Tuesday, August 25, 2015

Keldai Tua UKM

Universiti Kebangsaan Malaysia–namanya gah, diulang sebut sebagai sebuah universiti yang bertaraf premier lantaran umurnya yang hampir menjangkau separuh abad sudah.

Jika dikira umur begini, sudah banyak pengalaman UKM lalui, termasuklah antaranya bagaimana untuk bersikap dengan permasalahan mahasiswanya dan kakitangannya sendiri.

Tulisan ini disiapkan beberapa bulan yang lepas, semasa UKM hangat dilanda isu ketiadaan air sehinggakan cerita mahasiswa hadir ke dewan kuliah dalam keadaan tidak mandi pagi menjadi tajuk utama beberapa portal berita negara.

Jadinya, nada tulisan ini agak beremosi dan saya mengambil keputusan untuk memerap sahaja tulisan ini dari diterbitkan.

Dan hari ini, saya merasakan tulisan ini perlu diterbitkan dan dikongsi dengan pembaca semuanya. Mengapa?

Seminggu lagi, kumpulan mahasiswa baharu Tahun Pertama untuk sesi 2015/2016 akan masuk mendaftar. Dulu, sebelum saya masuk mendaftar UKM, saya diberi peluang mendekati beberapa alumni UKM dan dari mereka saya mendengar pelbagai ragam kisah-kisah seputar kampus yang membawa imej kebangsaan ini.

BACA: Beberapa Pesanan Buat Mahasiswa Tahun Pertama

Dan, dari pengisahan mereka, menjadikan saya berfikir tentang universiti yang akan menjadi tempat perolehan ilmu sepanjang 4 tahun lamanya kelak. Baik dan buruknya, manis dan pahitnya – mereka berkongsi dengan saya. Apa yang mahu saya sampaikan adalah, tidaklah cerita-cerita mereka itu menjadikan saya dungu untuk tidak berfikir lanjut.

Demikian jua halnya, akan tulisan ini kalaulah ada antara rakan-rakan mahasiswa yang bakal mendaftar minggu hadapan membacanya, pesan saya supaya tidak menerimanya bulat-bulat. Baca dan fikir. Timbang dan tapis. Ini cara saya memandang perkara ini, dan itu tidak bermakna semua orang wajib berkongsi cara pandang yang sama.

UKM–kampus ini indah berbukit menghijau. Indahnya itu, tidak bermakna akan senantiasa kampus ini tenang dari permasalahan. Seperti lain-lain institusi atau organisasi, ia juga tidak kontang dari dilanda masalah. Sering saja masalah datang silih berganti seumpamanya tiada pernah mahu berhenti mengacau kedamaian kampus tercinta ini.

Beberapa bulan yang lepas, UKM dilanda musibah–kekontangan air di tangki-tangki utama, yang menyebabkan banyaknya kolej tidak berair dan mahasiswanya pula tidak lagi mampu menikmati nikmat bermandi manda. Musibah ini sebenarnya, bukan baru setahun dua bahkan sudah berlarutan sehingga 10 tahun.

10 tahun. Itu bukan tempoh yang pendek. Kalau benar universiti ini semakin maju pemikiran warganya, terutama mereka di pihak pengurusan, masalah begini sudah lama selesai. Tetapi, jelas sekali, untuk sekian kalinya pengurusan UKM ini tetap bodoh sombong, angkuh untuk menjaga air muka sendiri, malu untuk mengakui realitinya yang UKM ini bermasalah.

Mereka canang dan terus mencanangkan begitu dan begini dalam media-media sosial. Kebajikan mahasiswalah, kebolehpasaranlah, anugerah sana anugerah sini, visi sana misi sini, sayang universiti sana, sayang universiti sini. Tapi akhirnya, nak selesaikan masalah air pun, tak ubah seperti keldai tua, menanti kena pukul di punggung barulah bergerak untuk bekerja.

Mereka boleh canang seribu kali tentang segala perkara, hakikatnya untuk membuatkan mereka angkat punggung betul-betul bekerja menyelesaikan masalah kebajikan mahasiswa secara serius hanyalah apabila ada media-media luar mula masuk campur melaporkan keadaan sebenar. Ketika itu barulah mereka terasa panas telinga, malu, mula marah sana sini dalam Facebook.

