Thursday, December 10, 2015

Agama Buat Pembohong

Tidak sah, kalau kita tidak mengambil peluang untuk menulis tentang Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung sekarang di PWTC sepanjang minggu ini. Manakan tidak, pada juak-juak bersongkok tinggi yang sedang berhimpun itu, merekalah tunjang agama, bangsa dan tanahair. Alangkah...

Najib Razak adalah pembohong besar. Semua orang tahu hakikat ini, bermula dari budak sekolah rendah sehinggalah mereka yang tua renta, semuanya sedar. Cuma tinggal, berani atau tidak untuk menyebut secara lisan sahaja. Najib Razak berbohong dari A sehinggalah ke Z, dari hujung rambut ke hujung kaki.

Tetapi, dia masih lagi memperalatkan agama untuk menghalalkan dirinya di khalayak tanpa rasa segan. Hari ini dalam ucapannya, dia melandaskan Tuhan dan ayat-ayat Quran untuk tujuan itu. Dia memetik secebis itu dan ini dari Quran untuk menghalalkan segala pembohongannya. Dia tidak merasa malu pun.

Ditambah lagi dengan segala pekik lolong dan ampu-mengampu dari sekalian perwakilan yang sama bodoh, maka bertambah angkuh dia dengan lagak tidak bersalahnya. Makanya, seminggu dua ini kita akan menonton TV3 berserakan dengan segala hamburan pujian dan ampu pada Najib Razak dan UMNO.

Ribuan perwakilan bersongkok tinggi dalam dewan itu cukup mudah terlena dengan laungan “Hidup Melayu” dan segala retorik mengenai tergugatnya kedaulatan bangsa Melayu dan bahaya ancaman DAP. Najib Razak begitu mudah membeli maruah dan harga diri para perwakilan dengan retorik murahan.

Ternyata, khutbah bersalut serpihan-serpihan ayat Quran yang diambil secara tidak bertanggungjawab dan serba jahil menjadi peluru yang sangat ampuh buat pembohong besar seperti Najib Razak untuk membeli harga diri perwakilan bersongkok tinggi. Alangkah mudah sekali, mereka diperbodohkan.

Dari mereka yang menuntut ilmu di bumi Ratu Elizabeth, sehinggalah kepada mereka yang bergelar ustaz dan pemegang ijazah kedoktoran, semuanya sama bodoh ditipu dengan retorik agama dan khutbah kesetiaan pada parti oleh si pembohong. Mereka semua merasa bertanggungjawab mempertahankan perompak duit negara.

Kerana, pada mereka Najib Razak adalah hero sebenar. Najib Razak pelindung agama dan bangsa. Najib Razak sang pahlawan yang kental tidak kecut melawan musuh. Pada mereka, Najib Razak adalah imam besar, yang menganut agama pembohongan, yang wajib disembah diberi taat setia sepenuhnya.

Pada mereka, mempertahankan kaki pembohong seperti Najib Razak adalah satu jihad yang cukup suci dan bakal mendapat restu dari langit. Pada mereka, segala kontradiksi yang diciptakan untuk menentang kaki pembohong itu adalah suatu bentuk jenayah dan wajib dikecam oleh seluruh umat Melayu.

Alangkah, bodohnya para perwakilan dalam dewan itu, dan alangkah, murahnya harga diri dan maruah kalian dibiarkan terus diinjak-injak, dijual beli oleh si pembohong besar Najib Razak!