Sunday, December 27, 2015

Persoalan Tentang Kenapa

Jarang manusia berbuat sesuatu, tanpa punya sebarang alasan. Berbuat sesuatu tanpa alasan atau motif adalah gila. Malah, untuk ketawa pun, kita perlu bersebab. Ketawa tanpa sebab, boleh menjemput label gila sasau pada seseorang. Kalau ketawa pun perlukan sebab, apatah lagi untuk hal-hal yang lainnya.

Dalam filem Everest, Jon Krakauer bertanyakan pada rakan-rakan pendaki lain, tentang mengapa mereka mendaki. Why any summit? Biarpun mereka tahu betapa risikonya maha tinggi, mungkin bayarannya adalah sebuah perkahwinan, juga kehidupan selepas pendakian, dan nyawa mereka sendiri. Kenapa berbuat itu semua?

Cheryl Strayed berkali-kali bertanyakan soalan yang sama kepada dirinya sendiri, ketika sedang berjalan kaki merentasi Pacific Crest Trail sepanjang 1100 batu. Tentang mengapa dia mengambil keputusan untuk berbuat itu semua, sedangkan apartmennya begitu selesa dan hangat ketika waktu malam?

Pada hari pertama Mother Teresa memulakan tugasan rasmi Misionaries of Charity, beliau telah bertemu dengan “an old man lying on the street – not wanted – all alone, just sick and dying.” Lantas, dia bertanyakan dirinya sendiri, mengapa berbuat itu semua, sedangkan Pekan Loreto cukup selesa buatnya untuk hidup.

Lihat, ketiga-tiga coretan kisah lagenda ini, semuanya bertanyakan soalan yang sama. Mereka melawat kembali, tentang tujuan dan niat mereka semua berbuat perkara-perkara yang mereka kejarkan. Mudah, mengapa berbuat ini, dan mengapa mencari susah begini dan begitu, sedangkan, nah, hidupmu yang lepas itu sudah cukup selesa.

Manusia adalah binatang yang tidak pernah merasa puas. Manusia sentiasa mahukan yang lebih dari yang sedia ada. Konotasi begini, bunyinya tidak sepositif yang kita harapkan. Mungkin boleh dikendurkan sedikit – tidak merasa puas pada menggapai kebaikan untuk yang lainnya, mengapa perlu berkata tidak?

Dari puncak Everest yang membeku, sehinggalah ke lorong-lorong hanyir Kolkata, manusia hidup kerana impian. Itulah yang menjadi penyebab kepada banyak hal yang kita berbuat. Dan, impianlah yang menolak kita untuk keluar dari zon selesa, mencabar kelaziman, menjadi kreatif dan pemberani, serta pekak pada pesimis.

Sudah semestinya, saya menulis ini kerana ada sebab tersendiri. Beberapa kali sudah saya bertanyakan hal yang sama pada diri sendiri, hidup ini akhirnya untuk apa, dan pengakhirannya yang bagaimana. Satu demi satu, impian terkubur. Satu demi satu juga, impian yang lainnya mula bercambah menumbuh.

Semua itu, berkisar pada persoalan yang sama: mengapa berbuat semua itu. Perihal +Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN) juga berkisar seputar soal mengapa. Dalam gundah begini, yang sering ternampak adalah hal-hal yang berat, perkara yang rumit-tumit, yang membutuhkan banyak sangat kerja-kerja tambahan.

Padahal, boleh saja keluar dari itu semua, buat kerja yang lebih menyeronokkan, yang tidak memerlukan pada hal-hal yang berserabut dengan orang lain, kenyangkan perut sendiri, tidak perlu bersusah payah mencari dana sana sini, menulis kertas kerja itu dan ini, membebankan diri pada hal yang tidak perlu.

Semua ini, mengundang persoalan mengapa aku berbuat segala ini, sedangkan ada lagi jalan yang lagi selesa, jauh lebih menyenangkan di luar sana berbanding yang ini. Mengapa tidak aku fokus pada pengajian semata-mata dan mengumpul duit untuk mengembara dunia sahaja, tanpa perlu memikirkan hal-hal berserabut begini?

Bukankah lebih menyeronokkan jikalau malam-malam terisi dengan siri maraton filem, atau lepak menonton wayang di pawagam, atau sekadar berpanas-panasan bertemankan buku di atas katil, atau menonton bola sehingga larut malam di kedai-kedai mamak. Bukankah itu semua lebih menyeronokkan dan “senang”?

Bukankah lebih teruja saban bulan, mencari tiket-tiket AirAsia ke merata Asia Tenggara dan menunaikan wishlists, sambil memuat naik gambar-gambar membeli belah di Bali dan sunbathing di Phuket ke Instagram dan Facebook. Atau, malam-malam minggu, menghabiskan masa merayau di IOI City Mall.

Semua itu, meminjam kata Mother Teresa, “The comfort of Loreto came to tempt me,” Perasaan itu akan mengundang persoalan tentang mengapa kita berbuat semua ini, bersusah payah pada sesuatu yang kita sendiri mencari susah, bukan dipaksakan pun. Menyentuh subjek ini, amat terkesan sekali pada cita-cita saya dengan INSAN.

Persoalannya, mengapa? Kenapa berbuat itu semua? Kenapa mencari susah?