Saturday, August 29, 2015

Bersih 4

Untuk edisi kali ini, saya tidak berpeluang untuk turut sama menyertai himpunan rakyat di kota Kuala Lumpur, Bersih 4. Hari ini saya ke Ipoh, sementelah rakan baik saya mengadakan kenduri walimahnya pada tarikh yang bersetentang dengan tarikh Bersih 4. Untungnya, kali ini Bersih berjalan selama 2 hari, maka 30 Ogos masih lagi berpeluang untuk turut sama.

Perihal Bersih, ada beberapa perkara yang berbangkit. Pertamanya, sikap kita pada perhimpunan aman tersebut. Kita boleh bersetuju dan juga boleh tidak bersetuju dengan perhimpunan Bersih. Menafikan mana-mana hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju, terang-terangan bersalahan dengan nilai demokrasi.

Kita amat perlu memahami hal ini. Kadang kala dalam keghairahan kita menyokong Bersih 4, kita terlajak dengan menghina, mengherdik dan merendah-rendahkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan Bersih. Pada kita, mereka ini bodoh, tidak sedar diri ditipu saban siang dan malam. Mereka tidak sayangkan negara dan bermacam lagi.

Kata nista begini bukan lambang kamu seorang yang berjiwa demokrat. Berjiwa besarlah. Bukan semua akan punya spektrum kefahaman dan nilai kepercayaan yang sama. Dan bukan semua akan berkongsi sentimen yang sama dengan kamu, sebenar-benarnya. Biarkanlah perbezaan begitu harmoni hendaknya, bukan sebaliknya.

Demikian jua halnya kalau kamu berada di pihak yang tidak bersetuju, janganlah mereka cerita yang tidak benar sesedap hati perut kamu sendiri. Perhimpunan maksiatlah, merosakkan ekonomilah, menggalakkan LGBT-lah, lebih baik turun solat jemaahlah, dan berbagai lagi. Ini pun antara sikap yang kurang cerdik dan pendek akal.

Keduanya, pada saya, Bersih 4 ini adalah penting. Penting pada objektif untuk menyampaikan signal kepada Najib Razak dan gerombolannya. Bukan sekadar penting, bahkan Bersih 4 adalah penentu kepada corak politik Malaysia yang akan datang. Baik, mungkin bunyinya agak utopia. Bagi peluang pada saya untuk terangkan kenyataan di atas.

Edisi kali ini, PAS mengambil langkah untuk tidak bersama-sama Bersih 4. Sebelum ini, antara faktor ramainya peserta Bersih adalah kerahan PAS terhadap ahlinya untuk menyertai perhimpunan tersebut. Jadinya, komposisi kamu yang teramai adalah Melayu dan ini tidak pelik kerana rata-rata ahli PAS adalah dari komposisi Melayu.

Apabila Bersih 4 tidak lagi mempunyai sokongan langsung dari PAS, kemungkinan besar (andaian semata-mata) jumlah kehadiran ahli PAS akan merosot, sekaligus menjejaskan komposisi kaum teramai yang menyertai himpunan tersebut. Boleh jadi juga, kali ini kaum dominan adalah Cina berbanding Melayu.

Mengapa dikatakan Bersih 4 menjadi penentu corak politik negara masa hadapan? Baik, kalaulah situasi yang diandaikan di atas berlaku, yakni protes PAS benar-benar terjadi dan ahli PAS memboikot Bersih 4, makanya secara tidak langsung kita boleh mengatakan bahawa sokongan Melayu terhadap PAS masih belum berkurangan.

Beberapa andaian boleh dibuat mengenai sokongan Melayu terhadap parti Islam itu mutakhir ini, terutamanya pasca muktamarnya yang menyaksikan PAS berpecah dua dan parti baru dari sisi profesional dikatakan makin menuju realiti menjelang sambutan kemerdekaan nanti. Kita boleh menilai sokongan Melayu terhadap parti baru ini melalui Bersih 4.

