Monday, June 29, 2015

Kemaskini Bibliografi (Jun 2015)

Berikut merupakan senarai buku yang memasuki koleksi bibliografi sepanjang bulan Jun ini. Entah mengapa, kini nafsu membaca telah mengarah beralih kepada karya-karya berbahasa Melayu, dari penulis-penulis tempatan terutamanya siri karya Sasterawan Negara dan penulis-penulis karya klasik Melayu.

Namun begitu, antara perkara yang paling menggembirakan adalah apabila tuhan mempertemukan saya dengan buku Tragedi Nadra tulisan Haja Maideen, edisi pertama yang berbahasa Melayu. Kalau tidak silap, sudah hampir 2 tahun saya mencari buku ini di merata tempat, namun tidak ketemu jua.

Sehinggalah ada seorang hamba ALLAH ini sudi mempelawa buku ini yang dalam simpanannya kepada saya dengan sekian harga yang cukup berpatutan, jika dibandingkan dengan nilaiannya sekarang. Kalau di MPH, mereka cuma ada yang edisi Inggeris dan stoknya cukup terhad. Jika mahukan itu, perlu hubungi mereka secara direct.

Memang tidak dinafikan, bahawa bukanlah senang untuk mencari dan mendapatkan beberapa judul karya tertentu terutamanya yang sudah bertaraf langka dan nadir, tiada lagi cetakan terbaru dan penulisnya juga telah lama meninggal dunia. Namun begitu, semuanya bergantung pada rezeki tuhan dan nasib yang baik.

  1. Abdullah, Azizi Haji. 2006. Sangeetha. 1st. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  2. Abdullah, Munsyi. 1997. Hikayat Abdullah. 7th. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
  3. Adabi, Abdul Kadir. 1992. Melati Kota Bharu. 2nd. Diedit oleh S. Othman Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  4. Ghani, Abdul Mutalib Abdul, ed. 1991. Syair Siti Zubaidah Perang China. 2nd. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  5. Gillings, Annabel. 2006. Brunel. 1st. London: Haus Publishing.
  6. Ibrahim, Azhar. 2014. Bahasa dan Tantangan Intelektualisme. 1st. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
  7. Jaaffar, Johan. 1977. Sandera: Kajian Dari Beberapa Aspek. 1st. Petaling Jaya: Karangkraf.
  8. Jaffar, Kamarudin. 2000. Dr. Burhanuddin Al-Helmy: Pemikiran dan Perjuangan. 2nd. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar (IKD).
  9. Kerouac, Jack, and Joyce Johnson. 2001. Door Wide Open: A Beat Love Affairs in Letters, 1957-1958. 1st. New York: Penguin Books.
  10. Mahmud, Maaruf. 1993. Anak Din Biola. 4th. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  11. Maideen, Haja. 1989. Tragedi Nadra. 1st. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.
  12. Malaka, Tan. 2012. Parlemen atau Sovyet? 4th. Diedit oleh H. Asral Datuk Putih, Abi Setyo Nugroho, Erwin Jr dan Harry Poeze. Jakarta: LPPM Tan Malaka.
  13. —. 2006. Uraian Mendadak. 1st. Edited by SH DP. Asral. Jakarta: CV. Mus.
  14. Mas, Keris. 1992. Anak Titiwangsa. 2nd. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  15. Moeis, Abdoel. 1995. Salah Asuhan. 3rd. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  16. Ridhwan, Anwar. 2009. Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman. 1st. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  17. Said, A. Samad. 1995. Di Hadapan Pulau. 3rd. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  18. —. 1991. Wira Bukit. 2nd. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  19. Scruton, Roger. 2001. Kant: A Brief Insight. 1st. New York: Sterling Publishing.
  20. Shellabear, W.G. 1995. Sejarah Melayu. 30th. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.
  21. Thukul, Wiji. 2015. Aku Ingin Jadi Peluru. 1st. Kota Bharu: Kedai Hitam Putih.
  22. Wati, Arena. 1986. Sandera. 8th. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
  23. —. 1991. Turina. 1st. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
  24. Zainuddin, Othman Haji. 2009. Laila Majnun. 1st. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Friday, June 26, 2015

Memahami Id, Ego dan Superego

Penulisan yang lepas, saya cuba memahami kerangka besar wacana psikoanalisis, dan dalam tulisan itu, dinyatakan bahawa punca pertama kepada keadaan ketidaksedaran (unconsious) yang berlaku pada diri manusia adalah yang disebut sebagai pre-reflective drives, yang saya majukan terjemahannya kepada tabii. Menurut Freud, tabii manusia paling utama adalah rangsangan seksual.

Makanya, apa yang saya fahami dari kupasan Fuad Rahmat, akibat dari proses manusia yang semakin berkembang dan pergerakan zaman, rangsangan seksual semakin cenderung dilihat sebagai suatu benda yang berbaur negatif, yang akhirnya perlu kepada mekanisme untuk menyekat dari tabii tersebut bermaharajalela. Justeru, timbulnya entiti baru yang disebut sebagai Ego.

Ego tidak berseorangan. Ianya wujud bersekali dengan entiti lainnya iaitu Id dan Superego. Baiklah, kali ini kita akan berbicara lebih menumpu pada ketiga-tiga entiti ini. Ego itu boleh dikatakan sebagai ‘I’ atau ‘Aku’, yang menjadi wakil kepada juzuk diri perseorangan, atau pusat kesedaran buat diri masing-masing. Ego menjadi tempat sesuatu fikiran atau dorongan atau hasrat timbul.

Namun, Ego ini sifatnya baik. Maksud saya, Ego menyebabkan manusia cuba menjadi baik, atau kata lainnya, mengikut apa yang norma sekeliling. Ianya sukar bagi Ego untuk menjadi begitu, kerana banyak kalinya ia gagal, tidak lain lantaran wujudnya Id. Entiti yang bernama Id ini adalah kumpulan tabii yang tidak terkawal serta amat bebas. Mungkin kita boleh katakan ia sebagai nafsu.

Akibat mahu menjadi baik, atau mengikut norma masyarakat, Ego akan terpaksa berlawanan dengan tabii sepanjangan masa. Perkelahian ini akan menghasilkan repression atau satu tindakan memendam atau menindas. Tiada lain, tujuannya untuk mengikut acuan yang ideal yang diterima khalayak. Pada tahap ini, Superego memainkan peranan yang cukup besar.

Superego adalah entiti yang menjadi pengimbang antara Id dan Ego. Ianya adalah bentuk “Ego yang ideal” yang sewajarnya Ego menuruti kata, tunduk dan patuh. Justeru, dalam proses memendam tabii atau rangsangan seksual terutamanya, Superego menjadi juru nasihat kepada Ego, perihal bagaimana ianya patut berbuat. Dalam keadaan begini, Ego sebenarnya tersepit.

Seumpama ditelan mati emak, diludahkan mati bapa, itulah akan hal keadaannya Ego. Ianya sentiasa dalam keadaan serba salah. Untuk menjadi manusia yang baik, akan ditentang oleh Id dan jika ianya mahu mengikut suruhan Id, kelak akan dimarahi oleh Superego. Jika kita merasa bersalah apabila berbuat sesuatu, ketahuilah bahawa itu adalah kerja Superego yang timbulkan rasa bersalah.

