Sunday, May 31, 2015

Menalar Makna Kemanusiaan

Seminggu ini, hari-hari ‘terpaksa’ membaca berita perihal kemungkinan ribuan pekerja Malaysia Airlines (MAS) akan dibuang kerja, ekoran proses penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu. Kemungkinan itu sebenarnya memang akan terjadi pun, bahkan itulah yang ditekankan oleh CEO barunya, Christoph Mueller dalam kenyataan rasminya.

Itu cerita MAS. Di lain padang dunia korporat, kita membaca cerita sedih mengenai JARING. Sebut nama itu, tentu semua kenal akan JARING. Akhir bulan lepas, JARING telah diisytiharkan muflis. Sejak itu, saya kerap kali membaca catatan-catatan sayu oleh En. Mohamed Awang Lah, orang yang bertanggungjawab membina JARING (1992) dengan nama asalnya RangKoM (1986).

Nada catatan beliau, sayu dan penuh melankolik. Apa tidaknya, syarikat yang beliau asaskan sehingga menjadi pioneer kepada pembangunan Internet di Malaysia kini sudah tinggal sejarah. Ikutilah cerita-cerita beliau di Facebook, banyak sungguh cacat-celanya apabila penyangak dilantik memegang posisi penting dan diberi amanah kepimpinan dalam syarikat.

Semalam, saya membaca catatan beliau mengenai pekerja-pekerja JARING yang akan diberhentikan perkhidmatan mereka dengan notis yang singkat, akibat menanggung kerugian diisytiharkan muflis. Cerita begini, adalah cerita sedih terutamanya buat pekerja-pekerja yang budiman dan berdedikasi, yang telah memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada syarikat mereka.

Bukan itu sahaja, berita MAS dan JARING membuang pekerjanya demi menyelamatkan syarikat dari terus mati, adalah petanda yang absah bahawa, perlunya kita kembali menoleh ke belakang, menalar semula makna diri dan kemanusiaan yang masih bersisa pada batang tubuh dan jiwa kita semua. Kita hidup dalam dunia yang serba gila hari ini.

Pertamanya, kita faham mengapa syarikat terpaksa membuat keputusan sebegitu, walaupun mereka sedar ianya keputusan yang zalim. Kita sangat memahami bahawa itulah realiti yang harus masyarakat fahami sebelum mereka mengambil keputusan untuk memberi khidmat dalam mana-mana syarikat, tentang risiko begini. Kita tidaklah menyalahkan syarikat sepenuhnya, dalam kes ini: MAS dan JARING.

Tetapi, kita tentu sekali tidak boleh menerima sebegitu lapang dan terbuka pada pengkhianatan begini. Bahawa ini adalah pengkhianatan pada amanah. Bahawa ini adalah bentuk kezaliman yang dikenakan pada mereka yang tidak bersalah. Soalnya sekarang, terperonyoknya MAS dan JARING hari ini disebabkan faktor apa sebenarnya?

Adakah kerana pekerja-pekerja mereka yang sedia ada hari ini memang pemalas dan tidak produktif sehingga prestasi syarikatnya merudum? Semua orang tahu, bahawa jatuhnya MAS dan JARING bukan sebab pekerja mereka. Semua orang tahu, penyangak utama dalam episod sedih ini adalah mereka di paras atasan, pengurusan dan tata-tadbirnya yang haprak.

Kini, yang menjadi mangsa, yang kehilangan kerja, yang tidak kecukupan wang untuk menyara keluarga, yang akan terus miskin melarat, adalah mereka yang di peringkat bawahan, yang dibuang kerja apabila saat syarikat dalam keadaan tenat, yang terpaksa menanggung beban daki dan dosa mereka penyangak di peringkat atasan, yang telah membalun jutaan ringgit ke dalam perut rodong mereka sendiri.

Menalar makna kemanusiaan ini, tidak cukup hanya kita bersimpati pada mereka yang tidak bersalah menjadi mangsa, bahkan ia perlu dianjak lebih dari itu. Kita perlu memahamkan masyarakat bahawa, kemanusiaan itu juga merangkumi aspek menjatuhkan hukuman setimpal pada si pesalah dan penyangak sebenar. Kemanusiaan itu, adalah tentang penegakan makna keadilan.

Cakaplah tentang transformasi, Wawasan 2020, KDNK, ketelusan, amanah, dan sebagainya seribu tahun lagi, cerita kezaliman ini akan terus berulang-ulang dalam bulatan tetapnya tanpa henti selagi mana tiada usaha ke arah mengubah sistem nilai yang mendasari kehidupan dan kefahaman kita semua. Kisah MAS dan JARING akan berulang lagi masa hadapan, jika perkara ini tidak diubah.

Untuk mengubah sistem nilai dalam masyarakat, dalam politik, dalam perniagaan dan dunia korporat, manusia wajib kembali mengimani pandangan sarwa alam yang meletakkan Tuhan di tempat yang benar, meletakkan kemanusiaan di tempat yang adil. Hanya dengan cara itu, manusia akan kembali menunduk, sedar diri pada hakikat kelemahannya, membuang sifat tamak haloba, terpasak hatinya di kaki.

Kita boleh seribu tahun lagi menyalahkan kapitalisme dalam cerita ini. Kita juga boleh terus menerus menyalahkan kerajaan kerana bobrok dan penuh nepotisme. Kita boleh menjegil mata bolong marahkan penyangak yang laparkan duit siang dan malam. Tapi, semua itu tidak akan dapat mengubah sedikit pun masalah yang ada selagi kita tidak mengubah sistem nilai sedia ada.

Moga tuhan bersama-sama orang yang dizalimi - bertabahlah. Moga tuhan perkenan bala dan hukuman pada penyangak dan penzalim yang sebenar. Moga tuhan turunkan hidayah dan petunjuk kepada kita semua, dalam menalar semula makna kemanusiaan yang sepahnya bersisa dimamah kehalobaan dan ketamakan.

Saturday, May 30, 2015

Kemaskini Bibliografi (Mei 2015)

Berikut adalah senarai buku yang dibeli sepanjang bulan Mei ini, lebih kurang 10 judul. Tentang harga keseluruhan, rasanya itu bukanlah persoalan utama kerana nilaian ilmu yang terdapat dalam karya-karya hebat ini adalah tidak ternilai sama sekali.

Paling gembira, adalah apabila berjaya juga akhirnya menambah karya awal At-Attas ke dalam koleksi bibliografi peribadi iaitu Comments on The Re-Examination of Al-Raniri's Hujjatul-Siddiq: A Refutation dan juga berjaya memiliki Kamus Dewan cetakan pertama tahun 1970.

Insha'Allāh, saya akan terus mengekalkan segmen Bibliografi ini, dengan mengemaskini koleksi buku setiap bulan yang berjaya dimiliki, sebagai langkah pertama ke arah membina perpustakaan awam mini sendiri. Saya bercadang juga untuk memaparkan buku-buku di Goodreads, tapi kelihatan idea itu tidak begitu menarik buat masa sekarang.

Juga semua judul yang saya miliki sebelum ini, akan saya senaraikan kemaskininya dari masa ke semasa. Apa pun, moga-moga dengan penyenaraian ini juga membantu sesiapa yang mahu mencari petikan (citation) buku-buku tertentu dengan lebih mudah, kerana saya menggunakan gaya Chicago Sixteenth Edition.

  1. Ahmad, Shahnon. 1999. Shit. Cetakan Pertama. Kota Bharu: Pustaka Reka.
  2. Alatas, Syed Hussein. 2009. Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi. Cetakan Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1975. Comments on The Re-Examination of Al-Raniri's Hujjatul-Siddiq: A Refutation. 1st. Kuala Lumpur: Muzium Negara.
  4. —. 1984. The Correct Date of the Terengganu Inscription. 2nd. Kuala Lumpur: Muzium Negara, Malaysia.
  5. Albom, Mitch. 2004. The Five People You Meet in Heaven. 2nd. London: Time Warner Paperbacks.
  6. Coelho, Paulo. 2002. The Alchemist. 4th. London: HarperCollins Publishers.
  7. Heidegger, Martin. 1993. Basic Writings: Revised & Expanded Edition (Ten Key Essays plus the Introduction to Being and Time). 2nd. Edited by David Farrell Krell. New York: HarperCollins Publishers.
  8. Iskandar, Teuku, ed. 1970. Kamus Dewan. Chetakan Pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  9. Nadwi, Sayyed Abul Hasan 'Ali. 2005. Islam and The World: The Rise and Decline of Muslims and Its Effect on Mankind. 1st. London: UK Islamic Academy.
  10. 1961. The New English Bible. Cambridge: Oxford University Press; Cambridge University Press.

Wednesday, May 27, 2015

Sukan dan Tuhan

Seminggu ini, kolej saya di UKM hingar bingar dengan hilai tawa dan keletah adik-adik sekolah rendah yang datang menginap, atas kapasiti menyertai Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan (Perisai Tun Ahmad Sarji) yang berlangsung di UKM Oval. Hebat-hebat mereka semua, meski umurnya sebegitu hijau, dengan kelayakan bermain dalam kejohanan berprestij begini, tentulah bakat mereka bukan calang-calang.

Saya tidaklah bermaksud untuk mengomel perihal kejohanan mereka sertai itu, tambahnya pula saya bukanlah peminat sukan kriket pun. Cuma sedikit luahan, mungkin perkongsian, atas rasa prihatin dan simpati – mungkin, apabila saya melihat dari jauh bagaimana adik-adik ini diurus tadbir oleh pengurus pasukan mereka masing-masing ketika di kolej kediaman.

Konteksnya, setakat yang saya perhatikan, ada banyak pasukan yang menginap di sana. Mereka datang dari pelbagai sekolah, yang saya sempat berbual pendek, ada yang datang dari Perak. Sayangnya, sebanyak itu pasukan yang datang menginap, saya nampak hanya sebuah pasukan sahaja, bersama-sama pengurus mereka, datang memenuhkan dewan solat di kolej kami.

Tertanya-tanya juga saya, ke mana perginya lain-lain pasukan? Ketika maghrib, ramai juga selain pasukan yang disebut tadi, adik-adik dari pasukan lain datang solat berjemaah bersama, tapi sayangnya, tidak nampak pula ke mana pengurus mereka pergi tika anak-anak buah mereka itu datang solat berjemaah. Uniknya pasukan yang tadi, saya nampak pengurus-pengurus mereka begitu menekankan bab ini.

