Friday, August 28, 2015

6 Tahun Time To Change

Untuk sekian kalinya saya gagal (terlupa sebenarnya) untuk menulis artikel sempena ulang tahun blog kecil ini, yang sudah pun genap 6 tahun umurnya, berlegar-legar dalam dunia atas talian yang infiniti cakupan dan capaiannya.

Jadinya, tulisan ini tiada lain tujuan selain untuk mengimbau 6 tahun menulis di +Time To Change.

Kata beberapa orang rakan-rakan yang mengikuti blog kecil ini, bahawa mereka juga kalau boleh mahu menulis seperti saya.

Kata mereka, kalau diberi bakat menulis tentunya mereka juga akan menulis sama. Balas saya, kalaulah saya berbakat menulis, saya tidak berada di sini hari ini. Nama saya sudah berada sebaris dengan J.K. Rowling.

Itulah baru dinamakan bakat. Kalau macam begini, bukan bakat namanya. Saya mampu menulis begini kerana ‘kerja’ saya hampir setiap hari adalah membaca, berfikir dan menulis.

Setiap hari berbuat hal yang sama, mungkin akhirnya tuhan mempermudah bagi saya untuk berbuat perkara yang orang lain merasa sukar untuk berbuat sama.

6 tahun +Time To Change – bermula dari domain yang awal (ata-timetochange) yang duduk menumpang free-hosting Blogspot, kemudiannya berpindah ke self-hosting Wordpress (tajuddinabdullah.com), dan kemudiannya berdikit mula merasa bosan dengan permintaan server yang makin mahal akibat jumlah pembaca yang makin meningkat.

Juga selain faktor kewangan untuk menampung kos server, adalah faktor kepuasan menulis yang makin pudar ketika menguruskan self-hosting domain.

Semakin lama berada dalam dunia self-hosting Wordpress, apa yang saya perasan adalah keghairahan saban waktu pada reka bentuk dan paparan luaran blog, bukan pengisiannya.

Menulis makin kurang, saban hari apabila log masuk ke akaun blog, kerja yang dibuat adalah mengemaskinikan segala plugin dan mencari-cari kemaskini terbaru pada paparan tema dan perkara seangkatannya. Akhirnya, kerja hakiki sebuah blog tidak berjalan.

Saya merasa terbeban dengan keghairahan begini.

Setahun yang lepas, saya mengambil keputusan untuk kembali ke platform percuma kendalian Google ini. Ternyata nikmat menulis lebih terasa di sini.

Setahun berlalu, saya cuba revamp segalanya tentang blog ini terutamanya aturan Search Engine Optimization (SEO) untuk memperbaiki capaian di Search Engine Results Page (SERP).

Dalam tempoh setahun, rentak penulisan semakin baik dan idea untuk menulis, alhamdulillah saban hari tidak pernah kering. Setahun ini, saya bela

jar banyak perkara tentang dunia blog walaupun sudah bertahun blog ini wujud dalam dunia Internet. Jika mengikuti perkembangan Google, boleh dikatakan algorithms bagi carian Google makin hari makin kompleks.

Apa yang saya belajar adalah, untuk sesebuah blog atau laman sesawang terus kekal relevan dalam carian Google, perlunya ada kerja penambahbaikan pada SEO secara konsisten.

Ada orang bertanya, mengapa begitu pentingkan SEO?

Jawabnya, hanya melalui SEO sahaja para pelayar Internet akan menemui blog kita dalam carian mereka.

Tetapi, 6 tahun menulis bukan hanya untuk belajar hal-hal bersifat teknikal begitu. Jujurnya lebih dari itu.

Pertamanya, apa yang ditulis itulah menjadi cerminan kepada diri saya sendiri. Soal prinsip, sikap dan personaliti, saya yakin tulisan-tulisan di sini menggambarkan semua itu. Mungkinlah tidak semuanya tepat belaka, tetapi saya tidak menolak sepenuhnya.

Perkara yang sering saya ingatkan diri sendiri adalah hubung kait soal penulisan dan usia. Jika sesiapa yang mengikuti blog ini dari awal, mereka akan perasan betapa gaya persembahan dan corak penulisan saya semakin berbeza sepanjangan 6 tahun ini.

Saya yakin, faktor paling mempengaruhi penulisan adalah pembacaan saya hari demi hari.

Jadinya, segala yang ditulis beberapa tahun yang lepas, sama sekali tidak boleh dijadikan sandaran untuk menilai prinsip dan pandangan saya sekarang dalam beberapa isu terutamanya politik.

Tapi, itulah sakitnya di sini apabila ramai pembaca membuat penilaian yang rapuh dengan bersandarkan pada tulisan-tulisan yang lama.

Walau bagaimanapun, segala yang disebut di atas adalah manis pahitnya selama 6 tahun blog ini yang begitu berharga. Saya belajar banyak perkara.

Dan saya yakin, segala yang ditumpahkan di sini akan membuahkan hasilnya kelak untuk diri sendiri terutamanya. Walau bagaimanapun, saya sedar yang saya kena belajar banyak perkara lagi.

Saya sering kali mengimpikan – walaupun sudah berkali-kali saya tuliskan perkara ini, dan saya mahu sebutkan sekali lagi, bahawa menjadi penulis sepenuh masa dan pengembara adalah impian yang tidak kunjung padam.

Jadinya, +Time To Change adalah langkah awal kepada proses memanifestasikan impian tersebut.

Moga +Time To Change kekal utuh untuk tahun-tahun mendatang. Moga ianya juga, semakin memberi manfaat kepada sekalian pembaca yang singgah di sini.

Akhirnya, untuk 6 tahun yang sudah berlalu, buat semua pembaca blog kecil ini, hanya satu kata: TERIMA KASIH.