Mudahnya begini, kita ambil contoh Freud yang mendakwa bahawa rangsangan seksual adalah tabii paling utama. Katakan, seseorang itu mahu beronani. Id akan memainkan peranan terpenting dalam menjayakan kehendak tersebut. Namun, pada masa yang sama hadirnya Superego memberi peringatan soal dosa beronani (mungkinlah) pada Ego.

Jadi, Ego akan berkelahi dengan tabii atau rangsangan seksual untuk beronani. Id menjadi pendorong utama dan Superego cuba menjadi penghalangnya. Pergelutan itu, akhirnya membawa kesengsaraan kepada Ego. Dalam mendepani kesengsaraan ini, pada Freud, Ego telah atau akan bertindak balas dengan mengguna pakai beberapa mekanisme pertahanannya (defense mechanisms).

Sebut sahaja perihal defense mechanisms, tentu kita boleh bayangkan apa sahaja cara yang digunakan oleh Ego untuk bertahan. Mungkin ianya akan menafikan kehendak tersebut, atau terus memendam jauh kehendak tersebut, atau mungkin juga menjadi positif dengan menjadikan kehendak itu sebagai faktor untuk melonjak atau batu loncatan. Mungkin.

Jadinya, perbincangan psikoanalisis tidak menjadi lengkap jikalau kita tidak dapat memahami bagaimana ketiga-tiga entiti atau juzuk dalam diri ini bekerja untuk menjayakan satu-satu hasrat atau kehendak atau cita-cita. Jika diperhatikan sejenak, lahirnya rangsangan seperti ‘mimpi-mimpi’, ‘harapan’ atau ‘cinta’ atau lain-lain itu, juga hasil dari pergelutan ketiga-tiga entiti ini.

Mungkin boleh dibuat tanggapan awal, dengan menyetujui Freud bahawa, jika manusia berjaya dalam menganalisis diri individualistik masing-masing secara jujur, makanya yang akan lahir kelak adalah diri individu yang sihat, dengan maksud punya keperibadian yang jelas dan lagi terkawal. Mungkin inilah juga maksud Freud pada wacana psikoanalisis ini.

Wednesday, June 24, 2015

Sejarah Natrah Yang Dilupakan

Semalam, ianya giliran saya menjadi pembentang bagi aktiviti mingguan +‘Tidak Selain Buku’ Book Café. Saya memilih untuk membentang buku tulisan Fatini Yaacob yang berkisar tentang gadis Belanda bernama Nadra atau popularnya dengan panggilan Natrah.

Tidak dinafikan, membaca tulisan Fatini Yaacob ini berkali-kali pun tidak pernah jua mendatangkan jemu.

Bahkan, setiap kali membacanya, pasti akan teresak bersendirian, walau sudah pun maklum akan jalan penceritaan dan pengakhiran kisah hidup Natrah dan Mansur itu bagaimana.

Tapi, itulah hakikat kisah Natrah ini, yang tidak jemu untuk mengundang air mata bertamu untuk sekian kalinya saban pembacaan. Moga Allah merahmati dan mengampuni roh Natrah dan Mansur di alam sana.

Di akhir pembentangan, timbul persoalan, perihal akan mengapa kisah dan sejarah ini tiada digembar-gemburkan sehingga ke generasi hari ini, tiada dokumentari yang adil dan lengkap, tiada tersikap segala butir sejarah dan permainan jahat penjajah dalam teks-teks sejarah yang diulang baca di sekolah-sekolah.

Kalaupun ada, nama Natrah tidak lebih dari sekadar memenuhi senarai mereka yang murtad!

Mengapa hal begini berlaku, sedangkan kisah Natrah pada tahun 1950 ini, kalaupun tidak sepenuhnya, tetapi langsung tidak boleh dinafikan akan bagaimana ianya memberi kesan atau sumbangan terhadap kebangkitan semangat nasionalis yang akhirnya, semangat itu telah berjaya menghalau kolonial penjajah dari muka bumi Tanah Melayu 7 tahun kemudiannya!

Mengapa kita begitu betah dan malu dan segan pada sejarah sendiri untuk diceritakan pada generasi sekarang ini, sedangkan kisah beginilah yang cukup ampuh untuk membina jati diri warganegara yang patriotik dan berjiwa merdeka, dan pada masa yang sama kita begitu berbangga pada kisah-kisah yang remeh-temeh, bersifat runcitan dan penuh kepolitikan yang membodohkan.

Jika ditanya rata-rata mereka yang kononnya Generasi-Y, berapa kerat sangatlah yang benar membaca akan kisah ini, yang kenal siapa Natrah, siapa Mansur Adabi, dan siapa mereka yang telah berjuang bermati-matian di Singapura, dan yang sedar dan insaf permainan kotor penjajah dan hikmah pengajaran dari peristiwa berdarah dan air mata ini.

Natrah tidak cuma berkisar soal perebutan hak penjagaan dan isu anak angkat. Ianya lebih dari itu. Senaraikan sahaja, baik ianya soal akidah seorang anak gadis yang sedang meningkat remaja, atau soal pentabrakan cinta yang tulus dan penafian pada sebuah perkahwinan yang sah, atau soal maruah orang Islam dan undang-undang Islam yang diperkotak-katikkan, dan banyak lagi.

Amatlah rugi diri kita sendiri apabila kita memilih untuk membutakan mata dari belajar semua ini, dari menyelak semula lembaran sejarah pedih ini.

Lagi rugi, bahkan mengundang sekian banyak kesal, apabila kita sendiri yang menjadi batu penghalang untuk masyarakat mempelajari sesuatu dari kisah ini. Bukan sekadar itu, kita pula yang menjadi pemutar belit sejarah demi politik sempit tidak berkesudahan.

Sudahnya, kisah dan sejarah Natrah ini mahu dilempar ke mana, kalau bukan kita sendiri yang memikul beban untuk mencerahkan masyarakat pada lembaran duka ini.

Amatlah berduka hati ini, apabila ditimbulkan sahaja nama Natrah ketika bersembang dengan kawan-kawan lainnya, rata-rata hanya menggelengkan kepala, bahawa mereka tidak tahu langsung siapa Natrah.

Mengapa sebegini jelik sekali, kita melayan sejarah bangsa dan agama kita sendiri, sedangkan mereka di dunia lain berlumba-lumba menceritakan, mendokumentasikan, mengajar pada anak bangsa mereka, butir-butir dan lelah liku sejarah yang telah ratusan tahun diharungi, tanpa merasa apologetik, rendah diri, bahkan berbangga dengan kisah sejarah mereka dulunya.

Mengapa nama Natrah dilupakan langsung?

Mengapa tiada yang kenal sudah siapa Mansur Adabi?

Mengapa tiada generasi sekarang yang maklum siapa Karim Ghani, Dr. Burhanuddin Helmy, dan ramai lagi?

Mengapa tiada siapa tahu bahawa Che Aminah, rumahnya di Kemaman itu, telah menjadi saksi membesarnya 2 anak gadis dari Timur dan Barat?

Semegah begini kisah Natrah, sehinggakan gambar-gambar perkahwinannya dan rusuhan pada 11 Disember 1950 itu terpampang di muka depan akhbar sehingga ke bumi United Kingdom, Arab Saudi dan Belanda, jika ditanya rata-rata remaja zaman sekarang akan siapa gerangan gadis bernama Natrah, mereka akan cuma mampu menggelengkan kepala, tidak tahu menahu.

Alangkah ruginya kita sendiri!

Alangkah...

