Monday, November 9, 2015

Logik Dangkal Penagih Vape

Sebagai penafian awal, tulisan ini juga dituju kepada penagih rokok. Walaupun kesan akhir seperti yang didakwa oleh penagih vape bahawa menghisap vape jauh lebih selamat dari menghisap rokok, hujah itu kita pedulikan dahulu. Premis awal, beza rokok tembakau dan vape, seumpama beza Coca Cola dan Pepsi.

Penagih vape berbangga dengan beberapa logik mereka, semata-mata untuk mengabsahkan ketagihan dan tabiat vaping mereka. Biarpun begitu, saya secara peribadi, masih boleh menerima pakai sebahagian logik mereka yang agak cliché, walaupun ianya kedengaran cukup dangkal, ironi, memualkan dan singkat akal.

Saya tidak bermasalah dengan logik bahawa vape jauh lebih selamat berbanding rokok tembakau. Hujah itu boleh disandarkan kepada beberapa kajian saintifik, seperti banyak yang disebarkan dalam media sosial oleh penggemar vape. Saya juga ada membaca beberapa makalah yang mereka sering sebutkan itu.

Tak mengapalah. Saya kira, itu pandangan masing-masing dan juga kebebasan kendiri yang memilih untuk berbuat sesuatu selaras dengan kehendak masing-masing. Saya tidak bermasalah dengan logik itu. Dan juga, hujah bahawa vape lebih bersih, tidak berbau, tidak mengganggu orang lain dan sebagainya.

Hujah-hujah begini, kedengaran logiknya cukup lunak. Seolah-olahnya, ya, vape adalah pilihan terbaik. Dan sekali lagi, saya tidak bermasalah dengan logik itu semua (walaupun sebenarnya ianya bukanlah logik, tetapi falasi). Saya cuma bermasalah, dengan penagih vape yang beranggapan bahawa sekalian manusia boleh menerima vape.

Tanggapan mereka jauh benar tersasar. Oleh kerana wujudnya beberapa makalah saintifik yang menyokong penggunaan vape, maka mereka merasakan masyarakat sekaliannya wajib menerima budaya vaping tanpa sebarang kritikan seumpama rokok tembakau. Tekaan mereka itu, kesalasilahannya dari logik (falasi) dangkal awal mulanya tadi.

Mahu terus menagih vape, silakan. Mahu terus berhabis duit membeli cecair vape atas alasan menjimatkan banyak wang berbanding rokok tembakau dan demi kesihatan diri, isteri, anak-anak dan keluarga, silakan. Mahu terus vaping, sehingga mampu menghentikan ketagihan rokok, silakan. Mahu vaping 24 jam sehari tanpa henti pun, silakan.

Tak ada masalah semua itu, dengan syarat, anda tidak vaping di tempat berkumpulnya orang ramai, dan di situlah adanya bayi kecil, budak-budak, wanita mengandung, orang-orang tua. Contoh paling terang, restoran. Gunalah akal barang sedikit. Tidak salah pun nak vaping, tetapi yang salahnya, vaping tanpa menggunakan akal.

Jangan diingatkan, sekalian manusia boleh menerima kepulan asap vape seumpama anda. Jangan diingatkan, mentang-mentang vape dikatakan lebih selamat dari rokok tembakau, maka anda mempunyai lesen untuk merokok di mana-mana sahaja, ikut logik kepala lutut anda. Tuhan kurniakan akal untuk berfikir, bukan dibuat hiasan.

Maka, fikirlah. Kalaulah ada mana-mana individu yang mencela budaya merokok dan vaping dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai tidak beretika, ya, memang benar pun. Merokok tak bertempat langsung! – pernah dengar sesiapa menggerutu begini? Saya yakin, semua orang pernah mendengar keluhan rasa berbulu begitu.

Seperkara lagi, saya tersenyum sinis dengan logik bahawa vape dipopularkan adalah untuk membantu mengurangkan masalah ketagihan rokok tembakau. Baiklah, cuma timbul satu persoalan, untuk mereka yang kelaknya mengalami ketagihan vape pula, anda rasa apa yang akan diinovasi lagi demi kesihatan diri, isteri, anak-anak dan keluarga?

Soalan terakhir itu, berguna untuk mereka yang ada akal dan mereka berusaha menggunakan akal mereka untuk berfikir. Selamat maju jaya untuk mereka yang ketagihan vape, yang berjimat wang dengan vape, yang berazam untuk sihat dengan vape. Moga tuhan lindungi rakyat Malaysia dari logik dangkal yang mengharukan.