Saturday, July 25, 2015

Kunang Pesisir Morten

Tulisan Kak Raiha Bahaudin membuatkan saya melekat dengan buku ini sepanjangan hari raya ketiga, sehinggakan beberapa kali disiku abang kerana tidak betah untuk berenggang dengannya walaupun tika itu sibuk melawat rumah saudara ke sana ke mari. Saya fikir, orang lain melekat dengan telefon pintar mereka, maka biarkan aku melekat dengan buku serba cinta ini.

Mengapa disebutkan cinta?

“Apa di belakang kau tu, Adi?” Lim sudah tidak sabar.
Aku mengeluarkannya. Tabung ayam seramik itu walaupun hodoh amat telah menyimpan keringat lelahku berbulan-bulan. Simpanan upah menolong ibuku menjual kuih seharian. Dhiya dan Lim dalam terkejut melihat dengan menahan nafas terkedu. Tanpa fikir panjang, aku menghempaskan tabung daif ke lantai dan memuntahkan segala siling berkeping-keping termasuk duit kertas merah, hijau dan biru. Bukankah Tuhan itu Maha Penyayang?
Dan aku melihat mata Dhiya bening merembeskan air mata. Dalam esaknya itu Dhiya mengucapkannya dengan lurus dan luhur,
“Aku sayang kau, Adi!”

Kawan, bukankah itu namanya cinta? Kau bersama dengan aku bukan?

Kak Raiha mencoret pesan ringkas tika saya membelikan buku ini, katanya, “Berjuang! Atas semangat anak-anak dalam diri kita.”

Benar, Kak. Amat benar sekali pesan itu. Bukan hanya pada coretan autograf itu sahaja, bahkan sepanjangan buku itu penuh dengan pesan-pesan yang cukup memanusiakan, yang cukup jelira untuk meruntun hati sesiapa yang membacanya.

Inilah antara karya yang tidak perlukan segala bahasa tinggi melangit untuk memberi rasa sedar pada masyarakat. Cukup dengan tersusunnya puitis nuansa yang bersahaja, bersalut daya faham yang tinggi pada segi-segi budaya, adat dan kepercayaan sepanjang penceritaan dengan siratan-siratan mesej yang ampuh, padu dan begitu mampir dengan segenap nilai kemanusiaan.

“Tak boleh Dhiya. Ini duit kau. Untuk beli warna Rowney!”
“Betul. Ni duit aku. Dan aku pilih untuk bagi kau.” Dhiya meletakkan wang itu semula ke tangan Lim.
Dan saranan Dhiya disambut esakan Lim. Hari ini giliran Lim mengucapkannya dengan kasih sayang lurus seorang sahabat;
“Aku sayang kau Dhiya!”

Apa semua ini kawan, kalau bukan namanya cinta?

Membaca buku ini sambil menahan kelopak air mata dari berguguran ternyata sukar. Ngilu. Sesiapa yang pernah melalui zaman keanak-anakan begitu, dengan sekitarnya yang jauh sekali mengenal kemewahan jelata yang genap dengan segala rasa selesa, yang masa kecil mereka berselerak dengan lumpur dan selut, akan merasa cukup dekat dengan Dhiya, Lim dan Adi.

Kakak sulung saya bertanya, buku ini bercerita tentang apa. Saya termangu sebentar, kerana terlalu banyak yang mahu diperkatakan tentangnya. Tapi saya memilih untuk memberitahunya, “Ini kisah tentang kita. Darihal kita dulu dan impian-impian kita dengan kaki membusuk dibaluti selut mengeras berkepingan. Ini kita yang dulunya... masih ingat lagikah?”