Tuesday, September 29, 2015

Perempuan Gila

Pada tahun 1977, Robyn Davidson telah berkelana berjalan kaki bersama-sama 4 ekor unta dan seekor anjing sejauh 1700 batu merentasi padang pasir Australia bermula dari Alice Springs menuju ke bahagian barat Australia, berakhir di pergigian pantai Lautan India. Berseorangan, cuma bertemankan unta dan anjing, pengembaraan itu memakan masa 9 bulan lamanya.

18 tahun kemudiannya itu, pada tahun 1995, Cheryl Strayed pula berjalan kaki mengembara sejauh 1100 batu merentasi Pacific Crest Trail, bermula dari Gurun Mojave, California dan berakhir 94 hari kemudiannya di Bridge of the Gods, Washington. Sebegitu Robyn, Cheryl juga berseorangan, bezanya Cheryl cuma bertemankan beg sandangnya sahaja. Seorang diri!

Robyn dan Cheryl, hanya satu frasa yang tepat untuk memaksudkan mereka: perempuan gila. Kedua-dua wanita ini gila, dalam erti kata yang positif. Gila bukan pada konotasi kesihatan mental, tapi pada keberanian dan badass mereka yang melampaui segalanya. Seorang diri, ribuan batu jauhnya, merentasi hutan belantara dan padang pasir yang serba panas, apa lagi definisi wajar untuk mereka?

Jika mahu mencari yang lebih badass dari mereka berdua ini, mungkin nama Ella Maillart paling sesuai. Tapi, ini bukan pertandingan siapa paling gila. Ianya perihal keberanian, keazaman, rasa kehilangan yang bertukar menjadi pemangkin kepada segalanya. Mereka ini menjadi contoh bahawa hanya dengan menjadi gila, barulah arang yang digenggam boleh bertukar menjadi abu.

Kisah Robyn dan Cheryl menyebabkan aku kemaluan pada diri sendiri. Malu, kerana menjadi penakut. Malu, kerana tidak kuat mendepani impian. Malu, kerana begitu kerap berputus asa. Malu, bila memikirkan aku ini lelaki, tetapi untuk bermimpi melakukan hal yang serupa seperti mana mereka berbuat pun aku sudah ketakutan. Belum lagi benar-benar melakukan hal yang serupa.

Perempuan gila begini seumpama manikam dalam timbunan kaca. Untuk menjumpai mereka, kau terlebih dulu perlu menjadi sang jauhari. Manakan tidak, dalam ribuan perempuan yang kau jumpa sepanjang hayat engkau sehingga ke hari ini, berapa kerat sangatlah yang benar gila seperti mereka berdua. Justeru, aku fikir, perempuan beginilah yang patut dicari sebagai calon bini.

Kepada perempuan bernama Ulfa Nusaybah yang telah datang ke dunia fana ini tanggal 20 September lalu, aku mendoakan kamu membesar menjadi perempuan yang gila begini. Kamu cukup berharga, tidak mudah ketemu di tepian jalanan. Hadirnya kamu, tidak seperti yang lain-lain itu. Kamu berbeza, dan kamu tiada lain tiada bukan, adalah manikam dalam timbunan kaca.

Moga hidup kamu, wahai Ulfa Nusaybah, ke hadapan itu, kekal senantiasa dalam segala restu alam dan rahmat Tuhan yang Esa.