Wednesday, August 26, 2015

Memilih Antara Dua Syaitan

Membaca tulisan terbaru Raja Petra Kamarudin perihal keperluan untuk kita mengusir pemimpin syaitan, dan ulasan lanjut beliau tentang makna politik dari perspektifnya, dan kritikan beliau pada kefahaman politik yang naif, ternyata sama sekali kita tidak dapat menolak bahawa demikianlah sepatutnya politik dimainkan dalam kerangka pandangan sarwa sekular.

Bahawasanya, dalam kerangka sekular, tiada keperluan yang mendesak untuk meletakkan akhlak dalam pertimbangan kompas moral. Makanya, apabila meninjau begitu, tidak dapat tidak kita bersetuju bahawa pandangan demikian amatlah cocok dengan Machiavelli yang menuntut bahawa pencapaian politik tidak memerlukan pada batasan-batasan metodologi.

Menyebut Machiavelli, saya ada menulis sebelum ini bahawa sedikit sebanyak saya secara peribadi bersetuju dengan kenyataan popular “matlamat menghalalkan cara” dalam berpolitik atas dasar bahawa politik itu sendiri membawakan nuansa strategi, yang menjadikan perbincangan seputarnya adalah berdasarkan pada pemahaman konteks, bukan konsep.

Namun begitu, menolak sepenuhnya pertimbangan moral dalam berpolitik, akan menjejaskan tujuan politik itu sendiri yang wujudnya adalah untuk menyelesaikan permasalahan sesama manusia. Itulah politik yang sebetulnya. Namun persoalan yang timbul, apakah dengan meletakkan akhlak dan moral dalam konteks akan menyebabkan perbincangannya bersifat nisbi?

Persoalan ini membuatkan saya kepeningan, seolah-olahnya wujud pertentangan atau kontradiksi antara dua premis, pertamanya penentuan kompas moral dalam tatacara berpolitik adalah bersifat kontekstual dan ini bermakna, ianya nisbi. Keduanya, pada sejauh manakah kenisbian soal moral dalam berpolitik dibolehkan dalam pertimbangan pandangan sarwa Islam.

Penjelasan Tariq Ramadan dalam syarahannya di Oxford Union yang bertajuk Ethics ini sedikit sebanyak membuka ruang pencerahan, namun begitu pada hemat peribadi, saya merasakan penjelasannya masih belum benar-benar konkrit. Walau bagaimanapun, untuk perbincangan lanjut, saya kira penjelasan beliau boleh dijadikan titik mula untuk memahami persoalan ini secara mendalam.



Tariq Ramadan menyebut perihal kenisbian itu berkait rapat dengan kefahaman kita berkenaan prinsip-prinsip umum yang dipersetujui, dan juga hubungannya dengan perundangan yang bersifat setempat. Jadinya, beliau tidak menolak bahawa persoalan moral boleh bersifat nisbi dalam keadaan tertentu. Dan tentulah dalam hal kepolitikan jua.

Apakah dengan mengakui kenisbian moral membenarkan pandangan sarwa sekular perihal tatacara kepolitikan seperti mana yang diperjelaskan oleh al-Attas, bahawa sekularisme sebagai sebuah rencana falsafah, yang menolak segala hal yang bersifat sakral, unsur ketuhanan dan pertanggungjawaban politik yang membawa erti “keberhutangan” manusia pada tuhan sebagai amanah dari langit.

Persoalannya, apakah perimbangannya di sini yang mampu memberi jawapan secara konkrit. Tentu sekali saya tiada ketemu lagi mana-mana jawapan yang memuaskan. Namun, penilaian kerdil saya, dari dua pandangan: Tariq Ramadan dan al-Attas, saya merasa selesa untuk berpegang bahawa berbuatlah apa sahaja selagi ianya tidak terkeluar dari landasan syariah.

Tentang bagaimana perihal ‘cara’ itu, terpulanglah pada tuan badan masing-masing. Menjawab persoalan memilih antara dua syaitan, dalam konteks politik Malaysia sekarang, kita seolah-olahnya tiada pilihan. Itu hakikat yang tidak dapat dinafikan, dan saya sangat bersetuju dengan Raja Petra akan hal ini. Namun begitu, sebenar-benarnya kita masih ada pilihan ketiga.

Suka benar saya memajukan sarana-sarana al-Attas dalam menjawab permasalahan ini dan menyediakan remedi terhadap penyakit politik yang sedang membarah kini. Ianya soal kita kembali pada locus permasalahan sebenar yang menjadi penyebab mengapa kebejatan begini boleh melanda dan membiak ruak dalam segenap sendi kemasyarakatan zaman kemunduran ini.

Jelas al-Attas, ianya bertitik tolak pada kekeliruan dan kesilapan masyarakat terhadap ilmu pengetahuan itu sendiri, yang akhirnya menjadi sebab musabab terutama kepada permasalahan kehilangan adab dalam masyarakat. Dari kedua-dua permasalahan besar ini, akan melahirkan gerombolan pemimpin-pemimpin palsu dalam segenap ruang kehidupan bermasyarakat termasuklah politik.

Dan, saya suka menambah bahawa pemimpin-pemimpin palsu inilah sebahagian besarnya merupakan syaitan-syaitan yang dimaksudkan pada awal penulisan ini, yang kita tiada pilihan sekarang, terpaksa memilih mereka untuk menjadi peneraju pentadbiran negara. Penyelesaiannya tiada lain, dengan kita kembali kepada asal mula permasalahan ini boleh berlaku iaitu ilmu yang benar.

Dan, inilah pilihan ketiga yang kita masih punya dan ianya adalah pilihan terakhir yang wajib kita usahakan.