Bayangkan, mereka boleh sepasukan datang solat subuh berjemaah bersama pengurus mereka, kemudiannya berkumpul untuk bacaan Yasin selepas itu, setiap pagi. Tentu sekali, sekadar gambaran begini tidak mampu memberikan apa-apa justifikasi pada pertimbangan moral atau keimanan sesiapa, cuma usaha begini, hemat saya, wajib diikuti oleh mana-mana pengurus pasukan.

Anak-anak kecil di bawah jagaan mereka itu bukan lagi dalam lingkungan umur yang selesa pada tanggapan, “tak mengapa, mereka budak lagi...” sedangkan anak-anak itu berada dalam tanggungjawab mereka untuk dididik dan didisiplinkannya. Jika pengurus sukan berpendapat, sukan adalah sukan, dan soal penegasan bersolat itu bukan tanggungjawab mereka, saya kira mereka telah melakukan kesilapan yang besar.

Pertamanya, wajiblah kita insaf, kalau sekadar menjadi pengurus pasukan yang tanggungjawabnya hanya untuk pastikan soal makan minum dan latihan atlet sahaja, maka tidak ubahlah menjaga anak-anak itu seumpama menjadi pengurus kandang kuda polo, yang mesti dijaga makan minum kuda itu dan disiplin latihannya secara ketat. Justeru, haruslah ada beza antara mengurus anak-anak kecil dan kuda polo tadi.

Beban tanggungjawab ini terletak pada pundak sang pengurus pasukan masing-masing. Jika ada pengurus pasukan yang mampu mendisiplinkan anak-anak kecil itu soal menjaga solat dan hubungannya dengan tuhan, dan mereka juga turut menunjukkan contoh teladan kepada atlet-atlet cilik itu, maka tentulah usaha ini tidak mustahil untuk lain-lain pengurus pasukan mencontohinya.

Sayanglah, kalau sekadar menguruskan pasukan anak-anak kecil itu untuk mengajar mereka bekerja keras mengejar kejuaraan semata-mata, tapi pada masa yang sama, tidak mampu mendidik mereka untuk menjadi hamba tuhan yang berdisiplin, sedangkan ketika umur mereka begitu hijau, tentu sekali itulah peluang yang cukup baik untuk menerapkan nilai-nilai begini sebelum mereka menginjak umur remaja.

UPDATE (31 Mei): Pasukan dari Johor, SK Parit Jawa hari ini akan menentang pasukan dari Perak di Grand Finale. Moga tuhan perkenankan kemenangan buat mereka!

UPDATE (31 Mei, 05:57PM): Parit Jawa kalahkan Ipoh dengan 7 wiket!

Tuesday, May 26, 2015

Merawat Pedofilia Dengan Cinta

Tentang konflik pedofilia (pedophilia) dan polemik ketakutan yang timbul akibat kes Nur Fitri Azmeer, saya lebih gemar memfokuskan perbincangan pada konteks remaja yang mengalami atau berdepan dengan konflik tersebut, berbanding membahaskan cara-cara untuk mengawal pergerakan anak-anak kecil agar mereka tidak menjadi mangsa cabul.

Saya lama berpendirian, untuk merawat konflik ini, tiada cara lain kecuali dengan cinta. Mencintai remaja pedofilia, adalah jalan untuk merawatnya.

Menangani masalah pencabulan seksual terhadap kanak-kanak bukan bermula pada visi untuk menghalang berlakunya kes pencabulan terhadap anak kecil kita sendiri, tetapi harus bermula dengan visi pada bagaimana untuk menghalang dari lahirnya golongan pencabul.

Alasan paling munasabah, sesiapa pun boleh menjadi pencabul.

Boleh jadi anak kita sendiri menjadi pencabul, atau saudara mara terdekat, atau kawan-kawan yang rapit. Adalah wajib untuk kita fahami, sebelum jauh menerawang dalam isu ini adalah, mempunyai naluri pedofilia tidak langsung menjadikan seseorang itu sebagai pencabul kanak-kanak.

Dari premis ini, wajarnya soalan yang timbul adalah, sebagai ibu bapa, apakah tindakan kita jikalau kita dapat mengetahui atau mengesan bahawa anak remaja kita juga mempunyai naluri pedofilia, atau berdepan dengan konflik dalaman begitu, atau sebaliknya, anak remaja kita sendiri mampu berkongsi permasalahan itu kepada kita secara terbuka?

Bayangkan, jika kita yang berada di posisi ibu bapa Nur Fitri Azmeer, apakah tindakan atau inisiatif yang akan kita ambil atau usahakan jikalau Nur Fitri Azmeer ‘mampu’ berkongsi perasaan dan tekanan yang beliau pendam selama ini kepada kita, keluarganya dan rakan-rakan secara terbuka sebelum keadaannya menjadi sebegitu parah seperti sekarang?

Soalnya sekarang, dalam keadaan yang serba menekan dan menakutkan begini, adakah mungkin beliau atau mana-mana remaja yang berdepan dengan konflik yang sama, mampu secara terbuka meluahkan perasaan kepada kita, berkongsi polemik dalamannya, setelah seantero masyarakat memandang mereka tidak ubah seperti monster atau pencabul yang serba keji?

Jawapannya, tentulah tidak sama sekali, untuk Nur Fitri Azmeer dan mana-mana remaja yang senasib dengannya, menjadi terbuka, loosening-up dengan permasalahan mereka dan sanggup berkongsi masalah itu dengan ibu bapa mereka, adik beradiknya atau rakan-rakannya.

Ketakutan itu, yang sebenarnya kita sendiri yang timbulkan, menyebabkan masalah ini semakin teruk dan gagal sama sekali untuk diselesaikan.

Inilah persimpangan dalam polemik pedofilia.

Masyarakat membina blok ketakutan dan akhirnya, remaja yang mengalami konflik ini akan terus terperonyok dalam tekanan psikologi dan perasaan, tanpa ada pilihan lain, selain memendam dan bertahan dalam keadaan penuh kesukaran.

Ketakutan itu langsung tidak dapat membantu mereka untuk berubah, atau percaya bahawa ada jalan keluarnya. Inilah, pada hemat saya, faktor mengapa konflik ini tidak dapat diselesaikan.

Saya mencadangkan, merawat pedofilia dengan cinta.

Mencintai remaja yang berdepan dengan konflik ini adalah langkah terpenting, untuk memberitahu mesej kepada mereka bahawa, mereka bukan penjenayah, atau makhluk asing, atau pelik, atau pencabul. Bahawa mereka juga manusia yang punya hati dan perasaan, bahawa mereka tidak berkeseorangan dalam mendepani konflik tersebut.

Banyak kajian menyatakan, mereka yang mengalami naluri pedofilia ini akan dapat mengesan naluri itu seawal usia 11 sehingga 13 tahun. Pada waktu ini, sejauh manakah kita yakin bahawa hanya Nur Fitri Azmeer sahaja yang berdepan dengan masalah sebegitu?

Soalan ini timbul, untuk membuat penegasan bahawa, kritikalnya untuk kita mencari jalan penyelesaian agar tidak terjadi lagi kes sebegini buat kali kedua.

Mungkin ketika usia seawal 11 sehingga 13 tahun itu, mereka masih dalam keadaan keliru dengan naluri seksual mereka sendiri.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kitalah sebagai orang dewasa dan ibu bapa mereka untuk menyelami konflik dalaman ini, dengan langkah pertama mencintai anak-anak remaja kita sehingga mereka mampu terbuka tentang permasalahan yang mereka hadapi – termasuklah pedofilia.

Mereka mungkin masih belum memahami perbezaan naluri seksual mereka dengan naluri yang normal lainnya, ataupun jika mereka sudah dapat membezakannya, ketika itu, adalah penting sebagai ibu bapa untuk mendekati mereka dengan penuh kasih sayang, untuk memberitahu bahawa dia tidak berbeza dan paling penting dia tidak berkeseorangan dalam mendepani perbezaan yang dia miliki itu.

Bagaimana semua ini boleh dilakukan?

Tidak lain dengan kita selaku pemain utama dalam masyarakat – ibu bapa, pembuat dasar, guru dan rumah ibadat – mencintai remaja ini, untuk akhirnya mereka sudi berkongsi masalah itu kepada kita.

Bermula dari tindakan inilah, akhirnya kita boleh merangka strategi yang bagaimana untuk membantu remaja-remaja ini mendepani naluri seksual mereka dengan matang dan sihat, serta hidup beretika.

Mengapa berbuat ini semua?

Pertama, demi menyelamatkan anak-anak remaja yang berdepan dengan konflik pedofilia itu sendiri dari hukuman masyarakat yang tidak adil terhadap mereka.

Kedua, tidak lain dan tidak bukan, untuk memberi jawapan kepada ketakutan yang dibina akibat kes yang berlaku, dan menyelesaikan permasalahan pencabulan kanak-kanak dari terus menular dalam masyarakat.

Mungkin kita boleh mengambil pengajaran dari nasihat Profesor di Jabatan Psikologi, Northwestern University, Dr. Michael Bailey mengenai perlunya masyarakat menerima seadanya golongan pedophiles dan membantu mereka untuk hidup dan menjadi sebahagian anggota masyarakat, yang beretika dan bermoral tinggi sekaligus menghalang daripada berlakunya jenayah cabul terhadap kanak-kanak,

"I used to think that almost all pedophiles were destined to molest children, but I've changed my mind. A growing body of research conducted by leading scientists suggests that a large proportion of pedophiliac men — maybe a majority—have never touched a child sexually. I have for years felt sympathy for pedophiles and thought that society should do better by them. Such men never choose to be attracted to children or adolescents. They have a burden that most of us do not have, and they should be helped more and demonized less. I used to think that help would likely entail biological treatments, including chemical or surgical castration. Now I think help beyond the biochemical option is vital. Many can resist their urges without it, and we ought to make it easier for them to do the right thing. Making them feel that they are worthless and despised can only make it more difficult for them."

