Wednesday, October 7, 2015

Belajar Bersikap

Banyak cakap-cakap dalam media sosial yang menyindir kewujudan ribuan “profesor segera” pasca persetujuan kerjasama Trans-Pacific Partnership (TPP) di Atlanta, dan kebanyakan cakap-cakap sindiran begitu datangnya dari mereka yang so-called experts dalam bidang-bidang tertentu. Kita boleh belajar banyak perkara dari isu ini, sesungguhnya.

Pertama, mereka yang cuba-cuba memberi komen atau menyampaikan pandangan sendiri dalam isu TPPA adalah, pada saya mereka cuba bersikap dalam isu ini. Fundamentalnya, tidak salah sama sekali. Bersikap pada satu-satu isu, atau krisis, adalah hal yang diperlukan terutamanya pada kita yang berada dalam sebuah masyarakat demokratik.

Berdiri atas pagar, atau cuba bersikap neutral, berdiam diri dan tidak proaktif adalah lebih memalukan. Dante menulis dalam karyanya The Divine Comedy, “Sesungguhnya pantat neraka yang paling dalam disediakan khas buat mereka yang kekal dengan sikap neutral mereka ketika berada pada zaman krisis moral.”

Bersikap, adalah untuk mengelak kita menjadi batu bata yang sejuk sepi. Menyatakan sikap dan berpihak adalah absah dan sangat wajar, malah dituntut pun! Cuma, saya yakin juga sindiran mereka perihal “profesor segera” itu tidaklah salah sepenuhnya, bahkan kita boleh mengambil satu dua pengajaran dari sudut itu.

Untuk mengatakan sikap, atau bersikap dalam satu-satu perkara, hal yang pertama-tamanya kita perlu pastikan adalah kefahaman tentang hal tersebut. Kita menyatakan sikap terhadap perhimpunan Bersih 4 dengan bersetuju dengannya, bukan kerana sentimen atau emosi semata-mata. Kita bersetuju, kerana kita faham mengapa kita bersetuju.

Malang sekali, wujud pula penyakit bandwagon dalam masyarakat kita terutamanya dalam zaman media sosial yang menjadi punca utama penyebaran maklumat. Bandwagon bermaksud, pandangan atau sentimen seseorang dibentuk oleh sentimen masyarakat terbanyak, atau sesuatu kelompok yang paling popular. Ini suatu penyakit yang sangat berbahaya.

Bandwagon menyebabkan masyarakat tidak lagi berfikir. Fungsi akal tidak lagi menjadi keutamaan dalam pertimbangan rasional. Apabila ramai menyebut tentang bahayanya isu pemanasan global, maka kita pun tanpa berfikir panjang, dan tidak melakukan sedikit pun pembacaan mengenainya, terus kita bersetuju dengan sentimen yang sama.

Begitu jua dalam isu TPPA, apabila sekalian ramai manusia bercakap mengenai bahaya akan perjanjian itu, betapa kedaulatan Malaysia akan tergadai, bahawa hak-hak Bumiputra akan terancam, bahawa alam sekitar akan hancur, bahawa akan berlakunya neokolonialisme, bahawa akan berlaku bahaya itu dan ini lagi, tanpa banyak soal, kita pun terus bersetuju sama.

Padahal, satu artikel perihal TPPA pun kita tak pernah baca, satu tulisan akademik tentang TPPA pun kita tak pernah hadam, satu wacana perihal TPPA pun tidak pernah kita hadir, apatah lagi untuk kita buat cross-checked dengan mana-mana sumber yang positif terhadap TPPA, lagi-lagi tentunya kita tidak buat sama sekali.

Ini masalah kita sebenarnya. Menyatakan sikap tidak salah, malah itulah yang dituntut. Tetapi, bersikap membuta tuli juga tidak cerdik, malah akan mengundang lagi banyak kecelakaan dari kebaikan. Jadinya, sindiran tentang “profesor segera” itu tidaklah salah sepenuhnya, cuma kadang-kala ianya menjadi sebab ramai yang takut untuk menyatakan pandangan mereka.

Justeru, bagaimana kita nak seimbangkan perkara ini? Saya yakin, jawapan paling sesuai adalah, bersikap perlu hadir bersekali dengan rasa tanggungjawab. Bersikap bukan cara untuk meluahkan emosi, tetapi untuk menyatakan pandangan. Untuk melakukan ini, perkara pertama yang perlu kita berbuat, adalah mendapat kefahaman tentang sesuatu isu.

Bagaimana? Mudah, baca dan baca dan terus membuat pembacaan. Cari sumber-sumber yang kritikal tentang isu tertentu, baca dari sumber yang berautoriti, baca dari sumber-sumber yang berlawanan dengan pandangan arus perdana, buat semakan silang fakta dan pandangan-pandangan yang wujud, dan binalah perspektif sendiri dari semua itu.

Moga dengan berbuat begitu, kita terselamat dari dihumban ke pantat neraka paling dalam kerana tidak bersikap dalam hal-hal yang wajib kita mengatakan sikap, dan kita tidak juga terjerumus dalam penyakit “profesor segera” atau lagi teruk, kita menjadi golongan pseudo dalam semua perkara yang tidak sepatutnya.