Baca: Ulasan Buku: Natrah - Cinta, Rusuhan, Air Mata oleh Fatini Yaacob

Sunday, June 21, 2015

Perihal Kemunduran Ekonomi Melayu

Kesimpulan akhir yang dikeluarkan hasil Sidang Meja Bulat Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pada 17 Jun yang lepas, mendapat reaksi yang pelbagai dalam kalangan masyarakat yang peduli. Kesimpulan-kesimpulan itu jelas menunjukkan Melayu terus menjadi kumpulan yang terpinggir dalam persaingan ekonomi dan kekayaan di Malaysia.

Reaksi khalayak, kita boleh buat jangkaan sendiri. Tipikal khalayak yang belum cukup akal yang kedapatan ramai di Facebook, mereka tidak segan silu menyalahkan Cina sebagai sebab utama kemunduran ekonomi Melayu. Mereka pergi lagi jauh dengan menyalahkan DAP, tidak ketinggalan juga mereka terus menerus menyalahkan kolonial penjajah.

Dalam keributan begini, amat suka untuk saya anjurkan kepada rakan-rakan 2 buah buku untuk bacaan ringan santai, untuk berikan kita sedikit faham tentang bagaimana kita bersikap pada isu yang tiada putus kesinambungannya saban tahun, iaitu: i) Dilema Melayu oleh Mahathir Mohamad, dan ii) The Colour of Inequality oleh Muhammed Abdul Khalid.

Kedua-dua buku ini amat ringan untuk dihadamkan, pun begitu isi kandungannya cukup padat untuk memberi kita faham pada konteks dan latar belakang sejarah isu kemunduran Melayu dalam ekonomi. Faham ini penting, supaya kita tidak terperangkap dalam arus pandangan bandwagon, yang banyaknya bersifat populis dan penuh kepolitikan.

Mahathir bermula dengan konteks sejarah dan kesan penjajahan pada kaum Melayu. Beliau kemudiannya menulis perihal monopoli Cina yang menyebabkan Melayu mundur. Kemudiannya beliau menulis perihal kaum Melayu dan sikap-sikapnya sendiri yang menyebabkan mereka jadi mundur begitu dalam ekonomi.

Demikian jua pada buku kedua, yang ditulis oleh Dr. Muhammad turut bermula dengan menceritakan latar belakang sejarah yang membayangi permasalahan kesenjangan kekayaan yang berlaku pada hari ini. Pada bab-bab seterusnya, perbahasan penulis begitu padat dan memuaskan untuk kita faham isu ini dengan lebih baik.

Walaupun buku Mahathir itu ada isu yang tersendiri lantaran tulisannya yang bersifat itlak atau generalisasi, saya nasihatkan pembaca untuk mengimbanginya dengan membaca analisis dan kajian dalam The Colour of Inequality, kerana dari situ kita boleh faham mengapa isu kesenjangan kekayaan ini terus berlaku bersinambungan dari generasi ke generasi.

Dalam menginsafi isu ini, pada saya secara peribadi, saranan-saranan Dr. Muhammad dalam bukunya itu amatlah bernas untuk dimajukan lagi, dibawa ke depan oleh mereka yang bertanggungjawab dalam sektor-sektor tertentu. Kita yakin, masalah ini bukanlah bersifat kekal jikalau adanya tindakan-tindakan cekap dan penuh amanah dari pemerintah.

Pada akhirnya, isu ini berbalik pada asal permulaan iaitu soal ketelusan dan amanah dalam menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan mandatnya oleh rakyat kepada para politikus dan pemimpin negara. Jika mereka yang berada di posisi-posisi itu menjalankan tanggungjawab mereka dengan jujur, masalah ini sebenarnya sudah lama pun selesai.

Bacalah The Colour of Inequality, pembaca tentu akan bersetuju dengan saya bahawa segala permasalahan ini sebenarnya berpunca dari kegagalan menjalankan amanah yang telah diberikan. Dan hanya satu cara untuk merawat luka ini, iaitu dengan kita menendang kesemua pemimpin palsu dan melantik mereka yang benar layak untuk berada di posisi itu.

Friday, June 19, 2015

Ramaḍān dan Peringatan Buat Jiwa

Ramaḍān datang untuk memberi peringatan semula kepada kita, pada hakikat perlunya kita mundur setapak, bermuhasabah sejenak, untuk kembali semula kepada peri makna-makna penting yang menjadi tiang-tiang pada hakikat kejadian kita selaku hamba kepada Al-Khāliq. Peri makna ini, untuk sedarkan kita pada siapa kita dimiliki.

Tentu sekali, dalam pada untuk melaksanakan proses muhasabah begini, tiada model lain, yang lebih baik berbanding untuk kita kembali menyelak kisah dan sirah Muhammad ﷺ. Pada bagaimana untuk kita kembali menjadi manusia yang bersifat manusiawi, yang adil dan yang saksama, yang kasih dan saling mengasihi, dan saling menjaga maruah dan harga diri sesama manusia yang lain.

Ajaran-ajaran mulia ini, hanya kedapatan pada Muhammad ﷺ selaku model yang paling ideal buat umat Islam seluruhnya. Ramaḍān tiba untuk kembali mengingatkan kita peri darihal ini, bahawasanya kita ini tiada lebih tiada kurang antara satu sama lain, yang cuma membezakan darjat antara kita hanya tertakluk pada bagaimana kita beriman dan bertakwa kepada-Nya.

Ramaḍān mengajak kita untuk kembali belajar mengawal tabii semula jadi kita, mengasuhnya, sebagaimana Nabi ﷺ menunjukkan contoh penyucian jiwa pada tahap tertinggi biarpun ketika masih belum disampaikan wahyu oleh Tuhan yang menandakan kerasulannya, dengan meletakkan kehormatan pada maruah dan harga diri manusia di tempat yang paling atas untuk dijaga dihormati.

Demikian jua, semangat Ramaḍān ini adalah untuk mengajak manusia kepada saling hormat menghormati, menyayangi dan mengasihi. Untuk mengajak manusia tidak merasa lebih dari yang lain, untuk mengajak manusia sekaliannya berkongsi dengan apa yang dirasai oleh mereka yang senantiasa berkurangan sepanjangan masa sebelum Ramaḍān.

Ramaḍān tidak bersila bersekali dengan bermegah-megahnya jumlah harta yang kedapatan, atau juadah makanan yang bermewah. Ramaḍān beriringan dengan manusia yang mahu mencari Tuhan, yang tidak betah untuk menunduk hatinya sama ke bawah, memasung rasa tamak dan angkuhnya jauh menghenyak. Kerana, pada akhirnya bulan ini Tuhan mahu kita mencari-Nya, bukan mencari manusia lainnya.

Mencari Tuhan, membawa erti kita mahu mencari kebenaran. Hanya kembali kepada-Nya dengan sebenar-benarnya sajalah mampu membawa kita mencapai yang benar itu. Ramaḍān adalah sebuah ladang untuk ditanami segala yang baik, yang pemurah, yang rendah diri, yang kasih mengasih, yang saling bercinta. Hanya dengan itu, Ramaḍān kita ini disambut Al-Quddūs.

InshāʾAllāh.

Wednesday, June 17, 2015

Tentang Pakatan Rakyat dan Konsensus Politik Baru

Perangai aneh yang ditunjuki Pakatan Rakyat lewat setahun ini, adalah tanda-tanda besar betapa ianya sedang nazak menunggu ajal. Akhirnya, hari ini ajal itu tiba jua. Paling tidak terbubarnya Pakatan setelah sekian lama bermain tarik tali dan berpolemik yang tidak berkesudahan, boleh menyelamatkan banyak perkara terutamanya tenaga dari terus terperangkap bermain polemik.

