Monday, December 21, 2015

25 Tahun

Semalam, 20 Disember, genap 25 tahun bernafas di atas muka bumi ini.

25 tahun berlalu, terasa pantas dan masih kosong – ada lompang yang tidak terisi. Semalam, ketika rakan-rakan mengadakan majlis keraian ringkas, itulah sebenarnya apa yang bermain dalam kepala, terutamanya saat diminta untuk bercakap sepatah dua.

Rasa kosong itu jujurnya mengundang rasa sakit kepala yang amat sangat. Persoalan-persoalan seumpama; apa lagi yang perlu aku berbuat untuk memaknai usia ini dan apakah usia mendatang, rasa kosong dan hampa begini masih kekal tidak beranjak?

Akhirnya, saya terkelu begitu, tak punya apa-apa untuk dituturkan semalam.

Saya menyebut tentang impian dulu-dulu mahu mendirikan rumahtangga saat usia mencecah 25 tahun – impian yang selalu dikongsi dengan mak dan abah. Itu cerita dulu-dulu.

Saya tidak nampak jalan ke arah itu lagi. Rasanya, yang menyesakkan dada saat sekarang, adalah soal kepuasan diri perihal sesuatu yang belum tercapai.

Sudah semestinya, pada setiap anak Adam itu ada cita-cita dan kehendak tersendiri, saya juga tidak berkecuali.

Agaknya, yang menjadikan rasa kosong semalam begitu lempung dan lohong, sehingga bingit kepala terasa sakit yang amat, adalah kerana saat usia mencecah 25 tahun ini, kehendak-kehendak itu masih belum tertunai.

Jangan sampai ada dan tiada-mu di dunia ini, tiada bedanya.” 

Kalau mahu disimpulkan rasa hendak pada sesuatu itu, mungkin untaian kata ini boleh menjawab simpulan-simpulan tadi. 25 tahun, sebenarnya apa yang telah kau berbuat?

Rasanya tiada, atau masih belum kecukupan – untuk dibanggakan pada malaikat yang bertanya kelak.