Monday, November 16, 2015

Melawan Idea Dengan Peluru

Kita sudah terbiasa mendengar kata-kata yang diungkap oleh Alan Moore dalam bukunya V for Vendetta, “Behind this mask there is more than just flesh. Beneath this mask there is an idea... and ideas are bulletproof.” Tidak dapat lagi dinafikan hakikat perkara ini. Idea tidak akan mati di hujung muncung senapang.

Silapnya, apabila kita mengungkapkan frasa di atas, kerap kita terfikir pada idea yang berselari dengan konotasi melawan kezaliman rejim yang menindas, idea yang bersangkutan dengan nada pemberontakan dan revolusi, pada hal-hal yang bersifat solidariti rakyat, kekuatan demonstrasi massa dan seumpamanya.

Tetapi, kita jarang terfikir bahawa gerakan kebangkitan seumpama ISIS juga adalah suatu bentuk idea. Biasanya, terma idea yang ditulis oleh Alan Moore itu diasosiasikan pada hal-hal yang disebutkan tadi, dan tidak menjadi kebiasaan untuk kita mengelaskan ISIS juga suatu bentuk idea.

Makna katanya, jika kita memandang ISIS sebagai suatu bentuk idea, maka adalah menjadi suatu tidak masuk akal dan tiada wibawa lagi kalaulah kita terus bercakap soal melawan ISIS dengan menggunakan kempen persenjataan. Contoh yang jelas, adalah di Iraq dan Syria sekarang, dan sebelumnya di Afghanistan.

Sedekad lebih, Amerika Syarikat melawan idea Negara Islam oleh Al-Qaeda, dan kininya timbul pula ISIS dengan peruntukan kos tidak kurang dari angka trilion. Kita lihat kini, apa kesannya? Apakah semakin kurang ancaman ISIS, atau semakin merebak parah? Kembali pada asalan tadi, peluru tidak terlawan akan idea.

Kita juga terbiasa mendengar frasa bahawa, sesuatu idea yang memerlukan daya keganasan untuk bertapak dan diterima ramai, makanya idea tersebut tiada nilai. Tidak semestinya begitu. Dan sering kali juga, frasa ini menjadi korup apabila ada pihak menjadikannya sebagai justifikasi untuk menentang apa sahaja bentuk perlawanan.

Apabila sesuatu rejim merasa tergugat pada sesebuah gerakan pembebasan dan kebangkitan marhaen yang mula menyoal peri kelakuan dan dasar mereka yang tidak adil, selektif, zalim, mereka akan menggunakan buah ini untuk melawan semula kebangkitan tersebut. Dakyah mereka, idea tersebut radikal dan tiada tempat dalam masyarakat.

Tidaklah semestinya idea yang radikal tiada langsung positifnya. Mana-mana dalam lipatan sejarah dunia, idea yang hebat bermula dengan gerakan yang radikal. Kita boleh mengukur darjah keganasan idea tersebut apabila kita rinci pada tahap keradikalan tersebut. Apakah ini bagus atau tidak, kita boleh debatkannya lagi.

Revolusi Perancis 1789, Revolusi Rusia 1917, Gerakan Civil Rights yang menuntut hak mengundi kaum kulit hitam di Amerika pada tahun 1965, Revolusi Iran 1979, Tragedi Trisakti 1998, dan senarai yang berpanjangan tiada henti ini, semua bermula dengan sebuah idea pembebasan yang ada unsur radikalnya tersendiri.

Menyalahkan radikal dan menyabitkan ketidakmampuan sesuatu idea untuk berdiri dengan sebab adanya unsur radikal tadi, adalah premis yang tidak tepat sama sekali. Tetapi, sejauh mana keradikalan idea tersebut membawa kepada keganasan, sehinggakan menyebabkan kehilangan nyawa, juga perlukan pemerhatian yang kritikal.

ISIS ganas, mereka membunuh orang awam yang tidak bersalah tanpa sebab musabab, tanpa hujung pangkal. Ganas mereka itu, kita sering asosiasikan dengan istilah radikal. Di sini, berlakunya sedikit kekeliruan pada kita menilai, apakah bila disebut radikal itu, terus menjadi sesuatu idea itu semestinya ganas.

Justeru, dalam membuat penilaian dan perbandingan, perlunya cara fikir yang kritikal dan sama sekali tidak bersifat bandwagon. Setiap idea yang tercetus, tentulah punya tapak asas dan aspirasi mendesak yang tertentu. Amatlah perlu kita memahami konteks terlebih dahulu sebelum kita melompat terus pada sangkaan-sangkaan yang tidak benar.

Oleh kerana Barat gagal melihat ISIS sebagai sebuah idea, makanya mereka mengambil jalan singkat melawannya dengan peluru. Hasilnya, idea itu makin merimbun. Walaupun tidak sampai 0.01% dari populasi dunia yang terlibat dengan ISIS, namun idea tetap sebuah idea. Selagi adanya harapan, maka ianya akan terus menyala.

Kesimpulannya, menggunakan peluru untuk melawan ISIS, tidak menjadikan ianya lemah, bahkan membuatkan idea itu makin kuat dan bercambah ruah. Idea ini makin ranum dengan harapan yang dinyalakan oleh semangat anti-imperialis, antibarat dan semangat fundamentalis sesuatu agama itu sendiri.

Semua ini, boleh diubah dengan satu perkara: pendidikan. Soal matlamat kehidupan dan makna-maknanya, soal kesederhanaan dalam beragama dan hal-hal kepercayaan, adat dan budaya, soal sistem nilai, soal kemanusiaan dan kasih sayang, soal empati dan proaktif – semua ini hanya melalui pendidikan dapat ia ditanam.

Premis Perancis yang mengambil nada untuk melawan ISIS secara pitiless dan merciless, tiada lain tiada bukan, hanya akan menjemput jutaan nyawa yang lainnya yang tidak bersalah ke tanah kuburan. Dari sini juga, kita sedar, betapa sehinggakan ke saat ini, Barat masih terus bongkak untuk mengakui hakikat “...ideas are bulletproof.