Monday, November 2, 2015

Kepimpinan Yang Tersesat

Hari demi hari, wajah PAS makin kelam. Tiada jelas lagi kelihatan rona-rona di wajahnya, yang dulunya cerlang dipandang khalayak. Parti Islam itu, semakin hari, semakin kekabutan, tiada arah tujuan, semacam tersesat. Entah mengapa, keadaan itu sedikit sebanyak meninggalkan resah pada diri saya sendiri selaku orang luar.

Mudah kata, PAS tiada arah tujuan sekarang. Masyarakat tidak dapat lagi meneka, apakah sebenarnya yang diperjuangkan PAS sekarang. Dan, ke arah mana sebenarnya PAS sedang belayar. Parti itu seolah-olahnya kehilangan kemudi. Mahu dikata kapal itu sedang berlabuh, masih berbunyi jeritan anak-anak kapal di bawah dek.

Mahu dikata sedang berlayar, kemudinya menerawang entah ke mana. Seumpama, tiada sang kapten mengawal. Dibimbangkan, kalaupun ada sang kapten yang mengawal, jelas sekali sang kapten have no clue tentang pelayaran itu. Lantas, apa yang terjadi, anak-anak kapal berpelesiran dengan gaya masing-masing, kepala masing-masing.

Akhirnya, parti itu terumbang ambing. Tiada hala tuju. Mungkinlah tidak lagi sampai pada tahap, hidup segan mati tak mahu, akan tetapi tidak mustahil jika dibiarkan sebegitu, PAS akan bertukar ke arah itu. Semua ini, pada hemat saya, akibat kerana PAS sedang berdepan dengan suatu kemarau kepimpinan yang dahsyat.

Haji Hadi bukan lagi figura yang sesuai untuk berada di posisi nombor satu PAS. Beliau uzur kesihatannya, tiada siapa dapat nafikan fakta ini. Parti itu perlukan suara segar yang lain, yang boleh nampak hala tuju PAS dengan jelas dalam jangkauan masa yang panjang. Kepimpinan PAS kini sangat teruk, bahkan memalukan.

Jika disebut PAS pada umum, rata-rata akan menggelengkan kepala. Gelengan pada stigma yang melekat pada parti Islam itu. Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya sedemikian. Antara yang terutama, PAS dilihat parti yang sedang karam, yang banyak membuat keputusan bersifat ad-hoc dan kontang idea.

PAS tidak boleh selamanya bergantung pada undi orang Melayu, dan paling penting, PAS tidak boleh selamanya menggunakan talian hayat sentimen orang Melayu Pantai Timur. Banyak keputusan dan kenyataan PAS yang mutakhir, tidak lebih dari untuk menutup kelemahan yang secara sementara, dan tersangat naif.

Seolah-olahnya, parti itu baru berumur setahun jagung dalam lapangan politik. Semenjak muktamar yang terbaru, keberadaan PAS dalam senario politik Malaysia langsung tidak terasa, seumpamanya PAS tidak wujud. Ke mana hilangnya segala sentuhan parti Islam itu? Ke mana suara PAS dalam isu-isu yang ada kepentingan langsung pada rakyat?

Tidak ada, dan lagi menyedihkan, apabila PAS tidak dipedulikan khalayak sekarang. Tidak ada sebarang kenyataan atau tindakan dari PAS yang benar-benar mencerminkan hasrat pengundi Melayu untuk parti itu menjadi juara dalam banyak isu nasional. Berikan satu contoh, isu 1MDB, parti Islam itu hanyut tenggelam entah ke mana.

Semua ini terjadi akibat krisis kepimpinan PAS. Jangan nafikan permasalahan ini. Jangan terus berada dalam denial state. Bangkitlah dari mimpi kamu, wahai PAS. Selagi mana Haji Hadi menjadi pengemudi, selagi itulah PAS akan makin tenggelam. Sedikit masa lagi, umum akan kepelikan apabila mendengar sesiapa lagi menyebut tentang PAS.

Percayalah, itu akan terjadi, kalau PAS tidak mahu berubah dan menjadi pemberani, dengan mengubah kepimpinannya dari sekarang. Kepimpinan sedia ada sekarang sedang tersesat, tiada hala tuju, penglihatan mereka kabur. Dalam bahasa Queen Elizabeth, disebut the lost leadership. Berubahlah. Mark my words.