Sunday, August 2, 2015

Perihal Buku dan Kemanusiaan

Kisah seorang posmen membantu impian seorang budak lelaki di Utah, Amerika memiliki buku untuk dibaca, sementelah si posmen yang bernama Ron Lynch telah bertemu dengan Mathew Flores yang sedang membaca keratan iklan-iklan lama ketika dia menghantar bungkusan ke apartmen Mathew, menjadi begitu viral.

Si Mathew meminta pada si posmen itu kalau-kalau dia masih punya keratan-keratan akhbar lama untuk dia baca. Terkesima dengan permintaan Mathew, posmen tersebut terus menulis sepotong permintaan umum kepada rakan-rakan Facebook untuk membantu Mathew mendapatkan buku-buku yang mampu memenuhkan impiannya untuk membaca.

Ron Lynch menulis pada 24 Julai di Facebook, sambil mengepilkan sekeping gambar Mathew:

“This is Matthew Flores. Today while delivering mail to his apartment complex, I saw him reading ads, and then he asked me if I had any extra mail he could read. He told me his wish is to have books to read. I told him the library had many, but he said they don’t have a car, and couldn’t afford the bus. So... let's get this 12 year old some books! Let's help him. I was given many books as a child, and it's time to help someone else! Please share and let's get him tons of reading material! Most kids his age want electronics! It's great to see his desire, and you should have seen him beam when I said I could help!”

Demikianlah Ron Lynch merayu pada rakan-rakan Facebooknya untuk membantu Mathew. Tidak lama kemudian, status beliau itu telah mendapat respons yang tidak terduga, bukan hanya dari sekitar Utah, bahkan dari seluruh dunia. Ratusan bungkusan yang berupa buku-buku telah sampai ke peti surat Mathew, yang semua itu ditujukan kepadanya.

Kisah si posmen itu telah mendapat liputan yang cukup meluas. Sehinggakan akhbar luar negara antara lain di Vietnam, Argentina, China, India dan banyak lagi turut memaparkan kisah ini. Sepertinya kisah si budak lelaki yang mahu membaca tetapi tidak kecukupan wang untuk membeli buku atau membuat kad perpustakaan, begitu menggamit kemanusiaan yang lainnya untuk membantu.

Kisah Mathew ini membuatkan saya teringat pada kakak angkat saya (sebenarnya lebih kepada sahabat pena kerana kami tidak pernah bertemu) ketika saya seusia Mathew dulunya. Saya pernah menulis surat dalam ruangan surat menyurat Majalah Kuntum, mengadu tentang kemahuan saya untuk belajar Bahasa Inggeris dan membaca buku-buku cerita berbahasa Inggeris.

Saya mengadu lagi, yang prestasi Bahasa Inggeris saya tidak cukup memuaskan. Dan juga, saya mengadu yang saya tidak punya buku-buku cerita berbahasa Inggeris di rumah lantaran saya bukannya datang dari keluarga yang berada, yang mampu menyediakan keenakan begitu. Entah mimpi apa, selang 2-3 minggu kemudian, tiba di rumah saya sebuah bungkusan yang cukup berat pada nama saya sendiri.

Dalam bungkusan itu, penuh dengan buku-buku yang saya impikan, termasuklah buku-buku latihan tambahan untuk latih tubi. Bersama dengan buku-buku itu, terkepil sekeping surat yang beralamatkan di Jelebu, Negri Sembilan. Penghantar itu seorang kakak, yang waktu itu sedang berada di Tingkatan 6 Atas. Katanya, dia ada membaca surat saya di Majalah Kuntum.

Sejak itu, kami sering berutusan surat. Saya tidak pernah bertemu dengan dia. Bayangkan, saya di Terengganu dan dia pula jauh di belah bahagian Selatan. Cuma faktor usia dan niat tulusnya mahu membantu saya, menyebabkan saya tidak teragak-agak memanggilnya sebagai kakak angkat. Bukan sekali dua, bahkan berkali-kali dia menghantarkan buku-bukunya kepada saya.

Saya lupa judul-judul spesifik. Cuma yang saya masih ingat, buku-buku yang dihantarkan itu banyak berkisar kisah mengenai penyiasatan dan thriller. Tentulah untuk seorang budak yang ketika itu baru menginjak usia 12 tahun, menerima bungkusan buku sedemikian, amatlah mengundang teruja yang amat. Bukan apa, kerana kami tidak pernah kenal sebelum ini pun!

Sayangnya, akibat tinggal di asrama bermulanya alam sekolah menengah, saya telah terputus hubungan dengan kakak itu. Masa yang terhad di rumah dan juga mungkin kakak itu sudah pun melanjutkan pengajian di universiti, menyebabkan perhubungan surat-menyurat kami makin menyepi dan kemudiannya, (mungkin kerana pertukaran alamat) terhenti.

Namun begitu, sehingga sekarang, saya tidak pernah pun lupa pada kebaikan kakak tersebut, yang sudi menghantarkan buku-buku miliknya dan saban bulan mengirim surat memberikan kata semangat untuk saya mendepani ujian UPSR. Bila difikir-fikirkan semula, apakah sebenarnya faktor yang menjadikan manusia begitu baik dan pemurah begitu?

Saya tiada jawapan. Sebab itulah, apabila membaca kisah Ron Lynch membantu Mathew Flores, dan bukan si posmen itu sahaja, bahkan bungkusan-bungkusan buku itu turut datang dari demikian banyak pelosok dunia, saya teringat pada kakak yang baik hati itu. Kebaikan yang berbuah, banyak kali dibuktikan bahawa ianya tidak memerlukan sebarang ikatan darah pun.

Bukan berbuat baik itu kerana yang dibantu itu punya pertalian darah, tetapi atas nama kemanusiaan semata-mata. Saya terfikir, faktor buku itu sendiri juga menjadi penyebab utama. Kisah kanak-kanak yang kepingin untuk membaca mampu mengundang rasa belas, sebagai contoh boleh baca The Book Thief, atau tonton filemnya sahaja, boleh mengabsahkan teori saya ini.

Liesel mencuri buku-buku milik B├╝rgermeister untuk dibacanya, si posmen yang mulia membantu Mathew mendapatkan timbunan buku-buku untuk dibacanya, sang kakak yang baik hati menghantarkan bungkusan buku-buku di peti surat rumah saya dulunya itu; semuanya menunjukkan buku-buku itu membawakan manusia rentas segalanya.

Kita berbicara kisah posmen dan Mathew yang jauh berada di Utah, Amerika. Di Malaysia sendiri, kita punya banyak inisiatif-inisiatif yang juga begitu, sebagai contoh The Wakaf Buku. Masyarakat yang kepelikan bertanya, mengapa bersusah payah mahu berbuat semua ini, lantas kita menjawab atas nama kemanusiaanlah kita berbuat segala itu.

Dari helaian-helaian bukulah kita belajar erti semua itu yang dalam dunia realiti, tampak seolah-olah utopia. Sebenarnya tidak pun. Sebenar-benarnya, semua bergantung pada pilihan-pilihan kita sendiri. Dengan membaca sepatutnya mengajar kita menjadi manusia, bukan sebaliknya. Dan, hanya buku sahaja yang berupaya menjadi wadah perentas untuk semua itu.