB, kita boleh lihat bagaimana terkucilnya lidah para Menteri yang berada dalam Kabinet dari bersuara. Semunya mengambil posisi selamat untuk menjaga periuk nasi masing-masing.

Kita lihat juga, berapa kerat sangatlah rakyat Malaysia yang mengambil berat tentang skandal 1MDB ini dan berusaha memahaminya (walaupun ianya bukan kerja mudah), kalaupun tidak mampu, berusaha sedaya mungkin untuk tidak berada dalam kelompok “asalkan aku bahagia”. Golongan sebeginilah yang menjadi batu penghalang terbesar sesuatu perubahan itu untuk berlaku.

Peduli politik memberi makna, kita tidak mengabaikan rasa kebertanggungjawaban kita untuk, pertamanya berfikir dengan matang yang didasari kesedaran demokratik bahawa kita sebagai rakyat punya kuasa yang tiada tara untuk menentukan siapa yang patut dan tidak patut berada di posisi-posisi penting dalam pentadbiran negara.

Keduanya, kalaulah kita sedar akan kuasa kita itu, tentu sekali ianya tidak datang bergolek sedemikian cuma. Ianya datang dengan kefahaman yang jelas bahawa memang sebuah perubahan wajib diadakan di tanah air ini, demi menyelamatkan generasi kita mendatang dari terseksa akibat ketidakpedulian dan kebisuan kita pada hari ini.

Ketiga, peduli politik itu membawa maksud kita tidak pernah terikat secara membabi buta pada ikrar kesetiaan (wala’) yang bebal pada mana-mana parti politik, ideologi yang sempit, politikus kapista, dan seumpamanya, dengan kesedaran bahawa rasional dan akhlak menjadi pemandu arah utama dalam meneladani iklim dan landskap politik negara.

Keempat, kalaulah perlunya ada kesetiaan dalam politik, ianya adalah dipandu dengan dua unsur sebelum ini iaitu rasional dan akhlak, kemudiannya kesetiaan itu perlulah bersekali dengan kesedaran terhadap amanah kepada mandat dan kepercayaan konstitusi, yang memberi erti bahawa tiada pernah sebarang salah laku politik ada kewajaran untuk digelapkan dari pengetahuan awam.

Kelima, peduli politik itu tidak pernah memberi maksud kita wajib menyebarluaskan sebarang berita politik pada saban saat di media-media sosial. Itu bukan peduli, itu bebal namanya. Peduli itu pada semangat kesedaran yang bermula dari diri sendiri yang bermatlamatkan sebuah perubahan politik ke arah yang lebih baik, bukan penonjolan sifat fizik semata-mata.

Justeru, adalah penting untuk kita ulangi bahawa, apa yang diujarkan oleh Zahra itu, dan lain-lain lagi mereka yang bersetuju dengan luahan tersebut, sedarlah bahawa dengan keadaan begitulah – lemahnya dan terkulai pasrahnya kita selaku rakyat – yang makin menjadikan hidung sang politikus jelik terus berbelang tinggi dan jahat makin bertimpa-timpa.

Pedulilah akan politik tanah air ini. Pedulilah akan ia, supaya bukan politik yang digubah oleh politikus gampang yang menentukan duduk letak kita, tetapi kita yang mengubah dan mencorakkan politik tanah air ini sehingga politikus akur dan pasrah pada kuasa dan kudrat kita – rakyat. Menyampah sehingga melangit pun, kalau sekadar bergegar di Facebook, ianya adalah sia-sia.

Sunday, July 26, 2015

Impian Muzik di Malaysia

Tahun pertama bergelar mahasiswa di UKM, saya tinggal sebilik dengan seorang rakan dari Kelantan yang terlibat aktif dalam sebuah band muzik. Daripada beliaulah, saya mengenal dunia muzik dengan lebih dekat.

Kalau sebelum ini cuma tahu genre muzik dan beberapa nama alatannya, tinggal sebilik dengannya membolehkan saya merasa petikan jari sendiri pada tali gitar miliknya.

Daripada dia juga, saya berkenalan dengan dunia muzik bawah tanah.

Perihal wujudnya band muzik bawah tanah, yang bergerak sendiri, dengan tiada campur tangan produksi besar, atau penerbit popular.

Mereka merancang acara-acara muzik antara mereka, mengadakan pertandingan-pertandingan yang tidak ditaja oleh mana-mana penaja korporat lainnya.

Berkenalan itu membawa maksud, saya belajar akan kewujudan mereka.

Saya maklum bahawa selain dari penyanyi-penyanyi yang kebiasaan muncul di kaca televisyen, rupanya masih ada lagi penyanyi-penyanyi lain yang tidak pernah memasuki mana-mana rancangan TV tetapi cukup berbakat malah sudah mempunyai rakaman album sendiri!