Untuk sentimen ini, tentu sekali saya sangat bersetuju dengan nada dan keputusan tegas DAP. Jika mana-mana parti politik hanya gemarkan polemik yang tidak berkesudahan, dan akhirnya soal-soal yang lagi penting terperonyok sepi, tiada gunanya lagi mandat yang sudah kita berikan pada mereka untuk terus membawa suara-suara rakyat ke tempat yang sepatutnya.

Memang keputusan begini menjadikan kita merasa bingung, pada sebenarnya Malaysia dan politiknya ini mahu ke mana harusnya, dan bagaimana sepatutnya ianya berwajah untuk benar-benar menjadi sebuah kesepakatan atau muafakat politik yang ampuh demi menterjemah cita-cita perubahan yang sudah sekian lama dipendam dan menjadi hasrat ramai rakyat terbawah.

Pengakhiran begini, juga suatu bentuk pengkhianatan pada sebuah amanah dan kepercayaan. Walaupun saya merasa perpisahan ini memang diperlukan, namun adalah tidak adil untuk terus menutup kisah lama ini dari kita melawat semula pengalaman dulunya untuk belajar sesuatu dan memperbaiki kesilapan, agar untuk masa akan datang, tidak lagi pengkhianatan begini berulang.

Pengakhiran begini juga, memberi petunjuk bahawa Malaysia perlukan konsensus politik yang baharu. Konsensus atau permuafakatan dalam politik, pada hari ini, sudah mencapai taraf wajib buat pada mana-mana parti politik yang mahu bermain di gelanggang demokrasi. Tiada lagi istilah pemain solo dalam politik hari ini. Untuk terus hidup, politik perlu berkawan.

DAP tidak akan mampu berkeseorangan. Kini tahun 2015, bukan lagi 1965. Demikian jua pada PAS, PKR dan lain-lain parti politik. Untuk terus hidup, perlu mencari kawan berdamping. Bukan itu sahaja, juga wajib belajar untuk berkompromi, bermain tarik tali, bertolak ansur, hormat dan menghormati, dan paling penting, jujur pada amanah.

Bercakap tentang jujur dalam politik, boleh mengundang muntah hijau. Tiada istilah jujur dalam politik sebenarnya, cuma yang ada adalah rasa kebertanggungjawaban pada amanah dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Mana-mana parti atau permuafakatan yang boleh meletakkan kepentingan awam mendahului parti mereka, inilah wajah konsensus politik masa depan yang kita dambakan.

Kemelut politik akan menjadikan kita matang dalam keadaan payah dan sakit. Untuk membina sebuah negara dan bangsa yang kukuh dan maju, pengalaman-pengalaman begini tidak ternilai harganya. Mungkin kini, kita perlu membayar harganya dengan nilai yang sangat tinggi, namun, jangan sesekali kita lupa, pada sebuah optimisme cita-cita masa hadapan yang lebih baik.

Tuesday, June 16, 2015

Memahami Kerangka Wacana Psikoanalisis

Ianya bermula dengan soalan yang paling asas, iaitu: bagaimana mungkin kamu mahu mempertikaikan akan hal yang kamu sendiri tidaklah sedari akan kewujudannya, sebagaimana kamu menyedari akan bergeraknya masa dari pagi ke senja, atau lain-lain perkara yang jelas, dan kemudiannya kamu mendakwa bahawa “perkara yang kamu tidak sedari” itu wujud bersama dalam kehidupan ini.

Dakwaan pada wujudnya “perkara yang kamu tidak sedari” itulah yang menjadi premis kepada perbincangan dan wacana psikoanalisis. Atau bahasa Freud, disebut unconscious. Mudah untuk difahami, perbahasan psikoanalisis adalah tentang unconscious atau hal-hal yang tidak disedari, yang berlaku dalam diri setiap individu, dan akhirnya unconscious itulah yang banyak mempengaruhi pysche seseorang itu.

Psyche ini menjadi dalang utama kepada pembentukan watak seseorang, cara dan wadah tindakan mereka, emosi dan hal yang bersangkutan dengan perasaan, juga pada kewarasan seseorang dalam sebarang keputusan yang diambil, impian dan cita-cita, imaginasi, naluri dan tindak balas tertentu sama ada dalam bentuk fizikal atau sebaliknya, pada masa-masa tertentu.

Maka datangnya Freud mencadangkan psikoanalisis sebagai wacana untuk menganalisis psyche yang telah disebutkan tadi, atas sebab kita sendiri boleh meletakkan hipotesis awal betapa psyche itu memainkan peranan yang tersangat besar dalam menentukan bagaimana pada akhirnya setiap individu itu boleh membina kehidupan, mandiri dan membina masyarakat sekitarnya.

Perbincangan psikoanalisis adalah perbincangan mengenai aspek yang bukan fizikal (immaterial aspect) pada diri setiap individu. Darihal psyche, semua faham bahawa ianya adalah aspek yang bukan fizikal. Pada memahami psyche, Freud mencadangkan bahawa unconscious adalah faktor bitara yang menjadi tulang belakang kepadanya. Dan unconscious itu, adalah aspek yang tidak sama sekali fizikal bentuknya.

Pada Freud, unconscious terbina hasil dari hasrat-hasrat yang terpendam, yang tidak dilayan atau disebut sebagai unacknowledged wishes. Keberadaan hasrat-hasrat ini asalannya bukan hal yang asing atau dibuat-buat pada setiap individu, bahkan ianya memang wujud semenjak manusia sudah boleh berfikir dan memilih lagi. Hasrat terbina, adalah dari proses kehidupan seharian dan pemerhatian.

Bagaimana hasrat-hasrat ini menjadi terpendam dan tidak terlayan gamitnya, adalah akibat yang terhasil dari proses penafian atau penindasan atau penyangkalan pada sesuatu buah fikir tertentu, atau hasrat tertentu, yang wujudnya buah fikir atau hasrat itu, adalah hasil dari suatu aspek atau unsur yang paling dasar dalam wacana Freud, iaitu disebut sebagai pre-reflective drives.

Kata kuncinya, adalah drives, seyogianya saya majukan terjemahan drives kepada tabii-tabii. Tabii ini, adalah suatu unsur yang sama sekali tidak terangkum dalam konteks bahasa dan fikiran-fikiran yang terbentuk hasil pemerhatian dan rasa, dan jauh dari pergelutan dan golak perbezaan. Tabii ini sifatnya semula jadi, boleh jadi juga adalah unsur yang diwariskan dan dipergiatkan turun temurun.

Dinamakan Freud sebagai pre-reflective, boleh jadi kerana tabii ini wujud sebelum wujudnya manusia itu sendiri. Perlu juga kita ambil maklum, bahawa Freud adalah pengagum teori evolusi yang diperkaya oleh Charles Darwin. Sebagai telahan awal, Freud berkemungkinan berpegang bahawa tabii wujud langsung dari proses evolusi itu sendiri, bermula pada makhluk terawal sehingga membentuk manusia.

Tabii ini, sifatnya juga purba atau archaic. Ianya unsur turun temurun dalam leluhur nenek moyang, bermula dari awal sebelum berlakunya proses evolusi lagi. Untuk perbincangan lanjut darihal tabii-tabii atau drives ini, saya akan menyambungnya dalam tulisan selanjutnya. Cukup untuk kita fahami dahulu, kerangka dan konteks unconscious yang diperbincangkan dalam wacana psikoanalisis ini.