Konon-kononnya selama ini mereka sudah penat berusaha untuk menyelesaikan masalah air. Konon-kononnya begitu. Masa itulah, baru wujud “war room”, baru wujud kerja-kerja baik pulih sehingga lewat malam, berderet-deret gambar mesyuarat sana sini atas nama nak selesaikan masalah air.

Alangkah bijaksananya pengurusan begini; padahal kisah yang mereka jaja itu sudah pun lama basi!

Pengurusan begini lagi seronok kalau mahasiswa terus menerus senyap. Mereka akan gembira kalau tiada langsung rungutan dari mahasiswa. Mereka tersenyum lebar bila status Facebook mereka dikomentar dengan nada penuh mengampu. Pengurusan begini mahu setiap perkara yang mereka laksanakan diberi pujian melambung-lambung oleh mahasiswa.

Jika ada mahasiswa merungut, mulalah diberi kategori itu dan ini. Sekarang, sudah wujud kategori alumni sayang UKM dan alumni benci UKM. Pendidik apa mempunyai taraf pemikiran sebegini singkat dan jelik? Buat malu golongan pendidik sahaja jika perangai begini tidak dihapuskan dan terus dibenarkan membiak.

Mereka ini, tidak kisahlah pengetua kolej kediaman atau Timbalan Naib Canselor, jawatan itu tidak memberi jaminan bahawa akal mereka sematang dan sehebat jawatan yang disandang. Banyak kali, mereka yang menjawat jawatan tinggi sebeginilah yang berperangai teruk lebih dari budak-budak yang mengamuk mahukan perhatian.

Isu ketiadaan air di UKM ini jelas melondehkan wajah sebenar pengurusan UKM yang sembangnya menggegar bumi, tapi hasilnya seperti asap debu yang lenyap hilang ditiup angin. Pengurusan begini lebih gemar bergaduh dengan mahasiswa dari bekerja untuk selesaikan masalah. Mereka mahu mahasiswa mengakui yang mereka ini tidak pernah berbuat salah, tidak pernah leka dengan masalah kebajikan.

Ada juga pihak yang mula kempen berjimat. Ya, bagus kempen berjimat air dan elektrik itu. Tidak salah pun nak buat apa-apa kempen ke arah kebaikan. Tapi yang salahnya, apabila kempen itu dibuat bertujuan untuk menutup realiti sebenar dan menutup ruang-ruang persoalan. Perangai begini, tidak ubah seperti perangai pak menteri.

Bila harga ayam naik, mereka minta rakyat tidak membeli ayam. Bila harga gula naik, mereka minta rakyat kurangkan pengambilan gula. Bila harga minyak naik, mereka minta rakyat menunggang motosikal berbanding kereta. Mereka melapikkan cadangan itu dengan justifikasi yang bunyinya cukup muluk-muluk belaka.

Padahal, mereka nak kalih isu. Mereka nak rakyat senyap, tak usah persoalkan setiap keputusan yang dibuat. Mereka senang bila rakyat akur dengan segala permainan yang diatur. Mereka gemar bila rakyat mengangguk setuju setiap cadangan mereka entah berentah tanpa banyak soal. Dan dengan itu, segala isu dan persoalan sebenar tidak lagi menjadi tumpuan.

Demikianlah juga dalam isu air di UKM. Ada pihak nak buat kempen dan program wuduk menggunakan air botol 500ml di tengah-tengah kemelut mahasiswa datang ke kelas tidak mandi. Bunyinya cukup bagus cadangan itu. Tapi, kalau dibuat kempen itu pun, masalah sebenar tidak akan selesai. Berjayalah sekejap pengurusan untuk alihkan isu.

Beberapa bulan mendatang, masalah air ini akan berulang lagi. Dan sekali lagi, mereka akan beralasan sana sini, berkempen sana sini tentang jimatkan air, sedangkan persoalan utama masih tidak terjawab. Ini drama biasa yang berlaku. Dan kesannya, ambilan mahasiswa sesi akan datang UKM pun akan turut merasa sengsara ini.