Makanya, saya mendapat tahu, selain dari dunia muzik yang komersial begini, yang saban waktu pergelutan mereka hanyalah untung dan populariti, masih adalah lagi jalur muzik yang lain, yang berada di bawah tanah, yang memang cukup berbakat, bergerak sama pada jalan yang sama iaitu seni muzik.

Dan rata-rata mereka adalah dari kalangan anak-anak sekolah menengah lagi.

Sehingga ke petang semalam, saya bertemu dengan seorang remaja Tingkatan 5.

Ketika berbual dengannya perihal hala tujunya selepas SPM dan impian-impiannya, dia dengan terujanya bercerita tentang minatnya terhadap muzik. Bersinar matanya bila bercerita perihal impiannya mahu menjadi pemuzik berjaya (katanya mahu menjadi kaya!).

Saya tersenyum.

Kerana ini bukan kali pertama saya bertemu dengan manusia yang benar-benar mendalam minatnya terhadap muzik.

Dia bercerita perihal band muziknya yang pertama, yang kemudiannya berpecah akibat tidak sehaluan antara ahli band. Kemudian kini dia membentuk band yang baru. Katanya, band ini jauh lebih berwawasan dari yang dulunya.

Seperti teman sebilik saya yang dulunya itu, remaja ini juga terlibat dalam jalur muzik bawah tanah. Genre muzik pilihan mereka lebih kepada muzik alternatif – hard rock, indie, punk.

Tersenyum saya melihat dia begitu teruja bercerita perihal minat itu. Ini bukan calang-calang minat. Ini impian yang sedang menganyam. Jika dipandu dengan betul, kelak nama mereka meniti di bibir peminat.

Malang sekali, dia tidak canggung membentak rasa kecewanya.

Dia kecewa kerana minat dia itu, tidak mempunyai harga di mata masyarakat Malaysia. Kata dia, bermain muzik di Malaysia hanya boleh buat kita makan pasir.

Saya bersetuju dalam tidak bersetuju dengan luahan kecewanya itu. Tidaklah dinafikan, mereka berdarah remaja, makanya rasa kecewa begitu tidaklah menghairankan.

Luahnya lagi, kalau mahu memilih untuk ke kampus yang menawarkan kursus muzik, sebagai contoh program Foundation di International College of Music, dia terpaksa membayar dengan sejumlah kos yang tidak tertanggung olehnya untuk 3 semester.

Walaupun program itu amat bagus, termasuklah menawarkan lanjutan pengajian ke luar negara, namun faktor kewangan menjadi batu penghalang terbesar.

Dan, banyak lagi luahan-luahan kecewanya terhadap senario dan sekitaran muzik di Malaysia.

Untuk menghidupkan impian muzik mereka itu, ianya tidak semudah memetik gitar di tangan.

Itu belum lagi dibicarakan perihal tanggapan masyarakat terhadap jalur muzik bawakan mereka, imej dan lagu-lagu gubahan mereka. Semua itu menjadikan impian muzik mereka malap.

Petangnya itu, kami berpisah.

Lambaian terakhir itu bersekali dengan harapan, akan bertemu kelak saya dengan remaja itu lagi dan berbual lagi perihal impian-impian muzik dia itu.

Doa saya untuk dia, agar muzik itu ditekuni bukan hanya pada impian untuk menjolok daki-daki populariti, tetapi untuk menghormati seni, mengangkatnya di tempatnya yang patut.

Teringat pada kata-kata Allahyarham P. Ramlee, bahawa, “Kita adalah hamba kepada seni, bukannya menjadi tuan kepada seni.”

Saturday, July 25, 2015

Kunang Pesisir Morten

Tulisan Kak Raiha Bahaudin membuatkan saya melekat dengan buku ini sepanjangan hari raya ketiga, sehinggakan beberapa kali disiku abang kerana tidak betah untuk berenggang dengannya walaupun tika itu sibuk melawat rumah saudara ke sana ke mari. Saya fikir, orang lain melekat dengan telefon pintar mereka, maka biarkan aku melekat dengan buku serba cinta ini.

Mengapa disebutkan cinta?

“Apa di belakang kau tu, Adi?” Lim sudah tidak sabar.
Aku mengeluarkannya. Tabung ayam seramik itu walaupun hodoh amat telah menyimpan keringat lelahku berbulan-bulan. Simpanan upah menolong ibuku menjual kuih seharian. Dhiya dan Lim dalam terkejut melihat dengan menahan nafas terkedu. Tanpa fikir panjang, aku menghempaskan tabung daif ke lantai dan memuntahkan segala siling berkeping-keping termasuk duit kertas merah, hijau dan biru. Bukankah Tuhan itu Maha Penyayang?
Dan aku melihat mata Dhiya bening merembeskan air mata. Dalam esaknya itu Dhiya mengucapkannya dengan lurus dan luhur,
“Aku sayang kau, Adi!”

