Tuesday, August 18, 2015

Terus Berlari

Entah mengapa, makin kuat aku merasakan jalan yang sedang dipilih ini makin mampir menuju ke pengakhirannya. Perasaan ini makin kuat menekan, menyesakkan dada. Malah merimaskan!

Kata cerdik pandai, bahawa hidup ini tidak ubah seumpama pelayaran atau sebuah pengembaraan untuk menuju ke suatu destinasi. Tapi, tidak pernah mereka nyatakan apakah destinasi tersebut.

Jadi, pilihan yang tinggal adalah dua sahaja.

Pertama, jika mahu difikirkan soal destinasi, makanya itu akan langsung berkisar soal tujuan akhir pelayaran tersebut. Dan juga, secara tersiratnya ia memberitahu soal keselesaan atau ketetapan atau suatu keadaan yang memberi janji yang keadaan tidak lagi bergolak seperti berada dalam fasa pelayaran tadinya.

Kedua, pilihan yang tinggal adalah tidak memikirkan soal destinasi pelayaran terakhir. Boleh jadi setiap destinasi yang disinggahi dalam pelayaran itu tidak ubah seumpama pelabuhan sementara.

Jadinya, tiada lagi soalan-soalan perihal ke mana mahu dituju, atau apa kesudahan segala pelayaran dan pengembaraan begini. Yang tinggal cuma, soal-soal perihal pelayaran dan pengembaraan itu sendiri.

Kata Lao Tzu, “A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.” Tambah Gautama Buddha, “It’s better to travel well than to arrive.

Semua bijak pandai ini cuba memberitahu bahawa, pada kehidupan yang dinisbahkan pada sebuah pelayaran atau pengembaraan, destinasi terakhir itu atau matlamat pengembaraan itu tidaklah penting berbanding proses pelayaran dan pengembaraan itu sendiri.

Ertinya, dalam kata lain, sentiasalah mencari jalan untuk menikmati pengembaraan dan makna-maknanya itu sendiri.

Tulisan ini tidak bermaksud aku bakal belayar lagi, atau memulakan pengembaraan baharu. Cumanya, aku sesekali tidak akan menolak kemungkinan-kemungkinan itu.

Apa yang pasti, jika keputusan untuk berangkat pergi itu benar menjadi kenyataan, makanya, pelayaran kali ini tidak akan memakan masa yang singkat lagi. Ianya akan lama. Benar-benar lama.

Soalnya lagi, apakah aku punya keberanian untuk menempuh barang begitu rupa pelayaran nun jauh yang penuh ketidaktentuan dan ketidakpastian di hadapan sana itu kelak?