Monday, October 19, 2015

Tentang Melayu Holier-Than-Thou

Antara sumbangan terbesar dunia media sosial adalah terserlahnya ribuan wajah Melayu spesies holier-than-thou.

Mereka ini muncul sahaja di mana-mana tanpa di undang, membuat komentar-komentar bersifat kontang dan jelik, bodoh dan singkat akal, cetek dan tidak berperikemanusiaan.

Kesimpulan yang sempurna: sampah.

Melayu jenis begini hanyalah sampah.

Dari tulisan-tulisan komentar mereka di Facebook, kita tahu langsung bahawa mereka ini spesies tidak membaca, malah mungkin tidak pernah menyelak satu halaman buku-buku ilmiah pun sepanjangan hidup mereka.

Mereka cuma tahu, saban hari, menonton program Maharaja Lawak dan seangkatannya.

Ataupun, mereka ini, hari-hari akan dipenuhi dengan pembacaan gosip dunia hiburan.

Mereka di Facebook, amat gemar berkongsi status-status bodoh dari halaman-halaman Facebook yang juga bodoh, sesuai dengan taraf akal mereka yang singkat. Kalau pun ada status berbau agama, mereka berkongsi keratan hadis atau al-Quran secara rambang.

Golongan Melayu begini amat gemar kisah-kisah khabar angin yang berputar dalam media sosial dan menyebarkannya tanpa usul periksa, apatah lagi untuk berfikir panjang tentang benar atau tidak sesuatu itu sebelum disebarkan.

Perkara seperti halal haram roti Gardenia, gambar-gambar mangsa kemalangan adalah antara kegemaran spesies ini.

Kalaupun mereka membaca, segala bacaan mereka itu semuanya dari blog-blog sampah, atau bersumberkan dari halaman Facebook yang bertaraf seperti akal mereka juga.

Komen-komen mereka dalam media sosial, sentiasa berbaur lucah. Kita dapat mengagak, spesies begini adalah pelanggan tetap pornografi secara senyap-senyap.

Apabila ada berita kejayaan tentang Melayu dan kena pula, subjek berita tersebut tidak bertudung, maka puak Melayu holier-than-thou ini akan berkembang biak, berpusu-pusu keluar dari gua, dan masing-masing dengan segala kealiman dan ketinggian "ilmu" mereka, cuba berceramah dan bersyarah soal moral, soal agama.

Jelik!

Melayu jenis ini, haprak. Melayu jenis ini, tiada harga langsung. Cubalah cadangkan pada mereka untuk membaca sekian-sekian buku yang berguna, tentu saja spesies Melayu begini akan menggelengkan kepala, memberi seribu macam alasan. Beratlah, berfalsafah sangatlah, tak ada masa-lah.

Gampang betul Melayu begini!

Melayu begini tidak sedar bahawa mereka dalam delusi.

Mereka tidak sedar betapa jeliknya perangai mereka pada pandangan ramai. Hakikatnya, spesies Melayu holier-than-thou ini pun boleh tahan juga ramai. Mereka merasa yang mereka ini sudah cukup – baik ilmunya, pembacaannya, cara memandang dunianya. Sebab itu mereka dalam delusi.

Paling jelik, dan paling gampang, spesies begini sentiasa merasa moral dan taraf keimanan mereka jauh lebih tinggi dari yang lain-lainnya, sehinggakan dengan cuai dan mudahnya, mereka menghukum sesiapa sahaja yang tidak fit dalam pandangan sempit mereka.

Alangkah kasihannya spesies Melayu begini!

Tulisan ini emosional?

Ya, memang emosional kerana meluat dan menyampah dengan gelagat spesies holier-than-thou tidak bertempat yang tak kunjung sudah. Tulisan ini main pukul rata? Ya, memang pukul rata supaya mana-mana spesies yang ada ciri-ciri disebutkan di atas, mohon terasa dan bertaubat.