Terbinanya unconscious, hasil dari usaha memendamkan tabii, atau boleh kita sebut sebagai menekan, atau proses menyangkal atau menafikan tabii itu sendiri dari berekspresi, membentuk tindakan tertentu, membuat pilihan-pilihan secara bebas. Kita biasa memendam rasa lapar, atau marah, namun itu semua adalah hal yang jelas dan nyata, dan kita begitu sedar akan hadirnya.

Berbeza dengan tabii yang dimaksudkan itu, ianya adalah sulit sifatnya dan pada Freud, keberadaannya itu hanya boleh disedari hasil pergelutan yang berlaku, atau pertembungan pada sesuatu norma yang memang wujud di sekitarnya. Pada saat itu, maka unconscious inilah yang menjadi unsur yang lebih menonjol dampaknya berbanding unsur conscious dalam pembentukan psyche.

Oleh kerana kita memahami bahawa unconscious adalah unsur yang bukan fizikal, perlulah juga kita menanggapinya sebagai hal yang dinamik sifatnya. Saya syak, walaupun ianya adalah hasil pada proses penafian atau penyangkalan tabii yang asalnya cuma berada pada tahap pre-reflective, namun faktor masa dan proses evolusi itu sendiri akhirnya memberi banyak pengaruh kepada perkembangan tabii.

Dan tabii yang sudah mengalami banyak pengalaman dalam proses evolusi, akan membentuk kepelbagaian dimensi, matra, magnitud dan keberadaannya sendiri dalam konteks masa dan zaman tertentu. Semua itu, menjadi faktor paling berpengaruh yang langsung kepada unconscious untuk membenarkan kedinamikannya pada setiap individu terzahir.

Jumpa lagi, pada tulisan seterusnya yang akan membincangkan dengan lebih lanjut akan hal yang diberi nama sebagai drives, atau tabii-tabii yang diutarakan oleh Freud sebagai punca dasar kepada pembentukan unconscious atau “perkara yang kamu tidak sedari” dalam setiap diri individu dan masyarakat.

Friday, June 12, 2015

Mengenali Sigmund Freud dan Perbahasan Sekitar Psikoanalisis

Minggu ini, bermulanya Sekolah Falsafah musim kedua, selepas bercuti beberapa bulan sehabisnya musim pertama tahun lepas. Seperti biasa, kami dibimbing oleh guru kami, Fuad Rahmat, moga rahmat tuhan ke atasnya. Jika tahun lepas, sekolah falsafah lebih kepada pengenalan kepada dunia falsafah bermula dari Socrates sehingga kepada Freud secara umum dan tidak berfokus. Nama pun pengenalan.

Untuk musim ini, kami berfokuskan pada perbahasan sekitar psikoanalisis dari sudut teori sosial. Ini akan dijelaskan secara lanjut nanti. Jadinya musim ini, kelas akan menjadi semakin berfokus dan sepanjang musim ini, hanya beberapa tokoh falsafah sahaja akan dibaca, bermula dari bapa psikoanalisis sendiri iaitu Sigmund Freud sehinggalah ke Jacques Lacan, Michel Foucault, Gilles Deleuze serta Félix Guattari.

Kata Fuad, musim ini kelas akan menerokai perbahasan psikoanalisis sebagai teori budaya atau teori sosial. Makna katanya, perbahasan ini akan bertumpu pada dua soalan besar iaitu; i) Apakah yang membentuk nilai dan identiti sesebuah masyarakat, dan ii) Apakah desakan-desakan dan nilai asas yang berkesenjangan yang menggerakkan sesuatu isu yang dihadapi oleh sesebuah masyarakat.

Minggu ini, sebagai pengenalan, Fuad telah memperkenalkan Freud secara umum, termasuklah sejarah hidupnya, kisah dan isu sekitarnya yang menjadi pendorong kepada kajiannya, konteks zamannya ketika itu di akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Begitu juga perihal perkelahian Freud dan dua orang anak murid utamanya iaitu Alfred Adler dan Carl Jung.

Fuad turut memperkenalkan kami kepada beberapa terma-terma teknikal yang akan banyak diguna pakai dalam perbahasan psikoanalisis selanjutnya kelak, seperti neurosis, Oedipus complex, konsep Id, Ego, Superego sebagai defense mechanisms, repression, dan banyak lagi. Pengenalan kepada terma-terma teknikal begini sangat penting, terutamanya dalam memahami teks asal perbahasan psikoanalisis.

Positifnya, apa yang saya secara peribadi merasa mengapa perlunya hadir ke kelas begini, walaupun secara teknikalnya langsung tiada kaitan dengan latar belakang akademik, adalah tidak lain, untuk tahu sesuatu yang saya tidak pernah tahu sebelum ini. Tentang psikoanalisis, kalau mahu dibaca sendiri, berdasarkan kapasiti peribadi, saya tidak merasa ianya langkah bijak untuk saya.

Makanya, kelas begini, seperti mana kata Fuad, akan menjadi suatu kumpulan sewacana (discursive) yang membantu sesiapa sahaja memahami asas perbahasan psikoanalisis, termasuklah untuk memahami karya-karya tokoh awal Frankfurt School seperti Erich Fromm, Herbert Marcuse, Theodor W. Adorno dan juga tokoh-tokoh mutakhir yang menulis soal psikoanalisis seumpama Slavoj Žižek dan Alain Badiou.

Kesimpulan awal yang boleh saya bina, dari apa yang telah disyarahkan oleh Fuad adalah, bagaimana Freud mahu manusia menjadi jujur dengan diri mereka sendiri, menampilkan diri mereka yang sebenar, luahkan apa sahaja keinginan yang mereka pendamkan selama ini, langsung dari situ, akan melahirkan kelompok masyarakat yang benar bebasnya, bermula dari penonjolan sikap di peringkat keluarga.

Namun begitu, persoalan terbesar malam itu yang bermain-main dalam fikiran saya adalah, apakah dengan “kejujuran” begitu kelak nanti akan timbulnya kacau-bilau dan porak-poranda dalam sistem bermasyarakat, atau chaos, apabila segalanya sudah tidak lagi perlukan sistem tertentu, atau aturan moral, sebagaimana cakerawala itu sendiri, untuk teratur fungsinya perlukan sekatan dan sistem tertentu.

Mungkin soalan ini akan terjawab dalam siri-siri akan datang, InshāʾAllāh.

Wednesday, June 10, 2015

Bermimpi Bersama Teater ‘Kota Kelip-Kelip’ TFTN

Rumah Seri Muda itu masih dian begitu. Saufi dan Azam, berdua mereka pada saat itu bercakap-cakap semelankolis, mengimbau kembali kehidupan dan kenangan yang sama sekali tidak dapat mereka lupakan, perihal bagaimana mereka ketika berada di rumah tersebut. Rumah itu bukan sembarangan rumah, kerana ianya penuh magis.

Magisnya rumah itu, kanak-kanak yang tinggal di sana kekal muda, tiada membesar dan mereka kekal menjadi kanak-kanak. Siapa yang tidak mahu menjadi atau melalui pengalaman magis begitu, kan? Rumah itu, tiada sebaran peraturan yang dikenakan, anak-anak bebas bermain siang dan malam. Ianya, pada semua yang pernah tinggal di sana, seumpama syurga.
 
