Wednesday, June 17, 2015

Tentang Pakatan Rakyat dan Konsensus Politik Baru

Perangai aneh yang ditunjuki Pakatan Rakyat lewat setahun ini, adalah tanda-tanda besar betapa ianya sedang nazak menunggu ajal. Akhirnya, hari ini ajal itu tiba jua. Paling tidak terbubarnya Pakatan setelah sekian lama bermain tarik tali dan berpolemik yang tidak berkesudahan, boleh menyelamatkan banyak perkara terutamanya tenaga dari terus terperangkap bermain polemik.

Untuk sentimen ini, tentu sekali saya sangat bersetuju dengan nada dan keputusan tegas DAP. Jika mana-mana parti politik hanya gemarkan polemik yang tidak berkesudahan, dan akhirnya soal-soal yang lagi penting terperonyok sepi, tiada gunanya lagi mandat yang sudah kita berikan pada mereka untuk terus membawa suara-suara rakyat ke tempat yang sepatutnya.

Memang keputusan begini menjadikan kita merasa bingung, pada sebenarnya Malaysia dan politiknya ini mahu ke mana harusnya, dan bagaimana sepatutnya ianya berwajah untuk benar-benar menjadi sebuah kesepakatan atau muafakat politik yang ampuh demi menterjemah cita-cita perubahan yang sudah sekian lama dipendam dan menjadi hasrat ramai rakyat terbawah.

Pengakhiran begini, juga suatu bentuk pengkhianatan pada sebuah amanah dan kepercayaan. Walaupun saya merasa perpisahan ini memang diperlukan, namun adalah tidak adil untuk terus menutup kisah lama ini dari kita melawat semula pengalaman dulunya untuk belajar sesuatu dan memperbaiki kesilapan, agar untuk masa akan datang, tidak lagi pengkhianatan begini berulang.

Pengakhiran begini juga, memberi petunjuk bahawa Malaysia perlukan konsensus politik yang baharu. Konsensus atau permuafakatan dalam politik, pada hari ini, sudah mencapai taraf wajib buat pada mana-mana parti politik yang mahu bermain di gelanggang demokrasi. Tiada lagi istilah pemain solo dalam politik hari ini. Untuk terus hidup, politik perlu berkawan.

DAP tidak akan mampu berkeseorangan. Kini tahun 2015, bukan lagi 1965. Demikian jua pada PAS, PKR dan lain-lain parti politik. Untuk terus hidup, perlu mencari kawan berdamping. Bukan itu sahaja, juga wajib belajar untuk berkompromi, bermain tarik tali, bertolak ansur, hormat dan menghormati, dan paling penting, jujur pada amanah.

Bercakap tentang jujur dalam politik, boleh mengundang muntah hijau. Tiada istilah jujur dalam politik sebenarnya, cuma yang ada adalah rasa kebertanggungjawaban pada amanah dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Mana-mana parti atau permuafakatan yang boleh meletakkan kepentingan awam mendahului parti mereka, inilah wajah konsensus politik masa depan yang kita dambakan.

Kemelut politik akan menjadikan kita matang dalam keadaan payah dan sakit. Untuk membina sebuah negara dan bangsa yang kukuh dan maju, pengalaman-pengalaman begini tidak ternilai harganya. Mungkin kini, kita perlu membayar harganya dengan nilai yang sangat tinggi, namun, jangan sesekali kita lupa, pada sebuah optimisme cita-cita masa hadapan yang lebih baik.