Wednesday, December 16, 2015

Prasangka

Prasangka, atau kata lainnya, prejudice, adalah kata kerja pada suatu bentuk sangkaan atau konsep-konsep bersifat pra yang dibina pada sesuatu perkara sebelum benar-benar melalui pengalaman tersebut atau persepsi pada seseorang sebelum mengenali individu atau kumpulan tertentu.

Boleh jadi, prasangka berlaku di peringkat makro sehinggalah juga ke peringkat mikro pada emosi, perasaan dan sikap. Umumnya, prasangka terbentuk akibat persepsi awal yang dibina seputar hal-hal negatif yang bersangkutan sesuatu kepercayaan, budaya, seksual, ideologi politik dan latar belakang ras dan etnik.

Dunia banyak kerugian akibat prasangka. Perang tercetus akibat prasangka. Pergaduhan terpercik akibat prasangka. Perebutan harta sesama saudara kandung bermula dengan prasangka. Konflik hubungan antarabangsa juga hasil semaian benih prasangka. Di peringkat politik domestik, prasangka adalah pemain utama.

Oleh yang demikian, prasangka telah menyebabkan dunia kehilangan jutaan nyawa yang tidak bersalah. Tali persaudaraan berkecai putus. Hubungan bilateral berkerat rotan. Manfaat untuk yang terbanyak tidak mampu tercapai lagi. Pemenang, tiada lain tiada bukan, adalah pihak ketiga yang impikan perpecahan.

Dalam politik domestik, lihat saja di Parlimen Malaysia, prasangka adalah penggerak kepada motif yang utama. Kerjasama politik berkecai juga bermula dengan prasangka. PAS berprasangka bahawa DAP akan menindas orang Melayu dan Islam, demikian juga hal sebaliknya, DAP berprasangka PAS tidak jujur dan tikam belakang.

Dalam banyak permainan prasangka politik domestik, yang tersepit adalah kijang di tengah-tengah – rakyat. Tiada satu pun manfaat yang boleh dicapai, selain dari kepuasan dan dendam politik masing-masing. Tetapi, keseronokan politik juga, terletak pada kebijaksanaan politikus mengurus prasangka yang wujud.

Pun begitu, persoalan ini masih terbuka perbincangannya. Sudah pasti tajuk prasangka akan mengundang konotasi subjektif. Walaubagaimanapun, tumpuan saya adalah pada skop mikro, bukan pada cakupan makro politik domestik. Cuma sebagai mukadimah, saya cuba bawakan konteks prasangka dengan lebih luas. Itu sahaja.

Prasangka, menyebabkan seseorang akan mudah menghakimi sesuatu secara cuai. Akibat kecuaian begitu, ianya bukan sahaja akan membutuhkan kebatilan, bahkan mengundang luka pada sesuatu atau seseorang secara tidak sengaja. Memanglah ianya tidak dimaksudkan begitu, tetapi, ia telah membina suatu imej yang kekal.

Tidak semua orang berada pada dimensi yang sama. Tidak semua manusia punya rasa dan pengalaman yang sama. Sebab itulah, pada manusia, timbulnya konsep toleransi dan saling memahami. Semua ini terbina akibat desakan-desakan prasangka yang menjadi pemain utama dalam membentuk hubungan sesama insan.

Salah kita, apabila kita tidak suka berterus terang. Kita lebih gemar cakap belakang. Kita malu untuk berdepan dan terus bertanya, tetapi memilih untuk menjadi pendengar pada sumber sekunder. Malang sekali, pada manusia yang punya akal – dan juga imbangan perasaan – gagal untuk memahami keperluan ini.

Kita melantik prasangka sebagai hakim untuk mendefinisikan diri dan perwatakan kita. Dalam pada sama yang sama, kita membiarkan prasangka sebagai pemandu kepada rasional dan logik. Kita dibutakan dengan rasa, perasaan – sentimen secara tepatnya. Hasilnya, terzahir pada lidah dan bahasa badan empunya diri.

Ubat kepada prasangka, adalah kemaafan dan kejujuran. Sanggup atau tidak, bergantung pada daya upaya seseorang itu mengatasi sentimen dan persepsi dengan rasional dan logik. Itu sahaja ubatnya. Moga kita semua, diberi kebijaksanaan untuk menilai sesuatu secara holistik, bukan dengan sembarangan prasangka negatif.