Friday, November 6, 2015

Sampai Bila Kita Mahu Terus Dibuli?

Seminggu dua terakhir ini, pasca pembentangan Belanjawan 2016, negara kita tidak ubah seumpama sarkas.

Sarkas orang-orang politik celaka menghiburkan diri mereka dengan menjadikan kita semua (rakyat terbanyak) sebagai objek hiburan dan badut tunggangan untuk melampiaskan keserakahan nafsu mereka.

Mereka mencipta masalah – membolot duit orang ramai sehinggakan kempis kantung negara, sehinggakan tidak terhitung lagi hutang negara – untuk kepentingan dan keseronokan perut rodong mereka, dan kemudiannya, mereka dengan rasa tidak bersalah, memerah kita semua, rakyat terbanyak untuk melangsaikan masalah mereka.

Masalah sebenarnya, apa yang terjadi sekarang adalah well-aware oleh semua lapisan masyarakat, hatta budak-budak sekolah pun tidak terlepas dari mencari maki Najib Razak dan kawanannya.

Tapi, mengapa dalam pada begitu well-aware akan keborosan dan kebejatan ini, kita seolah-olah menyerah tengkuk untuk disembelih begitu sahaja?

Tiada berbaki walau sekelumit harga diri dan maruah pada kita lagi-kah?

Walau terus menerus kita dibuli dan dihenyak saban masa, kita terus sabar dan bertahan dan mencaci-maki takat di Facebook sahaja-kah?

Kita ini apa sebenarnya – manusia atau lembu yang dicucuk hidung?

Kenapa kita begitu tidak bermaruah?

Mereka memerah kita dari serba sudut.

Di dapur rumah kita, di meja makan, di jalan raya, di sekolah-sekolah, di klinik-klinik kesihatan, dan sebagainya – kita terus melopong, melongo tanpa harga diri, pasrah dan tunggu menanti keparat gerombolan perompak ini datang memerah ugut, dan menyembelih sisa harapan yang berbaki.

Kita?

Hakikatnya, kita semua tidak ubah seperti lembu dicucuk hidung. Disandung ke sana ke mari, patuh tidak membantah. Apa lagi yang tinggal, hanyalah tubuh badan fizik yang kekar begitu tunggu si tuan penggembala datang mengutip laba.

Selamat tinggal, maruah dan harga diri kamu, wahai rakyat Malaysia yang Tuhan kurniakan akal.