Friday, June 19, 2015

Ramaḍān dan Peringatan Buat Jiwa

Ramaḍān datang untuk memberi peringatan semula kepada kita, pada hakikat perlunya kita mundur setapak, bermuhasabah sejenak, untuk kembali semula kepada peri makna-makna penting yang menjadi tiang-tiang pada hakikat kejadian kita selaku hamba kepada Al-Khāliq. Peri makna ini, untuk sedarkan kita pada siapa kita dimiliki.

Tentu sekali, dalam pada untuk melaksanakan proses muhasabah begini, tiada model lain, yang lebih baik berbanding untuk kita kembali menyelak kisah dan sirah Muhammad ﷺ. Pada bagaimana untuk kita kembali menjadi manusia yang bersifat manusiawi, yang adil dan yang saksama, yang kasih dan saling mengasihi, dan saling menjaga maruah dan harga diri sesama manusia yang lain.

Ajaran-ajaran mulia ini, hanya kedapatan pada Muhammad ﷺ selaku model yang paling ideal buat umat Islam seluruhnya. Ramaḍān tiba untuk kembali mengingatkan kita peri darihal ini, bahawasanya kita ini tiada lebih tiada kurang antara satu sama lain, yang cuma membezakan darjat antara kita hanya tertakluk pada bagaimana kita beriman dan bertakwa kepada-Nya.

Ramaḍān mengajak kita untuk kembali belajar mengawal tabii semula jadi kita, mengasuhnya, sebagaimana Nabi ﷺ menunjukkan contoh penyucian jiwa pada tahap tertinggi biarpun ketika masih belum disampaikan wahyu oleh Tuhan yang menandakan kerasulannya, dengan meletakkan kehormatan pada maruah dan harga diri manusia di tempat yang paling atas untuk dijaga dihormati.

Demikian jua, semangat Ramaḍān ini adalah untuk mengajak manusia kepada saling hormat menghormati, menyayangi dan mengasihi. Untuk mengajak manusia tidak merasa lebih dari yang lain, untuk mengajak manusia sekaliannya berkongsi dengan apa yang dirasai oleh mereka yang senantiasa berkurangan sepanjangan masa sebelum Ramaḍān.

Ramaḍān tidak bersila bersekali dengan bermegah-megahnya jumlah harta yang kedapatan, atau juadah makanan yang bermewah. Ramaḍān beriringan dengan manusia yang mahu mencari Tuhan, yang tidak betah untuk menunduk hatinya sama ke bawah, memasung rasa tamak dan angkuhnya jauh menghenyak. Kerana, pada akhirnya bulan ini Tuhan mahu kita mencari-Nya, bukan mencari manusia lainnya.

Mencari Tuhan, membawa erti kita mahu mencari kebenaran. Hanya kembali kepada-Nya dengan sebenar-benarnya sajalah mampu membawa kita mencapai yang benar itu. Ramaḍān adalah sebuah ladang untuk ditanami segala yang baik, yang pemurah, yang rendah diri, yang kasih mengasih, yang saling bercinta. Hanya dengan itu, Ramaḍān kita ini disambut Al-Quddūs.

InshāʾAllāh.