Tuesday, April 28, 2015

Melankolik KLIA

“Pernah, masa kami dalam perjalanan ke KLIA, kereta yang kami naiki kehabisan minyak di tengah-tengah jalan Banting,” aku bercerita kepada Saufi, dalam kereta menuju ke KLIA, “bayangkan, flight jam 11 dan masa tu kebetulan kami bertolak dari Putrajaya selepas Isyak...”

“Habis minyak?” soal Saufi, mencelah.“Gila. Dah la jalan Banting...”

“Jap, tunggu aku habis cerita dulu,” sampuk aku tergelak. Cerita itu bukan biasa-biasa. “Yup, di tengah-tengah Jalan Banting yang gelap gelita, tidak berlampu dan langsung tiada rumah manusia! Kau bayangkanlah, macam mana harunya kami masa tu...”

“Habis, sempat tak?” Saufi bertanya lagi. Tak sabar betul budak ni, getus hati kecilku. Baik ini cumalah selingan. Kereta kami bergerak perlahan menelusur jalan belakang UKM yang bengkang bengkok, menuju pekan Bangi Lama.

“Tapi tu la, manusia ini baik.” Aku terdiam seketika mengimbau kenangan itu. Saufi merenung aku, mahu bertanya agaknya. “Masa tu kau nak ke mana?”

“Oh, aku nak ke Istanbul. Khoiri dan Syazwan hantarkan,” ujarku, “Nak jadikan cerita, kereta Khoiri kehabisan minyak. Tersadai kami birai jalan tu...”

“Habis, macam mana kau ke sana? Sempat tak?” Aku tersenyum, bilamana teringat semula kenangan itu. Sehingga sekarang masih terasa nikmatnya bila hidup bertuhan. “Sempat,” ujarku pendek dan kembali senyap.

“Sempat. Sebab tu aku cakap awal-awal tadi, manusia ini sebenarnya baik,” sambungku, “kami kelam-kabut cuba tahan orang yang lalu lalang nak minta tolong, tapi semuanya tak berhenti. Logik lah kan, malam-malam begitu siapa berani nak berhenti tepi jalan.”

Aku menghela nafas. Sebenarnya bukan semua manusia begitu, cuma aku terfikir, jika aku yang berada dalam salah sebuah kenderaan yang lalu lalang itu, adakah aku akan berhenti dan bertanyakan juga? Soalnya sekarang, manusia ragu-ragu jika itu satu bentuk penipuan. Malaysia...

“Lama juga sebelum Tuhan hantarkan pada kami sebuah kereta Wira. Pekerja kontraktor agaknya kerana pakaian mereka penuh dengan bekas-bekas cat rumah,” sambung aku lagi, “kadang kala kita tidak boleh nak judge manusia melalui perawakan luar kan?”

“Mula-mula kami tak percaya juga pada lelaki berdua tu.” Saufi mengerling pada aku masa aku ungkapkan begitu. “Ye lah, kita pun tengok mereka ni, macam nak ambil kesempatan je. Tapi, aku cuba yakinkan diri sendiri yang Tuhan nak tolong. Khoiri siap pesan, kalau ada apa-apa terus tinggalkan mesej kosong pada phone dia.”

Aku menghela nafas lagi, dalam-dalam. Benar sekali, hidup ini tiada tetap. Manusia berbeza, lain fikir dan cara mereka. Abang kontraktor berdua itu sungguh baik. “Mereka pelawa hantarkan aku ke KLIA. Baik manusia ini Saufi,” ujarku lagi, “aku terima lagipun aku dah hampir terlewat nak check-in luggage. Perjalanan pun jauh lagi.”

“Habis, kau naik juga lah dengan kereta Wira tu?” Saufi bertanya lagi. “Ha’ah, kerana terpaksa. Padahal mereka memang nak tolong pun. Sampai di KLIA, aku nak bagi duit tapi mereka tolak. Tapi aku letak juga duit pada riba abang sebelah driver tu...”

Aku berhenti sejenak, cuba mengingati berapa jumlah yang aku bagi pada mereka berdua. “Aku lupa aku bagi berapa, tapi mereka memang tolak. Baik sungguh...”

“Habis, Khoiri dan Syazwan balik macam mana? Ada orang datang ambil?” tanya Saufi bertalu.

“Ada. Suffy rasanya datang bawakan minyak, kalau tak silap aku.” Jawab aku ringkas. “Tak ingat Suffy dari UKM atau dari rumah dia. Yang penting kami contact ramai juga lah kawan-kawan masa tu,” ujarnya tersenyum.

Kenangan itu indah, dan sebenarnya kenangan itu juga cerminan pada rasa bersahabat sesama manusia. Masa kita susah, sahabat yang tidak berkira ini akan menolong kita tak kira walau macam mana sekalipun. Juga tiba masa kita nanti, perkara sebegini menjadi peringatan bahawa dulunya masa kau susah, kawan kau datang menolong tapi kau bagaimana?

Kami meneruskan perjalanan ke KLIA sambil berborak banyak perkara. Politik tentu sekali. Tiba di jambatan yang separuh siap berhampiran KLIA, Saufi bertanya, “Eh, itu bukan jambatan yang runtuh pasal Rosmah exercise atas tu? Aku tengok ada orang troll dalam Facebook.”

“Entahlah,” jawabku ringkas. Aku bukanlah peminat halaman-halaman Facebook yang saban hari memuat naik status sarkastik. Jadi gambar yang dimaksudkan itu tidak terlintas dalam benak aku. Sebenarnya kami ke KLIA Ahad lepas untuk menghantar Meor. Dia nak terbang ke UK menyambung PhD di Sheffield.

Tiba di sana, kami melepak dengan Meor. Dia dan keluarganya sudah tiba awal di KLIA dan selesaikan urusan check-in. Adat kebiasaan mahu berpisah lama, gambarlah menjadi penawar. Aku sempat membawakan sebuah buku untuk Meor, jadi teman perjalanannya tika di bumi asing. Meor, kau dalam cerita ni adalah Tom dan aku Huck, aku menulis nota kecil pada halaman pertama.

Petang Ahad itu, adalah metafora pada rasa bersahabat. Melankolik aku pada peristiwa tersadai di birai jalan kehabisan minyak di tengah gelap buta malam mengajar erti persahabatan. Khoiri dan Syazwan banyak membantu aku selama ini. Aku tidak sesekali lupa akan perkara itu. Satu persatu. Juga, mengajar erti manusia.

Abang kontraktor berdua itu manifestasi erti manusia. Bahawa, pada kita yang gemar menilai manusia pada zahir secara membuta tuli, kerap kali kita akan gagal untuk melihat cantik di dalamnya. Kita buta pada hakikat. Kita tidak nampak manusia, tapi kita nampak ketakutan dan kerisauan.

“Meor, berikan aku satu nasihat,” pintaku pada Meor tatkala memeluknya sebelum dia melepasi garisan pemeriksaan pengawal untuk ke bahagian Imigresen. “Ah, patut kau bagi nasihat pada aku Ata...” Meor, itulah dia. Merendah diri orangnya. Aku pasti akan merindukan Meor saat menyedari ketiadaannya di FKAB nanti.

Dalam bersahabat, banyak peringkat, banyak jenis sahabat. Meor ini, untuk pengetahuan kalian, jenis sahabat yang setia. Dia akan mendengar tutur bicara kau, tidak betah untuk menolong saat kau perlukan pertolongan. Dia melawak, tapi dia tidak pernah memaknakan apa yang diguraukan itu.

Kami menunggu sehingga Meor hilang dari pandangan. Dia selamat ke Balai Berlepas. Kami bersurai, bersalaman. Emak Meor kelihatan merah matanya, menangis. Anak bongsunya ke bumi asing, berpisah lama. Emak mana yang tidak sedih.

“Rugi kalau pulang sekarang. Baik tunggu sebentar cukup 2 jam parking,” cadang Saufi. Aku mengangguk bersetuju. Kami bergerak perlahan ke Anjung Tinjau sambil bergurau mahu melihat kapal terbang yang membawa Meor berlepas. Dia menaiki Emirates, jadi maknanya Meor akan transit di Dubai dahulu.

Di anjung itu, fikiranku melayang entah ke mana. Banyaknya, apabila melihat satu demi satu kapal terbang berlepas, kepalaku melayang mengingatkan kenangan-kenangan pengembaraan yang lepas. Ke Rio de Janeiro, aku sempat transit 8 jam di Dubai, juga ketika itu menaiki Emirates.

“Kau tahu mengapa ramai orang bencikan ‘airport goodbye’?” aku bertanya kepada Saufi. Dia menggeleng tidak tahu. Aku menyambung, “Airport ini metafora pada perpisahan yang jauh dan lama. Sebab itu ramai yang benci untuk mengucapkan goodbye di airport kerana mereka tahu, perpisahan itu bukan sekejap, dan tidak dekat sama sekali jaraknya.”