Kawan, bukankah itu namanya cinta? Kau bersama dengan aku bukan?

Kak Raiha mencoret pesan ringkas tika saya membelikan buku ini, katanya, “Berjuang! Atas semangat anak-anak dalam diri kita.”

Benar, Kak. Amat benar sekali pesan itu. Bukan hanya pada coretan autograf itu sahaja, bahkan sepanjangan buku itu penuh dengan pesan-pesan yang cukup memanusiakan, yang cukup jelira untuk meruntun hati sesiapa yang membacanya.

Inilah antara karya yang tidak perlukan segala bahasa tinggi melangit untuk memberi rasa sedar pada masyarakat. Cukup dengan tersusunnya puitis nuansa yang bersahaja, bersalut daya faham yang tinggi pada segi-segi budaya, adat dan kepercayaan sepanjang penceritaan dengan siratan-siratan mesej yang ampuh, padu dan begitu mampir dengan segenap nilai kemanusiaan.

“Tak boleh Dhiya. Ini duit kau. Untuk beli warna Rowney!”
“Betul. Ni duit aku. Dan aku pilih untuk bagi kau.” Dhiya meletakkan wang itu semula ke tangan Lim.
Dan saranan Dhiya disambut esakan Lim. Hari ini giliran Lim mengucapkannya dengan kasih sayang lurus seorang sahabat;
“Aku sayang kau Dhiya!”

Apa semua ini kawan, kalau bukan namanya cinta?

Membaca buku ini sambil menahan kelopak air mata dari berguguran ternyata sukar. Ngilu. Sesiapa yang pernah melalui zaman keanak-anakan begitu, dengan sekitarnya yang jauh sekali mengenal kemewahan jelata yang genap dengan segala rasa selesa, yang masa kecil mereka berselerak dengan lumpur dan selut, akan merasa cukup dekat dengan Dhiya, Lim dan Adi.

Kakak sulung saya bertanya, buku ini bercerita tentang apa. Saya termangu sebentar, kerana terlalu banyak yang mahu diperkatakan tentangnya. Tapi saya memilih untuk memberitahunya, “Ini kisah tentang kita. Darihal kita dulu dan impian-impian kita dengan kaki membusuk dibaluti selut mengeras berkepingan. Ini kita yang dulunya... masih ingat lagikah?”

Friday, July 24, 2015

Mengapa Gerakan Harapan Baru (GHB) Hanya Akan Tinggal Harapan Sahaja?

Balik dari raya di kampung seminggu, saya mendapat panggilan dari seorang rakan yang menjadi sekretariat penaja untuk pemuda Gerakan Harapan Baru (GHB). Kami bertemu, tentu sekali titik temu perbincangannya semua berkisar soal GHB. Parti baru itu dan ini, harapan baru sana dan harapan baru sini, progresif sana dan progresif sini.

Beliau bercerita lagi, perihal GHB dan kisah-kisah dalamannya, segala ranjau dan duri dalam menjayakan misi itu. Beliau berkongsi rasa dan perasaan sedihnya kerana melihat parti baru itu seperti sudah pun nazak sebelum berperang. Beliau lagi berkongsi, perihal orang-orang dalam GHB itu sendiri, sepertinya langsung tiada aspirasi dan harapan baru.

Saya mendengar sambil membetul-betulkan penapis skeptikal, sebagai langkah berjaga-jaga. Tidak, bukan skeptikal pada rakan saya itu, tapi skeptikal pada GHB itu sendiri. Sudah lama pun saya merasa begitu, namun apabila mendengar sendiri “kisah” orang dalam, saya jadi semakin yakin. Walaupun begitu, optimis saya pada GHB masih lagi bersisa.

Cuma, saya kuat merasakan bahawa GHB ini bakal menjadi harapan tinggal harapan. Paling menakutkan, GHB ini langsung tidak sempat berperang sudah pun mati dipancung lawan. Pertamanya, semenjak beberapa hari ini, galak sangat nampaknya arus membanding-bandingkan antara PAS dan GHB. Ini kerja orang GHB sendiri ke? Gila talak?

Kalau rasa mahu lagi terus bertepuk bertampar, bermanja-manjaan dengan PAS, mengapa gatal sangat mahu bercerai? Mengapa komentar-komentar dari orang-orang utama GHB ini seolah-olah mahu sangat masuk campur dalam PAS lagi, komen itu dan ini tentang PAS? Biarkan saja PAS dengan cara mereka itu, yang penting GHB ini sudah ada agenda ke belum?

