Saturday, October 10, 2015

Homo naledi Mencari Manusia Trans

Akhirnya, rangka mumia Homo naledi ditemui, jauh terperosok dalam Gua Raising Star di tanah Afrika. Hampir sempurna. Dari situ, saintis melukis gambaran wajahnya. Dan, kita semua akhirnya tahu, bagaimana rupanya wajah nenek moyang kita dahulunya. Dalam perkiraan masa, mereka tinggal di bumi kira-kira 3 juta tahun yang dulunya lagi.

Manusia moden sekarang, dari kelompok Homo sapiens. Sebelum itu, bermula dari Homo habilis, ke Homo naledi, seterusnya ke Homo erectus dan akhirnya, Homo neanderthalensis sebelum ianya berevolusi ke Homo sapiens. Apa yang menariknya adalah, kesemua rantaian evolusi ini tidak berlaku secara berturutan, tetapi bercampur baur.

Setidak-tidaknya, itulah apa yang dipersetujui oleh beberapa orang profesor dalam sebuah artikel terbitan Hopes and Fears. Kata mereka, Homo sapiens hidup sezaman dengan lain-lain spesies hominid, apabila mereka mendapati wujudnya sekurang-kurangnya 2.5% - 3% DNA Neanderthal dalam badan manusia moden sekarang.

Jadi, antara kelompok homonid ini, mereka berhubungan dan saling membiak (melakukan seks) dan berkembang. Jadi, di mana absahnya premis rasa bangga pada keturunan, warna kulit dan etnik masing-masing, kalaulah semua nenek moyang kita dulunya adalah saling berhubungan, dan berevolusi dari titik yang sama jua?

Penemuan ini, mencetuskan tanda tanya yang banyak terutamanya pada golongan Creationist, iaitu mereka dari kelompok agamawan sama ada ianya Katolik mahupun Islam, yang beriman bahawa manusia itu asal mulanya dari Adam dan Hawa. Dan juga, penemuan ini seolah-olahnya membenarkan tesis Charles Darwin mengenai Teori Evolusi.

Saya secara peribadi, tidak menolak teori ini. Saya yakin bahawa, manusia moden pada hari ini berevolusi dari suatu titik tertentu sebelum turunnya Adam dan Hawa lagi. Cumanya, beza makhluk yang digelar manusia dalam Quran adalah mereka yang punya akal dan bahasa komunikasi, berbanding hominid lainnya yang tidak punya ini semua.

Kemudiannya, keturunan Adam dan Hawa berkembang dan mula berintegrasi dengan hominid lain yang wujud. Proses integrasi inilah yang menjadikan manusia selepas Adam berupaya membina tamadun dan teknologi, berbanding sebelum Adam, tiada catatan mengenai ketamadunan yang terbina, atau teknologi canggih yang tercipta.

Malah, sebenarnya bukan Darwin pun yang mencadangkan bahawa manusia berasal dari kera. Beliau hanya mencadangkan bahawa, manusia berkembang hasil evolusi, bukan tiba-tiba wujud ada. Hujahnya secara saintifik terbukti benar. Sarjana Islam antaranya Ibnu Khaldun sendiri percaya bahawa manusia berevolusi dari kera.

Tetapi, persoalan yang lagi menarik, apa lagi selepas ini? Adakah manusia akan terus berevolusi? Kita tidak dapat mengelak dari bersetuju untuk merasa begitu. Manusia akan terus berevolusi, dan akan lahirnya generasi baru yang lebih lasak untuk mendepani dan mengadaptasi keadaan sekitaran dan segala perubahan alam.

Kini, dengan kemajuan teknologi dan kebangkitan era artificial intelligence, kemungkinan itu tidak menjadi mustahil lagi. Bahkan, jika mengikut logik sistem, maka ianya akan berlaku jua. Cuma lambat atau cepat, semuanya bergantung pada tahap kemajuan dan keupayaan manusia untuk mengadaptasi perubahan dan kehendak sekitaran.