Jadinya, main-main mereka setiap hari adalah ‘drama’ yang skripnya ditentukan oleh Apai, sang ketua yang cukup dihormati dalam kalangan penghuni rumah tersebut berdasarkan fiksi yang bertebaran di rumah itu. Dan, sebagai ketua, tentulah Api seorang yang sangat dihormati, dan menjadi abang yang melindungi adik-adik di sana. Dia juga, cukup digeruni oleh lain-lain penghuni.

Namun begitu, mentari tidak selalunya panas terik. Kadangkala pancaran sinarnya diseliputi awan kelam. Satu hari, salah seorang dari mereka merasakan bahawa drama-drama yang mereka lakonkan itu tidak lagi mengghairahkan dan menyeronokkan. Sebuah skrip drama baru dicipta oleh Apai untuk mereka lakonkan. Namun, tercetus konflik dan perdebatan antara mereka.
Sumber: Karangkraf 

Kawan, itu bukan aku yang jadi tukang cereka kisah di atas. Itu adalah sinopsis Teater ‘Kota Kelip-Kelip’, yang akan dipentaskan oleh anak-anak Teach For The Needs (TFTN) pada hujung minggu ini di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya. Kawan, hidup ini mimpi-mimpi sahaja. Teater ini, adalah mimpi anak-anak TFTN.

Kawan, aku tak minta banyak pun. Aku cuma minta, kau sokonglah mereka. Kau sokonglah TFTN untuk menggembirakan anak-anak kecil ini. Berikan mereka peluang untuk hidupkan mimpi-mimpi mereka. Kau tidak rugi pun. Belilah tiketnya, dan hadirlah ke teater ini. Tunjukkan pada mereka, bahawa kita berkongsi mimpi yang sama di dunia fana ini.

Berilah mereka peluang untuk senyum. Berilah mereka peluang untuk merasa bangga dan dihargai. Engkau tidak rugi pun. Kau tidak akan sesekali jatuh miskin pun, dengan menggembirakan anak-anak kecil ini. Jika bukan kita yang penuhkan kerusi-kerusi dewan teater itu, siapa lagi kawan? Berilah mereka peluang, untuk merasa yang kewujudan mereka, tiada berbeza dengan yang lainnya.

Kau mahu tahu apa konflik yang terjadi di antara anak-anak penghuni Rumah Seri Muda itu? Apakah keajaiban Rumah Seri Muda sudah berakhir? Kau ingin tahu bagaimana agaknya kesudahan nasib anak-anak ini? Belilah tiket Teater ‘Kota Kelip-Kelip’. Ajak rakan taulan-mu, bawa anak-anak kecilmu, ke DPAC hujung minggu ini. Kita bertemu di sana ya, untuk anak-anak ajaib TFTN!

Tuesday, June 9, 2015

Kuali Mengata Belanga Hitam

Biarlah, sebelum kita menyokong atau menyebelahi Tun Mahathir dalam siri serangannya terhadap Najib Razak akan hal skandal 1MDB, sebagai rakyat yang sudah berdekad-dekad kena tipu atas bawah kiri dan kanan, belajar sesuatu terlebih dahulu, agar kita boleh bawa beringat bahawa, semua peristiwa yang berlaku hari ini, segala kebejatan yang terpamer kini, adalah angkara kerja kotor para politikus.

Justeru itu, untuk menyokong Mahathir dalam perjuangannya menentang Najib, dan menyatakan sokongan terhadapnya masa-masa akan datang, haruslah bermula pada langkah dengan kenal dulu siapa Mahathir. Generasi sekarang yang merasa takjub pada keberanian Mahathir melawan Najib, mungkin mereka ini tidak pernah membaca, atau malas untuk menyelak sejarah Mahathir itu sendiri.

Serangan Mahathir pada Najib, boleh disifatkan tidak ubah seumpama kuali mengata belanga hitam. Bezanya cuma, zaman ketika dia memerintah, Mark Zuckerberg masih belum ciptakan Facebook. Zaman dia dulu memerintah, segala maklumat untuk sampai pada rakyat hanya melalui 2 wadah; pertama ialah televisyen dan keduanya, akhbar harian. Kedua-dua wadah media itu, dibela dengan cukup rapi oleh Mahathir.

Dulu, televisyen hanya ada RTM. Hari-hari RTM kerjanya adalah untuk menyebarkan propaganda parti pemerintah. Pernah parti pembangkang masuk TV zaman Mahathir dulu? Begitu juga akhbar dan majalah-majalah. Media cetak ini dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan Mahathir. Kalaupun ada akhbar pembangkang, ianya adalah Harakah terbitan PAS. Cuba tanya lagi, zaman Mahathir memerintah, berapa kali permit Harakah telah ditarik atau dibatalkan?

Nak cerita di sini, perihal konteks zaman pemerintahan Mahathir. Faham konteks ini dulu, sebelum kita nak menyatakan sokongan padu pada Mahathir apabila dia begitu tertanya-tanya pada Najib, mengapa Perdana Menteri membisu, tidak menjawab soalan-soalan rakyat. Zaman dia dulu, pernah Mahathir menjawab persoalan-persoalan rakyat tentang polisi-polisi pemerintahannya? Dia jawab, dengan menyumbat mereka semua itu ke dalam jel.

Perlu jelas, bahawa dengan mengungkit kisah-kisah lama ini, bukan bermaksud untuk berlaku ad hominem pada Mahathir dan pandangan-pandangan mutakhirnya. Ianya sekadar untuk memberi peringatan pada generasi sekarang, bahawa jangan sesekali letakkan rasa percaya pada mana-mana politikus (baca: pemimpin palsu). Mereka ini semua ada agenda peribadi, biar setulus dan selunak mana pun mereka berkhutbah akan niat suci mereka.

Jika Mahathir merasa risau akan wang negara puluhan bilion telah lenyap di bawah pentadbiran Najib Razak, kita perlu bertanya, zaman dia dulu memerintah, berapa puluh bilion wang negara telah lesap, atau dilesapkan, atau dikebas dengan penuh kotor dan rakus. Tanya dulu soalan ini, sebelum kita mahu meletakkan rasa yakin dan percaya pada Mahathir dan agenda politiknya hari ini. Belajar ini semua, kerana kata orang-orang tua, jangan sampai dipatuk ular dua kali.

Antara tahun 1981 hingga 1986, negara gempar dengan skandal Maminco yang menyaksikan negara kerugian wangnya mencecah RM1.6 bilion. Maminco adalah syarikat yang dibina untuk menguruskan segala hal ehwal perindustrian dan perniagaan timah negara, termasuklah mengawal harga timah dunia. Untuk menutup kemaluan ini, kerajaan menubuhkan syarikat badut yang diberi nama Makuwasa Securities untuk menguruskan kerugian dengan memanipulasi Tabung KWSP.

Cerita Maminco ini, berlaku di tahun-tahun awal Mahathir menduduki kerusi Perdana Menteri. Bacalah Penyata Rasmi (Hansard) Parlimen Malaysia yang bertarikh 27 Oktober 1986, dalam halaman 38, yang memetik ucapan Lim Kit Siang, perihal skandal ini. Jika rasa malas sangat nak menyelak helaian hansard, Google sahaja kata kunci “skandal Maminco”, tentu ratusan carian Google muncul untuk membantu kita memahami penyelewengan wang rakyat ini.