Bagaimana? Kalaulah komposisi Melayu masih dominan, jelas terbukti bahawa pengaruh PAS makin meleset. Tanpa sokongan dan kerahan ahli-ahli PAS, ternyata Bersih 4 masih lagi disertai ramai Melayu, sekaligus menafikan teori sebelum ini bahawa Melayu ramai menyertai Bersih kerana faktor dokongan PAS dan kerahan ahlinya.

Jika situasi kedua ini berlaku, jawabnya kita boleh menelah bahawa untuk pilihan raya akan datang, PAS tidak boleh bergantung harap pada Melayu lagi semata-mata. Kelihatan Melayu benar-benar putus harapan pada PAS. Dan sisi lainnya, kita boleh mengatakan bahawa Gerakan Harapan Baru (GHB) mempunyai peluang politik yang cukup lumayan.

Ianya akan membenarkan teori yang sedang bermain sekarang, bahawa Melayu sedang keliru pada parti politik mana mereka mahu letakkan harapan sementelah dikecewakan oleh UMNO dan dikhianati oleh PAS. Hadirnya GHB seakan memberi udara segar untuk terus bernafas. Apakah teori ini kelak akan absah pada Bersih 4? Kita tunggu.

Ketiga, tentang akal. Tuhan anugerahkan akal supaya kita berfikir. Jangan bazirkan nikmat itu sama sekali. Jika kamu menyokong dan akan menyertai Bersih, biar jelas tujuan kamu. Fahami konteks dan jelas tujuannya. Jangan sertai Bersih kerana terikut-ikut pada pandangan orang lain atau dipengaruhi sentimen politik dan kebencian semata-mata.

Tanya – ini kata kuncinya. Tanya akal kamu, yang kamu memilih untuk menyokong ini kerana apa, dan kalau kamu memilih untuk tidak menyokong pun, tanya mengapa begitu pilihannya. Pada akhirnya, maksud kamu itu mahu dituju kepada apa sebenarnya. Tanya, apakah kita faham apa yang sedang diperjuangkan itu, ataupun tidak.

Tanya lagi, apa sebenarnya yang mahu kita capai dari apa yang kita perjuangkan itu. Jangan berhenti bertanya. Kalau semata-mata kita menyertai Bersih kerana 1MDB, ianya tidak berbaloi. Kalaupun penyangak 1MDB tersungkur sekalipun, apakah kita boleh jamin bahawa tidak akan berulang lagi tragedi penyelewengan sebegitu lagi?

Makanya, tanyalah apa sebenarnya niat kita ke sana dan apakah kita benar-benar faham yang disebut perjuangan menuntut keadilan itu. Apakah yang mahu kita capai kelak itu kebaikan atau kebenaran. Tanya soalan ini pada akal kita. Apakah dapatan dari semua tindakan-tindakan ini – sekadar berhimpun dan pulang atau apa sebenarnya?

Jangan sesekali menjadi pandir seumpama lembu dicucuk hidung. Kita ada harga diri dan maruah, lindungi ia dari senang-senang dibolak-balikkan, disenjah ditarik oleh politikus. Baik belah UMNO mahupun Pakatan, biar jelas perkara ini. Kalaulah ke Bersih 4 hanya kerana ikut-ikut kawan, lupakanlah niat itu. Langsung tidak berbaloi.

Ikutilah kemahuan akal kendiri, yakni kemahuan yang dipandu dengan kefahaman bukan ketaksuban dan kebencian. Jika kita benar yakin bahawa Bersih 4 adalah kemestian dan satu tanggungjawab yang di akhirnya ada tujuan yang jelas, maka teruskanlah niat itu. Sesungguhnya, mengelak dari menjadi pandir juga satu perjuangan.

Akhirnya, saya secara peribadinya menyokong Bersih 4. Saya berkempen supaya rakan-rakan juga menyokong perhimpunan ini, tetapi dengan syarat gunakan akal bukan lutut. Moga perhimpunan Bersih 4 esok dan lusa akan mencapai objektifnya. Lagipun, tentulah tuntutan Bersih 4 itu wajib di dokong oleh semua rakyat yang merdeka bukan?