Monday, July 13, 2015

Setahun Berlalu

Melintasi pintu gerbang yang menjadi pemisah sempadan antara Terengganu dan Pahang di lebuh utama dua negeri Pantai Timur itu, setelah setahun berlalu untuk balik beraya di kampung, ternyata benar tidak banyak ketara berubah berbanding setahun yang lepas. Cuma kelihatan jalan-jalan antara Kuantan dan Kemaman semakin merah cerlung akibat ulang alik lori berat mengangkut bauksit.

Di pekan kecil Chukai pun sama. Masih begitu. Deretan kedai-kedainya, susun atur hiasan bandarnya. Kalaupun ada yang berubah, mungkinlah pada penambahan sedikit struktur binaan baru berupa jambatan pendek yang melintang terusan sempit berdepan dengan Surau Tuan Haji Abdul Rahman Limbong. Surau itu, kelihatan wajah fiziknya makin musnah. Entahlah.

Jauh sedikit keluar dari keserabutan pekan kecil itu menghala ke Kijal, ternyata setelah setahun akhirnya jambatan bertingkat-tingkat hasil idea Mat Said yang melintasi Sungai Cukai sudah siap, tersergam keras. Khabarnya, sudah berkali-kali kemalangan maut berlaku di atas sana, termasuklah kereta terjun jambatan dan manusia terjun membunuh diri ke dalam sungai.

Kemaman masih dian begitu. Tidaklah sesunyi desa, pun begitu, tidaklah juga sebising bandar-bandar besar. Dalam membatu begitu, daerah itu semakin mahal. Makanannya jika berbanding harga di Kuala Lumpur, jauh lebih baik kota raya itu. Demikian juga khabarnya nilaian hartanah di sini semakin mahal berganda-ganda, berbanding daerah jirannya, Dungun.

Semua itu, disebabkan operasi industri petroleum. Juga perkapalan dan beberapa industri berat lagi sekitar kawasan pelabuhan Kemaman mengunjur ke Paka. Semua itu, menjadi faktor pemberat kepada para pengusaha restoran dan juga pemaju perumahan untuk mengambil kesempatan dan mengaut untung semaksimum mungkin. Pada mereka, orang Kemaman kaya-kaya semuanya.

Di kampung-kampung sekitar, masih jua begitu. Tidak banyak yang punya perubahan ketara selain dari banyak tanah-tanah kosong atau yang dulunya hanya semak samun kini sudah terang disodok jentolak, diratakan untuk pembinaan deretan rumah-rumah kediaman baharu. Telah saya, mungkin faktor ekonomi yang memudahkan dan peningkatan permintaan dari pasaran.

Pekan ini, jika mahu dibuat unjuran 10 tahun mendatang, tidak sukar untuk menerobos sejauh itu. Chukai akan terus berkembang. Cuma kadar perkembangannya itu tidaklah secepat bandar-bandar besar lainnya. Paling tidak, 10 tahun lagi deretan rumah-rumah kedai buruk di tepian jalan menghadap simpang utama Chukai itu mungkin sudah tiada sedikit masa nanti.

Juga lain-lain bangunan lama, akan turut menerima nasib yang sama. Jika tidak berganti dengan deretan rumah kedai baharu, besar kemungkinan akan bertapaknya bangunan pencakar untuk kompleks perhotelan, pusat beli belah bertingkat dan apartmen kelas pertengahan. Semua itu tidaklah mustahil, selagi Chukai masih kekal dengan gelaran bandarnya.

Melihat semua ini, kita boleh terus bercakap seharian soal berubah itu dan ini, soal pembangunan dan sebagainya. Jeliknya, kita sering kali alpa, dalam pada ghairahnya menuju ke arah itu, sudah puluhan hektar hutan bakau di persisiran Sungai Cukai dan Sungai Kemaman menjadi mangsa, makin berkabutnya udara pekan kecil itu yang sepatutnya segar dengan bau payau muara sungai.

Jika adapun yang berubah dengan ketara setelah setahun ini, adalah betapa hodohnya pemandangan sekitar Taman Bakau Tinggi akibat jambatan batu yang berlingkaran sekitarnya. Dan juga betapa makin gondolnya bakau yang bening menghiasi sepanjangan jalan dari Bukit Kuang menghala ke Kijal. Yang tinggal kini, premis industri berat yang meracik angkuh sepanjangan jalan.

Demikianlah halnya, selampir pemerhatian ringkas sementelah berlalunya setahun bermula sambutan lebaran setahun yang lepas, sehingga hari ini, ketika menjejak kaki pulang ke kampung tika bas ekspres menelusur perlahan memasuki kawasan perhentian terakhir di Stesen Geliga, tenang bersekali mengajak fikiran menggamit ingatan-ingatan yang dulu-dulunya.

Begitulah, jua pada diri sendiri, setiap kali bersambutnya lebaran, akan direnung segala perubahan yang melingkar sepanjangan tahun-tahun sudah. Pada pemikiran, pada cara memandang, pada fiziknya, pada cara berfikir dan menanggapi sesuatu. Jika di luar sana, bandar kecil itu makin berubah dan berkembang, sewajarnya, diri sendiri juga wajib begitu.