Sunday, September 20, 2015

Politik Kelompok Yang Terpinggir

Semalam, berkesempatan berbual panjang dengan beberapa orang penggerak utama Pemuda AMANAH. Antara soalan yang saya bertanya (atas rasa ingin tahu), adalah perihal manakah kelompok masyarakat yang menjadi tumpuan utama kepada AMANAH musim ini, sementelah memikirkan betapa hijaunya usia parti itu dalam landskap politik negara.

Jawab mereka, sasaran terhadap kelompok non-partisan pada waktu ini. Makna katanya, kelompok yang meragui kemampuan dan kejujuran PAS, dan pada masa yang sama tidak sesekali mengundi UMNO dan Barisan Nasional. Makanya, kelompok ini digelar sebagas non-partisan dan itulah kelompok masyarakat sasaran AMANAH yang terutama musim ini.

Apakah pilihan kelompok sasaran itu salah? Tidak, secara teknikalnya. Kerana, saya melihat itu sebagai strategi politik AMANAH. Parti bongsu ini perlu menginsafi perihal kelemahan mereka dari sudut kekuatan sokongan akar umbi. Biarpun pada pelancarannya nampak kehadiran di luar jangka, dan sambutan keahlian yang juga luar biasa, tapi itu bukan realiti sebenarnya.

Ya, memang keahliannya meningkat secara pantas. Juga, ya, AMANAH punya sokongan secara tidak langsung dari dua parti Pakatan Rakyat, terutamanya dalam kalangan penyokong-penyokong mereka. Mungkin dibantu oleh sentimen untuk menumbangkan UMNO dan desakan keperluan pada mewujudkan koalisi politik yang baru.

Tapi, untuk bergerak secara mapan, AMANAH memerlukan pekerja di akar umbi. Makanya, kekuatan sokongan akar umbi adalah bersifat kritikal buat mereka sekarang. Jadinya, menetapkan sasaran pada kelompok masyarakat tertentu untuk mereka boleh memberi rasa percaya pada AMANAH, adalah strategi yang bijaksana dalam berpolitik.

Sejujurnya, kalau kita perhatikan politik dalam mana-mana negara, jarang sekali parti-parti politik akan memberi tumpuan pada segenap kelompok masyarakat yang wujud. Dalam kerangka tradisionalis, parti politik banyak bergantung pada kelompok yang mewakili niche kaum, agama, atau ideologi. Dalam kerangka kontemporari, niche kelompok sudah banyak berubah.

Kita perhatikan di Amerika Syarikat, Obama dalam usahanya merebut kerusi Presiden pada tahun 2008, telah menganjurkan isu-isu yang mendominasi perbincangan setiap kelompok sasaran secara terperinci. Sebagai contoh, dalam menyasarkan kelompok LGBT, Obama tidak teragak-agak memperjuangkan usul marriage equality, dan ternyata strategi ini amat berbaloi.

Demikian jua halnya, pada lain-lain kelompok sasaran, Obama menetapkan setiap satunya isu bersifat usul yang diperjuangkan sebagai agenda utama Democrats. Jadi tidak hairan, apabila Obama mendapat sokongan yang bersifat terangkum (inclusive), yang bukan sekadar majoriti, bahkan berjaya melarikan tumpuan pengundi dari sentimen ideologi, ras atau keagamaan.

Saya fikir, AMANAH perlu meletakkan ini sebagai strategi politik mereka. Meletakkan tumpuan pada non-partisan secara umum begitu, tidak mencerminkan bahawa AMANAH telah benar-benar membuat “homework” tentang politik Malaysia. Tapi, perkara ini memakan masa, bukan kerja sehari dua. Ianya perlu bermula dengan kata kunci ‘meraikan’ niche kelompok yang terpinggir.

Jadinya, niche kelompok mana yang dikatakan terpinggir dan perlu diberi perhatian dalam strategi politik AMANAH? Untuk bahagian ini, saya kira bukan di sini tempat perbincangannya. Ianya dalam bilik mesyuarat – itu pun kalau AMANAH tergerak hati untuk mengambil maklum tulisan kecil ini. Apa pun, saya optimis Pemuda AMANAH kali ini adalah berbeza dari Pemuda yang dulunya itu.