Sunday, October 25, 2015

Politik Payung Memayungi

Dalam bahasa Queen Elizabeth, ianya dipanggil politics of patronage. Rasanya tidaklah lari sangat makna asal jika dimajukan terjemahannya kepada politik payung memayungi. Budaya politik ini telah pun wujud ratusan tahun dulunya. Di negara Uncle Sams, budaya politik begini wujud semenjak abad ke-19 lagi.

Konsepnya mudah, mari kita buat analogi kes untuk berikan gambaran kasar. Katakan, Najib Razak (contoh kes) memenangi kerusi Presiden di sebuah negara republik dalam pilihan raya yang ala-ala demokratik. Beliau akan melantik sekalian barisan pentadbir di bawahnya dalam kalangan penyokong kuatnya.

Dan, lantikan itu berlaku tidaklah kerana merit pun, tetapi hanya bersandarkan pada tahap know-who antara Najib Razak dan para pegawai yang dilantik untuk beberapa jawatan yang tertentu. Mungkin beberapa kerusi Menteri dan Duta Besar akan diisi oleh orang-orang Najib Razak. Begitulah, lebih kurang konsepnya.

Dalam parti politik, hafl yang sama turut berlaku. Dalam mana-mana organisasi pun, termasuklah NGO turut mengalami perkara yang sama. Adakah budaya politik begini salah atau tidak beretika? Kita boleh buat kesimpulan awal, bahawa budaya politik begini banyak mengundang bala berbanding untung pada negara.

Pertamanya, budaya politik beginilah yang akhirnya melahirkan wabak kronisme dan nepotisme. Ianya bermula dengan semangat yang sama: kau tolong aku, aku tolong kau. You help me, I help you. Ianya seolah-olah wujud mutual understanding antara kedua-dua pihak – keadaan menang-menang.

Istilah bahawa tiada free lunch, boleh diguna pakai dalam situasi ini. Semua perkara yang berlaku, ada udang di sebalik batu. Politik payung memayungi ini boleh berkembang menjadi barah apabila ianya menular menjadi budaya sehingga ke akar umbi. Keadaan ini akan menjadi penyebab kepada akibat yang kedua.

Keduanya, politics of patronage akan menyebabkan berlakunya kepupusan bakat. Apabila semua perkara yang diambil kira berputar pada faktor know-who, maka celakalah masa depan sesebuah parti atau kepimpinan negara tersebut. Lagi teruk, kalau pun ada bakat di bawah payung masing-masing, bakat itu akan terpendam mati.

Kita akan bincang perkara ini satu persatu. Kita ambil contoh kes: PAS. Parti ini kehilangan begitu ramai bakat kepimpinannya akibat budaya politik begini telah menular menjadi barah dalam kalangan kepimpinan utamanya sehinggalah ke pemudanya. Apabila Presiden parti mula menjadi payung, maka lihatlah kesannya sekarang.

Tidak akan ada lagi peluang untuk pemikiran dan corak kepimpinan yang berbeza dalam parti tersebut bercambah. Nampak sahaja yang berbeza sedikit, maka akan dicantas awal-awal. Akan berlakunya projek pembunuhan karakter yang dahsyat. Semua ini berlaku, untuk menghalalkan misi payung-memayungi tadi.

Jika tiada lagi sebarang spektrum pemikiran dan kepimpinan yang berbeza bercambah biak dalam sesebuah organisasi, maka berlakulah kepupusan bakat yang merugikan. Bakat kepimpinan yang kritikal tidak akan lahir dari rahim sebegini. Apa yang lahir, adalah ribuan pencacai, pembodek dan yes men.

Boleh jadi juga, di bawah payung yang besar itu, akan lahir bakat-bakat tersendiri, namun akibat dari budaya begini, bakat-bakat tersebut akan mengalami nasib yang sama dengan situasi yang pertama tadi. Dalam budaya Melayu, satu kebiasaan yang memudahkan kita faham situasi ini ialah: berkepit di bawah ketiak emak.

Kita ambil contoh kes: Azmin Ali. Beliau antara contoh yang sungguh sayu dalam kes ini. Azmin Ali punya bakat politikus yang cukup hebat, tetapi segala bakat beliau dipayungi (dibayangi) oleh figura Anwar Ibrahim. Beliau tidak boleh terus maju, menaiki anak tangga dengan bakatnya tersendiri, akibat dari payungan tersebut.

Jika Azmin Ali dilihat lebih laju langkahnya dari si tuan payung, akan kedengaranlah segala kata nista di belakang. Atau, akan ada sahaja perkara yang dibuat semata-mata untuk memperlahankan langkahnya. Boleh jadi juga, Azmin Ali sendiri akan merasa bersalah jika dia terlebih sudu dari kuah.

Jadinya, keadaan begini akan mematikan sebuah bakat yang cukup besar, hanya akibat dari payung figura yang lebih senior. Kita mengagumi Justin Trudeau yang baru berusia 43 tahun, sudah pun memenangi kerusi Perdana Menteri di Canada. Saya fikir, beliau bernasib baik kerana mungkin tiada payung yang menghalang perjalanan politiknya.

Berbalik pada Azmin Ali tadi, cuba bayangkan kalau beliau mencabar Wan Azizah dalam pemilihan parti untuk kerusi Presiden tahun hadapan. Kita boleh bayang situasinya akan jadi bagaimana. Padahal dengan umur dan pengalamannya itu, beliau boleh mendaki anak tangga tanpa perlu lagi berpayung di bawah bayangan Anwar Ibrahim.

Tetapi, mampu atau tidak politik Malaysia menceraikan budaya ini? Saya rasa sukar, dalam jangka masa terdekat. Kita begitu terbiasa dengan budaya payung memayungi begini, sehinggakan ke peringkat organisasi makro pun, budaya ini telah menular pantas. Kecelakaan terbesar adalah, pupusnya pemikiran kritikal dan budaya intelektual.

Apabila bercakap soal politik payung memayungi ini, saya suka mengajukan contoh kes yang berlaku di Australia, apabila Malcolm Turnbull mencabar kepimpinan Tony Abbott dalam partinya, dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Australia apabila undian pemilihan parti memihak kepadanya dengan beza sepuluh undi.



Mungkin contoh ini agak idealistik atau boleh kita katakan, utopia untuk warga Malaysia. Tetapi, tontonlah video ini untuk kita faham, apa yang dimaksudkan politics of patronage menghalang kelahiran bakat kepimpinan baru dan percambahan pemikiran kritikal serta budaya intelektual dalam kalangan masyarakat.

Untuk Malaysia benar-benar maju dan progresif, pemikiran dan budaya politik payung memayungi harus disepak terajang jauh-jauh. Dan lagi penting, kita harus akui, bahawa kini adalah zaman anak muda. Politikus-politikus tua sudah boleh balik kampung tanam jagung. Ubahlah budaya ini sebelum terlambat.

Tetapi, itulah... realitinya untuk ubah budaya politik begini kerjanya adalah teramat sukar dan rencam. Mungkin, dengan memperbanyakkan lagi forum-forum awam, syarahan umum yang tidak punya afiliasi dengan mana-mana parti politik dan membudayakan pembacaan kritikal dalam masyarakat – boleh menjadi remedi kepada barah ini.