“... skandal pembelian bijih timah secara misteri oleh Maminco di London pada tahun 1981 dan pelaburan KWSP Makuwasa yang melibatkan wang simpanan 5 juta pencarum KWSP yang mengakibatkan KWSP mengalami kerugian sebanyak $9.9juta.” 
Lim Kit Siang, Penyata Rasmi Parlimen (27 Oktober 1986)

Sambung Lim Kit Siang lagi dalam hansard itu, Perdana Menteri berjanji menerangkan segala-galanya berhubung dengan episod membeli bijih timah secara misteri di London dalam tahun 1981 dalam Parlimen, tetapi sehingga kini (tahun 1986) penerangan masih belum dibuat. Beliau bertanya pada Mahathir, mengapakah kerajaan mungkir janjinya. Hari ini, Mahathir bertanya soalan yang sama pada Najib. Alangkah, dunia sudah terbalik rupanya.

Mahathir membisu, bukan hanya perihal Maminco. Dia juga membisu seribu bahasa, terkucil lidahnya sehingga sekarang, tentang banyak lagi siri-siri penyelewengan selepas itu. Baca, kaji dan fikir. Jangan malas sangat. Perihal kehilangan wang sebanyak RM2.5 bilion pada tahun 1983 dalam skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) sehingga terbunuhnya Jalil Ibrahim di Hong Kong, penyelewengan Perwaja Steel sehingga mencatat kerugian sebanyak RM10 bilion akhir 80-an.

Juga jangan sesekali kita lupa, membisunya Mahathir pada ketika negara kita kerugian hampir RM30 bilion akibat skandal Bank Negara yang licik bermain spekulasi mata wang asing awal 90-an. Juga, jangan kita lupa untuk bertanyakan jawapan dari Mahathir, siapa Tajudin Ramli yang dilantiknya untuk mengetuai Malaysia Airlines (MAS) sehingga syarikat penerbangan itu hampir tutup kedai akibat kerugian sebanyak RM9.4 bilion.

Jika nak disenaraikan satu persatu, rasanya tidak akan habis, berjela-jela panjangnya rekod segala macam kebejatan dan penyelewengan yang telah berlaku sepanjang 23 tahun Mahathir menjadi Perdana Menteri. Belum lagi kita sebut tentang skandal PKFZ.

Semua ini, adalah hutang yang wajib dibayar semula kepada negara, dipulangkan semula pada tempat asalannya, bahkan, ini juga adalah hutang jawapan-jawapan dari Mahathir yang sehingga kini, masih senyap membisu.

Oleh yang demikian, untuk kawan-kawan yang begitu teruja pada keberanian Mahathir melawan Najib Razak, sedarlah akan sejarah-sejarah ini dahulu.

Agar, kelak nanti kita tidak akan mudah percaya, bukan sekadar mudah lupa, pada siri-siri pengkhianatan amanah selama berdekad lamanya oleh Mahathir. Cerita ini menjadi senyap, tidak menjadi topik di kedai-kedai kopi kerana zaman itu masih belum wujud Facebook. Zaman itu, cuma ada TV1 dan Utusan Malaysia.

Mahathir, waktu ini bolehlah mencanangkan satu dunia akan itu dan ini pada generasi sekarang yang malas membaca, tetapi sekali-kali tidak akan dapat mengaburkan sejarah pada kisah-kisahnya dulu yang turut hitam warnanya.

Inilah yang dikatakan bijak pandai dulu kala, bagai kuali mengata belanga hitam. Mahathir dan Najib Razak, hakikatnya berkongsi sistem nilai yang sama. Jangan sesekali kita lupa akan hal itu, kawan.

Nota: Tulisan ini disiarkan pertama kali dalam RoketKini.com pada 6 Jun 2015. Artikel di sini, adalah versi unabridged, berbanding versi yang disiarkan oleh media DAP itu.

Monday, June 8, 2015

Travel and the Lesson of Respecting Local Traditions, Cultures and History

This is the quick response to some arrogance and selfish tourists and foreigners who mocking and laughing at Sabahan locals for condemnations of nudist acts by several Canadian tourists on the mountaintop of Mt. Kinabalu before the deadly and devastating earthquake struck on 5 June.

I will start with a question: Why we travel, or going to the foreign places, at the first place?

This is the very question that you need to ask yourself before deciding to embark a journey to the foreign land, to travel to other countries which are absolutely 180 degrees have different historical narratives, civilisation experiences, customs traditions and cultures compare to your homeland.

We travel, is meant we keen and willing to learn something new, be it languages, customs, cultures, traditions, beliefs, or anything that seems alien to our own worldview.

It means we never need to change what we currently believe, or holds, it just means we are willing to learn to respect, to accept the plurality and diversity that makes our world colourful.

If we never slightly put a thinking on this very subtle subject, please bear in mind that we have a problem there to solve.

If we travel to the foreign land, and we put the arrogance at the mountaintop and unwillingness to learn to respect above everything else, the best advice to give is: please don’t travel at all.

First, if you are unwilling to learn to respect, you might end up hurting the locals, perhaps, hurting yourself, too.

Second, if you put the arrogance first, the else second, then you are nothing but a brainless animal.

If travel does not make you learn to embrace the variety of colourful differences that exists all around the world, again, please bear in mind, that you are really stagnant in the very wrongful jungle.

Travel should make us flexible, thoughtful, wiser and tolerance. If it doesn’t, then you should know that there are something wrong somewhere in yourself.

Just one word: learn. The foremost is, learn that everything and everywhere in this real world got a boundary. Like we too, have our own self-boundary that we never allowed others to cross it. We demand others to respect that boundary.

That’s mean, from that view, we arrive at the second stage, which is respecting each other. Therefore, we will not cross the boundaries as we please as if only us matter.

If we realise this, then we will never for once questioning why some places or ethics or cultures seem too weird, or aliens, or backwards, or uncivilised.

We will learn that the world is so colourful, so diverse. It is not just all about us or the world like to revolve just around us. We will learn to respect others boundary, local customs, traditions and beliefs.

If we embark the journey with that kind of mentality, then we have no problem at all, no matter where will we crash in, or who we will end up meeting with.

The foreign land and the locals would be terribly missing you once you bid the goodbye to them. This mentality and willingness will accommodate you, not just the physical experiences, but also the spirituals and emotional devotion of memories.

I hope I could learn one lesson if not many, from this terrible and saddening disaster. I pray for Sabah and all around the world too, for a safe and sound future. We will never for once know what God is planning for us.

The only we can do is, keep learning and keep our heads low, learn to respect each other and learn to embrace the diversities. Travel should make us tolerance and wiser, not the other way round.

Saturday, June 6, 2015

Mahathir Mudah Lupa

“Saya orang biasa saja, saya bukan bawa senjata pun. Saya bukan boleh buat apa-apa pun. Pasal apa orang nak takut pada saya, semua ini takut atau tidak?” ujar Mahathir dengan nada yang cukup lunak, dalam sidang medianya sejurus beliau dihentikan dari meneruskan ucapan oleh PDRM semasa Dialog “Nothing To Hide” di PWTC.

Menarik betul drama 1MDB ini. Lagi menarik, drama ini telah pun melondehkan kemaluan dan cerita busuk dari kedua-dua pihak, baik Mahathir mahupun Najib.

Pertamanya, tentang Najib, khalayak kini semua maklum akan bagaimana cerita dia. Sekadar berani melaung atas pentas berdarah pahlawan tapi akhirnya terjun tingkap ketakutan, terkencing dalam seluar.