Saturday, May 23, 2015

Berapa Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul

Setiap hari kita gigih menatal halaman Facebook atau mana-mana laman sosial yang kita punya. Setiap hari juga bermacam cerita dan berita akan kita tatap, baca dan kadang kala banyak membuatkan kita mengeluh kebimbangan.

Kita sering kali bimbang jika terbaca berita-berita yang menggugat keselesaan yang kita punya sekarang, contoh mudah, berita kenaikan harga barangan.

Kita akan mengamuk. Kita akan mengkritik. Kita akan mencari jalan untuk meletakkan kesalahan itu dan ini pada mana-mana pundak. Kita senang begitu, kerana kita in manusia yang serba lemah.

Tapi, jika kita fikirkan dalam-dalam, berhenti sejenak, merenung seketika, kita akan dapati acap kali amarah kita itu kerana perkara-perkara yang tidak enak itu berlaku pada diri kita.

Kita jarang merasa marah jika hal-hal yang terjadi, pahit maung dan pedih berita yang terpampang itu tidak ada sangkut pautnya dengan kita dan keluarga kita. Kalau ada pun, kita cuma cukup dengan bersimpati. Cukup hanya dengan mendengus perlahan.

Kita tiada empati. Bahasa lainnya, maksud tersiratnya, bahawa kita ini tidak lebih dari sekadar sekumpulan manusia yang pentingkan diri sendiri.

Kita merasa cukup dengan selesanya kita, penat dengan urusan kerja seharian kita, merasa sudah menjadi baik di sisi Tuhan dengan meletakkan seringgit ke dalam tabung masjid saban Jumaat.

Padahal, kita ini tidak ubah makhluk individualistik. Kita tidak lebih dari saban waktu fikirkan perut rodong kita sendiri. Kita culas untuk berfikir tentang orang lain, makan minum jiran tetangga kita yang tidak senasib dengan kita.

Setiap hari, saat kita khusyuk tatal ke bawah Facebook, kita bertemu dengan bermacam berita dan perkhabaran sedih dan menyayat hati.

Tentang ibu tunggal yang lumpuh, yang dijaga anak-anak remajanya sehinggakan ada yang tidak ke sekolah akibat tidak mampu untuk membiayai pendidikan mereka.

Tentang ibu tunggal yang kemiskinan dengan anak lelakinya yang sakit tenat.

Tentang pesara kerajaan yang tidak kecukupan wang untuk membiayai perubatan anak perempuannya yang sakit. Dan bermacam lagi.

Dan kita pula, sekadar menatal ke bawah sekali lalu, dan mengeluh, dan mengeluarkan kata-kata simpati itu dan ini. Mereka tidak merayu untuk simpati, mereka perlukan bantuan tapi kita endahkan mereka.

Tanyakan diri kita, mengapa kita begitu pentingkan diri saat ada yang lain perlukan bantuan, yang sangat-sangat memerlukan perhatian kita semua. Mengapa kita selalu merasa gundah pada hal yang melibatkan kegusaran peribadi, tapi tidak untuk meletakkan hak yang sama untuk mereka ini, sedangkan kita ini semua berkongsi darah Adam dan Hawa.

Hulurkanlah pada mereka, walau seringgit.

Saban hari kita boleh membeli makanan sehingga mencecah belasan ringgit untuk sepinggan hidangan, tapi mengapa kita berat untuk menghulurkan nilai angka yang begitu juga pada saudara kita yang lain.

Hari ini, mereka kesempitan. Esok lusa, mungkin kita pula kesempitan. Tuhan pertemukan kita dengan kisah-kisah mereka, bukan sekadar untuk kita baca. Tuhan mahu menyampaikan pesan pada kita.

Tuhan sampaikan pesan, pada kita-kita yang bertuah hari ini.

Tuhan sampaikan ingatan pada kita-kita yang kekenyangan saat ini, bahawa tika ini ada mereka yang sedang kelaparan tidak berduit, kesejukan tiada tempat berdian, kerisauan masa depan anak-anak mereka yang tidak mampu bersekolah. Bersyukurlah kita yang ada serba serbi ini.

Bersyukurlah, dengan kita memberi semula. Memberi kepada mereka. Ampunkanlah kami, Tuhan, kerana kami sering kali lupa dan begitu pentingkan diri begini.

Monday, May 18, 2015

45 Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia

4 tahun menuntut ilmu di perbukitan ilmu UKM, apabila ditanya seseorang apakah perkara yang paling tidak digemari, dijawab rata-rata oleh para graduan adalah, menulis tesis dalam Bahasa Melayu.

4 tahun di universiti yang ditubuhkan pada aspirasi untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa keilmuan, graduannya boleh memberi jawapan sebegitu.

Di mana silapnya Universiti Kebangsaan Malaysia?

Silapnya itu, di pundak mahasiswa ataupun di pundak pengaturcaraan universiti sendiri?

Untuk berlaku adil, kita memberi telahan, salahnya itu pada sesiapa sahaja yang berhajat kepada universiti ini, tetapi enggan untuk belajar memahami aspirasi UKM. Pada akhirnya, universiti mendapat tempeleng kegagalan melahirkan insan yang modalnya ‘kebangsaan’.

Hari ini, 45 tahun yang lalu, universiti kebangsaan ini berjaya ditubuhkan secara rasminya, setelah mendapat tentangan ramai pihak yang masih terjajah minda mereka dari perihal memikirkan kemandirian bahasa dan bangsa dengan usaha penubuhan universiti kebangsaan.

Tanggal 18 Mei 1970 di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, terbinanya sebuah kampus baru yang diberi nama Universiti Kebangsaan Malaysia.

Di situ juga, pada 24 Januari 1972, syarahan pengukuhan pelantikan pada jawatan Profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu telah disampaikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, yang sehingga kini syarahan beliau itu tidak mampu disanggah lagi oleh mana-mana cerdik pandai Orientalis perihal pengamatan beliau terhadap penceritaan pengaruh Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu di tanah air ini.

Kita bertanya, setelah 45 tahun bertapak, setelah berdekad lamanya menjadi universiti, setelah lebih dari 200,000 graduan sudah dilahirkan, mengapa universiti ini masih terus bergelut dengan ketidakfahaman mahasiswanya terhadap falsafah dan peri makna sejarah penubuhannya?

Soalan ini tidak berhajat pada jawapan segera, cuma berhajat pada sinar kesedaran boleh diumpil dari segenap mereka yang berada di universiti ini untuk turut berfikir soal ini.

Ianya tentu sekali tidak cukup dengan sekadar saban tahun, menukar moto dan visi misinya. Launglah sebanyak mana sekalipun bahawa kita ini pendaulat amanah negara, namun pada akhirnya kita tersungkur pada kebutaan sejarah dan kehampaan makna, universiti ini tidak akan ke mana.

Graduan yang lahir, kosong aspirasi, tiada langsung bezanya kita dengan lain-lain universiti. Soal falsafah universiti, tugas kita bukan menghafalnya, tetapi memahami makna dan hakikatnya.

Sejauh mana kita, selaku orang yang terlibat dan menjadi anggota secara langsung dengan entiti universiti kebangsaan ini memahami falsafah yang ditulis oleh Jawatankuasa Penggubal Falsafah UKM pada 1978 itu, menentukan jatuh bangunnya keberjayaan ini, yang demikiannya berbunyi:

“Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.”

Bahawa ilmu pengetahuan di universiti harus berkembang untuk manusia.

Bahawa pengurusan yang lebih tinggi ialah kebijaksanaan Pencipta yang Maha Kuasa yang diakui oleh manusia sebagai kebenaran yang tertinggi.

Bahawa pengawasan kriteria yang lebih tinggi dari akal ini tidak harus diertikan sebagai sekatan yang melulu terhadap perkembangan ilmu pengetahuan yang rasional.

Bahawa perkembangan ilmu pengetahuan itu seharusnya menjadikan manusia berilmu itu semakin tunduk dan beriman.

Itu belum lagi kita berbicara soal mengapa wajibnya kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai medium utama, dan mengapa kita harus merasa kebertanggungjawaban selaku anggota utama universiti kebangsaan untuk memartabatkan bahasa ibunda ini.

Graduan yang tiada rasa malu, mengeluh pada ketatnya syarat untuk menulis tesis, harus sedar akan hal ini.

Demikian jua, untuk para pengatur cara universiti - para pentadbir dan pengubal polisi, bermula dari peringkat tertinggi, berhentilah bersikap seperti kebudak-budakan, sedarlah dari mimpi-mimpi dan alihkan fokus itu pada perkara yang benar-benar menjadi faktor kita sebagai universiti kebangsaan.

Sebenarnya, tugas universiti ini bukan hanya membawa amanah 'kebangsaan' itu, bahkan untuk memaknai fungsi pendidikan yang hakiki.

45 tahun, hampir separuh abad universiti ini berdiri menopang falsafah penubuhannya.

Pada akhirnya, kita harus sedar, segala kerja untuk berbuat ke arah mencapai maksud dan makna falsafah itu, adalah kita sendiri, bukan institusi ini. Institusi ini, kekal begitu. Kalau tiada rohnya, maka yang tinggal adalah bangunan-bangunannya sahaja.

Untuk hidupkan rohnya, itu kita dan adalah dengan berbalik pada asalan kita.

Kita wajib memahamkan mahasiswa dan pengurusan universiti pada Falsafah UKM dan aspirasi serta sejarahnya.

Untuk berbuat itu, kita harus berhenti seketika, menarik nafas pada menyelak semula helaian sejarah ini, menghirup roh kesedaran masyarakat era 70-an, menghidupkan semula wacana falsafah di bumi UKM, membincangkan secara kritis soal kemandirian bahasa Melayu. Boleh kita berbuat ini?

Dan paling penting, hemat saya, mengapa tidak kita usahakan dan bangunkan semula idea-idea dan gagasan hebat yang pernah diutarakan oleh al-Attas dalam syarahannya pada 1972 dulu yang bertajuk, “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”?

Selamat Ulangtahun ke-45, Universiti Kebangsaan Malaysia!

Sunday, May 17, 2015

Bagaimana Menjadi Machiavelli

Kita sering dimomokkan, atau disuap, bahawa falsafah politik yang diasaskan oleh Niccolò Machiavelli, dalam frasa yang cukup popular iaitu ‘matlamat menghalalkan cara’, adalah bersalahan dengan ajaran Islam. Bahawa tuhan tidak melihat akan hasil, atau matlamat, tetapi melihat pada cara yang bagaimana kita berbuat untuk mencapai sesuatu.

