Wednesday, November 25, 2015

Pesta Mengambinghitamkan Islam

Bermula dari serangan di Paris, sehinggalah ke saat ini, saban saat yang berlalu, media tiada henti memainkan terma Islam dan Muslim berulang-ulang kali, dalam pelbagai konotasi dan sentimen. Keadaan begini telah menyebabkan berlakunya kontradiksi spektrum-spektrum pemikiran dalam masyarakat terbanyak.

Dari calon-calon Republikan ke media-media utama, dari Donald Trump sehinggalah ke Ben Carson, dari pengacara-pengacara televisyen sehinggalah ke penyampai radio, dari profesor ke ahli politik, semuanya menjadikan Islam sebagai modal untuk menjual kempen, menarik para penonton ke rancangan-rancangan mereka.

Akhirnya, Islam menjadi kambing hitam. Muslim menjadi kambing hitam. Mereka galak dengan dapatan undian akhbar The Sun yang memaparkan 1 dari 5 orang Muslim Britain bersetuju dengan ISIS. Mereka galak pada kisah-kisah ISIS memancung gay, membakar jurnalis, untuk menambah perisa cerita mereka.

Mereka juga mengitar semula dapatan kajian tahun 2013 oleh The Pew Research Center berkenaan pandangan orang Islam di seluruh dunia tentang beberapa hal dalam agama Islam, contohnya implementasi undang-undang Syariah. Mereka mengemukakan pelbagai tafsiran untuk mengabsahkan premis mereka.

Sama ada niat mereka mengulang-ulang terma Islam dan Muslim dalam kenyataan, kempen, atau apa sahaja, untuk menyedarkan atau untuk menghasut, sama ada untuk menghina atau menyatakan fakta, tiada siapa tahu. Mudahnya, Islam menjadi kambing hitam. Malah, kini, sudah bertukar menjadi sebuah pesta.

Bila kita cuba fikir, apa logik di sebalik cadangan-cadangan Donald Trump, ambil satu contoh, mengenakan tag khas untuk setiap muslim Amerika, tidak tercapai dek akal untuk memikirkannya. Pening. Sebenarnya, si pencadang ini normal atau sakit mental? Ramainya akan berfikir begitu bila mendengar cadangan tersebut.

Saya cuba fikirkan juga logik asas untuk premis-premis mereka. Tapi, sayangnya sehingga sekarang, tak ketemu jua. Tetapi, kita sedar, menjaja Islam dan Muslim sekarang adalah komoditi yang cukup menguntungkan pada setiap kali jualan dibuka. Malah, mensensasikan nama Islam sahaja, cukup untuk mereka balik modal.

Mungkin satu sebab sahaja, yang menjadikan sentimen ini sudah semacam pesta. Saya terfikir, kerana mereka sendiri adalah kambing, yang berkulit putih. Jadinya, tidak hairanlah apabila mereka begitu obses mencari kambing hitam, kerana mereka pun kambing. Kalau mereka manusia berakal, tidaklah ini menjadi pesta.