Aku mengeluh. Rindukan saat begitu. “Rasa excited nak ke tempat baharu, bercampur baur dengan rasa ketidakpastian di bumi asing,” aku berkongsi dengan Saufi, “tambah lagi dengan rindu pada keluarga, perasaan itu indescribable. Tak boleh nak explain.” Teruja, bimbang, gementar, seronok, risau – bergabung menjadi satu.

Fikiranku menuju ke Tokyo. “You are lucky. This is the first time Tokyo have a snow in the last 30 years,” ujar seorang pramugari Malaysia Airlines ketika kami selamat mendarat di Narita Airport 2 tahun yang lepas. Katanya, Tokyo sudah begitu lama tidak bersalji.

“Saufi, kau tahu apa yang aku dan Khoiri buat lepas sampai di airport?” tanyaku pada Saufi. Kami berborak tentang banyak hal. Aku teringat tentang Tokyo. Dia tersenyum. “Aku dan Khoiri terus bermain salji di depan ramai-ramai orang yang sedang menunggu bas. Gila. Masa tu langsung tak fikir malu,” ujarku sambil ketawa.

Kami terus berborak, sambil mata memandang ke arah bangunan Terminal Pelepasan. Berjujut kapal terbang satu persatu berlepas. Tiba-tiba, poket seluar kananku bergetar. Oh, ada mesej, getus aku.

“Baru nak berlepas.”

Meor menghantar mesej ringkas. Aku melilau pada jam tangan, waktu sudah pun menunjukkan jam 7:25 PM. Ah, Meor dah nak berlepas, aku berbisik. Cepat-cepat aku menaip membalas mesejnya, menitipkan doa untuknya.

“Nanti bacalah buku tu kalau kau rindu kat aku haha...”

Moga kau di sana, Meor, senantiasa dalam rahmat ALLAH SWT.

Monday, April 27, 2015

Mencari Irfan

Kelas maqasid syariah (maqasid al shari’ah) bersama Ustaz Wanji minggu lepas sangat menarik. Sebenarnya, itu sudah masuk siri kedua kuliah beliau seputar perbahasan maqasid syariah, yang diaturkan sepenuhnya untuk kumpulan +‘Tidak Selain Buku’ Book Café. Seperti biasa, Ustaz Wanji tidak mengecewakan.

Terdapat 2 perkara yang menarik perhatian saya pada kuliah kali ini, yang semuanya membuka suatu lembaran baru dalam dimensi saya berfikir dan melihat sesuatu. Pertama Ustaz Wanji memperjelaskan mengapa perlunya umat Islam belajar keempat-empat Imam mazhab utama iaitu Hanafi, Maliki, Shafi'i dan Hanbali, juga termasuk Zahiri. Dalam Syiah, kita tahu adanya mazhab Ja'fari dan Zaidi, dalam mengharungi dunia keintelektualan dan pemikiran Islam.

Imam-imam mazhab berbeza dalam soal fikah, soal menanggapi teks (nas) al-Quran dan hadis untuk menentukan hukum berkaitan ibadah dan syariat seluruhnya. Gambaran besarnya, adalah bagaimana mereka berbeza dari sudut metodologi, kajian hukum, corak berfikir dan pengembaraan keintelektualan masing-masing.

Jika di dunia Barat, mereka berbangga dengan Socrates, Plato dan Aristotle, yang dikatakan membentuk wacana pemikiran dan metodologi berfikir dalam merenangi dunia intelektual, mendalami kajian saintifik dan pencarian makna kehidupan. Dunia Islam, kita punya 4 imam mazhab yang menyediakan tapak yang sama – kaedah berfikir.

Kita tengok bagaimana Al-Ghazali membentuk wacana pemikiran yang lestarinya sehingga ke saat hari ini. Dengan seluruh hidupnya menghasilkan 70 buah buku, nama beliau tidak betah dari mana-mana diskusi intelektual seputar falsafah, kehidupan dan sufisme. Beliau membentuk suatu corak fikir yang baru – metodologi – dalam memahami kehidupan.

Sebelum ini saya tidak pernah terfikir akan bahawa, imam mazhab dalam Islam telah menyediakan metodologi yang cukup sempurna untuk diaplikasikan dalam mana-mana cabang keilmuan. Inilah akibat kurang membaca dan menuntut ilmu. Sebelum ini, saya cukup mengagumi tokoh-tokoh falsafah dari Yunani purba atas sebab kayanya pengaruh mereka dalam mana-mana cabang keilmuan hari ini.

Sebenarnya tidaklah salah pun mengkaji dan membaca mereka. Cuma yang salah adalah, menanggapi mereka seolah-olah sudah tiada lagi sumber-sumber yang sama atau lebih agung dari itu. Akibatnya tidak lain, kita telah merugikan warisan keilmuan yang maha hebat, yang tidak mungkin mampu diulang lagi oleh generasi terkemudian.

Kedua, Ustaz Wanji menjelaskan aliran pemikiran yang wujud dalam dunia intelektual Islam. Saya menggunakan terma aliran, bukan bermaksud aliran dari sudut konotasi yang biasa difahami, tetapi lebih kepada membawa maksud kaedah berfikir yang wujud dalam kalangan ilmuwan dan inteligensia Muslim. Atau, metodologi falsafah dalam Islam. Ianya juga dikatakan sebagai model-model epistemologi dalam Islam.

Aliran atau model pertama ialah Bayani, yang maknanya ‘explanation’ atau penjelasan. Maka dari itu teks (nas) menjadi sumber bagi epistemologi bayani. Kaedah berfikir yang bersandar pada nas dan dalil secara langsung, memahami maksud dalil secara literal. Mungkin terma literal bunyinya agak keterlaluan, tetapi digunakan untuk menjelaskan bagaimana kumpulan Bayani gemar menanggapi nas secara begitu tanpa melihat siratan tafsiran lain.

Kedua, aliran yang disebut sebagai Burhān atau Burhani, yang membawa maksud ‘logic, proof’. Jika Bayani menjadikan teks (nas) sebagai dasar untuk memperoleh pengetahuan, maka burhani lebih bersandar pada kekuatan natural manusia yang berupa pancaindera, pengalaman dan akal. Mereka ini, menanggapi nas dan dalil banyak menggunakan logik akal, yakni rasional dan taakulan berbanding menerima pakai maksud asal secara literal. Mereka dilihat lebih maju cara berfikirnya dan lebih terkedepan dalam menjawab isu-isu kontemporari.

Aliran terakhir, ialah ‘Irfān, atau Irfani atau membawa maksud ‘knowing, awareness’. Istilah makrifat (gnosis) mungkin cocok dengan model ini. Makrifat secara umumnya melambangkan pengetahuan rohani atau "religion of knowledge", dalam erti kata pencerahan mistik atau "kasyaf". Mereka ini mempelopori kaedah pemikiran romantis, puitis, yang mementingkan pengamatan perasaan. Mereka cuba membawa manusia memahami ayat-ayat Tuhan bukan sekadar pada maksud yang tipis begitu sahaja. Mereka mahu manusia menjiwainya. Dari golongan begini, lahirnya aliran-aliran sufisme.

Melebih-lebih atau menumpukan pada satu-satu aliran berfikir sahaja, akan membawa kepada bentuk-bentuk ekstremisme. Terlalu Bayani dalam berfikir, akan menyebabkan berlakunya ekstrem fundamentalis agama, dan lahirnya kelompok literalist. Terlampau Burhani dalam berfikir, lahirnya ekstrem liberal yang meringankan segalanya. Terlebih Irfani dalam berfikir, juga mendatangkan bentuk-bentuk kemeracauan dalam beragama.

Jawapannya, adalah dengan bersederhana, menyeimbangkan corak berfikir. Dalam memahami agama dan kehidupan – dan teks-teks sakral, ketiga-tiga aliran pemikiran begini wajib ada. Untuk mengharungi dunia keintelektualan, umat Islam mesti menggunakan ketiga-tiga cara berfikir ini. Untuk mendapat makna kehidupan, pengembaraan dalam ketiga-tiga dimensi cara fikir ini adalah wajib.

Pada saya, dunia ini merupakan sebuah pengembaraan atau quest. Ianya adalah endless quest for meaning – dulunya menjadi tema tulisan saya sementelah saya berangan mahu mengembara ke seluruh dunia secara nomad. Pengembaraan ini adalah untuk mencari makna hakiki, mencari cinta, mencari kebenaran. Juga ianya sebuah pengembaraan untuk mencari jawapan kepada subjektiviti.

Saya berpandangan, hanya mereka yang menghayati aliran Irfani sahaja akan benar-benar melalui pengembaraan itu. Tidak hairanlah kita lihat bagaimana Ibnu Arabi, Jalaluddin Rumi, Khomeini, Mulla Sadra, Farid ad-Din Attar, Ibnu Tufayl dan ramai lagi telah mengalami dan menulis suatu perjalanan pengalaman yang cukup mengasyikkan. Perjalanan mencari kebenaran hakiki.