Orang yang dah lepas bercerai, kemudian masih gian siang dan malam bercerita tentang bekas pasangannya itu, kita panggil orang begini gila talak. Orang putih cakap, tak move on. Kalau rasa kemaruk sangat nak berceloteh itu dan ini soal isu dalam kain parti lama, pergilah minta rujuk semula. Tak perlu gebang soal progresif dan sebagainya.

Kerja banding-membanding ini kerja budak hingusan. GHB sebenarnya mahu lawan siapa, PAS atau UMNO? Kalau nak lawan UMNO, buatlah cara seperti mahu lawan UMNO. Kalau sekadar berdegar-degar dengan progresif itu dan ini, tapi hampa makna, falsafah, agenda, ideologi, visi dan sebagainya itu, GHB sudah boleh berkira-kira sekarang bersiap untuk majlis tahlil.

Pengundi sekarang, yang memang dah muak dengan PAS (dan UMNO), tidak perlukan segala propaganda murahan dan kerja-kerja memburuk-burukkan PAS. Semua kerja demonized PAS adalah sia-sia. Orang akan nampak GHB ini tidak lebih dari sekadar parti serpihan kepada serpihan. Kalau ada agenda yang kukuh, ideologi yang mantap, orang akan pilih GHB.

Tak perlulah kalut dengan PAS lagi. Biarkanlah parti geng ustaz itu dengan labu-labinya. Bentangkan pada kami, GHB ini apa sebenarnya. Atau, cukup sekadar menjadi parti cap ayam. Kalau rasa mahu terus bercanda manja dengan PAS, pergilah rujuk semula. Kalau tidak, anda tidak lebih dari cuma menjadi bahan gelak tawa UMNO.

Kalau beginilah cara GHB berpolitik, memang harapan tinggal harapan lah!

Nota: Diterbitkan pertama kali oleh The Malaysian Insider pada 24 Julai 2015.

Friday, July 17, 2015

Salam Eid al-Fitr 1436H

Salam Eid al-Fitr (ʻĪd al-Fiṭr) buat semua pembaca!

Moga rahmat dan keampunan ALLAH senantiasa bersama kita. Moga keberkatan Ramadan mengiringi hidup kita sepanjang bulan-bulan mendatang.

Sambutlah Eid al-Fitr dengan sederhana, dengan selalu memperingatkan diri sendiri bahawa, Eid al-Fitr ini cuma untuk mereka yang berusaha. Moga kita tidak termasuk dalam golongan yang membazir dan melampau batas.

Cukuplah merasakan bahawa kegembiraan dan kesempatan untuk menyambut Eid al-Fitr ini adalah tidak lain tidak bukan hanya kerana rahmat ALLAH ke atas diri ini, bukanlah atas alasan merit Ramadan untuk mendapat hak bergembira pada hari ini.

Saya merendah diri akan hal ini, mengingatkan bahawa untuk bergembira sakan menyambut Syawal, sudah tentu diri ini masih belum layak. Untuk mendabik bahawa sudah memenangi ujian Ramadan, kedengarannya seolah-olah sangat menipu diri sendiri. Mereka yang tidak putus mengejar erti sebenar Ramadan dan mereka yang mampu membawa semangat Ramadan selepas 1 Syawal.

Tentu sekali, untuk bercakap soal itu, tidak dapat tidak kita akan merasakan betapa kecilnya kita berbanding Tuhan yang Maha Kuasa. Setiap kali menjelang Eid al-Fitr, saya gemar mengingatkan diri sendiri bahawa Eid al-Fitr ini hanya layak untuk mereka yang berusaha tika Ramadan.

Kita bergembira menyambut Eid al-Fitr beriringan dengan kesedihan bersama bahawa Ramadan sudah tiada lagi, yakni hanya dengan rahmat ALLAH sahaja memungkinkan kita untuk sampai ke Ramadan yang akan datang.

Sudah pasti untuk kita yang diberi rezeki untuk menyambut kedatangan Eid al-Fitr, dan menyambutnya bersama keluarga tercinta, tidak dapat menafikan bahawa inilah antara nikmat tuhan yang wajib disyukuri.

Alhamdulillah, berkat dan rahmat-Nya sekali lagi menyampaikan kita ke hari yang penuh mulia ini, yang menjadi satu penyaksian kepada kejayaan kita melawan hawa nafsu, mendidik jiwa untuk tunduk kepada fitrah selama sebulan.

Berbahagialah!