Rasanya bukan sedikit manusia umumnya yang berbicara tentang ‘cara’ itu. Oleh kerana falsafah ini cocok pada politikus dan segala macam dunia politik, maka dampak tempias banyaknya terkena pada orang-orang politik. Tidak ramai yang membincangkan Machiavelli dari sudut kekeluargaan, sebagai contoh. Biasanya, hal-hal ekonomi, politik, nilai dan moral, dan isu-isu sosial lainnya.

Mari kita bersoal, tentang ‘cara’. Manusia lambaknya tahu atau boleh mengklasifikasikan sesuatu cara atau perbuatan itu baik atau jahat, dengan berpandukan kebiasaan tanggapan umum masyarakat setempat. Sebagai contoh, mencuri, rata-rata tahu perkara tersebut adalah perbuatan jahat dan salah. maka, untuk mencapai matlamat menjadi kaya dengan mencuri, falsafah begini mendapat kutukan masyarakat.

Contoh di atas adalah begitu jelas dan terang. Tiada siapa pun yang waras, akan mengatakan mencuri hak orang lain itu sebagai sesuatu yang wajar dan boleh diabsahkan dari sudut moral dan nilai sejagat. Tidak mungkin hal begitu terjadi, mustahil pada akal dan adat. Namun begitu, adalah salah apabila kita menanggapi bahawa semua hal yang ‘jahat’ pada tanggapan khalayak, benar ‘jahatnya’ dari sudut pemaknaan hakikatnya.

Jadi timbul persoalan, mengenai ‘cara’ berpolitik yang bagaimana, yang tidak ‘jahat’ untuk mencapai matlamat politik yang didambakan. Pada akhirnya, kita terpaksa berlutut pada realiti bahawa, politik itu adalah mengenai persepsi, tipu daya dan helah. Politik adalah soal kebijaksanaan strategi, ketajaman pandangan sarwa politik, propaganda dan lain-lain seangkatannya.

Jika kita terlalu mengkonseptualisasikan politik, ianya hanya menjadi mimpi-mimpi utopia tidak berkesudahan, sebagai contoh untuk memperlihatkan keimanan dan ada unsur keagamaan, maka dijenamakan sebagai konsep politik Islam. Begitu juga sosialisme, liberalisme dan lain-lain lagi, tidak sedikit yang terperangkap dalam mainan moral dan akhlak dalam berpolitik.

Maka, adakah tiada langsung perbincangan moral dan akhlak dalam berpolitik, kalau begitu? Tidak, maksudnya, perbincangan moral dan politik itu perlukan pemahaman contextualization, di mana dengan mengambil kira pengkajian pada konteks semasa, budaya setempat, perangai kebiasaan masyarakat, persepsi dan sentimen seputar isu dan tentu sekali, taburan demografi sasaran khalayak.

Hemat saya, ‘jahat’ itu sendiri memerlukan pendefinisian semula. Pendefinisian itu hendaklah dilakukan saat untuk memutuskan sesuatu tindakan dan strategi politik tersebut. Ada juga yang mengatakan, kita mengaburi ‘jahat’ dengan penggunaan terma-terma yang berbunyi positif, sebagai contoh licik, bijaksana, tipu helah, strategik, perancangan, namun walhasil, semua itu dilakukan untuk mencapai matlamat akhir politik masing-masing.

Makanya, menjadi Machiavelli tidaklah menjadikan kita tidak Islam, bahkan itulah keupayaan kita memanfaatkan keupayaan akal untuk berfikir secara kritis. Tapi, sayang sekali, falsafah begini terlungkup hina pada mainan istilah yang tidak memberikan apa-apa makna hakiki pun, cuma sekadar sentimen-sentimen setempat. Menjauhi sentimen sempit yang bersifat setempat itulah, paling penting untuk kita tidak menjadi jumud dalam pendekatan politik.

Bagaimana pertimbangan darjah moral dan akhlak dalam berpolitik? Tiadalah mampu kita menjawab ini, kerana halnya bersifat nisbi. Hemat saya, menentukan darjah moral itu sendiri nisbi, apabila kita sendiri yang memilih parameternya. Hanya boleh kita beritahu, adalah, cukup dengan berbuat segala itu, merancang segalanya itu, selagi ianya tidak terkeluar dari landasan syariah. Cukup itu sahaja syaratnya. Tentang bagaimana, terpulanglah pada tuan badan masing-masing.

Saturday, May 16, 2015

Projek Perpustakaan Awam Mini

Kawan saya bertanyakan jumlah buku yang saya miliki, saya tidak pasti berapa. Cuma, saya yakin ianya sudah melebihi 500 buah buku, yang semuanya bertimbunan di dalam bilik kecil di kolej kediaman UKM. Sebenarnya, soalan itu membuatkan saya terfikir untuk memulakan sebuah projek – atau nama lainnya, segmen artikel – dalam blog kecil ini dengan memfokuskan pada buku dan kemaskini senarai buku bulanan.

Saya membaca blog The Personal Libraries Library yang diusahakan oleh Abra Ancliffe, di mana beliau membina sebuah perpustakaan awam mini, di rumahnya yang bertujuan menjadi sebuah komuniti perpustakaan yang bukan sekadar berfokus pada buku, tetapi pembacanya juga. Dengan kata lain, beliau mewujudkan perpustakaan dan orang ramai boleh meminjam serta membaca koleksi-koleksi bukunya serta membentuk komuniti aktif dalam kalangan pembaca.

Lagi menariknya adalah, beliau mengusahakan in-house publishing venture yang turut mengguna pakai nama yang sama, yang berfungsi untuk mencetak segala kertas kerja, projek khas dan segala bahan cetakan dari perpustakaannya kepada ahli-ahli yang membayar yuran tahunan untuk mengguna pakai koleksi buku-bukunya. Tentulah cerita begini amat mengaspirasikan saya, bayangkan beliau sudah pun berjaya mengharungi tempoh 5 tahun perjalanan kedua-dua entiti itu: perpustakaan dan rumah percetakan.

Sebenarnya, mengapa cerita ini menjadi menarik kerana, ketika pada awal-awal kami memulakan idea penubuhan kumpulan Tidak Selain Buku, salah seorang ahli kami mengatakan, kumpulan ini bukan sekadar menjadi sebuah kedai buku, bahkan turut suatu hari nanti, menempa nama sebagai salah sebuah rumah penerbitan bebas. Nampaknya, apa yang diutarakan kawan saya itu, tidaklah jauh bezanya dengan apa yang telah diusahakan oleh Abra Ancliffe.

Mungkin untuk pergi ke arah itu masih lagi jauh buat saya, dan juga buat kumpulan Tidak Selain Buku. Oleh yang demikian, saya mahu memulakan secara kecil-kecilan dahulu dengan memfokuskan pada koleksi buku-buku milik saya sendiri. Pada awalnya ini, saya bercadang untuk menulis setiap awal bulan, kemaskini senarai koleksi buku yang saya telah beli atau peroleh sepanjang bulan tersebut, dan mengemaskinikan rak buku atas talian di Goodreads.

Apabila kita membaca kisah-kisah para pustakawan yang mula bergerak keluar dari tipikal menjadi pustakawan di perpustakaan-perpustakaan awam yang sudah terkenal, dan mula menggerakkan perpustakaan sendiri sama ada menggunakan konsep perpustakaan bergerak, ataupun perpustakaan mini di rumah sendiri, ianya sungguh mengujakan saya. Sayangnya, kebanyakan kisah mereka ini adalah dari bumi Amerika.

Namun begitu, ianya tidaklah salah untuk kita mengambil contoh dengan mengadakan semangat dan usaha begitu di Malaysia. Bayangkan, ada antara mereka mengusahakan perpustakaan dan kedai buku bergerak untuk menyediakan perkhidmatan jualan buku di kawasan-kawasan pedalaman. Cerita mereka tentang bagaimana riangnya kanak-kanak dan orang tua di kawasan pedalaman apabila van buku mereka sampai, ianya benar-benar membuatkan saya tersenyum girang.

Di Malaysia, kita juga ada projek begini, tapi masih belum banyak. Antaranya, Mobile Bookcafe yang diusahakan oleh Muhammad Ali. Ikutilah perkembangan kisah beliau ‘menjajakan’ buku di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia dan bagaimana hangatnya sambutan murid-murid dan guru yang dahagakan buku. Semangat begini harus dicontohi. Bayangkan, bukan mudah untuk kita memupuk sikap suka membaca dalam kalangan anak-anak kecil jika tiada usaha untuk mempermudah anak-anak ini mendapatkan bahan bacaan yang mereka gemari.

Mungkin konsep perpustakaan bergerak ini kelihatan begitu jauh dari jangkauan saya, namun dengan memulakan projek perpustakaan mini di bilik sendiri di kolej kediaman, saya kira itu satu langkah yang baik, tanpa perlu menghiraukan faktor sambutan ada ataupun tidak kerana tujuan saya bukanlah keuntungan, tetapi pembangunan komuniti dan minda sewacana. Jika bukan sekarang, bila lagi. Tambahan pula, buku-buku yang saya miliki, bukan semua sudah pun terbaca.

Mungkin saya perlu belajar banyak perkara lagi dari The Personal Libraries Library, dan lain-lain pengusaha perpustakaan peribadi, perihal bagaimana mereka mampu membina sebuah komuniti pembaca yang kecil dan serumpun tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak, tetapi mampu memberi kesan yang besar kepada komuniti yang terlibat. Saya fikir, idea begini tidak memerlukan protokol atau kertas kerja yang berjela-jela, cukup sekadar fikir dan terus laksanakan.

Justeru, untuk permulaan ini saya akan mula menyiarkan koleksi buku-buku yang saya miliki dengan menjadikan rak buku atas talian di Goodreads sebagai platform pertama, dan menulis kemaskini bulanan setiap buku yang dibeli atau peroleh di blog ini. Moga-moga dengan usaha begini, suatu hari nanti saya mampu memiliki sebuah rumah sendiri, yang sebahagian rumah itu akan dimanfaatkan untuk projek perpustakaan awam mini.

