Wednesday, September 30, 2015

Penjara Syurga Neraka

Ramai manusia di dunia ini, untuk berbuat sesuatu akan kembali merujuk pada kitab suci sama ada ianya Quran, Injil, kitab-kitab Hindu, hadis-hadis dan segala seangkatannya. Mereka banyak merujuk pada perkara-perkara yang melibatkan amaran dan larangan, sebagai contohnya, tidak boleh mencuri kerana hukuman selepas mati adalah ke neraka.

Jadinya, segala pengamalan agama atau sesuatu kepercayaan rohani itu, tidak lebih dari sekadar menjadi sebuah program yang mengatur kehidupan mereka, sehinggakan sesuatu kepercayaan pada kitab-kitab suci ini secara tidak sedar menjadi penjara buat hati nurani dan rasa manusiawi mereka sendiri. Mereka seolah-olahnya menjadi robot, tidak perlu berfikir – hanya menurut arahan.

Mereka akan kebimbangan apabila ada kitab suci ini yang menyatakan perihal bahaya akan sesuatu perkara, sebagai contoh dalam sebuah hadis, secara mafhumnya, mengeluarkan amaran pada sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin, bahawa sebelah kaki mereka di neraka dan sebelah yang lainnya itu sudah di neraka. Rasa percaya pada hadis ini menyebabkan rasa bimbang datang tanpa di undang.

Jadinya, timbul satu persoalan, tentang mengapa kita gemar memenjarakan rasa manusiawi yang telah dianugerahkan Tuhan sehinggakan untuk berbuat atau bersikap pada sesuatu, pun sangat-sangat memerlukan suatu bentuk kebenaran atau peduli pada persoalan syurga neraka sementelah kita sudah pun pasti bahawa apa yang kita berbuat itu pengakhirannya adalah kebaikan jua?

Tidakkah dengan tujuan akhir untuk mencapai kebaikan pada setiap tindak dan tanduk kita itu, sudah mencukupi untuk kita berbuat sesuatu dan bersikap pada hal tertentu dengan betul dan penuh amanah, tanpa perlunya peduli barang sedikit pada mana-mana amaran dan gertakan soal syurga neraka. Mengapa kita memilih untuk mematikan hati nurani yang sedia wujud dalam diri setiap kita ini?

Dan, akhirnya kita melihat gertakan-gertakan seputar syurga neraka ini tidak ubah seumpama sebuah penjara pada hati nurani manusia, dan telah menukarkan seseorang itu tidak lebih dari menjadi hamba pada ajaran kitab suci tanpa perlunya lagi fungsi akal dan hati nurani, serta kasih manusiawi untuk berbuat sesuatu yang baik, atau untuk tidak berbuat sesuatu yang jahat.

Jadi, apa maknanya lagi kita menjadi manusia, kalau terus kita terpenjara begini?