Bagaimana juga dari Irfani ini, lahirnya bermacam-macam aliran sufi, yang semuanya mahu mencari Tuhan, mahu mencari makna hidup, mahu mencari kebenaran yang hakiki. Karya mereka, puitis. Tulisan mereka, punya jiwa dan roh tersendiri. Tulisan mereka hidup dan menari. Bacalah Al-Ghazali, dan hayati bagaimana beliau mengekspresikan cintanya pada Tuhan, ilmu dan kebijaksanaan.

Perbahasan dengan Ustaz Wanji meyakinkan saya pada tema kehidupan ini, yang saya tetapkan dalam diri sendiri semenjak 2 tahun terakhir ini, iaitu hidup ini adalah palsu dan ianya sekadar mimpi. Ianya sebuah mimpi sebelum kita mati (bangkit dari tidur) dan menemui realiti iaitu kehidupan selepas mati. Untuk itu, mimpi begini memerlukan saya mengembara. Bertatih mencari makna dan membayangi realiti.

Semua itu, supaya saya tidak mati dalam mimpi. Supaya saya sedar saya masih bermimpi, punya objektif dan tidak terpengaruh dengan segala macam godaan dalam mimpi. Untuk itu, saya perlu menjadi sang Irfani yang Burhani dan Bayani. Saya perlu mencari diri saya, yang Irfani. Saya yakin, di akhir pengembaraan, akan tersimpulnya sebuah kebenaran yang Maha Agung, di depan saya.

Sunday, April 26, 2015

Memperingati 5 Tahun Pemergian Aminulrasyid Amzah

Hari ini, 26 April genap 5 tahun pemergian Aminulrasyid Amzah. Moga roh beliau aman dan tenang di sana. 5 tahun sesudah pemergian arwah, kes ini masih belum mendapat keadilan yang sewajarnya. Malah tidak mustahil jika rakyat Malaysia yang menangisi pemergian arwah dan mencela kekejaman polis pun sudah makin melupai kes ini.

Mengapa terus menyebut perihal yang sedih dan sayu begini? Saya memulakan peringatan ini dengan memikirkan soalan bernada begini. Tidak lain, supaya kita kekal ingat, bahawa pemergian Aminulrasyid tidaklah sia-sia, berlalu sepi dari kotak ingatan kita pada kezaliman yang tidak pernah padam. Malah, semakin hari semakin membuak.

Peringatan ini, adalah simbolik kepada banyak kezaliman lain yang berlaku di tanah air ini. Atas nama POLIS, atas nama menegakkan undang-undang, mereka terbabas dari landasan keadilan dan kasih sayang. Semakin hari, POLIS semakin rancak angkuhnya, semakin tidak manusiawi. Mereka menjadi alat, menjadi peralatan pada arjuna pemerintah. Ini kita kena kekal ingat.

Agar, pemergian Aminulrasyid dan lain-lain adi wira bangsa, tidak berlalu sepi, dilupai sejarah dan tidak diambil pengajaran. Agar generasi mendatang belajar bahawa sejarah tidak akan berjaya dipadam selagi ianya diungkap diulang ditulis pada segala macam cebisan coretan yang tinggal. Saya mahu terus mengulang peringatan begini, kerana ianya tonik.

Tonik kepada penyakit lupa kita pada kezaliman yang melingkar. Kita mudah padam dan hanyut hanya setelah dikena sekelumit rasa selesa. Kita lupa pada masa kita mengeluh bahawa politik itu kotor begitu dan begini, kita kekal kaku, tidak berbuat apa-apa. Tatkala kita menyaksikan masyarakat semakin tenat, kita terus begitu, tiada cakna, hidup tidak bernyawa.

Kerana itulah, peringatan begini adalah tonik, supaya kita tidak leka. Supaya kita kembali ingat, bahawa perjuangan melawan yang zalim itu tidak pernah terhenti, tidak pernah padam api keazamannya. Bahawa cita-cita pada sebuah negara yang adil tidak betah terus dilaungkan. Kita berimpian, tanah air ini akan pupusnya pengkhianatan amanah, penyelewengan nilai, dan pencabulan kasih-sayang sesama manusia.

5 tahun pemergian Aminulrasyid Amzah tiada sia-sia. Ianya pemergian yang menyedarkan. Moga Tuhan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang soleh, yang sedang menunggu kita semua ke sana juga satu hari nanti, apabila tiba masa kita kelak. Moga ibunda Aminulrasyid terus tabah. Moga keluarganya terus kuat. ALLAH bersama kalian dan orang-orang yang dizalimi.

Testimoni Orang Ngomong Anjing Gong Gong

Pertama, buku ini habis dibaca dalam masa 15 minit. Ini serius. Singgah melepak di Dubook HQ sebelah PKNS Bangi, dan buku ini habis dibaca sebelum sempat dibeli lagi. Jadi, terus tak terbeli. Buat apa nak beli lagi kalau dah habis baca. Tapi, bila keluar kedai, terasa berdosa pula pada Mut. Seolah-olah makan tapi tak bayar.

Jadi, selepas Zohor bergerak ke PWTC, bercadang kalau jumpa Mut nak minta halalkan aku baca buku dia tapi tak beli langsung. Dah pun jumpa Mut, siap bersembang barang satu dua patah dan membeli beberapa judul dari Dubook, tapi bila tengok dia tengah melepak dengan Cikgu Zul, terlupa terus nak minta halalkan perkara tadi. Ceritanya, pasal kalut nak minta autograf Cikgu Zul, terlupa pada Mut.

Minta maaf, bang!

Kedua, buku ini ringkas. Sebelum itu, lupa nak bagi tahu, bukan buku Mut sahaja habis dibaca semasa melepak di HQ mereka, malah buku Yak Bok Te! pun menerima nasib yang sama. Habis dibaca masa itu juga. Untung melepak di kedai buku, boleh baca percuma, selesa ada penghawa dingin, dan untuk pengetahuan semua, siap bersofa lembut menghadap TV 60 inci.

OK, sampai pada tujuan testimoni ini. Bukunya ringkas, ringan dan sesuai dibaca semua lapisan masyarakat, walaupun di muka depan siap amaran untuk orang bodoh tidak membacanya. Ada benarnya juga amaran begitu. Bayangkanlah kalau buku Mut ini diberi pada Ahmad Maslan untuk dibaca, tak haru dibuatnya? Silap-silap bermutasi terus budak cerdik tu.

Paling penting, Mut jujur. Sebut jujur dalam penulisan dan lontaran persoalan, aku teringat pada arwah Ahmad Wahib. Memanglah tidak adil nak banding Mut dan si arwah, kerana kasus perbincangan mereka sangat berbeda. Apa pun, Mut jujur dan berterus terang. Kalau memang buku ini jatuh pada orang bodoh dan lurus bendul, atau kata lain, tak mahu berfikir panjang, parah juga Mut dapat macam-macam gelaran.

Dialog dan kupasan ringkas pada setiap lakaran dan karikatur itu, kenalah difahami bahawa ianya adalah satira. Dan itu pun tujuan sebenar Mut, pada hemat aku. Satiranya itu adalah kritikan terhadap isu yang memutar sekeliling hidup kita di Malaysia selama ini. Namakanlah apa sahaja pun, termasuklah sindiran Mut terhadap tipikal orang Melayu, kebodohan politik dan banyak lagi.

Gayanya mudah difahami, seperti membaca status di dinding Facebook sahaja. Cuma kali ini, dibukukan dan dijual dengan harga RM20. Tapi, tak perlulah nak mengungkit sangat pasal harga ye, kalau kau pun melantak baca percuma di HQ mereka sendiri. Cuma aku sangat syorkan buku ini pada adik-adik di universiti dan sekolah menengah, bukan sahaja untuk dibaca dan kemudiannya ketawa, tapi berfikir.

Kelakar itu satu hal, yang paling penting, bagaimana bersikap dengan idea yang cuba disampaikan oleh penulis, walaupun bentuknya sebegitu ringkas. Aku tidaklah bersetuju mana dengan penyampaian satira – dalam sesetengah keadaan – tapi fungsinya dalam menggerakkan minda masyarakat itu, tidaklah boleh dinafikan sepenuhnya.

Bahkan, karya-karya satira telah pun membuktikan ratusan kali dalam sejarah, bahawa mereka mampu memutik rasa sedar pada realiti sebenar masyarakat, yang acap kali cuba diperlindungkan oleh sesetengah kelompok penguasa. Sebagai contoh, Ahmad Maslan. He’s trying too hard untuk menutup realiti sebenar masyarakat, tapi nampaknya orang makin nampak realiti dirinya sendiri. Bodoh.

Itulah testimoni aku untuk buku Orang Ngomong Anjing Gong Gong yang ditulis oleh Mutalib Uthman. Panjang pula aku berleter. Apa pun, aku nak minta maaf sekali lagi pada Mut pasal baca percuma dan tak beli pun buku tu. Juga pada Amin Landak, minta dihalalkan juga. Aku beli buku Dubook, tapi judul lain la. Moga itu boleh dikira sebagai bayaran pada kedua buku ini, boleh?