Friday, May 15, 2015

Rohingya dan Kemanusiaan Yang Mati

Mengapa begitu renyah sikap kita pada Rohingya? Mengapa begitu sukar untuk kita membantu mereka, menempatkan mereka di sini, memberi perlindungan pada anak-anak kecil dan wanita mereka? Mengapa begitu sukar untuk kita menerima mereka, menjadi sebahagian dari kita? Mengapa? Mereka bukan manusia-kah? Hina sangat-kah mereka?

Mereka yang punya kuasa di tanah air ini, yang boleh memberi kebenaran untuk membenarkan bot-bot itu mendarat, dan boleh membuka perairan supaya mereka selamat tiba dan duduk menetap di sini sehinggalah isu di tanah air negara selesai, memberi kebenaran untuk anak-anak Rohingya mendapat pendidikan di kelas-kelas sekolah yang kita punya – mereka ini di mana sekarang?

Apa lagi yang tinggal pada kita, makhluk yang bernama manusia kalau isu sebegini remeh pun kita tak boleh nak menyelesaikannya dengan cara yang senang dan memudahkan? Apa lagi sisa kemanusiaan yang tinggal pada kita, sebuah negara yang menjadi Pengerusi ASEAN, dan nama kita siap tersenarai dalam keanggotaan Majlis Keselamatan PBB?

Usah dibicarakan mengapa negara mereka berbuat begitu kepada etnik Rohingya, tetapi persoalkan mengapa kita begitu zalim menghalau mereka dari perairan kita, sementelah kita sudah punya peluang yang terbuka untuk membantu mereka. Kita boleh membantu mereka, sangat boleh. Namun kita memilih untuk menjadi binatang tidak berhati perut berbanding manusia yang punya akal dan kasih sayang.

Aku mahu bertanya sekali lagi, hina sangat-kah Rohingya itu, sehingga mereka tidak berpeluang langsung untuk berteduh kasih di negara ini? Ke mana hilangnya rasa manusia kita semua? Ke mana? Kau tahu kawan, mengapa aku tulis membentak begini? Aku tak mahu jadi hero tukang taip, aku cuma merasa jemu, geram, marah pada mereka yang sudah mati rasa manusia. Aku cuma itu.

Sunday, May 10, 2015

Bagaimana Saya Membayangkan Universiti

Saya membayangkan, keseluruhan Wilayah Persekutuan Putrajaya itu ditukar milik menjadi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bermula dari Masjid Putra ditukar menjadi Masjid Universiti, dan kemudiannya Kompleks Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri itu bertukar menjadi Canselori UKM. Seluruh pejabat pentadbiran utama universiti berada dalam kawasan bangunan itu.

Jauh di hujung jalan lurus menghadap Kompleks Perdana Putra, iaitu Putrajaya International Convention Centre (PICC), pula ditukar menjadi Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR). Makanya, selepas ini segala majlis keraian graduan dan konvokesyen akan diadakan di sana.

Seluruh bangunan kementerian dan pejabat kerajaan di Presint 1 sehingga Presint 5 ditukar menjadi fakulti-fakulti dan makmal-makmal penyelidikan utama.

Mengelilingi bulatan besar Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, kita akan bertemu dengan Putrajaya Shangri-La dan Istana Melawati.

Bangunan hotel itu akan bertukar menjadi Puri Pujangga UKM, manakala keseluruhan kompleks istana kedua Yang di-Pertuan Agong iaitu Istana Melawati ditukar menjadi Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL). Tentu selepas ini tiada lagi perpustakaan universiti lain mampu menyaingi jumlah manuskrip dan koleksi buku milik PTSL.

Hospital Putrajaya pula ditukar menjadi Hospital Universiti atau Pusat Perubatan UKM (PPUKM). Juga institut kanser itu akan didedikasikan sepenuhnya kepada Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Bersekutu untuk dimanfaatkan sebagai pusat penyelidikan mereka yang utama.

Manakala Istana Darul Ehsan pula ditukar menjadi Muzium Penerbit UKM. Rasanya Penerbit UKM belum punya muzium tersendiri, saya fikir elok juga istana ini dijadikan muzium penerbitan UKM.

Bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana pula ditukar menjadi Pejabat Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM). Kawasan perumahan sekitarnya itu ditukar menjadi milik PMUKM, termasuklah kawasan perniagaan Aye @8 menjadi pusat komoditi utama kepada mahasiswa di bawah selia PMUKM.

Mudahnya, kawasan tanjung Presint 8 itu bakal berubah menjadi kawasan aktiviti mahasiswa sepenuhnya, termasuklah ruang-ruang pejabat bagi persatuan-persatuan mahasiswa negeri dan fakulti yang ada.

Manakala, kawasan-kawasan perumahan di Presint 11 sehingga ke Presint 19 akan ditukar menjadi kompleks kolej kediaman dan rumah-rumah para pensyarah serta kakitangan universiti seluruhnya.

Cuma yang berbeza sedikit ialah, Seri Satria akan bertukar menjadi kediaman Naib Canselor. Kompleks Sekolah Presint 18 ditukar menjadi sekolah menengah dan sekolah rendah bagi anak-anak kakitangan universiti seluruhnya. Manakala, SK Putrajaya Presint 16(2) ditukar menjadi Kompleks Tunas PERMATA.

Kompleks Beli Belah Alamanda akan ditukar menjadi Pusanika UKM. Segala pejabat urusan perkhidmatan luar seperti POS Malaysia, akan berpusat di sana.

Sudah tentu juga pawagam iaitu GSC akan kekal di sana, termasuklah pusat bowling, restoran-restoran, dan apa sahaja yang boleh mendatangkan keuntungan sebagai sumber kewangan kepada universiti, selain mengharapkan geran-geran penyelidikan dari kerajaan.

Semua kompleks persekolahan yang lainnya selain dari yang telah saya sebutkan sebelum ini, akan ditukar menjadi kompleks institut penyelidikan yang utama, iaitu Institut Sel Fuel (SELFUEL), Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI), Institut Kajian Etnik (KITA), Institut Perubahan Iklim (IPI), Institut Perubahan Molekul UKM (UMBI), Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), dan Institut Informatik Visual (IVI).

Cuma Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sedikit berbeza, oleh kerana tarafnya sebagai sebuah institut penyelidikan pioneer UKM, maka Kompleks Seri Perdana yang menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri akan ditukar menjadi kediaman baru ATMA.

Selain itu, bersekali di sana juga akan diwujudkan Muzium Alam Melayu atau mungkin boleh dinamakan sebagai Muzium Universiti yang berfungsi sebagai tukang cerita sejarah UKM paling utama dan serba lengkap untuk tujuan penyelidikan masa hadapan.

Kompleks Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) pula bertukar menjadi Pusat PERMATApintar Negara. Segala infrastruktur asal termasuklah bangunan asrama akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Mana-mana kompleks persekolahan yang masih kosong, akan ditukar menjadi pusat sukan tertentu. Kompleks Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya 1 digabungkan dengan SK Putrajaya Presint 8(1) akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat latihan dan pembangunan pasukan bola sepak UKM.

Mungkin sedikit renovasi diperlukan untuk menaiktarafkan stadium utama dan padang latihan mereka.

Manakala lain-lain sukan seperti kriket, ragbi, dan bermacam-macam lagi, akan diaturkan pusat pembangunan dan latihan sukan masing-masing, dengan memanfaatkan kesemua kompleks persekolahan dan infrastruktur sukan yang ada di Putrajaya.

Malah dengan wujudnya Kompleks Sukan Lasak Putrajaya di Taman Cabaran, mahasiswa dan kakitangan UKM boleh memanfaatkan segala kemudahan itu secara percuma dan mudah, yang sebelum ini hanya menjadi mimpi ketika masih berkampus di Bangi.

Putrajaya begitu strategik kerana terletak di antara Kuala Lumpur dan KLIA. Oleh itu, Putrajaya Sentral akan bertukar menjadi UKM Sentral.

Selepas ini, urusan ketibaan mahasiswa luar negara dan pensyarah jemputan universiti akan menjadi mudah kerana dengan perkhidmatan ERL, mereka akan terus sampai ke dalam kawasan kampus UKM itu. Begitu juga halnya untuk ke Kuala Lumpur, juga menjadi cukup senang dengan adanya perkhidmatan ERL terus ke ibu kota.

Keluar dari UKM Sentral, kini perkhidmatan bas Nadi Putra sudah bertukar kepada perkhidmatan Tram UKM. Jalan-jalan di kampus akan dilengkapi dengan laluan tram yang lancar dan mesra alam sekitar.

Kampus UKM tidak lagi memerlukan kawasan parkir kenderaan yang banyak kerana tram akan melalui segenap ceruk kampus termasuklah untuk menghantar mereka yang mahu Taman Cabaran, taman-taman rekreasi, kolej kediaman, perumahan kakitangan, pusat-pusat sukan, fakulti dan termasuklah PTSL di puncak bukit itu.

Dulu, di Kampus Bangi, UKM cuma ada Tasik Kejuruteraan yang kuning berkeladak. Kini, di Putrajaya, Tasik Putrajaya yang membiru itu akan bertukar nama menjadi Tasik Universiti.

Jika dulu kita selalu dengki pada The Boat Race antara Oxford University dan Cambridge University, kini tidak perlu lagi hasad sebegitu. Selepas ini kita boleh adakan The Boat Race antara UKM dan Universiti Malaya.

Tentulah kita akan menamakan dengan nama yang lebih cantik, bukan? Contohnya, pertandingan bot naga.

Kesemua kemudahan perahu dayung, bot persiaran, kayak dan sebagainya yang wujud di Putrajaya, boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa dan kakitangan UKM, bermula dari Kelab Tasik Putrajaya bertukar menjadi Kelab Tasik UKM, termasuklah Kompleks Kolam Renang di Presint 6 sehinggalah Marina Putrajaya bertukar menjadi Marina UKM.

Segala aktiviti yang bersangkut paut dengan air, kolam renang, pusat akuatik, dan tasik, juga akuarium, ya, selepas ini semua itu bukan lagi menjadi mimpi kepada warga UKM.

