Monday, December 7, 2015

Janjinya Menggunung, Tunainya Tidak

Politik dan janji, berpisah tiada. Tanpa janji, maka tiada wujudnya politik. Kerana, politik adalah seni mempengaruhi manusia dan seni untuk memungkinkan sesuatu yang mustahil. Caranya, dengan menabur janji. Ternyata, orang dahulu kala bijak – menggandingkan kata kerja “menabur” pada kata nama “janji”.

Konotasi “tabur” menunjukkan suatu keadaan yang tidak tetap, tidak kukuh, tiada akar tunjang padanya untuk kuat berpegang pada lantai atau prinsip. Seumpama, menabur benih pada batasan tanah liat – mungkin ada antaranya tumbuh menjadi pokok, tetapi banyak juga darinya hilang ditiup angin atau dimakan tikus perosak.

Jadinya, dengan menggandingkan “tabur” pada “janji”, ianya sangat menepati situasi atau kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat dan kehidupan seharian. Manusia berjanji itu dan ini, dan tidak semestinya yang disebut sebagai janji itu akan dilaksanakan. Kerana, kata-kata itu hanya ditabur, bukan ditanam.

Demikian jua yang berlaku pada hari ini, perihal Najib Razak dan segala janjinya yang bergunung-ganang. Najib adalah politikus (haprak), yang menjadikan janji-janjinya sebagai modal untuk membeli undi Melayu (terutamanya) pada setiap kali pilihanraya. Apakah dia salah dari sudut prinsip politiknya?

Tidak, sama sekali tidak. Moralnya? Mungkin ya. Tetapi, siapa yang begitu naif mahu bincangkan soal moral dalam hal-hal kepolitikan? Kita semua bermazhab Machiavelli, makanya tiada keperluan untuk bincangkan soal moral disini. Paling terutama, adalah menggapai cita-cita akhir politik, dengan apa cara sekalipun.

Najib Razak tidak berkecuali. Baiklah, kita tidak perlukan generalisasi dalam perbincangan ini. Umumnya, boleh jadi begitu, tetapi tidaklah semuanya stereotaip kaku. Pun begitu, fokus tulisan ini adalah untuk mengkritik perangai politikus (haprak) yang gemar menabur janji dan memungkirinya.

Realitinya begitu. Selaku manusia yang berakal, sewajibnya kita sedar akan realiti ini. Kata bijaksana, jangan sampai dipatuk ular dua kali. Pengajaran yang boleh kita ambil dari sosok Najib Razak adalah, politikus begini jangan lagi diberi muka pada masa-masa mendatang. Humbankan terus ke lubang perigi.

Masalahnya, orang-orang kita tidak pernah mahu belajar dari kesilapan. Hari ini, mereka berapi-rapi memarahi sekalian kabinet Menteri yang bodohnya bertingkat-tingkat, dan Perdana Menteri yang senantiasa mungkir. Esok lusa, tengoklah mereka ini semua akan terhegeh-hegeh memberi undi lagi pada orang tua itu.

Ini masalahnya dengan orang-orang kita – tidak pernah serik dan tidak pernah mahu belajar dari kesilapan. Pada akhirnya, Parlimen terus menjadi sarkas untuk sekalian monyet-monyet beraksi, dan kita pula terus diperbodohkan saban siang dan malam. Alangkah, malang sekali mereka ini. Akalnya ada, gunanya tidak.