Wednesday, December 30, 2015

Keserakahan Bauksit

Bukanlah bauksit yang serakah, tetapi manusia yang mengoreknya dari tanah adalah paling serakah dan tamak haloba. Bauksit di Kuantan, Pahang bukan lagi khabar-khabar angin, tetapi ianya benar, terang dan nyata. Cuma yang tetap buta, adalah hati-hati aparat penguasa yang menjadi pelindung kepada perniagaan haram itu.

Tidak kiralah yang menjadi tulang belakang kepada perniagaan haram Bauksit itu berbumbung istana atau beratap nipah – semua yang terlibat dari A sehinggalah ke Z dalam memerahkan segenap ufuk bumi Kuantan, adalah sama celaka, sama laknat. Gerombolan ini, hanya mengenal nafsu haloba mereka semata-mata.

Pahang mahu menunggu bala apa lagi, baru nak bertindak? Tidak cukup dengan sungai dan laut bertukar merah darah? Tidak cukup dengan persekitaran tercemar hapak? Tidak cukup lagi dengan segala amarah orang ramai sehingga membakar lori-lori pengangkut? Tidak cukup dengan siri banjir besar dan tanah runtuh?

Apakah mahu ditunggu sehingga wad-wad hospital tempatan penuh dengan pesakit leukemia, kanser itu dan ini, barah sana dan sini? Apakah kesihatan dan nyawa rakyat terbawah ini sudah ditakdirkan untuk menjadi cagaran buat para aparat penguasa yang haloba dan rakus nafsu serakahnya?

Agak-agaknya, mereka yang sedang bersenang lenang dalam istana itu pekak dan buta, sampai begitu sekali pun keadaan Kuantan, mereka boleh senyap membisu. Dan, boleh jadi, para ketua negeri bermula dari Menteri Besar sehinggalah ketua-ketua kampung, sama-sama berkomplot mengenyangkan perut rodong masing-masing.

Kita mendengar kisah-kisah begini, kebiasaannya, datang dari negara-negara Afrika yang mana rakyat mereka menderita akibat kesan perlombongan segala hasil bumi secara rakus yang disokong kuat oleh pemimpin mereka sendiri, dan dibiayai oleh syarikat asing. Kini, kisah itu, berlaku di rumah tangga kita sendiri.

Apa yang patut kita gelar pada mereka yang punya kuasa untuk mengubah keadaan ini, tapi memilih untuk kekal bisu dan buta? Penguasa syaitan? Pemimpin celaka? Penguasa korup? Tiada apa gelar sekalipun yang mampu membersihkan semula Kuantan, kecuali rakyat bangkit bersatu, melawan penindasan ini!