Ah, lupa untuk catatkan awal-awal. Oleh kerana keluasan kawasan kampus yang baru serta kepelbagaian tarikan pelancongan yang ada, segala kompleks perhotelan termasuklah Hotel Pullman dan Everly akan bertukar menjadi cawangan-cawangan kepada perkhidmatan hotel Puri Pujangga dan Danau Golf Club UKM, untuk tarikan pengunjung luar.

Siapa tahu, mungkin selepas ini dengan adanya kompleks yang serba lengkap serta keluasan kawasan yang mencukupi, akan wujudnya perkhidmatan spa dan padang golf yang lebih berkualiti.

Kompleks Wisma Putra yang tersergam indah di puncak bukit itu pula akan bertukar menjadi Wisma Citra UKM.

Di sini akan menempatkan Muzium Sejarah Sains, Muzium Sejarah Perubatan, Muzium Arkeologi dan Geologi yang akan menempatkan koleksi antropologi dan arkeologi dengan objek dari setiap benua dan di seluruh sejarah manusia termasuklah koleksi spesimen zoologi, entomologi, palaeontological dan mineral dari seluruh dunia, Arkib Nuklear, galeri arca dan seni lukis, galeri muzikal, pentas deklamasi dan Panggung Seni UKM.

Putrajaya terkenal dengan taman-tamannya yang cantik, dilengkapi dengan laluan berbasikal dan pejalan kaki yang sempurna. Mahasiswa dan kakitangan yang mahu ke fakulti dan pejabat masing-masing, selain menaiki tram, mereka boleh memilih untuk berbasikal.

Waktu-waktu rehat dan hujung minggu mereka, boleh bersantai di Taman Botani, Taman Wetland, Taman Putra Perdana. Paling tidak pun, memancing sahaja di Tasik Universiti.

Selama ini persatuan mahasiswa tidak habis-habis dengan aktiviti gerai jualan. Mungkin sudah tiba masa untuk berubah.

Selepas ini, Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) akan menganjurkan acara belon udara panas, manakala UKM Chinese Community Council sudah mampu bekerjasama dengan Red Bull menganjurkan Red Bull Air Race World Championship di ruang udara kampus UKM.

Persatuan-persatuan lain, juga badan politik mahasiswa bebas melaksanakan apa jua aktiviti yang mereka rancang.

Tentu sekali, segala ini cumalah angan-angan sahaja. Saya bertanya diri sendiri, perihal jika saya mahu membina universiti, bagaimana bentuk dan corak fizikalnya. Saya membayangkan UKM dipindahkan ke Putrajaya keseluruhannya.

Maka, apa yang saya catat di atas, hanyalah sekadar gambaran-gambaran sekilas, kerana untuk membina universiti, tidak cukup dengan hebat infrastruktur fizikal semata-mata. Universiti memerlukan roh. Roh tidak terletak pada rupa fizikal, tetapi hakikat dalamannya.

Saya terfikir, jikalau ditakdirkan angan-angan ini benar terjadi, tidak mampu lagikah UKM untuk menempa nama dalam kalangan universiti yang terkemuka dengan segala macam kemudahan penyelidikan dan keselesaan kewangan?

Saya tiada jawapan.

Semua ini sebenarnya, timbul tatkala saya mula membaca buku The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib Al-Attas: An Exposition of The Original Concept of Islamization tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud.

Saya baru sahaja mula membacanya pagi ini, sempat menghabiskan Preface dan Introduction.

Pada bahagian Preface, Prof Wan menulis bagaimana Al-Attas membina konsep Islamisasi ilmu berdekad lamanya, dan membumikan falsafah pendidikannya dengan mengasaskan The International Institute of of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) pada tahun 1987.

Membaca catatan ini membuatkan saya terfikir akan konsep universiti dan bagaimana sebenarnya universiti itu berwajah dan berbuat, mengikut acuan yang benar lagi jitu.

Moga tuhan memberi kesempatan untuk menamatkan bacaan buku ini dalam tempoh seminggu sebelum hadir ke Siri Ke-3 Saturday Night Lecture 2015 di UTM, Jalan Semarak pada 16 Mei ini, kerana Prof Wan akan memberi komentar dan ulasan lanjut mengenai buku ini pada malam tersebut.

Logiknya mudah, untuk mendapat penghayatan pada roh perbincangan itu, haruslah kita membuat persediaan termasuklah membaca teks-teks berkaitan.

Apa pun, doakan suatu hari nanti, UKM benar-benar berpindah tempat ke Putrajaya dan menguasai wilayah itu sepenuhnya!

Thursday, May 7, 2015

Membacalah dan Menulislah

Max meminta Liesel menulis dan menulis dalam diari kosong pemberiannya. Pada malam Heaven Street dibom dengan mengejut, Liesel menamatkan tulisannya. Segala memorinya terhadam di atas helaian demi helaian dalam diari kosong itu. Bermula kisahnya di stesen kereta api, dalam perjalanan ke rumah keluarga barunya.

Bersambung dengan memori sedih kematian adiknya. Bertemu dengan keluarga angkat – Papa dan Mama. Bertemu dengan budak lelaki berambut kuning lemon, Rudy. Bertumbuk dengan Franz, si kaki buli. Bertemu Max, lelaki Yahudi tampan. Mencuri (meminjam) buku milik Bürgermeister. Berpisah dengan Max. Semua itu menjadikan Liesel manusia.

“Mengapa kita buat semua ini?”

“Kerana kita manusia, Papa. Manusia akan berbuat begitu.”

Liesel menulis semuanya. Kata Max, yang membezakan manusia dan lumut di batuan adalah perkataan-perkataan yang disusun menjadi ayat. Lantas, ayat membentuk penceritaan. Manusia menjadi manusia, kerana mereka ada cerita, ada perkataan, ada kisah dan ada memori. Liesel mengangguk, senyum.

Tentu sekali, catatan Liesel berakhir pada malam bom dari tentera Perikatan berguguran di kawasan perumahan mereka. Sebelum Liesel tersedar paginya, disambut dengan Hans dan Rosa sudah terbaring kaku di atas pecahan batu-batuan bangunan yang runtuh. Liesel sempat melihat Rudy, yang mahu memberitahu sesuatu tetapi malaikat maut terlebih cepat mengambil nyawanya di pangkuan Liesel.

Tidak syak lagi, si budak lelaki berambut kuning lemon itu menaruh perasaan pada gadis pencuri buku itu. Tapi sayang, dia tidak sempat untuk mengungkapkan kata cintanya, mungkin. Sayang, kebinatangan akibat perang meragut segala kasih sayang yang mahu berputik. Jangan ditanya tentang kemanusiaan. Itu sudah lama mati.

“Buku apa ini? Kamu punya ke?”

Liesel mengangguk.

“Oh, mengapa gadis gemalai seperti kamu membaca buku sebegini?”

Liesel menggerakkan bahunya, tiada jawapan tuntas.

“Adakah kamu pasti buku ini milik kamu, sayang?”

“Tidak Papa, ia bukan milik saya sebelum ini. Ia milik adik lelaki saya.”

“Ah, begitu rupanya. Jadi adik kamu bernama Pieter Strauss?”

Liesel tersipu malu, matanya melilau ke sisi lain.

“Sayang, kamu tahu buku ini tentang apa?”

Liesel menggelengkan kepalanya.

“Kamu mahu tahu tak?”

Liesel mengangguk, teruja. Papanya tersenyum.

“Papa pun bukannya pembaca yang baik. Lebih baik kita membacanya bersama-sama.”

Liesel bangkit dari baringnya. Papanya mula membaca judul buku itu.

Buku Panduan Penggali Kuburan...

Mendengar judul buku itu, Liesel tersenyum. Hakikatnya, gadis si pencuri buku itu tidak tahu membaca. Tapi dia mahu membaca. Dia meminati buku lebih dari makanan di dapur. Buktinya, Liesel tidak pernah memecah masuk ke rumah Bürgermeister untuk mencuri makanan. Gadis itu lebih terpukau pada koleksi buku-buku milik si penguasa itu.

“Habis, apa yang kau dah curi?”

“Tak, aku tidak mencuri. Aku meminjam.”

“Pinjam? Kamu memecah masuk rumah Bürgermeister untuk meminjam?”

“Ya, aku meminjam buku-bukunya.”

“Buku? Apakah kau sudah gila? Kita kebuluran di luar sana dan kau cuma meminjam buku? Mengapa tidak makanan-makanan di dapur?”

Nein.

Masalah budak lelaki berambut kuning lemon itu, dia tidak meminati buku, apatah lagi untuk membaca buku. Lantas, kegilaan Liesel pada buku dan membaca tidaklah dapat dia fahami dengan baik. Rudy cuma mahukan ciuman dari Liesel. Ah, budak lelaki memang begitu banyaknya!

Kerana minat membaca jugalah, Liesel menunggu sehingga api marak yang membakar buku-buku pada malam pesta keraian Nazi, yang mengumpul sekalian karya asing dan membakarnya secara longgok di dataran, atas alasan mahu menghapuskan pengaruh budaya dan kesusasteraan luar, untuk mengambil buku yang tersisa, yang terselamat dari dijilat api. Malangnya, perbuatannya itu dilihat oleh isteri sang Bürgermeister.

“Jadi, kamu memang gemar membaca?”

Liesel memandang perempuan kaya itu. Kepelikan gamaknya.

“Mari, datang sini.”

Isteri sang Bürgermeister itu mengajak Liesel masuk ke perpustakaan peribadinya. Liesel terpukau pada deretan jilid-jilid buku berkulit keras, tersusun rapi dalam rak-rak kayu. Tangannya mengusap-usap buku yang tersusun, cuba menyentuh keajaiban yang menakjubkan itu. Senyumnya tidak lekang dari bibirnya.

Ah, si gadis itu terjumpa buku yang menarik minatnya, “The Dream Carrier.” Dia memandang pada perempuan kaya itu, memohon izin.

Nampaknya, Liesel bertemu dengan buku yang tepat. Buku yang mampu membawanya ke alam fantasi, bermimpi jauh dari cuma mendengar deruman enjin jet-jet pejuang di langit yang tidak lelah menabur butir-butir bom pada sekalian manusia zaman perang itu berkecamuk. Dia mula menyelak halaman pertama. Dia akan ke alam yang lain.