Lagi menarik, tentang Mahathir. Orang tua ini satu hal lagi, sering sangat mudah lupa. Padahal, dialah juga orang yang pertama mencipta frasa “Melayu Mudah Lupa”, nampaknya hari ini kata-katanya itu menjadi doa yang dimakbulkan tuhan pada dirinya sendiri.

Mahathir nampaknya lupa, atau nyanyuk pada kata-katanya sendiri.

Kita semua tahu, bagaimana modus operandi Mahathir sebelum-sebelum ini, apabila beliau berdepan dengan soalan-soalan media yang menghujani perihal skandal dan kes-kesnya terdahulu.

Jawapannya mudah, saya lupa, atau saya tak ingat.

Tutup kes. Mahathir ini, licik betul politiknya. Dia boleh berbuat begitu, kita kena akui bahawa Mahathir adalah orang yang bijak berpolitik.

Maka, itulah politik.

Bagaimana dia mampu menguruskan persepsi khalayak pada dirinya, juga bagaimana kebijaksanaan dia memilih waktu-waktu yang tepat untuk menyerang musuh politiknya sehingga mereka terduduk kalah.

Itulah Mahathir, suatu legasi dalam dunia politik yang cukup berselirat tipu muslihat permainannya.

Namun begitu, apabila Mahathir dengan muka tidak bersalah, bertanyakan soalan diatas akan hal mengapa Najib takutkan akan dia, sehingga perlu disekat oleh polis dari meneruskan ucapan, ternyata Mahathir benar-benar nyanyuk. Dia cuba meraih simpati dengan cara begitu.

Nampaknya kita tidak mudah lupa. Mahathir lupa, yang dulunya dialah yang memperalatkan polis untuk kepentingan politiknya.

Dari tahun awal pemerintahannya sehingga tahun 2003, seramai-ramai mereka yang disumbat Mahathir ke dalam lokap menggunakan ISA dan sebagainya itu, mereka semua itu ada membawa senjata-kah?

Atau cuba tanyakan dia, berapa ratus kali ceramah-ceramah era Reformasi 1998 telah dihalang polis, penyokong disekat dari berhimpun, diseret ke balai, akhbar dibatalkan permit dan sebagainya?

Adakah Mahathir sudah lupa akan semua itu, semua kebejatan dan kezaliman yang dulunya dia sendiri yang menciptakan budaya itu, menjadi pengamal tegarnya, tukang praktisnya?

Apakah dia sudah nyanyuk bagaimana polis-polis diperalatkan untuk menutup mulut-mulut rakyat dari bersuara dan bangkit melawannya? Apakah Mahathir lupa itu semua?

Mangsa Memali berdarah yang terkorban seramai 14 orang itu, siapa punya angkara? Siapa yang memerintah ketika itu?

Mereka semua bersenjata-kah, sehingga halal darah mereka dibunuh sedemikian rupa?

Mahathir, kamu sudah lupa semua itu, sehingga hari ini kamu boleh bertanya dengan penuh lunak dan mengharapkan simpati, bahawa,

“Saya orang biasa saja, saya bukan bawa senjata pun. Saya bukan boleh buat apa-apa pun. Pasal apa orang nak takut pada saya, semua ini takut atau tidak?”

Mahathir, kamu sekarang tua. Tentu kamu sudah lupa angkara hitam yang pernah kamu dulu berbuat pada orang-orang lainnya yang lemah, yang mahu suara mereka didengari. Sebab itu kamu boleh bertanya semula, pada sesuatu yang dulunya kamu sendiri mengutuk Melayu akan sikap mereka yang mudah lupa.

Sekarang, kamulah Mahathir, yang mudah lupa.

Sejarah akan mengulang-ulang cerita ini, Mahathir. Ingatlah pesanan ini baik-baik...

Friday, June 5, 2015

Perihal Istana Syarqiyyah

Kisah istana besar dibina di Chendering, Kuala Terengganu itu bukanlah hal baru. Telah lama pun cerita itu sebenarnya. Tahun lepas, sambutan Aidilfitri khabarnya Sultan Mizan membuka istana itu kepada orang ramai untuk datang bersama memeriahkan majlis. Khabarnya lagi, memang indah pun istana itu, cuma tiada gambar yang tersiar di laman Internet masa itu.

Sebagai warganegara, yang turut membayar cukai, tentulah ada pertanyaannya apabila berita ini tersebar luas. Bayangkan, keluarga diraja Terengganu bukan tidak pernah memiliki istana, bahkan sudah berbuah-buah istana di sekitar Bandar Kuala Terengganu. Soalan pertama yang terpacul, untuk apa lagi dibina istana baharu?

Kalaupun kita berbangga kerana negeri kita itu punya istana yang tersergam indah, maha mewah, tetapi apa yang untung dengan sekadar bangga begitu, sedangkan kita tahu, betapa tersiatnya hati kita tatkala menerima khabar tentang kemewahan istana sedang pada masa yang sama, ribuan lagi yang berteduhkan atap zink berkarat yang bocor.

Tapi, untuk kita marahkan Istana pun, tiada gunanya. Kita bertanya, apakah Istana sudi mendengar segala bantahan dan susah gelisah rakyat terbawah? Saya tidak merasa Istana mampu merendahkan kepala mereka sebegitu untuk telinga mereka mendengar esakan marhaen. Rasanya itu agak mustahil pada adat kebiasaan.

Fitrah manusia, memang kita akan mengagumi binaan-binaan yang indah begitu, tambah lagi dengan hiasan dalaman dan taman-taman yang serba mewah. Siapa tidak meraga kagum bukan, namun tidaklah sesekali kekaguman itu dapat memadam rasa curiga, tentang dari mana Istana Terengganu mendapat biaya bagi membina istana sebegitu mewah.

Jika ianya diambil dari bahagian duit cukai orang ramai, yang sepatutnya dilaburkan untuk sekolah-sekolah, perpustakaan awam, rumah-rumah rakyat mampu milik dan hospital-hospital, kemudian diambil secara rahsia, untuk membina istana 100 bilik sebegitu rupa, itulah zalim namanya. Tidaklah boleh kita membisu cuma, membiarkan sepi, tanpa sedikit pun rasa kesal curiga.

Wajib akan ia untuk dipersoalkan, jika benar istana itu adalah hasil dari dapatan cukai orang ramai. Jika Sultan Mizan mengeluarkan duit poket sendiri untuk membina syurga berkonsepkan Andalusia itu, maka soalan ini tidaklah perlu dijawab. Soalan ini akan tergantung selama-lamanya, selagi mana istana memilih untuk berdiam diri, dan terus bersembunyi diri di balik dinding marmar mahligai itu.

Satu sudut yang bagus, kalaulah benar Istana Syarqiyyah itu memenuhi segala ciri yang mampu mempamerkan keagungan dan kemegahan Kesultanan Terengganu, Sultan Mizan boleh sudah berkira-kira untuk menamakan istana di puncak Chendering itu sebagai kediaman rasmi keluarga diraja Terengganu, dan hadiahkan kompleks istana lama kepada kerajaan negeri untuk diubah menjadi muzium.

Paling kurang, Istana Syarqiyyah berpenghuni, tidaklah kosong sunyi, yang tinggal cuma tukang sapu lantai dan tukang kebun. Dan paling tidak pun, istana-istana lama itu bolehlah dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat, jika diubahsuai menjadi muzium atau perpustakaan diraja, atau pusat penyelidikan yang boleh dilawati dan diguna pakai oleh sekalian rakyat.

Mohon usul patik yang hina lagi serba miskin ini diperkenankan Tuanku!

Daulat Tuanku!