Thursday, December 3, 2015

Senator Palpatine Dalam Pembikinan?

Tidak salah pun untuk membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015, dengan satu syarat: segala mekanisme, kaedah dan motif pembentangan RUU tersebut jelas, melunasi logik akal, menghormati pandangan konstituen melalui konsultasi awam secara berperingkat.

Jadinya, apabila sesebuah RUU diusulkan dan dibahaskan serta dipaksa untuk diluluskan secara terburu-buru, anda telah menjemput jutaan pertanyaan dan kesangsian orang ramai. Apa motifnya sehinggakan perlu berbuat demikian, sedangkan tidak wujud pun keperluan mendesak ke arah itu.

Apakah kelulusan RUU terbabit akan menjadi alat buat politikus-politikus terdesak untuk melepaskan ekor mereka yang sedang tersepit? Adakah RUU tersebut bakal menjadi lesen untuk sewenangnya politikus terdesak yang berkuasa mengatasi peruntukan kedaulatan undang-undang?

Apakah Rang Undang-Undang MKN 2015 akan menjejaskan atau menjadi sandaran untuk melepaskan individu-individu tertentu dari pendakwaan skandal-skandal seumpama 1MDB, dan meloloskan diri dari dikenakan siasatan atas salah lakunya? Apakah RUU ini lesen untuk menghalalkan kediktatoran?

Apakah RUU ini akan sewenangnya mengambil alih peruntukan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan untuk Peguam Negara, Gabenor Bank Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Ketua Polis Negara untuk menjalankan siasatan secara bebas dan berkecuali terhadap individu yang didakwa?

Puluhan lagi persoalan akan ditanya, semuanya seputar motif utama kelulusan RUU secara terburu-buru, separuh masak, sifar konsultasi awam dan penuh rahsia. Apakah persoalan-persoalan ini salah? Tentu sekali tidak, sementelah hak rakyat untuk bertanya itu dijamin oleh Perlembagaan.

Kami bimbang akan motif belakang pintu, RUU ini sengaja dicipta untuk menjadi alat pelindung kepada penjenayah yang sedang berkeliaran bebas di Putrajaya. Dan kami juga tersangat bimbang, RUU ini digubal untuk membikin Senator Palpatine di Kompleks Perdana Putra.