Thursday, September 17, 2015

AMANAH

Pertamanya, tahniah atas kewujudan pada akhirnya. Saya skeptikal pada Harapan Baru, dan rasa skeptikal itu tidak terus terbuang sepenuhnya walaupun AMANAH akhirnya lahir jua. Apa pun, tahniah buat AMANAH dan tentulah selaku warga pengundi di Malaysia, saya menyimpan harapan yang besar buat parti baru ini untuk mewarnai politik negara dengan lebih gemilang.

Kedua, antara harapan terbesar saya buat AMANAH adalah agar parti itu tidak terperangkap atau terus bermain-main dalam politik cliché. Sebagai contoh, terperangkap dalam mainan siapa lebih beriman, siapa bakal penghuni syurga, siapa lebih demokrat, siapa lebih progresif, siapa yang lebih Melayu, parti mana yang lebih diredai dan lain-lain seangkatannya.

Ketiga, AMANAH fokuslah pada anak muda. Berilah ruang dan pentas yang semewahnya kepada barisan anak muda untuk bersuara. Galakkan mereka mengkritik pimpinan yang ada, gesa mereka untuk menjadi suara utama di Parlimen dan segala yang menganjur pada permasalahan rakyat. Biarkan mereka mengetuai, bukan diketuai. Jangan sesekali bazirkan bakat yang ada pada mereka.

Keempat, gesaan kepada AMANAH untuk fokus pada gerakan intelektual. Tiada perjuangan tanpa ilmu. Perbanyakan diskusi ilmiah, wacana-wacana pada isu-su yang kritikal dan sensitif, amalkan keterbukaan dan kebebasan intelek dalam kalangan ahli dan pimpinan, dan paling penting, gesa ahli dan pimpinan untuk khatam buku-buku berautoriti dalam bidang kepolitikan, ekonomi dan sosial.

Kelima, jangan sesekali pergunakan atau memperalatkan isu-isu keagamaan dan perkauman sebagai modal berpolitik. Jangan sesekali mengulangi kesilapan PAS atau lain-lain parti politik sebelum ini. Mereka yang tidak berbumbung dan kelaparan di lorong-lorong kota Kuala Lumpur jauh lebih memerlukan suara AMANAH untuk membela mereka. Itulah modal politik yang sebenar.

Keenam, manfaatkan kepenggunaan media sosial secara bijak dan bertanggungjawab. AMANAH tidak berdepan lagi dengan Generasi X atau baby boomers. AMANAH berdepan dengan Generasi Y dan manusia digital. AMANAH berdepan dengan dunia manusia yang omnipresence, politik digital yang punya jutaan spektrum, fleksibel, dan generasi pengundi yang tiada fizik.

Ketujuh, AMANAH berusahalah untuk keluar dari kerangka pengorganisasian tradisional. Untuk permulaan ini tidak mengapalah, tetapi untuk masa depan, usahakan perubahan itu. Umpamanya, sampai bila kaum wanita akan terus berada dalam kumpulan yang tersendiri dan tidak mempunyai peluang langsung dalam pergerakan Pemuda atau mencabar kedudukan Presiden parti?

Kelapan, usah bergaduh dengan PAS. Itu kerja sia-sia dan membuang masa. Jika PAS mahu terus berlabun dengan labu-labu si Luncainya, biarkan mereka. Tapi ingat, politik masa depan bukan lagi seperti dulunya. Ambillah pengajaran dari Facebook. Berjayanya mereka kerana mereka menyambung, tidak memutuskan. Ini politik masa depan.

Kesembilan, tugas terbesar AMANAH adalah membina dan memupuk politik yang serba baru. Dari segi persekitarannya, budayanya, sifat-sifatnya, perbincangan-perbincangan dasarnya, polisi-polisi yang akan dianyam kelak. Mudahnya, politik yang mendasari ilmu, bukan sentimen. Usahakan perubahan ke aras itu, In shāa Allāh parti ini akan mendahului pesaing-pesaingnya yang lain.

Kesepuluh, yang terakhir dan ini permintaan rasmi – sila re-design laman sesawang AMANAH. Reka bentuk sekarang sangat tua, lembam dan tidak membangkitkan berahi untuk menyelongkar lanjut parti ini menerusi laman tersebut. Lantiklah mereka yang punya cita rasa futuristik pada bagaimana untuk mereka bentuk laman sesawang yang menarik dan berkesan pada pengunjung.