Buktinya, ketika bumi Heaven Street digegarkan oleh ledakan-ledakan bom, Liesel tidak betah berimaginasi dalam terowong bawah tanah itu, petah bercerita menghiburkan sekalian mereka yang ketakutan, diiringi tangis bayi-bayi yang masih belum mengerti erti peperangan, yang turut berlindung bersama di bawah tanah.

“Hey, Saumensch, nak main tak?”

Nien, hari ini tak nak main.”

“Kalau macam tu, jom kita curi sesuatu.”

“Aku tak mencuri, aku pinjam!”

“Ah, kalau macam tu, jom pinjam basikal Franz Deutscher dan kita pergi merayau dari sini.”

“Hey, kau tak lihat aku sedang membaca buku kah?”

Rudy memang begitu. Dia mana minat membaca buku. Dia cuma mahu memenangi hati si gadis pencuri buku itu sahaja.

“Liesel, kau masih marah pada aku kah?”

“Marah? Marah untuk apa?”

“Kerana selamatkan kau.”

“Tak, Rudy. Kau memang sang pemberani.”

Malam itu, malam terakhir yang memisahkan segalanya, malam Heaven Street berkecai dalam dentuman bom-bom yang berguguran dari langit, malam itu malam Liesel menulis diarinya. Dia menulis segala yang berlaku.

“Apa yang telah aku pelajari ialah, bahawa hidup ini tidak pernah menjanjikan apa-apa sekalipun. Jadi, aku lebih baik mulakan catatan ini sekarang. Bahawa, aku senantiasa cuba menafikan, melupakan bahagian yang pahit ini, perihal cerita hidup aku bermula di atas kereta api, dan kesejukan salji yang menyelimuti sepanjang perjalanan itu, dan memori saat kehilangan adik lelaki kesayanganku.” 
“Di luar tetingkap kereta, aku melihat dunia seumpama dilontar ke dalam glob salji – bermutihan salji turun ke bumi, sehinggalah perjalanan itu membawa aku ke Heaven Street bertemu dengan pasangan yang tak sama cocok – si lelaki yang berhati muzikal dan perempuan yang berdarah guruh – sedang menunggu anak perempuan barunya tiba, iaitu aku.” 
“Max pula, dia tinggal di bawah lantai rumah kami, berselindung di balik tangga di bawah tanah, seumpama burung hantu yang patah sayap, yang tidak mampu terbang keluar sehinggakan sang mentari pun lupa akan bagaimana wajahnya kelihatan sudah.” 
“Diari ini, kelihatan seperti ikan berwarna merah timbul hanyut dalam sungai yang kental sejuknya, dikejar sayup oleh budak berambut kuning lemon.”

“Untuk Max, yang telah ajari aku untuk melihat dunia. Melihat dunia dengan membaca dan menulis.”

Liesel terus menulis sehingga dia tertidur atas diarinya. Papanya datang mengucapkan selamat malam.

“Selamat malam, permaisuriku.”

Rupa-rupanya, malam itu menjadi malam terakhir, ciuman terakhir, catatan terakhir. Untuk Liese dan yang lainnya di Heaven Street.

“Liesel…”

Rudy terbaring lemah. Dia memandang Liesel.

“Aku mahu beritahu sesuatu…”

“Jangan.. Jangan cakap apa-apa…”

“Liesel, aku perlu beritahu ini…”

Liesel memangku kepalanya, yang terkulai lemah.

“Aku.. aku…”

Itu patah-patah terakhir yang diucap oleh Rudy, sebelum kepalanya terkulai, tidak lagi bernafas. Liesel menangis.

“Rudy? Rudy! Nein! Bangun Rudy! Bangun!”

Dia membentak. Gadis itu menangis. Lantas dia meminta Rudy menciumnya. Bukankah itu apa yang Rudy kepingin selama ini, mahu mencium gadis pencuri buku itu? Rudy tidak lagi bergerak, menjawab ajakan itu. Lantas, Liesel menciumnya buat kali terakhir, pada bibir mungil si budak lelaki berambut kuning lemon itu, yang sudah kaku tidak bergerak lagi…

--------------------------

Diinspirasikan dari filem The Book Thief (Gadis Sang Pencuri Buku) yang diadaptasi dari karya Markus Zusak, juga berjudul yang sama. Perbualan dalam artikel ini adalah olahan dari filem semata-mata, dan alih bahasanya dibuat tanpa merujuk pada konteks penceritaan asal dalam buku tersebut.

Hakikatnya, Liesel, si gadis itu mengajar kita satu perkara. Teruslah membaca, dan tulislah detik-detik hidup yang penuh berharga ini. Ianya akan mengajar kita tentang erti hidup, erti kemanusiaan dan erti cinta.

Wednesday, May 6, 2015

Wabak Penginggerisan (Englishization) Bahasa Melayu Yang Menyakitkan

“Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, selain mempunyai puluhan bahasa penduduk asal yang lain seperti Bahasa Cina, Bahasa Tamil ataupun Bahasa Iban – terlalu gilakan Bahasa Inggeris?” 
- Zul Fikri Zamir (Daripada Belanjawan Ke Bajet: Upacara Anglisasi Bahasa Untuk Mewujudkan Melayu Borjuis Baharu, Masharakat Melawan Mahasiswa)

Zul Fikri bertanya, menegur tentang berleluasanya proses penginggerisan, dengan mengimport terma-terma Inggeris dan dimelayukan secara membabi buta.

Dalam tulisan itu, beliau mengambil contoh terma “Budget” dimelayukan menjadi “Bajet” sedangkan kita punya terma tersendiri yang lagi indah dalam korpus perbendaharaan bahasa kita iaitu “Belanjawan”.

Soal beliau, mengapa ini terjadi?

Dalam tulisan itu juga, beliau mengungkapkan bagaimana bahasa Inggeris menjadi bahasa penjajahan, yang bukan lagi berbentuk penjajahan fizikal, akan tetapi penjajahan budaya dan sejarah suatu bangsa itu sendiri.

Beliau memberi contoh, bagaimana Afrika yang mengadaptasikan sepenuhnya bahasa Inggeris menggantikan bahasa kaum peribumi. Lantas, sesiapa yang tidak pandai berbahasa Inggeris dipandang hina.

Orang asal (aborigines) dilayan seumpama mereka tidak mempunyai lidah untuk bahasa mereka sendiri. Untuk maju dalam hal sains dan teknologi, perlu berbahasa Inggeris. Saya melihat perkara ini makin menular dalam masyarakat Malaysia.

Selain dari perlaksanaan PPSMI yang tergesa-gesa dan separuh masak, sehingga akhirnya terbukti membawa banyak penyakit berbanding kebaikan, kita mula mengadaptasi budaya penginggerisan yang meloyakan.

Generasi muda hari ini, yang semakin maju teknologi dalam kehidupan mereka, memandang bahasa seolah-olah hal yang bersifat ranting, remeh dan tiada makna dalam hidup mereka. Orang begini, akalnya singkat kerana malas berfikir dan malas untuk membuat renungan muhasabah.

Jadi tidaklah hairan bilamana teknologi yang semakin canggih menjadikan masyarakat semakin tidak tahu berbahasa dengan baik dan sempurna.

Dulu, di zaman SMS mula mendapat tempat, ada keluh resah beberapa pihak tentang bahasa ringkas yang diguna pakai dalam dunia SMS, yang menjadikan guru-guru di sekolah kehilangan punca apabila anak murid mereka banyak kali terbabas menulis sebegitu gaya ketika menjawab peperiksaan dan tugasan-tugasan di kelas.

Itu contoh mudah, tentang ancaman teknologi pada kemandirian bahasa.

Hari ini, yang lebih membimbangkan adalah ancaman proses penginggerisan bahasa Melayu yang semakin berleluasa dan menjadi-jadi.

Penyakit ini kelihatan merebak sehinggakan ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang lepas, saya terserempak dengan beberapa judul buku yang terbit, memelayukan terma Inggeris secara membabi-buta.

Ini kita bercakap soal penerbit buku berbahasa Melayu, entiti yang cukup berpengaruh!

Dulu, kita ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak menterjemah karya-karya luar, terutamanya yang berbahasa Inggeris. Jika pernah membaca buku-buku yang diterjemahkan oleh DBP itu, tentu kita akan merasa loya apabila dibandingkan dengan buku-buku luar yang penerbit mutakhir terjemahkan.

Antara yang popular sekarang adalah PTS. Banyak karya luar PTS yang diterjemahkan, dan terjemahan mereka, pada hemat saya, tidak kemas.

Tidak kemas, kerana begitu kerap sekali penterjemah pasca DBP begitu mengambil mudah soal pengalihan bahasa terma-terma tertentu dengan mengambil jalan mudah memelayukan perkataan Inggeris tanpa segan silu.

Bila berkomentar mengenai PTS, saya tidak hairan sangat kerana pemilik PTS sendiri, Puan Ainon antara pengguna Facebook yang gemarkan penggunaan istilah Melayu yang bersifat bidan terjun begini.

Saya berharap pembaca tidak menanggapi ini sebagai serangan peribadi, cuma kritikan kepada Puan Ainon kerana saya antara yang mengikuti setiap perkembangan status beliau di Facebook, dan kita memang boleh menilai gaya bahasa dan corak penulisan beliau.

Puan Ainon gemar memelayukan perkataan Inggeris secara bulat-bulat, dan saya fikir apabila buku-buku PTS juga ada yang terkena wabak begini, tidaklah menghairankan.

Apa itu tim, bisnes, konten, validasi, dan banyak lagi terma-terma Inggeris yang dimelayukan?

Dan lagi parah apabila terma Inggeris dicantumkan dengan imbuhan-imbuhan Melayu. Ini sangat keterlaluan, pada saya. Benar, ianya sangat menyakitkan apabila nota-nota perniagaan yang dikeluarkan oleh Sekolah Perniagaan ABS turut mengguna pakai terma-terma bidan terjun sebegitu.

Mengapa tulisan ini kelihatan dituju khas pada PTS?

Tidaklah bermaksud hanya PTS yang berbuat begitu, banyak lagi yang lainnya. Cuma ini contoh yang jelas dan mudah. Harapan saya, tidak lain tidak bukan, PTS boleh mengubah situasi begini dan menjadi sebuah penerbit yang benar-benar mampu mengeluarkan karya terjemahan yang berkualiti.

