Sunday, July 26, 2015

Impian Muzik di Malaysia

Tahun pertama bergelar mahasiswa di UKM, saya tinggal sebilik dengan seorang rakan dari Kelantan yang terlibat aktif dalam sebuah band muzik. Daripada beliaulah, saya mengenal dunia muzik dengan lebih dekat.

Kalau sebelum ini cuma tahu genre muzik dan beberapa nama alatannya, tinggal sebilik dengannya membolehkan saya merasa petikan jari sendiri pada tali gitar miliknya.

Daripada dia juga, saya berkenalan dengan dunia muzik bawah tanah.

Perihal wujudnya band muzik bawah tanah, yang bergerak sendiri, dengan tiada campur tangan produksi besar, atau penerbit popular.

Mereka merancang acara-acara muzik antara mereka, mengadakan pertandingan-pertandingan yang tidak ditaja oleh mana-mana penaja korporat lainnya.

Berkenalan itu membawa maksud, saya belajar akan kewujudan mereka.

Saya maklum bahawa selain dari penyanyi-penyanyi yang kebiasaan muncul di kaca televisyen, rupanya masih ada lagi penyanyi-penyanyi lain yang tidak pernah memasuki mana-mana rancangan TV tetapi cukup berbakat malah sudah mempunyai rakaman album sendiri!

Makanya, saya mendapat tahu, selain dari dunia muzik yang komersial begini, yang saban waktu pergelutan mereka hanyalah untung dan populariti, masih adalah lagi jalur muzik yang lain, yang berada di bawah tanah, yang memang cukup berbakat, bergerak sama pada jalan yang sama iaitu seni muzik.

Dan rata-rata mereka adalah dari kalangan anak-anak sekolah menengah lagi.

Sehingga ke petang semalam, saya bertemu dengan seorang remaja Tingkatan 5.

Ketika berbual dengannya perihal hala tujunya selepas SPM dan impian-impiannya, dia dengan terujanya bercerita tentang minatnya terhadap muzik. Bersinar matanya bila bercerita perihal impiannya mahu menjadi pemuzik berjaya (katanya mahu menjadi kaya!).

Saya tersenyum.

Kerana ini bukan kali pertama saya bertemu dengan manusia yang benar-benar mendalam minatnya terhadap muzik.

Dia bercerita perihal band muziknya yang pertama, yang kemudiannya berpecah akibat tidak sehaluan antara ahli band. Kemudian kini dia membentuk band yang baru. Katanya, band ini jauh lebih berwawasan dari yang dulunya.

Seperti teman sebilik saya yang dulunya itu, remaja ini juga terlibat dalam jalur muzik bawah tanah. Genre muzik pilihan mereka lebih kepada muzik alternatif – hard rock, indie, punk.

Tersenyum saya melihat dia begitu teruja bercerita perihal minat itu. Ini bukan calang-calang minat. Ini impian yang sedang menganyam. Jika dipandu dengan betul, kelak nama mereka meniti di bibir peminat.

Malang sekali, dia tidak canggung membentak rasa kecewanya.

Dia kecewa kerana minat dia itu, tidak mempunyai harga di mata masyarakat Malaysia. Kata dia, bermain muzik di Malaysia hanya boleh buat kita makan pasir.

Saya bersetuju dalam tidak bersetuju dengan luahan kecewanya itu. Tidaklah dinafikan, mereka berdarah remaja, makanya rasa kecewa begitu tidaklah menghairankan.

Luahnya lagi, kalau mahu memilih untuk ke kampus yang menawarkan kursus muzik, sebagai contoh program Foundation di International College of Music, dia terpaksa membayar dengan sejumlah kos yang tidak tertanggung olehnya untuk 3 semester.

Walaupun program itu amat bagus, termasuklah menawarkan lanjutan pengajian ke luar negara, namun faktor kewangan menjadi batu penghalang terbesar.

Dan, banyak lagi luahan-luahan kecewanya terhadap senario dan sekitaran muzik di Malaysia.

Untuk menghidupkan impian muzik mereka itu, ianya tidak semudah memetik gitar di tangan.

Itu belum lagi dibicarakan perihal tanggapan masyarakat terhadap jalur muzik bawakan mereka, imej dan lagu-lagu gubahan mereka. Semua itu menjadikan impian muzik mereka malap.

Petangnya itu, kami berpisah.

Lambaian terakhir itu bersekali dengan harapan, akan bertemu kelak saya dengan remaja itu lagi dan berbual lagi perihal impian-impian muzik dia itu.

Doa saya untuk dia, agar muzik itu ditekuni bukan hanya pada impian untuk menjolok daki-daki populariti, tetapi untuk menghormati seni, mengangkatnya di tempatnya yang patut.

Teringat pada kata-kata Allahyarham P. Ramlee, bahawa, “Kita adalah hamba kepada seni, bukannya menjadi tuan kepada seni.”