Monday, August 17, 2015

Golf dan Kemanusiaan

Setiap kali melalui jalan hadapan UKM, pastinya setiap pengguna jalan raya itu akan perasan pada deretan kereta yang memenuhi ruang parkir Pusat Golf UKM, tempat mereka yang berduit melakukan pukulan bola ke lapang sasar sepanjangan jalan utama itu menuju ke Stesen Komuter UKM. Biasanya semakin petang ke malam, pengunjungnya bertambah ramai.

Jika diperhatikan lagi, akan kelihatan juga di tengah-tengah padang sasar yang menghijau itu, kelihatan beberapa orang pekerja warga Bangladesh berpayung sambil mengutip bola-bola golf yang melayang dipukul oleh mereka-mereka yang berduit tadi. Malang sekali, alasan mengapa mereka berpayung bukanlah disebabkan hujan, tetapi untuk mengelak dihentam bola golf yang dipukul di hujung padang.

Panorama begini, berlakunya di sebuah padang golf milik sebuah universiti. Mengapa ditekankan universiti? Hakikat universiti itu lahir adalah menjadi pemula kepada lahirnya rasa kemanusiaan, rendah diri hasil perolehan hikmah dan kebijaksanaan, tempat berbuahnya segala cabang ilmu pengetahuan dan segenap segi hal yang bersangkutan perihal peradaban.

Dan di universiti ini jugalah, telah berlakunya pencabulan secara terang-terangan terhadap maruah dan harga diri manusia yang lainnya, yang satu golongan mereka itu adalah sekumpulan masyarakat middle-class bertembung dengan segolongan yang tidak punya apa-apa, golongan yang kais pagi makan pagi, dan kais petang makan petangnya.

Terdapat dua hal yang boleh dipersoalkan; pertama, kepada pemukul bola golf tersebut, apakah mereka tidak tergores barang sedikit rasa perikemanusiaan pada manusia-manusia yang berpayungan terbongkok-bongkok mengutip bebola golf di tengah panas terik, lantas mereka terus galak mengayun kayu golf mereka ke padang sasar?

Kedua, kepada majikan pekerja-pekerja yang mengutip bebola golf tersebut, apakah kamu tidak punya akal untuk menetapkan waktu yang sesuai biar membolehkan pekerja kamu menjalankan tugasnya mengutip bebola itu tanpa perlu mengorbankan harga diri mereka, seolah-olahnya mahu memberitahu pada dunia seluruhnya bahawa mereka ini manusia kelas bawahan?

Kepada orang-orang berduit yang galak mengayun kayu golf tika pekerja-pekerja Bangladesh itu seumpama hamba mengutip bebola yang kamu pukul, kamu sendiri tidak ubah seumpama bangkai bernyawa – tidak punya rasa kemanusiaan dan langsung tiada nilai untuk hidup selaku manusia. Malulah, kerana kamu tidak sedar yang seantero langit mengutuk perbuatan menghina begitu.

Tentu sekali bermain golf itu tidak salah. Apa yang amat salah di sini adalah, sedang kamu mengayun kayu-kayu golf itu, dan sedang kamu ghairah bertanding siapa boleh memukul bola paling jauh, sedar atau tidak di padang sasar itu bertebaran manusia sedang mengutip bebola golf sambil kebimbangan kalau-kalau bola yang dipukul itu terus menghentam mereka.

Kamu tidak merasa geli atau jijik pada perbuatan sebegitu rupa? Kamu ini manusia atau apa sebenarnya?