Kita sedar bahawa kini, makin rancak gerakan yang mempopularkan istilah manusia trans (transhuman). Mereka adalah golongan yang begitu optimis bahawa, untuk makhluk manusia terus bertahan dan tidak pupus, makanya perubahan ke arah itu adalah tidak dapat dielakkan lagi. Jika Homo naledi mendengar perkhabaran ini, tentu dia tidak percaya.

Walaupun ramai tokoh-tokoh utama dalam dunia teknologi seumpamanya Bill Gates dan Elon Musk, yang begitu tidak bersetuju dengan artificial intelligence atas alasan teknologi itu akan membawa kepada kehancuran masa depan manusia, tetapi Mark Zuckerberg dalam soal-jawab Townhall yang terbaru, begitu optimis dengan teknologi ini.

Semua ini, dapat disimpulkan dalam satu terma iaitu singularity. Asal mulanya, idea singularity oleh Raymond Kurzweil mendapat sambutan ramai, tetapi tidak semuanya mampu menerima ramalan-ramalan bahawa apabila bermulanya era itu, manusia kemungkinan sudah tidak lagi wujud. Cuma yang tinggal, adalah hominid pasca-manusia.

Mungkinlah pada satu sudut, kebimbangan ini ada asasnya namun saya tidak dapat tidak, merasa kagum pada sikap optimis Zuck apabila beliau yakin bahawa manusia tidak pupus, tetapi manusia akan mengalami proses adaptasi dengan berjaya, sebagaimana hominid sebelum-sebelum ini juga berjaya melakukan proses adaptasi tersebut.

Jadi, kita akan ke mana? Untuk terus mandiri, manusia wajib menerima hakikat bahawa kita perlu terus berevolusi dan adaptasi dengan keadaan alam yang semakin rencam. Alam sekitar semakin tercemar, lapisan ozon semakin tipis, pelbagai penyakit-penyakit baru timbul, yang 50 tahun dulunya tidak pernah kedengaran tentangnya.

Dan lagi membimbangkan, adalah populasi manusia semakin meningkat dengan pantas. Hari ini penduduk bumi sudah mencecah seramai 7 bilion. Populasi manusia sifatnya eksponen, tidak aritmetik. Peningkatannya berganda saban tahun dengan pantas. Persoalannya, mampu atau tidak bumi dengan sumbernya yang terhad menghadapi angka populasi ini?

Thomas Robert Malthus nampaknya tidak bersetuju dengan orang yang optimis dalam keadaan sekarang. Beliau mencadangkan Teori Populasi Malthusian bagi membuktikan bahawa akan tiba saat kemusnahan dunia, jikalau angka populasi tidak dikawal, dan pada masa yang sama, sumber penghasilan makanan sudah tidak lagi mampu menampung angka tersebut.

Saat itu, literalnya, kita boleh gelarkan ia sebagai Hari Kiamat. Jadi, jika mengikut sistem, dengan kita terus membenarkan proses evolusi ini berterusan, dengan membawa maksud membenarkan era manusia trans berlaku, makanya kemungkinan apa yang diramalkan oleh Mathus tidak akan berlaku (dan Kiamat juga tidak berlaku).

Semasa Homo naledi berhubungan secara seksual dengan Homo Neanderthal, besar kemungkinan dia tidak pernah terfikir bahawa akan tiba suatu masa nanti, keturunannya terpaksa membuat keputusan sama ada untuk terus berevolusi, atau menerima sahaja nasib dan ketentuan alam, bahawa masa mereka di bumi akan berakhir jua.

Kita boleh, dengan secara mudah dan simplistic, menjawab persoalan-persoalan di atas dengan jawapan begini, “Semua ini sudah ditakdirkan Allāh. Siapa kita nak melawan janji-janji Allāh?” atau kita boleh memilih untuk menjadikan persoalan-persoalan itu sebagai sebab untuk terus mencari makna-makna kehidupan yang hakiki.