Walaupun rasa bersalah begini, aku masih menaruh harapan supaya Tuhan takdirkan aku dapat Vespa merah itu. Dan yang terakhir, oleh kerana aku tiada buku ini, maka tidaklah perlu aku menunaikan wasiat Mut supaya membakarnya selepas dia mati, kan?

Wednesday, April 22, 2015

Tentang Cinta

Seingat saya, kali terakhir orang bertanya saya tentang cinta secara serius, ketika saya di Istanbul 2 tahun yang lepas. Ketika itu, saya terpinga-pinga dan soalan itu, yang sebenarnya tidak pernah terlintas dalam kepala saya pun, membuatkan saya terfikir banyak kali – jujurnya.

“Oh, ada girlfriend?” tanya kawan saya – perempuan.

“Nah. Tak pernah,” sambil saya cuba imbau kenangan-kenangan dulu, “crush tu pernah, tapi girlfriend, nope.

“Kenapa?” dia bertanya lagi, mungkin kepelikan.

Saya membiarkan soalan itu berlalu, dengan menggeleng kepala dan memandang kosong ke depan. Tiada jawapan, tentang mengapa. Agaknya saya fikir soalan begitu sangat remeh untuk ditanya dan difikirkan. Dan, nuansa soalan itu menuju khas pada cinta sesama manusia. Tidak lebih dari itu.

Numero uno, ianya tentang ego. Saya punya ego tertentu dalam membicarakan topik ini dan seangkatannya. Ianya peribadi, dan jika saya berusaha untuk memikirkan juga, maka ketika itu jiwa saya sedang dalam keadaan yang sangat nadir. Sebabnya, saya tidak pernah ada kemahuan untuk menjadi orang lain, untuk surrender dari menjadi diri sendiri.

Tapi, kerana ego jugalah, apabila ditanya sebegitu, saya merasa tercabar sebenarnya. Dan secara tiba-tiba datang perasaan untuk membuktikan sesuatu. Syaitan betul, untuk buktikan apa? Ramai yang mengatakan, jatuh cinta itu sebenarnya sebuah pencarian atau quest. Sebuah pencarian kepada subjektiviti – kebenaran, kecantikan, estetika.

Ya, logistik cinta memang begitu gamaknya. Sehingga ada yang mengatakan, jatuh cinta itu seumpama menggenggam risiko. Menggambarkan sebuah kemahuan untuk meletakkan diri sendiri pada suatu keadaan yang cukup lemah, untuk mudah dikuasai, dibolak balikkan, berada dalam keadaan penuh ketidakpastian.

Dan, mereka bicara keadaan begini indah dan membahagiakan. Tidak hairanlah, mereka yang bercinta menjadi buta pada hakikat kebenaran, kerana pencarian mereka adalah pencarian kebenaran yang sifatnya subjektif, mencari makna yang berbeda dari yang asal, pencarian yang berupaya mencerakinkan realiti. Semuanya menjadi kabur, rambang.

Menarik juga falsafah begini, seolah-olah ianya menggambarkan perihal manusia yang cuba keluar dari zon selesa mereka dan mencari sesuatu untuk dicabar. Kata orang, jika tidak hidup, maka tiadanya mati. Untuk merasa hidup, seseorang perlukan cabaran. Jatuh cinta dan mencari cinta, juga hal untuk mencari makna kehidupan.

Mengapa disebut begitu? Telah saya, katakan jika saya mahu menolong seseorang yang dalam kesusahan, tentulah pertama-tamanya saya akan meletakkan diri saya pada tempat seseorang itu. Cuba menjadi diri yang lain, merasai dan memaknakan keadaan yang bukan diri sendiri, sehingga dari situ, akan lahirnya empati dan cinta untuk berbuat sesuatu.

Tapi, jika bukan ego yang memandu jiwa dalam pencarian ini, manusia akan lemas dan tenggelam. Saya yakin idea begini sangat menarik untuk diteroka. Bahkan, saya tidak menolak, bahawa cinta yang benar adalah kemahuan untuk meletakkan kepentingan yang lain jauh mengatasi kepentingan diri sendiri.

Mungkin ini jawapan saya untuk soalan mengapa tadi. Saya ada ego, dan saya masih belum mampu berkompromi untuk meletakkan kepentingan lain superior dari kepentingan diri saya sendiri. Dan perlu jelas, bahawa alasan begini, hanya tertakluk pada kasus perbincangan seputar cinta yang bermotifkan nafsu sesama manusia.

Kerana ego jugalah, kerap kali saya menanggung rasa sakit. Sakit, bilamana kita menyukai seseorang tetapi tidak mampu memberitahunya, atau meluahkan atau mendapat peluang untuk meluahkan. Sakitnya itu, kawan, Tuhan sahaja yang mengerti.

Tuesday, April 21, 2015

Adakah Islam Akan Bangkit Semula?

Maaf, ini bukanlah kepakaran saya lantaran saya tidak pernah belajar secara formal dalam ilmu persejarahan dan ketamadunan Islam. Tetapi sedikit ulasan yang akan ditulis adalah sebagai refleksi kepada bedah buku semalam bersama kumpulan +‘Tidak Selain Buku’ Book Café, tentang buku “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam”. Seperti biasa, setiap Isnin malam, beginilah kami.

Buku tersebut merupakan alih bahasa daripada karya asal berjudul Maza Khasiral Alam be Inhitat al-Muslimeen tulisan Syeikh Abul Hasan Ali Hasani Nadwi, seorang ulama India yang tersohor. Buku yang hebat, pada hemat saya, setaraf dengan penulisnya juga yang memang hebat. Jika mahu mencari transliterasi English, boleh mencari judulnya “Islam and the World: The Rise and Decline of Muslims and Its Effect on Mankind”.

Untuk ulasan lanjut mengenai perbincangan semalam, saya tidaklah bernafsu ke arah itu kerana sang pembentangnya akan menulis barang satu dua ayat ulasan buku tersebut dan akan disiarkan dalam Goodreads dan blog milik Tidak Selain Buku. Jadi, fokus saya adalah sedikit kecil iaitu pada beberapa persoalan yang bangkit usai pembentangan semalam.

Paling menarik, apabila salah seorang dalam perkumpulan semalam mempersoalkan tentang kebangkitan Islam dan bagaimana untuk kita tahu bahawa kita sudah bangkit – dari sudut KPI atau indeks tertentu. Payah juga soalan begini untuk dijawab, akibat lamanya sudah kita berada di zaman kemunduran jadi soalan begini tampak sedikit utopia.

Dalam buku tersebut, An-Nadwi menyebut satu perkara, yang mungkin boleh dari situ kita perkembangkan lagi perbincangan logik dan rasional pada soalan tadi. Beliau menulis, antara tanda kejatuhan dan kemunduran Islam ialah apabila orang bukan Islam mula hilang rasa percaya pada Islam dan hilang kepercayaan pada kepimpinan Islam.

Kita terbalikkan logik An-Nadwi, antara tanda kemajuan dan kegemilangan Islam dan umatnya adalah apabila orang bukan Islam mula kembali meletakkan kepercayaan mereka pada Islam dan kepimpinannya untuk memimpin dunia, dalam semua sudut dan keperluan. Apabila terjadinya momen begini, yakinlah bahawa saat itu Islam sudah mula bangkit.

Antara kelemahan saya dalam perbincangan semalam adalah, saya tidak pernah membaca buku tersebut jadi ulasan pembentangan yang sekadar 1 jam tidak mencukupi untuk kita menggarap segala maksud sang penulis. Jadi saya yakin, logik An-Nadwi tentang kebangkitan dan keruntuhan Islam itu masih perlukan huraian yang panjang – kritis dan berdaya rumit (sense of complexity).

Jika dilihat sekali imbas, seolah-olah hanya kepimpinan menjadi indeks paling utama dalam mengukur kembalinya Islam mengurus tadbir dan memimpin manusia sejagat. Hemat saya, melompat terus pada kesimpulan begini, bunyinya lempung makna dan longgar akal. Terus, kita boleh persoalkan, untuk melahirkan kepimpinan yang berwibawa dan berdaya begitu, bagaimana pula?

Sedikit sebanyak, saya tertarik untuk menghubungkaitkan perbincangan semalam dengan apa yang dinyatakan oleh Al-Attas perihal peri masalah yang membelenggu umat Islam sehingga mereka renyuk terpesorok dalam kehinaan dan kedukaan sejarah hari ini, adalah berpunca pada kehilangan adab (the lost of adab) sehingga membawa kepada kekeliruan dan kesilapan dalam menanggapi ilmu pengetahuan.

Lantas, dari kedua-dua permasalahan itu lahirnya pemimpin yang tidak sah, dalam erti kata tiada kelayakan untuk memimpin umat lantaran kosong nilai moral, intelektual apatah lagi spiritualnya, yang begitu kritikal untuk piawaian kepimpinan Islam. Keadaan begini, menyebabkan masalah kehilangan adab dan kekeliruan dalam pengetahuan semakin mengembang ruak.

