Friday, August 14, 2015

Mendepani Realiti

Perkara paling sukar, adalah untuk mendepani realiti sebenar atau hakikat sesuatu perkara. Mungkin ianya adalah tentang realiti politik, atau ekonomi, atau status sosial atau lain-lain. Adalah menjadi syarat kepada keberadaan sesuatu perkara, bermula dengan pengakuan terhadap realitinya yang tersendiri, bukan bersandaran pada hal-hal yang berbentuk ilusi.

Dalam konteks politik Malaysia, mana-mana parti yang tidak berani untuk menjengah dan mengakui realiti politik negara ini secara jujur dan berjiwa besar, maka ianya akan terus ketinggalan. Contoh terbaik, adalah PAS. Gagalnya parti Islam itu mengakui dan mendepani realiti politik di negara ini menyebabkan mereka lemas dalam denial syndrome.

Pada tahun 1963, James Baldwin menulis dalam bukunya yang berjudul The Fire Next Time, yang memuatkan surat-suratnya kepada anak saudaranya yang berusia 14 tahun berkenaan harapan, cabaran dan realiti negara Uncle Sam itu, “We are capable of bearing a great burden, once we discover that the burden is reality and arrive where reality is.

Malang sekali, parti-parti politik lebih gemar bersenang lenang dalam dunia utopia ciptaan mereka sendiri dan gegak gempita pula mereka memaksa masyarakat sekaliannya menuruti apa yang mereka percaya. Usaha mereka tidak ubah seumpama debu yang berterbangan – tidak memberi sekelumit kebaikan pun. Mereka tidak akan menyelesaikan walau satu pun masalah sebenar yang dihadapi rakyat.

Tentang realiti sosio-ekonomi rakyat terbanyak, realiti taraf pendidikan rakyat, realiti paras kemiskinan tegar, realiti ketandusan bakat kepimpinan belia, realiti politik yang caca merba, realiti kemajmukan kaum, spektrum budaya dan kepercayaan, realiti kepincangan sistem nilai, realiti keruntuhan integriti struktur pembahagian kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman dan pelbagai lagi.

Mana-mana parti politik yang tidak berupaya untuk mengakui dan mendepani realiti di atas, maka mereka akan terus ketinggalan. Mereka sesekali tidak akan berjaya untuk mengubah apa-apa sekalipun. Mereka akan menang sorak atau takbir, tetapi mereka kalah pada berbuat jasa terhadap rakyat. Kalaupun mereka menang, kerja mereka adalah untuk membuncitkan perut rodong sendiri.

Mengakui dan mendepani realiti masyarakat semasa juga adalah langkah untuk kita menghargai idea-idea besar dan pengorbanan mereka-mereka yang terdahulu – dari zaman melawan penjajah sehinggalah mereka yang membina Malaysia selepas kemerdekaan. Semua itu tidak akan mampu dicoret sejarah kalaulah mereka “sombong” untuk mengakui dan mendepani realiti masyarakatnya waktu itu.

Malaysia memang banyak masalah. Dan itulah realitinya. Kalaulah untuk berdepan dengan realiti itu pun tidak mampu atau takut-takut dan lebih senang berpura-pura seolahnya tiada sebarang masalah begitu wujud, lebih baik usah terlibat langsung dalam politik. Keberadaan kamu dalam politik langsung tidak relevan dan memberi apa-apa makna.

Mengakui segala masalah-masalah di atas sebagai realiti paling utama, dan berderap langkap diatur untuk menyelesaikan beban realiti tersebut – itulah politik yang didamba oleh sekalian lapis masyarakat. Kalau ini berlaku, tentu sekali tiada lagi isu mangsa banjir terus tinggal dalam khemah selepas hampir setahun, atau penyangak wang 1MDB terlepas lari.