Monday, July 13, 2015

Setahun Berlalu

Melintasi pintu gerbang yang menjadi pemisah sempadan antara Terengganu dan Pahang di lebuh utama dua negeri Pantai Timur itu, setelah setahun berlalu untuk balik beraya di kampung, ternyata benar tidak banyak ketara berubah berbanding setahun yang lepas. Cuma kelihatan jalan-jalan antara Kuantan dan Kemaman semakin merah cerlung akibat ulang alik lori berat mengangkut bauksit.

Di pekan kecil Chukai pun sama. Masih begitu. Deretan kedai-kedainya, susun atur hiasan bandarnya. Kalaupun ada yang berubah, mungkinlah pada penambahan sedikit struktur binaan baru berupa jambatan pendek yang melintang terusan sempit berdepan dengan Surau Tuan Haji Abdul Rahman Limbong. Surau itu, kelihatan wajah fiziknya makin musnah. Entahlah.

Jauh sedikit keluar dari keserabutan pekan kecil itu menghala ke Kijal, ternyata setelah setahun akhirnya jambatan bertingkat-tingkat hasil idea Mat Said yang melintasi Sungai Cukai sudah siap, tersergam keras. Khabarnya, sudah berkali-kali kemalangan maut berlaku di atas sana, termasuklah kereta terjun jambatan dan manusia terjun membunuh diri ke dalam sungai.

Kemaman masih dian begitu. Tidaklah sesunyi desa, pun begitu, tidaklah juga sebising bandar-bandar besar. Dalam membatu begitu, daerah itu semakin mahal. Makanannya jika berbanding harga di Kuala Lumpur, jauh lebih baik kota raya itu. Demikian juga khabarnya nilaian hartanah di sini semakin mahal berganda-ganda, berbanding daerah jirannya, Dungun.

Semua itu, disebabkan operasi industri petroleum. Juga perkapalan dan beberapa industri berat lagi sekitar kawasan pelabuhan Kemaman mengunjur ke Paka. Semua itu, menjadi faktor pemberat kepada para pengusaha restoran dan juga pemaju perumahan untuk mengambil kesempatan dan mengaut untung semaksimum mungkin. Pada mereka, orang Kemaman kaya-kaya semuanya.

Di kampung-kampung sekitar, masih jua begitu. Tidak banyak yang punya perubahan ketara selain dari banyak tanah-tanah kosong atau yang dulunya hanya semak samun kini sudah terang disodok jentolak, diratakan untuk pembinaan deretan rumah-rumah kediaman baharu. Telah saya, mungkin faktor ekonomi yang memudahkan dan peningkatan permintaan dari pasaran.

Pekan ini, jika mahu dibuat unjuran 10 tahun mendatang, tidak sukar untuk menerobos sejauh itu. Chukai akan terus berkembang. Cuma kadar perkembangannya itu tidaklah secepat bandar-bandar besar lainnya. Paling tidak, 10 tahun lagi deretan rumah-rumah kedai buruk di tepian jalan menghadap simpang utama Chukai itu mungkin sudah tiada sedikit masa nanti.

Juga lain-lain bangunan lama, akan turut menerima nasib yang sama. Jika tidak berganti dengan deretan rumah kedai baharu, besar kemungkinan akan bertapaknya bangunan pencakar untuk kompleks perhotelan, pusat beli belah bertingkat dan apartmen kelas pertengahan. Semua itu tidaklah mustahil, selagi Chukai masih kekal dengan gelaran bandarnya.

Melihat semua ini, kita boleh terus bercakap seharian soal berubah itu dan ini, soal pembangunan dan sebagainya. Jeliknya, kita sering kali alpa, dalam pada ghairahnya menuju ke arah itu, sudah puluhan hektar hutan bakau di persisiran Sungai Cukai dan Sungai Kemaman menjadi mangsa, makin berkabutnya udara pekan kecil itu yang sepatutnya segar dengan bau payau muara sungai.

Jika adapun yang berubah dengan ketara setelah setahun ini, adalah betapa hodohnya pemandangan sekitar Taman Bakau Tinggi akibat jambatan batu yang berlingkaran sekitarnya. Dan juga betapa makin gondolnya bakau yang bening menghiasi sepanjangan jalan dari Bukit Kuang menghala ke Kijal. Yang tinggal kini, premis industri berat yang meracik angkuh sepanjangan jalan.

Demikianlah halnya, selampir pemerhatian ringkas sementelah berlalunya setahun bermula sambutan lebaran setahun yang lepas, sehingga hari ini, ketika menjejak kaki pulang ke kampung tika bas ekspres menelusur perlahan memasuki kawasan perhentian terakhir di Stesen Geliga, tenang bersekali mengajak fikiran menggamit ingatan-ingatan yang dulu-dulunya.