Adab” yang dimaksudkan bulanlah kosa kata adab yang kita fahami dalam konteks Melayu Nusantara. Sesungguhnya, adab yang dimaksudkan Al-Attas mempunyai hubung kait pada makna dan konsep adil dalam Islam, yakni pada meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya. Makanya, adab yang dimaksudkan adalah virtue yang bukan boleh dipandang enteng sebegitu sahaja.

Perkaitan yang dibuat di sini, mungkin juga agak terburu-buru. Tetapi, apa yang dinyatakan oleh Al-Attas sebenarnya tidak dapat tidak kita terpaksa mengakui bahawa itulah hakikat permasalahan umat Islam sekarang. Dalam perbincangan semalam, kami semua tertanya-tanya, tentang permasalahan utama yang kita hadapi sehingga berlakunya kemunduran begini pada umat Islam. Mungkin sebenarnya, Al-Attas sudah pun memberikan jawapan untuk soalan itu.

Saya terfikir, pada zaman Nabi ﷺ dan beberapa zaman dalam pemerintahan selepas itu, tentang bagaimana orang bukan Islam boleh menaruh rasa percaya pada Islam untuk memimpin, tentu ianya berkait sangat rapat soal keilmuan dan keintelektualan. Begitu juga Islam yang datang ke daerah Nusantara dan berjaya mengubah sekalian empayar Hindu-Buddha kepada Islam, saya bertambah yakin pada sudut pandang begini.

Soalnya, sebelum kita mencanangkan soal Islam memimpin dunia dan seisi kuasa, baik kita berbalik pada soalan paling asas, pada bagaimana Islam memimpin akal dan jiwa manusia. An-Nadwi menyebut tentang Nabi ﷺ mengubah dunia Arab yang disifatkan sedang berada dalam krisis yang tersangat teruk terutamanya dari sudut moral dalam tempoh 23 tahun, dengan mengubah cara fikir.

Cara fikir itu, dari menyembah dan memperhamba sesama manusia kepada menyembah dan memperhambakan diri kepada Tuhan yang satu. Cara fikir, mungkin itu istilah yang dipilih si pengalih bahasa buku An-Nadwi, tetapi tepatnya cara fikir itu juga merujuk kepada worldview atau Weltanschauung, atau di-Melayu-kan, disebut sebagai pandangan alam. Untuk mengubah cara fikir, tidak lain, adalah dengan mencernakan rasional dan penaakulan (reasoning).

Kerja-kerja begini, hanya boleh berlaku apabila proses keilmuan yang benar dapat berjalan dan dilaksanakan. Dulu, adanya wahyu dan Nabi ﷺ sendiri sebagai rujukan. Zaman kini, kita bergantung pada pemegang-pemegang amanah keilmuan, tidak lain iaitu para ulama. Berbincang terma ulama, di Malaysia, bunyinya sekarang taboo dan berbaur politik. Bukankah ini contoh yang jelas pada apa diperkatakan oleh Al-Attas?

Pada akhirnya, semua persoalan berbalik kepada diri setiap umat Islam. Apa peranan dan tanggungjawab kita dalam mengatasi dan mengubati permasalahan ini? Pertama, apa pilihan yang kita ada? Terus kaku dan berdiam diri, atau berbuat sesuatu? Mungkin ini jugalah yang menjadikan Ahmad Wahib begitu kepingin akan Nabi ﷺ kembali semula ke dunia dan memimpin kita semua keluar dari permasalahan ini.

Apa yang penting, orang yang beriman tidak sesekali putus harapan. Ya, mungkin kita kecewa dilahirkan pada zaman yang penuh kedukaan begini, tetapi untuk terus kecewa dan putus harapan, itu bukanlah sikap orang beriman. Iblis putus harapan pada pengampunan Tuhan, maka demikianlah nasib iblis sehingga ke Kiamat kelak. Jadi kita bertanya, adakah Islam akan bangkit semula?

Jauh hati kecil saya berdetak, betapa indahnya ajaran Muhammad ﷺ, dan betapa kasihnya Baginda pada kita, apabila beliau tidak pernah putus memberi harapan pada umatnya, bahawa di penghujung lorong yang serba gelap itu, adanya cahaya yang menanti jua. Untuk bertemu cahaya itu, jalan terus. Jalan terus...

Monday, April 20, 2015

Perihal Masyarakat Yang Gemarkan Hal Bersifat Runcitan

Dalam buku “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu”, Al-Attas ada menyebut tentang perkara ini. Tetapi, beliau mengarahkan maksudnya pada bagaimana kita melihat sejarah dan keperluan untuk kita tidak menyamakan hal-hal runcitan sebagai catatan sejarah. Runcitan yang dimaksudkan, adalah perkara yang remeh-temeh, tetek banget, kontang makna dan hakikat.

Tidak dinafikan, perkara ini telah lama menjadi tumpuan dalam pemerhatian saya terhadap gelagat masyarakat di negara ini, tentang bagaimana mereka menanggapi isu, bersikap dalam hal kritikal dan keutamaan dalam perkara yang “really matters”.

Dalam perjalanan pulang dari UTM Kampus KL usai Saturday Night Lecture 2015, saya berbual dengan seorang sahabat tentang masalah yang sama, tentang bagaimana masyarakat Malaysia terdidik untuk menyukai perkara-perkara runcitan, yang remeh temeh, yang ringan-ringan kononnya, yang ada unsur lawak dan ketawa.

Kita boleh saksikan sendiri, bagaimana sambutan masyarakat pada hal-hal yang begini, lihat sahajalah pada halaman media sosial yang menghidangkan juadah media sebegini, sambutannya cukup hangat dan sering kali menjadi pilihan kepada topik yang menjadi trending dalam media-media sosial.

Bukanlah ini bermakna kita tidak boleh melawak, atau ketawa. Dan tidaklah juga ini bermakna kita perlu 24 jam bercakap hanya hal-hal yang serius. Janganlah mengambil sikap yang simplistik begini. Apa yang dimaksudkan adalah, berpada-pada akan hal yang sifatnya remeh-temeh dan tiada makna.

Media satu hal, jika disoroti Astro yang menyajikan banyak rancangan-rancangan yang mematikan minda dan jiwa. Di saluran mereka yang popular seperti Mustika, Warna dan sebagainya, senarai rancangan yang disajikan, hanya membuatkan masyarakat semakin bodoh dan jauh dari semangat untuk menuntut ilmu.

Dan kesannya, bukan pada generasi tua renta sahaja, lagi teruk adalah pada adik-adik generasi kecil yang celik mata mereka terus melekat pada kaca televisyen tanpa pengawasan dan kawalan dari ibu bapa. Kadang kala, si ibu dan bapa melebih-lebih dari anak mereka sendiri, dan akhirnya membuatkan si anak terbiasa dengan budaya begitu sedari kecil lagi.

Saya sehingga sekarang tidak dapat menerima sikap sesetengah ibu bapa yang memandang ringan akan perkara ini, dibiarkan anak-anak mereka menonton rancangan lawak seperti Maharaja Lawak. Tidakkah mereka merasa bimbang atau terfikir yang anak-anak mereka akan terdedah dengan kesan buruk dari rancangan sebegitu?

Apabila saya bergaul dengan anak-anak jiran dan adik-adik di kelas tuisyen, hati saya merasa tidak enak apabila anak-anak yang masih kecil petah mengikut dan meniru gaya si pelawak Astro, menggunakan kosa kata yang memualkan pada tahap umur mereka, dan tentu sekali kesalahan begini tidak boleh diletak pada pundak mereka sama sekali.

Ibu bapa, mana perginya peranan mereka dalam mengawal akan perkara begini? Pada saya, hal begini sifatnya sangat domestik. Ibu bapa perlu sedar bahawa kesan dari didikan dan kebebasan begini, tidak lain hanya akan melahirkan generasi yang mandom akal dan mandul minda. Membiasakan anak-anak dengan hal remeh-temeh dan tetek banget, janganlah kita marah apabila anak-anak bila membesar kelak tidak peduli pada hal-hal yang “really matters”.

Maka tidaklah menghairankan, bilamana kita amati topik yang menjadi trending di media sosial, terutamanya Twitter, daripada 10 topik paling popular, separuh darinya atau wajib ada dalam senarai adalah topik yang berkaitan dunia hiburan seperti K-Pop dan gosip artis. Topik begini, tarafnya sampah sahaja. Tapi yang bertaraf sampah itulah menjadi pilihan bualan ramai.

Mengapa perkara begini terjadi? Sebelum kita jawab soalan itu, baik kita soroti demografi pengguna media sosial. Ya, rata-rata adalah golongan muda yang berusia antara 18-40 tahun. Mereka ini, dicanangkan bahawa konon-kononnya pewaris kepimpinan negara, pelapis masa depan bangsa dan sebagainya. Jadi, ini sikap sang pewaris kepimpinan?

