Monday, December 28, 2015

Politikus Berwatak Dr Jekyll dan Mr Hyde

Cadangan Ahmad Maslan supaya rakyat Malaysia lakukan dua kerja untuk menampung kos sara hidup, sangat relevan sebenarnya. Dalam sastera Inggeris, sudah diceritakan perihal manusia yang melakukan dua kerja, menjadi dua watak dalam satu individu, untuk mencapai sesuatu yang diidamkan dalam hidupnya.

Sebelah siangnya, dia menjadi Dr Jekyll, dan malamnya bertukar watak menjadi Mr Hyde. Penceritaan fiksyen seram oleh Robert Louis Stevenson ini sebenarnya tanpa sedar telah memberi inspirasi kepada jutaan manusia lainnya, betapa kita boleh menjadi dua watak dalam satu individu yang sama fizik.

Lihat sahaja, bagaimana rata-rata politikus yang sedang berkuasa. Pada siangnya, mereka mempamer perwatakan seumpama dewa penyelamat, menabur janji itu dan ini, melawat kawasan sana dan sini. Sebelah malamnya, politikus yang sama juga merompak dana awam, menyonglap sana dan sini selicin mungkin.

Merekalah menteri, mereka juga perompak duit rakyat. Tidak menghairankan apabila ada antara mereka mencadangkan hamba rakyat turut berbuat sama. Politikus begini sebenarnya punya krisis identiti. Mereka sasau. Mereka cacat personaliti. Sepatutnya, Freud mengkaji krisis politikus begini dalam karyanya.

Masalahnya, semua perkara itu dianggap sebagai rahsia terbuka. Ramai yang sedar, tetapi tak ramai yang berani untuk menongkahnya. Betapa ramai rakyat yang menjadi pak turut, melobotomi otak mereka dari boleh berfikir kepada bodoh termenung – saban pilihan raya, politikus begini terus diundi ke kerusi Parlimen.

Kita boleh membincangkan cadangan Ahmad Maslan secara kritis, jika mahu. Dalam kehidupan seharian, ya, kita wajib pragmatik jika tidak mahu berakhir dengan kelaparan atau tidur di tepian jalanan. Masalahnya, cadangan Ahmad Maslan bertaraf tapak kaki – lembu pun mungkin ketawa jika mendengar cadangan sebegitu rupa.

Justeru, tidak hairanlah, cadangan begitu boleh terpacul keluar. Mereka terbiasa dengan dua kerja, menjadi menteri dan perompak dalam satu masa. Rakyat terbawah, untuk makan malam nanti, belum tentu punya sesuatu dalam dompet mereka yang tersisa. Itu pun, sesudah berbelas jam memerah peluh di kilang-kilang.

Cadangan yang sama, jika keluar dari mulut pekerja-pekerja kilang lebih masa dan malamnya, sambung lagi kerja part-time di pusat membeli-belah, ya, logiknya terpakai. Tetapi, cadangan yang sama keluar dari mulut Ahmad Maslan, maka, jawapan balas yang wajar kepada pak Menteri itu adalah: BULLSHIT!

Untung dunia hari ini, aparat politikus gemuk membuncit perut mereka sendawa kekenyangan menggesa rakyat bekerja dengan lebih keras bagi menampung segala beban kenaikan kos sara hidup. Sedang lidahnya terkumat-kamit dengan segala janji manis, tangan-tangan mereka tidak henti mengorek kantung perbendaharaan negara.