Begitulah, jua pada diri sendiri, setiap kali bersambutnya lebaran, akan direnung segala perubahan yang melingkar sepanjangan tahun-tahun sudah. Pada pemikiran, pada cara memandang, pada fiziknya, pada cara berfikir dan menanggapi sesuatu. Jika di luar sana, bandar kecil itu makin berubah dan berkembang, sewajarnya, diri sendiri juga wajib begitu.

Friday, July 10, 2015

Interaksi Id, Ego dan Superego

Antara kekeliruan terbesar dalam memahami juzuk-juzuk perbincangan psikoanalisis yang dianjurkan oleh Freud adalah mengenai bagaimana Id, Ego dan Superego berinteraksi antara satu sama lain dan berhubungan sehinggakan mampu memandu setiap individu dalam membuat keputusan dan bertindak serta bagaimana untuk beremosi.

Dalam nota sebelum ini, ketika cuba untuk memahami ketiga-tiga entiti akal tersebut, saya ada menulis bahawa Id, Ego dan Superego terbentuk hasil daripada berlakunya penindasan atau proses menekan tabii-tabii (drives) manusia yang sejak dahulunya lagi telah pun wujud dan berevolusi dari satu peringkat ke peringkat lainnya.

Baca: Memahami Id, Ego dan Superego

Proses menindas (mengawal/menahan diri) atau disebut oleh Frued sebagai repression begitu berjaya, dan semua itu berlaku semenjak dari peringkat umur manusia masih lagi bayi sehinggalah mencecah umur dewasa. Proses sebegitu akhirnya membentuk keadaan ketidaksedaran (unconscious) setiap individu.

Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa, segala unconscious yang terbentuk itu tidaklah semuanya akan membentuk entiti Id yang berfungsi mempengaruhi Ego. Tetapi, semua Id yang terbentuk adalah akibat unconscious. Demikian jua halnya yang terjadi pada Ego dan Superego. Unconscious boleh membentuk Ego, dan akhirnya akan dilawan semula oleh Id.

Semua ini berlaku di peringkat pemikiran sahaja. Id, Ego dan Superego bukan suatu anggota badan, atau boleh diwakili dalam mana-mana anggota badan. Mereka tidak ada lokasi tertentu dalam badan manusia. Mereka bukanlah organ seumpama jantung untuk mengepam darah dan apa-apa yang berbentuk fizikal.

Mereka adalah juzuk yang tidak bersifat materi. Ianya adalah model pemikiran yang berstruktur yang berfungsi mengatur aktiviti-aktiviti akal. Pertama, jika ada yang bertanya bahawa, apa itu Id, Ego dan Superego, mungkin penjelasan Freud dalam bukunya The Question of Lay-Analysis akan banyak membantu,

“It will soon be clear what the mental apparatus is: but I must beg you not to ask what material it is constructed of. That is not a subject of psychological interest … We shall leave entirely on one side the material line of approach, but not the spatial one. For we picture the unknown apparatus which serves the activities of the mind as being really like an instrument constructed of several parts (which we speak of as ‘agencies’), each of which performs a particular function and which have a fixed spatial relation to one another: it being understood by that spatial relation – ‘in front of’ and ‘behind’, ‘superficial’ and ‘deep’ - we merely mean in the first instance a representation of the regular succession of the functions.”

Mereka adalah agensi-agensi dalam pemikiran manusia. Mereka bertugas untuk memandu manusia dalam membuat keputusan, beremosi, bertindak, berfikir dan segalanya, termasuklah dalam menafikan atau mengiakan sesuatu. Mereka boleh bertindak sebagai pembentuk karakter, atau pemberi tekanan, juga komponen naluri dan daya seseorang.

Ketiga-tiga juzuk atau agensi akal itu akan bergulat dan berkelahi sesama mereka. Tiada istilah Ego adalah tuan rumah untuk segalanya, kerana Id dan Superego akan menjadi penimbangtaraan antara mereka semua. Mungkin tidaklah keterlaluan untuk dikatakan bahawa keadaan Ego tidak ubah seumpama ditelan mati emak, diludahkan mati bapa.

Pada Freud, peralihan beliau untuk menggunakan frasa Id, Ego dan Superego dalam karya-karya selanjutnya berbanding kebiasaan model topografi jiwa manusia iaitu unconscious, preconscious dan conscious adalah kerana pada beliau, Id, Ego dan Superego lebih tepat untuk menerangkan gambaran dimensi mengenai jiwa manusia keseluruhannya.