Kelakar betul dunia hari ini. Nak salahkan mereka juga, tidak adil kerana saban waktu mereka dididik dengan suasana begitu. Sebentar tadi saya memberi contoh program yang disajikan Astro. Belum lagi kita selidiki lagi mendalam, tentang proses kehidupan seorang remaja dan belia di Malaysia seawal bangun pagi sehingga ke lewat malam, berapa banyak sangatlah masa yang diperuntukkan pada aktiviti yang menyemai ilmu dan intelektualisme.

Tambah-tambah cabaran sekarang semakin kuat dengan adanya pelbagai bentuk media sosial, yang ibu bapa sudah tidak punya kuasa lagi untuk mengawal. Pada hemat saya, semua ini boleh dikawal dengan didikan sedari umur kecil lagi, dengan membiasakan anak-anak pada hal-hal yang serius dan bermakna.

Mengapa ibu bapa sehingga sekarang masih merasa alergi untuk berborak dengan anak-anak mereka soal politik kenegaraan, atau hal yang bersangkut paut tentang sosial masyarakat seperti isu gelandangan, kemiskinan, anak yatim, polisi-polisi negara dan alam sekitar sejak umur mereka kecil lagi? Atau mendedahkan anak-anak mereka dengan rancangan-rancangan yang serius dan bermakna?

Saya jemu dan merasa cukup terpukul melihat sekelompok ibu bapa yang merasa lapang dengan membiarkan anak-anak mereka terutamanya yang usianya remaja bergulat dengan program Maharaja Lawak, ketagih dengan Facebook atau permainan video yang tiada kawalan dengan alasan yang cukup cliché iaitu, “Alah, mereka kecil lagi...

Semua ini, natijahnya kita boleh saksikan sekarang. Bahawa kita telah melahirkan masyarakat yang begitu cepat bercakap tentang baju Melayu hipster, masyarakat yang ceria dan hidup dengan lawak pada Ahmad Maslan, masyarakat yang gemar pada video-video viral yang tidak bermanfaat, masyarakat kita terlebih laju pula menyebarkan gosip sensasi, dan masyarakat yang sana sininya bercakap tentang Maharaja Lawak.

Dan, dengan semua kompilasi lawak begini, kita bercakap mahu lahirkan masyarakat berkelas dunia menjelang 2020. Dan juga, pak menteri saban hari mimpikan universiti kita bertaraf Harvard dan Oxford. Kita mahu berkelas dunia dan bertaraf Harvard dengan masyarakat yang gemarkan K-Pop, sukakan gosip artis, teruja dengan lawak-lawak bodoh, galak dengan isu-isu runcitan, buta akal dan cetek ilmu – I wish you good luck!

Sunday, April 19, 2015

Masalah Sebenar Negara Malaysia

Kita bukanlah bermasalah sangat dengan politik yang membodohkan. Kita juga tidaklah bermasalah sangat dengan Ahmad Maslan. Atau, bermasalah dengan baju Melayu hipster. Juga, kita sebenarnya tidaklah bermasalah soal sistem pengangkutan awam. Atau, masalah media kita seumpama monyet. Semua ini, bukan akar masalah yang sebenar.

Masalah yang sebenar, yang dihidapi oleh kita adalah, masalah penyakit merosakkan sistem pendidikan negara termasuklah penyelidikan universiti, pembangunan sekolah rendah dan menengah, silibus pengajaran dan pembelajaran, juga termasuk pembangunan masyarakat melalui pemerkayaan ilmu pengetahuan dan intelektualisme.

Dalam bab memusnahkan ilmu pengetahuan, institusi pendidikan dan perpustakaan awam, kita adalah juara. Sedekad yang lepas, kita telah memusnahkan ISTAC, atau nama penuhnya The International Institute of Islamic Thought and Civilisation. Kita musnahkan sebuah pusat ilmu yang di situ menjadi pundak kepada harapan untuk melahirkan semula legasi pemikiran dan falsafah Islam yang jitu dan gemilang.

Semuanya, gara-gara politik yang sempit dan membodohkan, ketamakan kuasa dan kedudukan, yang menjadi mangsa akhirnya, sebuah institusi keilmuan. Inilah yang dikatakan, gajah sama gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah. Alangkah bodohnya kita semua. Ini contoh besar, ya sangat besar, pada topik yang mahu dibicarakan ini.

Terbaru, sedang pak menteri berangan mahu universiti di negara ini setaraf Oxford, mereka dengan mudahnya menghentikan langganan Scopus, EBSCO (ASP/BSC) dan ProQuest Dissertation & Thesis Full Text. Kerja-kerja keji begini dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, jadi kita nak cakap apa lagi. Atas alasan apa? Mahu jimatkan belanja kerajaan?

Juga, kita tahu berita terbaru yang menyedihkan apabila Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dipotong belanjawannya sebanyak RM120 juta. Dan akhirnya, Malaysia ini mahu bawa pendidikan negara ke arah mana? Kerja keji ini juga dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Moga syurga untuk mereka.

Itu belum lagi kita selidiki bagaimana saban tahun belanjawan untuk prasarana sekolah dikurangkan, perpustakaan-perpustakaan awam yang semakin tenat tiada bantuan dari kerajaan, kolej-kolej komuniti yang hidup segan mati tak mahu akibat kurangnya peruntukan kerajaan kepada institusi begini.

Semua ini dilakukan atas alasan yang meloyakan iaitu kerajaan perlu berjimat cermat, bahawa ekonomi negara ini dalam keadaan tidak stabil, bahawa kita perlu mengambil langkah proaktif. Kerajaan dan gerombolan politikus tidak pernah merasa perlunya kerajaan berjimat cermat dengan memotong gaji-gaji ahli parlimen, mengurangkan rasuah dan penyelewengan.

Apa yang mereka fikir, saban siang dan malam, adalah mengenyangkan perut rodong mereka sendiri, dan membiarkan pendidikan terus dibunuh secara perlahan-lahan, institusi keilmuan dirogol, perpustakaan awam dibiarkan mati tidak bernisan. Moga tuhan pupuskan dengan cepat gerombolan politikus yang meloyakan begini.

Saturday, April 18, 2015

Perihal Manusia Mahu Menjadi Tuhan

Isnin lepas, giliran saya menjadi pembentang untuk aktiviti perkumpulan kami di UKM. Ya, saban minggu kami bertemu dan berdiskusi tentang buku. Kami bergerak secara tertutup, cuma sesekali menjemput pembentang luar. Jika pernah terserempak dengan status Facebook dari akaun yang bernama +‘Tidak Selain Buku’ Book Café, itulah kami.

Dijadikan cerita, kami memilih untuk lari sebentar dari buku. Kami memilih untuk membentangkan dan membahaskan sebuah video pendek, syarahan tentang konsep manusia sekarang sudah pun bertukar menjadi Tuhan. Saya si tukang bentangnya. Tajuk video itu, We Are The GODs Now, kalau sampai ke telinga JAKIM, mahunya kami kena tangkap mungkin.

Tidaklah dinafikan, tajuk video itu sendiri sudah boleh mengundang ribuan tanggapan negatif. Cuma, saya beriman bahawa sebagai orang Islam, yang punya sumber primer yakni al-Quran, mengapa perlu gentar atau bimbang untuk mendepani persoalan begitu, sedangkan kita boleh menghujahkannya dengan rasional dan ilmiah.

Video tersebut merupakan sebuah ucapan yang disampaikan oleh Jason Silva, yang kononnya dicanangkan sebagai ahli filsuf, semasa Festival of Dangerous Ideas di Sydney Opera House pada tahun 2012. Jason mengemukakan sebuah idea tentang manusia sekarang, yang semakin maju teknologinya, kini sudah pun bertukar menjadi tuhan.

“Having invented the God, we can turning to them.” demikian katanya. Dan keseluruhan ucapannya itu seputar idea dan konsep Tuhan yang beliau fikirkan, yang manusia kini sudah pun mencapai tahap Tuhan atau transcend their limits untuk menjadi Tuhan. Bahkan, dengan mengatakan bahawa kita sudah menjadi Tuhan, kita mampu mencipta kita sendiri, mengawal dan mengurus selia alam cakerawala ini.

Namun begitu, meletakkan keseluruhan merit idea manusia bertukar menjadi Tuhan kepada Jason Silva akan menyebabkan berlakunya ketidakadilan terhadap sekumpulan manusia yang lain, yang turut mengutarakan idea yang sama sejak sekian lama lagi. Antaranya, Sigmund Freud dalam bukunya yang berjudul Civilization and Its Discontents menulis,

“Long ago man formed an ideal conception of omnipotence and omniscience which he embodied in his gods. Whatever seemed unattainable to his desires - or forbidden to him - he attributed to these gods. One may say, therefore, that these gods were the ideals of his culture. Now he has himself approached very near to realizing this ideal, he has nearly become a god himself.”

Tontonlah video ini dan buatlah penilaian terhadapnya. Walaupun pada mulanya saya terfikir, apa guna membuang masa membincangkan tentang hal sebegini, yang sifatnya mustahil dan jauh dari rasional akal yang sihat, namun apabila menyedari bahawa realitinya ramai manusia juga secara tidak sedar berfikir sebagaimana Jason memikirkan tentang Tuhan, jadi membahaskannya juga bukanlah suatu yang sia-sia.