Dan, bila isu semakin panas, ada pula kempen supaya bersabar dan bersyukur. Puak ini, zikir mereka dalam Facebook adalah tentang bersyukur kerana masih dapat belajar di universiti dengan aman dan bersabar dengan masalah air, bahawa dulunya mereka juga bersusah begitu, kerana pada mereka, pihak pengurusan sedang bekerja keras untuk menyelesaikan masalah.

Untuk kedua-dua golongan ini, satu yang berkempen tak kena masa dan satu yang bersabar membuta tuli, kewujudan mereka dan komen-komen mereka di laman sosial tidak membuatkan pengurusan UKM bangkit dari lena. Malah, pengurusan UKM akan tersenyum puas jika semua mahasiswa UKM mempunyai sikap begini.

Kalau boleh, mereka mahu puak-puak yang kuat berkempen dan kuat bersabar inilah menjadi contoh ikutan kepada seluruh mahasiswa yang lain. Sebab itu, bila ada gerakan seperti MaTA, mereka ini akan panas punggung, bahawa kumpulan begini tidak reti bersyukur dan hanya tahu nak membantah.

Hakikat yang tidak dapat disangkal, tanpa adanya sekelompok mahasiswa seumpama MaTA ini, agak-agaknya sehingga sekarang adakah isu ketiadaan air di UKM akan mendapat perhatian penuh dari pihak pengurusan dan wujudnya kerja-kerja membaik pulih seperti yang disebarluaskan dalam media-media sosial?

Kita yang ada akal yang sihat boleh melihat, menilai dan berfikir tentang perkara ini. Jika tiada media yang “malukan” UKM–meminjam kata-kata si pengetua hebat–akan wujudkan kerja-kerja membaik pulih yang serancak seperti sekarang? Dan tentu selepas ini, kita menanti-nantikan siapakah yang akan mendapat kredit besar dalam isu ini, pada akhirnya.

Sebenarnya, kemelut begini jauh lebih mudah untuk diselesaikan jika pihak pengurusan universiti bertatih belajar untuk merendah diri, tidak malu untuk mengaku silap, tidak bodoh sombong, sedia mendengar dan menerima cadangan mahasiswa serta tidak betah pada kritikan. Mudahnya, jangan jadi keldai tua.

Persoalannya, mengapa begitu susah untuk menunduk malu mengaku kesilapan dalam hal menguruskan kemelut ini, selain terus menerus mencari salah pada pihak mahasiswa? Moga tuhan menyelamatkan universiti ini dari terus diterajui oleh golongan pendidik yang bodoh sombong, berlagak wali dan bebal.

KEMASKINI: 13 orang mahasiswa yang terlibat dalam Forum Kebajikan: Masalah Air dan WiFi Sampai Bila? anjuran PMUKM dan MaTA di Pusanika pada 25 Mac 2015 telah dikenakan amaran dengan surat tunjuk sebab dari Pejabat Timbalan Naib Canselor UKM, dihadapkan ke mahkamah universiti dan dijatuhkan hukuman amaran dan didenda dengan jumlah bayaran tertentu.

KEMASKINI: Bahawasanya, di universiti ini bertanya itu menjadi suatu kesalahan. Bersuara itu menjadi hal yang taboo. Bersolidariti dan berpartisipasi adalah kerja politik yang serba haram. Dan demikianlah, universiti ini membina imej, sikap dan kredibilitinya. Dan jadinya kita kekeliruan, kalaulah bertanya itu salah, maka apa sebabnya kita belajar?

KEMASKINI: Betapa pun tulisan ini memetik ungkapan pendidik untuk memberi gelar pada beberapa pembuat onar dalam kampus ini, ianya tidaklah memberi makna bahawa itu gelar secara pukul rata atau cuba membuat generalisasi gampang. Tidak. Universiti ini tidak putus dengan para pendidik yang berdedikasi, kasih pada mahasiswanya, faham akan amanah asasinya.

Cuma segelintir sahaja yang membuat onar, yang merasa bahawa mereka adalah tuan kepada kampus yang mulia ini, yang memperalatkan universiti demi kepentingan sempit mereka. Dan sesungguhnya, mereka ini adalah puak yang wajib kita usir dari terus membiak di bumi perbukitan ilmu yang tercinta ini.