Menyebut tentang penerbit yang menterjemah karya luar, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjadi contoh yang baik. Ini membuatkan saya teringat kisah Prof. Wan Mohd Noor tentang kecerewetan Al-Attas dalam hal penterjemahan karya-karya beliau.

Kecerewetan itu ada asas yang kukuh, seperti mana yang diungkap oleh Anwar Ibrahim dalam prakata bukunya Gelombang Kebangkitan Asia,

“... terjemahan mempunyai masalahnya sendiri. Apa yang sebenarnya berlaku ialah idea yang terdapat dalam edisi Inggeris diolah dan diucapkan semula dalam bahasa Melayu dengan memberikan pertimbangan terhadap gaya dan peribadi bahasa tersebut dan juga psikologi serta kebiasaan mental khalayak yang menjadi sasaran. Khalayak yang berbeda juga memerlukan beberapa idea diperkembangkan dan diperjelaskan untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham.”

Memang, itulah sakitnya kerja menterjemah karya luar. Faham teks asal satu perkara, untuk menerangkan dalam bahasa tempatan dan menyesuaikan dengan sasaran pembaca yang demografinya berbeza, perlukan sudut penelitian yang bukan bersifat enteng.

Saya fikir, dengan berbuat begini, ianya akan membantu bahasa Melayu berkembang dan semakin kaya korpus bahasa kita sendiri. Memelayukan terma Inggeris bulat-bulat tidak akan memandaikan bangsa.

Bacalah karya-karya luar yang diterjemahkan oleh Za’ba dan lihatlah bezanya dengan terbitan buku terjemahan sekarang. Berbicara soal bahasa ini, boleh menjadi meleret-leret tidak berkesudahan. Saya fikir, kita wajib bertindak segera, mengurangkan pengaruh wabak englishization ini.

Natijah buruknya bukan pada kita, tetapi generasi mendatang. Pada pihak penerbit, tentu sekali di pundak mereka terbebannya amanah ini. Dan tentu sekali, amanah ini bukan hanya pada PTS, tapi juga pada penerbit lainnya juga.

Nota akhir, sehingga hari ini, saya masih tertanya-tanya mengapa buku terbitan Dubook yang berjudul Advantura Pulang Ke Malaya turut terkena tempias penyakit ini, sedangkan dulunya Zul Fikri sudah menegur akan wabak penginggerisan bahasa Melayu, yang disebut Zul sebagai upacara anglisasi dalam buku terbitan Dubook sendiri.

Advantura” ini apa?

Sejenis kuih atau nama jeruk buah potong? Apa pun saya masih membeli buku ini, cuma sedikit terkilan apabila keadaan ini dipandang sebelah mata oleh penerbit.

Saturday, May 2, 2015

Alahai Mahathir!

Tentu sekali saya antara ramai yang tersenyum dengan gelagat Mahathir akhir-akhir ini. Paling tidak, serangan dan kritikan berterusan beliau terhadap Najib Razak dan kepimpinannya – yang hakikatnya merupakan anak didik beliau sendiri – boleh menjadi galang ganti kepada kemandulan Pakatan Rakyat pada waktu sekarang.

Saya tidaklah bermasalah sangat untuk bekas Perdana Menteri bising-bising pada cara dan corak pemerintahan penggantinya. Walaupun, kadang kala terfikir juga, mengapa ada juga pemimpin yang sudah pun bersara, masih mahu lagi menyibuk dengan kepimpinan sekarang. Jika sekadar nasihat serba sedikit, tidaklah bermasalah. Tapi, kalau sehingga sudah mencampuri urusan pentadbiran, itu sudah melampau.

Mahathir, kata beliau, sudah pun puas menasihati Najib secara berlembut. Katanya lagi, Najib degil. Maka, beliau menggunakan cara media dan berterus terang. Maka, rakyat boleh menilai. Perkara yang boleh kita belajar dari sini adalah, Mahathir masih belum hilang bisanya sebagai politikus. Beliau mempunyai metode tertentu untuk memastikan politik negara ini berada dalam dakapan beliau.

Isu-isu yang beliau bangkitkan itu, namakan apa sahaja – GST, 1MDB, pemborosan Najib dan Rosmah – sudah berdengung didendangkan oleh rata-rata pemimpin Pakatan Rakyat. Masa semua kecoh-kecoh begitu, sehingga ke jalan raya rakyat berarak, mana suara Mahathir? Mungkin ketika itu, dia sedang berbisik berlembut-lembut dengan Najib Razak.

Hakikatnya, beliau pandai memilih masa dan ketika untuk membuka suara. Apa motifnya, mungkin beliau sahaja yang tahu. Sama ada pendedahan dan kritikan demi kritikan itu sebenarnya bermotifkan peribadi, untuk mempertahankan sesuatu yang bersifat peribadi, atau untuk kepentingan awam, kita tiada jawapan. Apa yang pasti, Mahathir sekarang sedang melancarkan perang.

Namun begitu, yang meresahkan saya, bukanlah pendedahan demi pendedahan itu. Apa yang meresahkan, bahkan memualkan, adalah gaya dan sikap Mahathir yang begitu malaikat. Segala kata dan kritikan beliau pada dosa-dosa dan kesalahan Najib, menggambarkan seolah-olah sepanjang tempoh 22 tahun menduduki kerusi Perdana Menteri, beliau langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan dan dosa terhadap rakyat.

Mahathir mengangkat dirinya sebegitu superior. Seolah-olah suci murni tidak pernah berdosa. Beliau berkali-kali meminta Najib bersuara menjawab segala persoalan rakyat. Lihat, pandai politik Mahathir, beliau mula mengambinghitamkan rakyat. Apakah beliau tidak pernah sedar, bahawa selama 2 dekad pemerintahannya, pernah beliau menjawab pertanyaan-pertanyaan rakyat pada isu-isu kritikal dulu?

Kini, tanpa segan silunya, Mahathir berlagak seumpama malaikat, memaksa-maksa Najib bercakap dan menjawab isu yang dibangkitkan. Benar, memang menjadi kewajipan pun pada Perdana Menteri menjawab isu, tetapi untuk Mahathir menggunakan kilas begitu, nadanya menjengkelkan. Kedengaran tempang sekali. Seumpama memberitahu dunia, bahawa aku dulu tidak pernah melakukan begini pada rakyat.

Saya ada 2 pertanyaan ringkas, dari seorang rakyat untuk Mahathir menjawabnya. Jika beliau menjawab 2 pertanyaan ini, maka tidaklah begitu memualkan sangat untuk beliau bertanyakan Najib soalan bernada serupa begini. Banyak perkara boleh disoal pada Mahathir, sebenarnya. Namun, saya memilih 2 soalan ini sahaja, agar Mahathir tidaklah pening sangat. Maklumlah, usianya pun sudah meniti hari-hari terakhir.

Pertama, perihal tragedi berdarah Memali bertarikh 19 November 1985, yang telah mengorbankan 14 orang nyawa rakyat Malaysia yang tidak bersalah termasuklah penahanan lebih dari 150 orang awam, antara ramai adalah wanita dan kanak-kanak pada hari tragedi berdarah itu. Sehingga hari ini, Mahathir bermain hide-and-seek dengan seluruh rakyat Malaysia yang mahukan jawapan mengapa negara yang merdeka membunuh rakyatnya yang merdeka.

Kedua, perihal skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) sekitar pertengahan 80-an sehingga akhir 90-an. Siapa Lorrain Esme Osman, bekas pengerusi BMF di hati Mahathir? Mengapa Jalil Ibrahim dibunuh dalam keadaan yang mengerikan di Hong Kong pada 17 Julai 1983 setelah menemui beberapa hal yang mencurigakan dalam urus tadbir transaksi yang melibatkan sejumlah wang negara bernilai RM2.5 bilion? Siapa di belakang Carrian Group?

Mana jawapan Mahathir untuk semua soalan rakyat ini? Mana jawapannya? Mana?

Mahathir sehingga sekarang membisu. Membisunya beliau, sehingga anak-anak syuhada Memali sudah pun besar dan berkeluarga. Membisunya beliau, sehingga si Lorrain sudah pun tiada, menemui ajal dan membawa segala rahsia skandal itu bersama jenazahnya ke dalam lubang kubur. Dan, Mahathir tersenyum, terus bermain hide-and-seek setiap kali berdepan desakan rakyat. Hari ini, beliau memaksa Najib menjawab keluh kesah rakyat.

Alahai, Mahathir. Jika aku berada di tempat dudukmu, nescaya aku akan merasa malu tidak bertepi!

Friday, May 1, 2015

Bukan Babi Sahaja Haram

Di Malaysia, bukan babi sahaja haram. Buku pun haram. Membaca pun, lagi haram. Di Malaysia, untuk menjadi bijak dan pandai, kena sembunyi-sembunyi. Jika tidak, akan digelar macam-macam, dituduh begitu dan begini. Suaranya disekat. Tulisannya diharamkan.

Buku ini, kalau kita pandang sebagai musuh, kita ini tidak ubah seperti binatang berkaki empat. Bezanya, yang membuatkan kita lagi bodoh dan diketawakan penghuni langit, adalah kita binatang yang diberi otak untuk berakal.

Tapi, sayangnya, otak itu tinggal sekadar otak. Otak yang lempung. Otak begini, mudah merasa takut pada idea dan buku-buku. Otak begini, layaknya dilobotomikan terus sahaja, supaya tidak membiak spesies begitu lagi.

Untuk menulis buku, bukan kerja senang. Bukan kerja sejam dua. Bukan kerja boleh buat sambil sembang di kedai kopi. Untuk haramkan buku, senang sekali, cuma perlukan arahan seseorang yang berotak lempung dan buta sejarah. Mereka ini akan meneruskan projek pembodohan bangsa.

Mereka ini – sang yang punya kuasa dan pengaruh – buta dan naif. Mereka ingat dengan rampasan, pengharaman, sekatan dan sebagainya itu mampu membunuh idea. Mereka silap besar. Mereka tidak pernah cuba belajar dari sejarah.

Moga tuhan pupuskan spesies begini secepat mungkin, demi anak-anak kecil kita semua kelak.