Saturday, July 4, 2015

Faham Seks Menurut Freud

Dalam wacana psikoanalisis yang dimajukan oleh Sigmund Freud, perbincangan mengenai seks dan faham sekitarnya adalah begitu menonjol dan menjadi pemusatan kepada banyak cabang teori psikoanalisis yang lahir terkemudiannya. Malah, dengan faham seks yang dicarakan oleh Freud inilah jua menjadi penyebab kepada perkembangan lanjut psiko-seksual setiap manusia bermula usia kanak-kanak lagi.

Freud percaya bahawa kehidupan manusia itu selanjutnya terbina atas kapasiti mereka yang mahukan keseronokan dan kenikmatan yang tiada berkesudahan. Dan segala ini adalah akibat kesan libido, suatu bentuk tenaga asas yang diperlukan untuk memenuhkan keperluan biologi dan menangani cabaran dari alam, termasuklah untuk tujuan kemandirian spesiesnya.

Keinginan untuk terus mandiri, berasa selamat dan sihat, serta mampu menjalani kehidupan dengan baik itu dinamakan sebagai Eros. Makanya, tabii seks ini adalah sebahagian daripada Eros. Dengan Eros ini juga, wujudnya libido. Semua ini, akan bergerak ke arah satu matlamat yang sama iaitu mencari kesedapan dan kenikmatan, iaitu seks dan hubungan seksual.

Pada Freud, seks yang beliau majukan bukan seperti dalam konotasi yang biasa kita fahami. Pada Freud, seks itu adalah segalanya yang berkait dengan kehidupan seharian manusia. Boleh jadi, pada Freud, aktiviti makan itu sendiri pun dapat dikategorikan sebagai perilaku seks kerana ianya juga bermatlamatkan untuk mencari kenikmatan dan kesedapan, selain dari kekenyangan.

Freud mulanya resah, apabila memikirkan manusia rata-ratanya sudah tersongsang arah dalam menanggapi persoalan seks. Pada beliau, seks itu jikalau wujud hanya kerana pada alasan manusia mahukan kemandirian, mengapa mereka perlu bersusah payah dengan segala macam kesongsangan seksual, sedangkan seks itu semudah penis bertemu vagina.

Freud memahami keadaan ini dalam rangka evolusi. Manusia bergerak dan berevolusi, demikian jua aktiviti pembiakan spesies. Dan semua ini terjadi dalam tahap ketidaksedaran (unconscious). Pada awal mulanya aktiviti seks yang bertujuan untuk mandiri spesies itu sekadar pertemuan penis dan vagina, kini telah berubah dalam pelbagai variasi bentuk dan kesongsangan.

Dalam perbahasan ini, boleh dikatakan motif Freud adalah beliau mahu memahami tentang mengapa adanya segolongan manusia yang bernaluri gay, atau lain-lain kesongsangan (pada Freud, LGBTQ termasuk dalam kategori songsang), mempunyai keinginan pada perkara-perkara berbentuk fetish, dan sebagainya untuk mencapai kenikmatan dan kesedapan seks.

Justeru, Freud mengutarakan teori perkembangan psiko-seksual yang mempunyai beberapa peringkat fasa perkembangan mengikut kadar umur semenjak kelahiran bayi lagi. Adalah baik untuk diingatkan lagi bahawa, Freud sangat berpegang bahawa naluri seksual manusia terbentuk akibat kebelengguan dan tekanan/penindasan yang mereka alami semenjak kecil lagi.

Maka, terzahirnya naluri seksual mereka adalah akibat keadaan ketidaksedaran seseorang itu alami. Ketidaksedaran ini telah dibentuk semenjak lahir lagi, seperti mana yang diutarakan dalam setiap fasa perkembangan psiko-seksual manusia bermula umur bayi sehinggalah mencapai umur baligh. Belenggu perasaan dan penindasan itu berlaku antara anak, ibunya, dan bapanya.

Fasa-fasa perkembangan dalam teori psiko-seksual ini juga kelak akan menjelaskan mengapa masyarakat melihat heterosexual sebagai normal dan lain-lain bentuk seksual itu dikatakan songsang. Hal ini terbentuk akibat pemindahan cara manusia menanggapi keadaan sekitarnya, yang awalnya bermula dalam rangka natural kemudiannya bertukar mengikut rangka sosial.

Natural bermaksud, manusia lahir dalam keadaan mereka memerlukan asuhan untuk mandiri dan berdikari, tidak seperti mana lain-lain binatang. Akibat daripada keperluan asuhan inilah, akan mewujudkan rangka kedua iaitu sosial, yang menjadi unsur terpenting terhadap pembentukan identiti dan psyche manusia terutamanya dalam konteks seksual.

