Sunday, November 29, 2015

Catatan Hujung November

Catatan hujung begini, mungkin lebih kepada puing-puing yang bertebaran – tiada signifikan untuk dijadikan penceritaan sejarah. Cumanya, untuk saya secara peribadi, catatan hujung begini amat penting.

Paling tidak, catatan ini boleh dijadikan bahan ketawa untuk masa mendatang, jika dibelek semula tulisan ini.

Pertama, penghujung November ini, akan genap setahun impian Tidak Selain Buku.

Tidak banyak yang berubah dari awal mula idea ini dicetuskan, sama ada untuk meneruskan perjumpaan mingguan sehinggalah kepada wujudnya brick-and-mortar bookstore (+‘Tidak Selain Buku’ Book CafĂ©). Tak mengapalah, harapan tidak pernah mati.

Dan, itulah yang penting – harapan.

Setahun berlalu, lebih kurang 26 kali pertemuan mingguan telah berjaya diadakan dan tidak kurang dari 20 buah judul buku telah diperbincangkan, meliputi subjek politik, falsafah, ekonomi, agama dan sosiologi. Seronok sebenarnya, apabila ada like-minded friends sebegini.

Antisipasi hala tuju Tidak Selain Buku masih kabur. Tahun mendatang, apakah impian dan harapan itu bakal terkabul?

Entahlah.

Tetapi, satu hal yang pasti adalah, impian ini tidak pernah padam kehendaknya, tidak pernah meleset kemahuannya. Saya berseorangan, atau masih berkumpulan, Tidak Selain Buku akan jalan terus.

Kedua, perihal Initiative for Malaysian Humanitarian (INSAN).

Pertubuhan kemanusiaan ini adalah inisiatif sekumpulan anak muda termasuk saya, yang memfokuskan pada kerja-kerja bantuan kemanusiaan.

Kenapa November? Bulan ini, INSAN memfokuskan pada hal-hal fundamental – falsafah, objektif, misi.

Melalui INSAN, saya lihat cukup besar peranan yang boleh dimainkan dengan menawarkan beberapa cadangan dan kajian kepada masyarakat akan hal-hal yang berfokus, iaitu masalah miskin bandar dan gelandangan, masalah tahap kesedaran terhadap isu OKU, dan masalah sosio-ekonomi akibat bencana alam.

November menjadi bulan pertama kami bergerak, secara kecil-kecilan. Membina jaringan kerjasama, merangka strategi kerja dan mula mencari sumber-sumber dana yang boleh membantu INSAN menjalankan misinya.

Bukan mudah kerja ini, dan kami cukup masak dengan hakikat tersebut.

Ketiga, soal personal dan identiti. 27 November 2015 menjadi tarikh penting buat saya.

Tidak perlu saya ceritakan butirannya. Cukuplah dengan saya mencatatkan begini, sepanjangan hidup kita mencari jawapan, kadangnya Tuhan menjawab dengan pantas, kadang-kalanya ianya memakan masa. Jumaat lepas, Tuhan menjawab persoalan saya.

Kata bijak pandai, untuk mencapai makna kehidupan, you ought to do good, to do the right thing. Saya tertarik dengan perbahasan Immanuel Kant dalam karyanya, Groundwork of the Metaphysic of Morals berkenaan A Realm of Ends. Manusia sebagai ends, bukan means.

Mungkin dengan cara ini, kita akan ketemu dengan banyak jawapan lagi.

Keempat, November juga menyaksikan pergolakan politik dunia, yang ramai penganalisis mengatakan itu adalah bibit-bibit kepada peperangan global yang bakal melanda.

Krisis Turki-Russia, campur tangan NATO, fitnah ISIS dan pesta mengambinghitamkan Islam yang tidak terkawal lagi keadaannya.

Ke mana kita nak mengadu semua rasa berat dan resah begini?

Semua ini menjadikan kita senang untuk menyepi dalam cangkerang, berkecuali, merasa bosan. Betul, kita tersangat kecil dalam percaturan politik ini. Sebab itulah, saya merasa tersangatlah perlu untuk kita mula memaknai perbahasan A Realm of Ends oleh Kant.

Sukar apabila manusia dijadikan subjek kepada tujuan kepolitikan oleh mana-mana pihak. Mungkin ini juga, adalah persoalan-persoalan yang Tuhan sedang bertanyakan kepada kita, untuk kita mencari jawapannya.

Kita saban waktu bercakap soal kemanusiaan dan kebaikan, kerana kita tidak pernah memilikinya – mungkin.

Catatan hujung ini, jika dibaca semula pada masa akan datang, sedang ketika itu berkecamuknya perang, maka menangislah kita. Kita akan menangis, mengenang akan lemahnya dan kecilnya kita. Dunia menjadi teramat kejam, apabila manusia memilih untuk melupakan manusia, dan mempertuhankan kuasa.

Catatan ini lebih kepada luahan dan harapan. Lebih kepada rasa resah dan gundah. Apa pun, November 2015, telah mengajar saya banyak hal yang sebelum ini saya kabur.