Jason memulakan projeknya yang digelar “Turning Into GODs” sekitar 2012. Semenjak itu, banyak beliau hasilkan video pendek yang menerangkan konsep dan idea-ideanya tentang manusia kini sudah bertukar menjadi Tuhan. Di akaun YouTube miliknya, Shots of Awe, kebanyakan video ringkas itu bertujuan menghuraikan lagi konsep tersebut bermula dengan syarahannya di Sydney.

Beliau memulakan syarahannya dengan mengungkap kata-kata Ernest Berker dalam bukunya yang berjudul Denial of Death, yang menceritakan perihal The Problem of Death dan cara-cara penyelesaiannya. Menurut Berker, manusia kini telah menemui 3 cara mengatasi kematian, lantaran kematianlah yang menyekat manusia dari menjadi Tuhan.

Dari ketiga-tiga cara tersebut, cara ketiga iaitu melalui creative solution, dengan menggunakan teknologi, beliau mendakwa manusia akan mampu mengatasi masalah kematian dan mencapai hidup abadi. Dari sini, kelihatan Jason begitu kagum dengan idea ini, lantas beliau menghuraikan sepanjang-panjangnya bagaimana yang dikatakan teknologi itu mampu menjadikan manusia sebagai Tuhan.

Saya tidaklah mahu menceritakan satu persatu hujah Jason, kerana semua boleh ditonton dalam video tersebut. Cuma saya mahu membuat sedikit refleksi dari apa yang direnung oleh Jason berkenaan konsep Tuhan dan keesaan-Nya. Tentu sekali kita tidak menafikan, revolusi dalam teknologi itu memang benar canggihnya berbanding 200 tahun yang lepas.

Bilamana Jason membandingkan kisah Presiden Amerika yang pertama tidak memakai telefon bimbit lagi berbanding kanak-kanak di benua Afrika hari ini, atau kemajuan teknologi nano, Google databases dan iPhone yang menggambarkan konsep telekomunikasi yang seperti GOD-likely telecommunication, memang bunyinya kelakar dan naif. Tuhan itu apa, harusnya persoalan ini dijawab terlebih dahulu oleh Jason.

Dan, Jason kelihatan begitu takjub akan kemajuan teknologi. Beliau tidak sekadar menceritakan perkembangan teknologi, bahkan turut bercerita keberadaan teknologi dalam tempoh sedekad mendatang dengan spekulasi-spekulasi yang, jika direnung betul-betul bunyinya agak meloyakan. Soal hidup abadi atau immortal, kita beriman bahawa perkara itu adalah mustahil. Teknologi ada limitnya. Dan manusia itu sendiri adalah limitnya.

Adakah konsepnya itu boleh diberi merit sebagai sebuah idea atau sekadar khayalan di siang bolong? Kita tidak nafikan, banyak kali ramalan Ray Kurzweil menepati dan menjadi realiti. Malah, kita tidak menolak kemungkinan akan zaman mendatang ini merupakan zaman “Exponential Growth” seperti yang didakwa Kurzweil selepas berakhirnya ramalan Moore’s Law.

Dakwaan bahawa berlakunya Singularity menjelang 2045, sebuah konsep yang masih lagi kekal sebagai konsep, berawang-awangan, tidak membumi, penuh spekulasi, tiada definisi secara akademik, walaupun begitu tidaklah ditolak sepenuhnya. Kemajuan manusia adalah bersifat inevitable. Dan, kita sedar, kematian juga inevitable. Jika Kurzweil merasakan menjelang 2045, kematian tidak lagi bersifat inevitable, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

Merit hujah Kurzweil tidak lain, bahawa menjelang 2045, manusia sudah menemui cara untuk menghentikan proses penuaan secara nano, manusia akan menemui segala ubatan canggih untuk merawat semua jenis penyakit yang wujud. Jason kelihatan begitu mengagumi idea Kurweil. Tidak hairanlah beliau boleh memperlihatkan rasa percaya pada diri beliau sendiri bahawa dia akan hidup kekal abadi dan menjadi tuhan.

Saya sehingga sekarang, tidak dapat mencerna idea tentang hidup kekal abadi. Ianya tidak masuk akal dan ianya sangat tidak manusia. Jadi benarlah kata Jason, bahawa jika kita sudah mencapai kehidupan kekal abadi, maka kita sendiri sudah menjadi Tuhan – kerana manusia tidak kekal. Sebagai manusia, saya meyakini bahawa dengan tidak hidup kekal itulah, menjadikan kita berharga. Kerana tidak hidup kekal itulah, menjadikan kita manusia.

Dan timbul persoalan, kalau begitu mengapa tidak mahu menjadi Tuhan? Saya akan menjawab, untuk apa menjadi Tuhan? Dan jika ditanya lagi, bukankah ianya lebih bermakna jika hidup kekal abadi dan segala yang diusahakan sekarang tidak akan hilang? Saya akan diam dan kemudian bertanya, untuk apa hidup kekal abadi jika itu menjadi pilihan kelak dan apakah bermakna hidup kekal abadi itu?

Saya teringat tulisan Mitch Albom dalam bukunya yang berjudul The Timekeeper,

“There is a reason God limits our days.”
“Why?”
“To make each one precious.”

Sebab itulah, saya tidak faham dengan manusia yang begitu beria mahu hidup selama-lamanya. Persoalannya, untuk mendapat pengakhiran apa dengan begitu? Menjadi Tuhan dan memerintah cakerawala? Atau apa sebenarnya? Mengapa bunyinya begitu tamak dan angkuh? Mereka yang bercita-cita begini, apa sebenarnya yang mereka pandang pada “kehidupan” itu? Saya tiada jawapan. Tapi, idea untuk hidup kekal itu sehingga sekarang saya tidak boleh cerna.

Jika direnung, apa yang diutarakan oleh Jason sebenarnya banyak kali memerangkap cara kita berfikir sebelum ini tanpa sedar, iaitu soal kemajuan sains dan ilmu pengetahuan. Sains sering kali didamba sebagai pilihan untuk menjawab persoalan-persoalan sakral seperti makna kehidupan, pengakhiran masa dan ruang, zat Tuhan dan sebagainya. Percubaan menjawab persoalan begini menggunakan sains sering gagal dan buntu.

Mengambil contoh, dalam perbincangan ilmu neurosains, sehingga sekarang sains tidak dapat membuktikan kewujudan roh. Bahkan, perkembangan kontemporari semakin menuju ke arah penafian kewujudan roh itu sendiri. Dalam hal ini, pastilah kita berserenjang dengan pandangan sebegini. Untuk menjadikan perbincangan mengenai roh ini semakin menarik, ikutlah perkembangan usaha Dr. Sergio Canavero dalam misinya menjadi doktor pertama yang berjaya menjalankan pembedahan pemindahan kepada (head transplant) menjelang 2017.

Menafikan kewujudan roh, akan membawa kepada gejala penafian kewujudan Tuhan. Bahawa Tuhan hanya sekadar ilusi minda manusia yang bermimpikan suatu yang perkasa, seolah-olah dewa yang boleh dipohon doa ketika menghadapi kesusahan. Itu juga antara kesan kecelaruan dalam kemajuan sains yang akhirnya membawa manusia semakin menjauhi makna kehidupan mereka sebagai manusia.

Berbalik kepada soal hakikat manusia dan Tuhan, dan cita-cita manusia mahu menjadi Tuhan, mungkin akan tiba pada satu persimpangan untuk kita mengatakan bahawa cita-cita begitu setaraf dongengan. Manusia ini, hakikat kewujudan mereka pun adalah serba lemah dan kekurangan. Tidak percaya, silalah tidak bersarapan sehingga ke lewat petang, sudah tentu manusia yang mahu menjadi Tuhan itu akan mengadu kelaparan. Dengan sebegitu lemah, masih mahu menjadi Tuhan? Tuhan yang bagaimana?

Dalam menanggapi soal ini, saya gemar membawakan perkongsian oleh Syeikh Hamza Yusuf, apabila ditanya mengenai sains, Big Bang dan hubungannya dengan al-Quran. Hamza Yusuf bercerita, pernah suatu hari Al-Ghazali diutus surat oleh seseorang bertanyakan di mana ALLAH. Lantas, Al-Ghazali menjawab, kamu pun tidak pernah tahu kamu berada di mana. Soal ini berkait rapat tentang limit kita sebagai manusia. Dan juga, terhadnya ilmu kita dalam mengenal segala rahsia penciptaan, yang kononnya menurut Jason Silva mampu di rungkai oleh kemajuan teknologi.

Hamzah Yusuf berkata, dalam cakerawala ini pun, kita tidak tahu kita sebenarnya berada di mana, lantaran tiada satu pun petunjuk untuk memetakan kita berada di mana. Apatah lagi jawapan kepada misteri kewujudan kita yang masih tidak terjawab. Jadi, apabila kita cuba memberi jawapan kepada sesuatu yang tidak pasti begitu, seolah-olah wujudnya keangkuhan dalam diri kita. Bahkan, untuk mengangkat teori Big Bang itu sebagai ilmu pengetahuan atau knowledge pun, masih boleh dipersoalkan, sebagaimana Hamza Yusuf mengungkap kata-kata Socrates,

“How can you consider something as knowledge that always changing, because the whole point of knowledge is either it is true and absolute or it is not.”

