Sunday, October 4, 2015

Wayang Geopolitik

Gara-gara tragedi MH370, bersambung pula dengan MH17 dan kemudiannya hangat dengan skandal 1MDB, istilah geopolitik makin mendapat tempat dalam kasus perbincangan awam sehinggakan ianya mula disebut-sebut dalam banyak wacana, tulisan-tulisan media malah dalam sembang-sembang kedai kopi pun menyebut tentang geopolitik!

Secara mudahnya, kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa perbincangan mengenai topik geopolitik tidak lagi asing sepenuhya dalam kalangan masyarakat Malaysia, bahkan jika kita melihat unjuran dari isu Israel-Palestine sendiri, kita sudah dapat mengagak bahawa rakyat negara ini tidaklah terlalu naif dalam bab hubungan bilateral dan antarabangsa.

Dalam seminggu dua ini, dunia seolah-olah tertumpu terhadap 70th United Nations General Assembly yang sedang bersidang di New York. Siri kali ini juga saya pertama kalinya mengikuti perkembangannya hampir setiap hari memandangkan betapa persidangan kali ini amat penting untuk kita membina beberapa antisipasi pada masa depan hubungan antarabangsa.

Memang terasa begitu naif dan kecil sekali, apabila saya cuba membuat beberapa renungan mengenai konteks hubungan antarabangsa yang rata-rata semenjak dulunya lagi dibentuk oleh faktor geografi dan akhirnya ini menjadi punca mengapa geopolitik menjadi faktor terpenting dalam menentukan duduk letak sesebuah keamanan dan kestabilan politik sesebuah kerajaan.

Dalam siri kali ini, dunia dilatari perang dingin antara Amerika dan Russia dalam isu menangani konflik di Syria. Obama dan Putin berbalas komentar. Media mencipta spekulasi. Dunia lainnya mula bergoyangan untuk berkira-kira ke mana mereka mahu berpihak. Beberapa hari selepas ucapan Putin di New York, Kremlin memulakan operasi ketenteraanya di Syria.

Tanggal 14 September 2015, 136 dari 193 buah negara keahlian PBB telah pun membuang undi pengintirafan sebagai sebuah negara terhadap Palestine. Mungkin tarikh 30 September akan dikenang ramai rakyatnya kerana pada hari tersebut bendera Palestine telah dikibarkan di bangunan PBB. Tetapi, cukupkah hanya dengan sekadar pengiktirafan begitu?

Netanyahu kelihatan cukup marah terhadap Amerika kerana sanggup mengadakan perjanjian nuklear bersama Iran, sambil membuat gimik “ucapan bisu” selama 44 saat di pentas PBB. Dalam temubualnya dengan FOX News, Netanyahu tidak segan untuk bertanya, “How can you move forward to peace if you don’t fight terror, if you don’t renounce terror?

Begitu juga dengan Korea Utara, China dan lain-lain negara yang menjadi ahli dalam persidangan itu, ternyata masing-masing punya gelagat dalam menyadurkan rasa tidak puas hati, kebimbangan, ajakan kepada sokongan dan paling penting, betapa masing-masing mahu menjadikan pentas PBB sebagai pentas tunjuk kuasa dan pengaruh.

Melihat ini semua, saya kuat merasakan bahawa banyak hal dalam dewan persidangan itu hanyalah wayang sahaja, dan drama-drama begini berterusan saban tahun dalam skrip yang hampir serupa. Saban tahun juga, jujutan resolusi akan dikeluarkan oleh PBB. Saban tahun juga, makin ramai manusia hilang nyawa dan tanah air.

Masing-masing dalam dewan itu ada kepentingan politik tersendiri, dan mereka datang bersama-sama agenda mereka masing-masing. Begitu jua dalam kes TPPA, itu adalah kerja Amerika dalam memperkukuhkan pengaruh geopolitiknya dan pada masa yang sama, menyekat kebangkitan China dari menguasai sektor utama ekonomi dunia.

Cumanya, dari semua drama di dewan New York itu, saya kelu dan tidak tahu bagaimana nak membaca dan membina antisipasi mengenai konteks hubungan antarabangsa dalam sama-masa mendatang. Tidak mustahil, semua yang berlaku dalam persidangan kali ini akan menjadi pemangkin kepada meletusnya Perang Dunia Ke-3, siapa boleh sangka?

Sebenarnya, apa yang membuatkan saya ligat berfikir tentang perkara ini, adalah mengenai kita – Malaysia. Kita dimana sebenarnya? Bagaimana posisi Malaysia dalam percaturan politik dunia? Saya terbayangkan Najib Razak yang kepalanya berserabut dengan segala macam skandal, pada masa yang sama terpaksa duduk menyaksikan segala permainan ini.

Sudah pastilah ini bukan suatu kerja mudah buat Najib. Bagaimana kita bersikap dalam banyak konflik di luar negara? Bagaimana sikap negara ini dalam isu keselamatan dan keamanan terutamanya perihal ISIS dan juga kerjasama nuklear Iran-Amerika? Bagaimana sikap malaysia terhadap kewartaan negara Palestine?

Dan, kita sangat maklum bahawa Malaysia di mata Amerika adalah negara yang cukup penting. Kerjasama TPP tanpa Malaysia, seumpama padi tanpa beras – yang tinggal cuma sekam yang tidak berguna. Malaysia ada hubungan kerjasama nuklear bersama Russia (dalam proses), dan pada masa yang sama, bilateral kita dengan China kelihatan agak kukuh.

Menariknya, ketiga-tiga negara ini – Amerika, Russia, China – berseteru. Jadi, kita sebenarnya dimana? Saya menonton wayang geopolitik ini sambil membayangkan saya berada di kerusi yang diduduki oleh Najib Razak sekarang dalam Dewan Persidangan PBB di Manhattan, New York. Ralatnya, saya tidak mempunyai barang sedikit pun popcorn sekarang untuk dikunyah.