Wednesday, June 24, 2015

Sejarah Natrah Yang Dilupakan

Semalam, ianya giliran saya menjadi pembentang bagi aktiviti mingguan +‘Tidak Selain Buku’ Book Café. Saya memilih untuk membentang buku tulisan Fatini Yaacob yang berkisar tentang gadis Belanda bernama Nadra atau popularnya dengan panggilan Natrah.

Tidak dinafikan, membaca tulisan Fatini Yaacob ini berkali-kali pun tidak pernah jua mendatangkan jemu.

Bahkan, setiap kali membacanya, pasti akan teresak bersendirian, walau sudah pun maklum akan jalan penceritaan dan pengakhiran kisah hidup Natrah dan Mansur itu bagaimana.

Tapi, itulah hakikat kisah Natrah ini, yang tidak jemu untuk mengundang air mata bertamu untuk sekian kalinya saban pembacaan. Moga Allah merahmati dan mengampuni roh Natrah dan Mansur di alam sana.

Di akhir pembentangan, timbul persoalan, perihal akan mengapa kisah dan sejarah ini tiada digembar-gemburkan sehingga ke generasi hari ini, tiada dokumentari yang adil dan lengkap, tiada tersikap segala butir sejarah dan permainan jahat penjajah dalam teks-teks sejarah yang diulang baca di sekolah-sekolah.

Kalaupun ada, nama Natrah tidak lebih dari sekadar memenuhi senarai mereka yang murtad!

Mengapa hal begini berlaku, sedangkan kisah Natrah pada tahun 1950 ini, kalaupun tidak sepenuhnya, tetapi langsung tidak boleh dinafikan akan bagaimana ianya memberi kesan atau sumbangan terhadap kebangkitan semangat nasionalis yang akhirnya, semangat itu telah berjaya menghalau kolonial penjajah dari muka bumi Tanah Melayu 7 tahun kemudiannya!

Mengapa kita begitu betah dan malu dan segan pada sejarah sendiri untuk diceritakan pada generasi sekarang ini, sedangkan kisah beginilah yang cukup ampuh untuk membina jati diri warganegara yang patriotik dan berjiwa merdeka, dan pada masa yang sama kita begitu berbangga pada kisah-kisah yang remeh-temeh, bersifat runcitan dan penuh kepolitikan yang membodohkan.

Jika ditanya rata-rata mereka yang kononnya Generasi-Y, berapa kerat sangatlah yang benar membaca akan kisah ini, yang kenal siapa Natrah, siapa Mansur Adabi, dan siapa mereka yang telah berjuang bermati-matian di Singapura, dan yang sedar dan insaf permainan kotor penjajah dan hikmah pengajaran dari peristiwa berdarah dan air mata ini.

Natrah tidak cuma berkisar soal perebutan hak penjagaan dan isu anak angkat. Ianya lebih dari itu. Senaraikan sahaja, baik ianya soal akidah seorang anak gadis yang sedang meningkat remaja, atau soal pentabrakan cinta yang tulus dan penafian pada sebuah perkahwinan yang sah, atau soal maruah orang Islam dan undang-undang Islam yang diperkotak-katikkan, dan banyak lagi.

Amatlah rugi diri kita sendiri apabila kita memilih untuk membutakan mata dari belajar semua ini, dari menyelak semula lembaran sejarah pedih ini.

Lagi rugi, bahkan mengundang sekian banyak kesal, apabila kita sendiri yang menjadi batu penghalang untuk masyarakat mempelajari sesuatu dari kisah ini. Bukan sekadar itu, kita pula yang menjadi pemutar belit sejarah demi politik sempit tidak berkesudahan.

Sudahnya, kisah dan sejarah Natrah ini mahu dilempar ke mana, kalau bukan kita sendiri yang memikul beban untuk mencerahkan masyarakat pada lembaran duka ini.

Amatlah berduka hati ini, apabila ditimbulkan sahaja nama Natrah ketika bersembang dengan kawan-kawan lainnya, rata-rata hanya menggelengkan kepala, bahawa mereka tidak tahu langsung siapa Natrah.

Mengapa sebegini jelik sekali, kita melayan sejarah bangsa dan agama kita sendiri, sedangkan mereka di dunia lain berlumba-lumba menceritakan, mendokumentasikan, mengajar pada anak bangsa mereka, butir-butir dan lelah liku sejarah yang telah ratusan tahun diharungi, tanpa merasa apologetik, rendah diri, bahkan berbangga dengan kisah sejarah mereka dulunya.

Mengapa nama Natrah dilupakan langsung?

Mengapa tiada yang kenal sudah siapa Mansur Adabi?

Mengapa tiada generasi sekarang yang maklum siapa Karim Ghani, Dr. Burhanuddin Helmy, dan ramai lagi?

Mengapa tiada siapa tahu bahawa Che Aminah, rumahnya di Kemaman itu, telah menjadi saksi membesarnya 2 anak gadis dari Timur dan Barat?

Semegah begini kisah Natrah, sehinggakan gambar-gambar perkahwinannya dan rusuhan pada 11 Disember 1950 itu terpampang di muka depan akhbar sehingga ke bumi United Kingdom, Arab Saudi dan Belanda, jika ditanya rata-rata remaja zaman sekarang akan siapa gerangan gadis bernama Natrah, mereka akan cuma mampu menggelengkan kepala, tidak tahu menahu.

Alangkah ruginya kita sendiri!

Alangkah...

Baca: Ulasan Buku: Natrah - Cinta, Rusuhan, Air Mata oleh Fatini Yaacob