Sebagai orang Mukmin, kita mengimani bahawa mengakui kerahsiaan dan segala limit dan keterhadan yang manusia punya, yang manusia alami, itulah sebenarnya proses untuk kita mengenal hakikat kewujudan kita sendiri. Bukanlah dengan kita mencipta simbol untuk merasa kewujudan Tuhan, atau merasa diri sendiri boleh bertukar menjadi Tuhan, yang akhirnya cita-cita begitu tidak akan ke mana pun.

Untuk menjawab persoalan ini, tentang mengapa Tuhan menutup sekian banyak rahsia tentang hakikat kewujudan dan segala tentang diri-Nya dari kotak pengetahuan kita, tontonlah klip video Prof Tariq Ramadan yang bercerita tentang rasional kita tunduk menyembah kepada-Nya.



Kesimpulan dari syarahan Jason Silva dan konsep Tuhan yang diutarakan, kita boleh mengatakan bahawa idea itu tetap sebagai idea, meritnya masih absah untuk diangkat sebagai idea. Ianya tidaklah salah untuk mengutarakan konsep, bahkan untuk sesetengah keadaan, berfikir di luar kotak adalah digalakkan. Namun, sebagai seorang yang beriman, kita menyedari bahawa bukan semua perkara mampu diselesaikan melalui kemajuan sains dan teknologi.

Malah, manusia itu sendiri merupakan limit yang Tuhan sudah takdirkan kepada kita. Manusia juga, jika menghayati apa yang diutarakan oleh Jason Silva, memang begitu perlukan Tuhan dalam hidup mereka. Sejarah tidak pernah berbohong pada kita, apabila sering kali mencatatkan bagaimana manusia sejak zaman klasik dahulu lagi cuba mencari Tuhan, merasa hidup bertuhan, dan mencipta Tuhan untuk disembah. Natijah, kita dapat melihat bagaimana manusia mencipta simbol dan menyembah simbol untuk melalui pengalaman spiritual begitu.

Dalam kes Jason Silva, beliau tidak menolak penggunaan dadah psychedelic sebagai alat spiritual untuk merasai kewujudan Tuhan. Dalam konsep transendennya Tuhan, kita meyakini bahawa Tuhan tidak terjangkau bukan sahaja dalam Zat-Nya sahaja, bahkan turut dalam pengetahuan kita. ALLAH sahajalah yang memiliki segala sifat yang dinyatakan dalam ungkapan Freud di atas, perihal omniscience (infinite knowledge), omnipotence (unlimited power), omnipresence (present everywhere) dan omnibenevolence (perfect goodness).

Bahawa, hanya Dia yang kekal abadi, yang Esa dan pencipta pengawal selia cakerawala ini. Bahawa, Dia jauh sekali mampu ditanggapi dengan akal manusia yang serba lemah. Tuhan, ampunilah dosa-dosa kami...

Thursday, April 16, 2015

Perihal Seni dan Sejarah

Sepagi ini, saya berborak dengan seorang pelukis sepenuh masa. Kami berborak tentang seni dan buku. Nampaknya, benarlah kata Noam Chomsky bahawa pascamodenisme ini banyak meruntuhkan, berbanding membina. Dalam seni itu sendiri, buta pada sejarah menyebabkan penggiat seni zaman pasca-moden mengambil aliran seni abstrak secara membabi buta, buta sejarah dan buta seni.

Jadinya, seni menjadi seolah-olah perbincangan eksklusif orang-orang seni, bahawa seni hanya orang seni yang faham. Tiada lagi sorotan realiti, renungan-renungan sosial masyarakat. Bahan seni menjadi kayu ukur kekayaan borjuis dan pasaran (market) dalam pemahaman kanan menjadi kayu ukur kepada nilai sesuatu hasil seni. Seni kini tidak ubah menjadi hamba pasaran.

Ego para pengumpul seni, bergantung pada keserabutan orang lain untuk mentafsirkan seni. Padahal, hakikat seni itu terlahir adalah untuk menjadi medium selain tulisan dan ceramah, bagi menyampaikan mesej, menyampaikan pesan pada pemerintah bahawa melarat rakyat itu benar.

Saya merasa perbincangan begini cocok dengan pesan guru ekonomi saya dulu, bahawa budaya buta sejarah ini memang sudah melekat di Malaysia, terutamanya dalam pengajaran di universiti-universiti. Belajar ekonomi, tapi langsung tidak diajar subjek Sejarah Pemikiran Ekonomi, begitu juga halnya dengan politik, kejuruteraan, fizik, agama dan lain-lain bidang.

Jika beginilah tradisinya, maka tidak hairanlah, bilamana kita menjadi masyarakat yang kontang budaya, cetek minda dan buta hati. Kita gagal menilai sejarah dan berlaku adil dengannya. Kita menjadi angkuh dan sombong dengan segala kekurangan dan kejelikan begini. Kita tidak lagi menghargai ilmu yang sebenar, berbanding kita senang mengimani simbol-simbol dan ketokohan tertentu.

Akhirnya, yang menjadi mangsa bukanlah kita, tetapi generasi anak-anak kita. Jauhnya kita dari sejarah, akan menyebabkan kita mengulang semual segala silap dan salah dulu. Kita tidak akan maju, tamadun tidak akan kekal dan masyarakat tidak membangun akalnya.

Perbincangan sepagi ini juga mengingatkan saya kepada Ahmad Wahib, bahawa manusia itu cuma menjadi manusia apabila mereka berfikir. Maka tidaklah hairan Nabi mengungkapkan bahawa merenung dan berfikir itu jauh lebih baiknya dari bersembahyang seribu rakaat.

Malah, mungkin saya boleh kongsi di sini, persoalan menarik untuk kita jawab, jika benarlah Kelantan sebuah negeri Islam, yang dijalankan undang-undang Islam, yang dijamin redha Tuhan, mengapa angka penghijrahan manusia ke Kelantan jauh lebih rendah berbanding penghijrahan manusia ke bumi Lembah Klang yang dipenuhi kedai arak ini?

Adakah pada akhirnya, bercakaplah apa sahaja, keupayaan ekonomi juga menjadi penentu kepada keharmonian dan keutuhan sesuatu masyarakat? Saya tiada jawapan.

Tuesday, April 7, 2015

Si Anak Yatim

Bahawa engkau bertuah, wahai adik. Engkau diuji sebegitu, engkau tahu dan kenal erti bersyukur. Sedang aku yang tidak begitu, aku jahil erti syukur. Aku seronok dalam nikmat begini. Maka engkau beruntung wahai adik. Engkau beruntung sekali.

Hidup ini palsu. Tiada apa yang boleh dibanggakan pada kehidupan yang serba palsu begini. Mengapa aku kata ianya palsu, wahai adikku? Kerna, segala kerja buat di sini, segala harta yang melimpah ruah, segala wang yang bertaburan memenuhi poket, segala rasa bangga dan pujian ramai – langsung tiada nilai selepas nyawa berpisah dari badan.

Wahai adik, engkau beruntung kerana sedari kecil lagi engkau diuji begitu. Pastilah engkau tidak betah pada ujian yang sifatnya sementara. Engkau beruntung, kerana engkau lagi faham apa itu susah dari orang lain. Tiada yang boleh temberang tentang erti susah pada engkau, wahai adik.

Bertabahlah, kerana hidup ini tiada lain cuma palsu semata. Tiada apa yang hendak dibanggakan, diperbesarkan dengan senangnya seseorang, atau mudahnya seseorang berbelanja. Biarkanlah air matamu itu mengalir, biarkanlah ia mengalir. Biar tuhan menyeka air matamu. Biar tuhan menyapu pipi munggilmu.

Wahai adik, aku menulis begini kerana aku merasa sesal pada senangnya aku dan lupanya diri aku pada nikmat begini. Paling tidak, aku belajar sesuatu dari ceritamu, tentang engkau wahai adik menyedarkan aku akan sebuah hakikat kehidupan. Bahawa hidup ini tidak lebih dari sekadar wayang.

Adik, bertabahlah. Sekalah air matamu tika yang lainnya memandang hina pada penampilanmu yang serba kekurangan, minum pakaimu yang tidak berkecukupan, kerana semua itu tiada nilai di sisi Tuhan kita. Tuhan tidak memandang itu semua. Tuhan tidak naif, Tuhan kita Maha tahu. Tuhan bersamamu adik.

Hari ini engkau merasa rendah. Engkau merasa terasing dari dunia kawan-kawanmu yang serba riang dan penuh senda tawa. Percayalah, di dunia sana, engkau akan diangkat penduduk langit, dijunjung penduduk bumi. Bertabahlah.

Moga kita bertemu kelak, wahai adik...