Sunday, November 15, 2015

Paris, Darah dan Cinta

Siang dan malam, dalam seminggu dua ini, orang ramai (media) akan bercakap perihal serangan ganas di Paris. Pelbagai cerita, spekulasi, dari segala angka dan fakta, sehinggalah kepada tahayul teori konspirasi dan sebagainya. Semuanya menunjukkan satu ragam, betapa manusia memang sifatnya reaktif.

Dan, akibat reaktif begitu, kita tersangat mudah untuk hilang perspektif dalam meninjau krisis ini. Tiada lain tiada bukan, adalah berpunca akibat kita tidak melihat isu ini secara berobjektif. Semua pihak, dari A kepada Z, akan mengalami keadaan begini. Manusia memang mudah untuk hilang perspektif kala begini, percayalah.

Sebagai orang Islam, memang mudah kita merasa geram dan marah pada media yang bias. Mudah sangat, terutamanya apabila kita membaca laporan setiap satunya yang benar berat sebelah, yang selektif, dan berniat jahat pada komuniti orang Islam. Kita mula mengeluarkan kenyataan yang tidak lagi bernada Islam.

Kita akan terperangkap dalam gejala tak boleh tanduk, telinga dipulas. Kita merendahkan moral ground dengan cuba menjustifikasikan pembunuhan orang awam di Paris pada pembunuhan dan pengeboman yang berlaku saban hari di Timur Tengah terutamanya. Cara pandang begini, teramatlah silap dan menyakitkan.

Begitu jua, pada rakan-rakan bukan Islam, yang begitu kecewa dan marah pada tragedi ini sehinggakan dengan cuainya menjadikan Islam sebagai kambing hitam untuk melunaskan rasa amarah – juga cara pandang begini silap. Kita boleh menutup mata pada keganasan di Timur Tengah, tetapi kita menangis pada darah yang mengalir di Paris.

Sedarlah, tiada apa yang boleh dibayar pada setiap titis darah dan nyawa yang tertumpah atas nama keganasan. Tidak ada, noktah. Seorang yang jiwanya Muslim mati ditembak di bumi Palestin, sama harganya dengan seorang berjiwa Kristian mati ditembak di bumi Paris. Tiada beza nilaiannya. Tiada beza pada empatinya.

Pada saat begini, adalah jauh lebih bijaksana untuk kita sama-sama menjauhi laporan berita arus perdana. Banyak dari mereka, kerjanya adalah untuk melagakan kita. Di belakang sana, adanya kerajaan bayangan yang mengawal segala ini, percayalah. Mereka mengawal apa yang patut atau tidak patut kita fikir.

Maksudnya, bukanlah menjauhi media secara literal, tetapi menjadi pembaca dan pendengar yang kritikal. Bahagian ini amatlah penting, kerana kenaifan kita menilai isi kandungan media akan menjadikan kita hilang objektif dalam membentuk perspektif dalam isu ini. Kita akan menjadi tidak ubah seperti lembu dicucuk hidung.

Moga dunia ini, Tuhan terus lindunginya dengan kasih sayang, kecintaan dan rasa kemanusiaan. Makanya, untuk merealisasikan ini, hanyalah dengan kita berusaha untuk kembali menjadi manusia yang penuh dengan rasa cinta, rasa belas dan kasihan, yang mampu menghangatkan sentuhan empati.

Akan perihal kecenderungan manusia mengabsahkan sesuatu kejahatan dengan sesuatu kejahatan yang lainnya, dan merasa betapa semua itu adalah sebab-akibat yang berangkaian dan tiada lagi soal cinta, Professor Dumbledore pernah mengingatkan Harry Potter,

“You are protected, in short, by your ability to love! The only protection that can possibly work against the lure of power like Voldemort's! In spite of all the temptation you have endured, all the suffering, you remain pure of heart, as pure as you were five years ago, when you looked into a mirror that reflected your heart's desire. Harry, do you have any idea how few wizards could see what you saw in that mirror?”