Freud percaya bahawa manusia terbentuk akibat rasa keterikatan mereka dengan beberapa anggota badan mereka yang mampu memberikan mereka rasa nikmat dan sedap (pleasure). Jadinya, dalam teori psiko-seksual, Freud memajukan beberapa fasa penting yang semuanya mempunyai faktor anggota badan dan fungsinya dalam memberi rasa nikmat dan sedap.

Bermula dari fasa Oral ketika berusia 0-1 tahun, kemudian berpindah ke fasa Anal ketika berusia 1-3 tahun, dan kemudiannya ke fasa Phallic pada ketika usianya dalam lingkungan 3-6 tahun (fasa terpenting ketika ini kerana terbentuknya Oedipus Complex), kemudiannya mengalami fasa Latency pada usia 5 tahun sehingga ke umur matang, dan kembali ke fasa Phallic sehingga mencecah umur dewasa.

Kesemua fasa-fasa dalam perkembangan psiko-seksual ini akan dijelaskan dengan lebih mendalam dalam tulisan selanjutnya. Untuk kali ini, cukuplah dengan kita menyimpulkan bahawa, kesemua fasa ini membawa kepada pembentukan ketidaksedaran (unconscious) dalam diri setiap manusia, terutamanya lelaki yang membawa kepada pembentukan lanjut identiti dan naluri seksual mereka.

Dalam proses perkembangan ini, perkara terpenting yang berlaku adalah pertentangan atau pertembungan antara bayi/kanak-kanak lelaki dengan ibunya, dan bapanya sendiri. Keterikatan bayi lelaki pada ibunya dan kecemburuan mereka terhadap bapanya, adalah proses yang tidak dapat tidak wajib berlaku dari rangka natural manusia selaku haiwan yang perlukan asuhan untuk berdikari.

Namun begitu, dalam teori ini juga, rangka sosial akan memainkan peranannya untuk membentuk personaliti mereka terutamanya dari fasa Phallic ke fasa Latency dan kemudiannya kembali semula ke fasa Phallic. Di fasa Phallic, budak lelaki akan terdorong seksual mereka terhadap ibunya sendiri dan perasaan mereka terancam pada kewujudan bapanya, seumpama pesaing.

Semakin meningkat umur mereka, dalam fasa Latency, mereka mula menyedari akan ketidakbolehan dorongan seksual begitu. Akibatnya, mereka merasa guilt, ketakutan dan segalanya, yang menggambarkan dalam fasa ini, mereka mula mengalami kesedaran tertentu, yang akhirnya mempengaruhi mereka kepada menjalankan defense mechanisms.

Antara lain, akibatnya, mereka akan mula menyesuaikan diri dalam konteks sosial, seperti dijelaskan awal-awal tadi bahawa rangsa sosial juga menjadi faktor terpenting dalam pembentukan personaliti dan naluri seksual budak lelaki. Defense mechanisms ini, menyebabkan budak lelaki yang kemudiannya bergerak semula ke fasa Phallic akan mencari pengganti kepada ibunya untuk kepuasan seksual.

Dalam fasa Phallic, mereka akan sedar pada kehendak seksual dan mula mencari pasangan yang berlainan jantina semata-mata untuk kepuasan seksual dan rasa keterikatan yang pada awal mulanya itu, mereka boleh dapatkannya dengan ibu mereka sendiri. Mudahnya, mereka mencari pengganti ibu mereka. (Ketidaksedaran: lelaki sebenarnya mahukan ibu mereka sendiri secara seksual.)

Pada Freud, proses dan pembentukan dalam fasa-fasa inilah yang kemudiannya menentukan seseorang lelaki itu menjadi heterosexual atau sebaliknya. Jikalau mereka melalui kesemua fasa ini tanpa sebarang gangguan, maka lahirlah mereka sebagai heterosexual. Jika fasa-fasa ini terganggu atau tergendala, makanya pembentukan psiko-seksual tidak lagi ke arah heterosexual.

Namun begitu, teori psiko-seksual ini tidak lagi diterima sebagai teori sains. Ianya pada masa kini hanya dianggap sebagai narrative account, yang mengambil kira bahawa ada kemungkinan manusia memang terbentuk personaliti, rangsangan, naluri dan psyche mereka akibat dari proses ketidaksedaran yang berlaku semenjak mereka bayi lagi.

Teori psiko-seksual ini turut mengundang kritikan terhadap Freud sendiri akibat ketidaklengkapan teorinya, yang seolah-olah begitu bias pada lelaki serta, tidak kurang yang mengkritik Freud kerana tiada bukti secara empirikal yang boleh menjadi sandaran kepada teorinya untuk diiktiraf umum. Namun begitu, kesinambungan logik dalam teori ini tidaklah dapat dinafikan sepenuhnya.